• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEPERLUAN PENUBUHAN, MOTIF OBJEKTIF DAN FUNGSI BPHTPBT

2.4 Motif Objektif BPHTPBT

Penubuhan sesebuah organisasi pastinya disertakan dengan objektif-objektif tertentu. Sebagai sebuah organisasi pecahan (sub), penubuhan sesebuah BPHTPBT juga memerlukan objektif-objektifnya yang tersendiri. Ini kerana berpandukan objektif tersebutlah, maka barulah sesebuah BPHTPBT yang terlibat akan mula menyusun perancangan dan strategi yang sewajarnya dilaksanakan oleh mereka ke arah menjayakan pencapaian objektif-objektif yang terlibat. Tanpa penyataan objektif yang jelas, maka peruntukan sumber, perlaksanaan polisi dan perlaksanaan operasi harian

mungkin akan menjadi rumit bagi sesebuah organisasi (Iskandar, 1996). Tambahan pula, menurut Abrahamson (1993) ketiadaan penyataan objektif yang jelas juga akan menyukar proses untuk menilai sama ada sesuatu matlamat yang dikehendaki telah dicapai atau sebaliknya. Oleh yang demikian, maka tanpa objektif yang jelas BPHTPBT pastinya menghadapi pelbagai kesukaran untuk mengetahui dan memahami apakah sasaran-sasaran yang sepatutnya cuba dicapai oleh mereka. Walau bagaimanapun sebelum membentuk sesuatu objektif, maka terlebih dahulu bahagian-BPHTPBT perlulah mengetahui apakah motif utama yang ingin diterapkan oleh mereka di dalam setiap pembentukan objektif yang terlibat. Ini kerana menerusi motif tersebutlah tujuan sebenarnya yang ingin dicapai oleh sesebuah BPHTPBT akan dapat difahami dengan lebih jelas. Namun demikian, dengan merujuk kepada sumber-sumber terdahulu, sehingga kini didapati perbincangan tentang motif-motif objektif BPHTPBT adalah begitu terhad sekali.

Merujuk kepada keadaan tersebut, maka dalam kajian ini perbincangan tentang motif-motif objektif BPHTPBT ini akan dikaitkan dengan kandungan objektif-objektif umum profesion atau amalan pengurusan harta tanah itu sendiri. Menurut Scarrett (1983), secara amnya objektif pengurusan harta tanah terbahagi kepada dua kategori, iaitu pertama ialah objektif jangka pendek. Ia merupakan objektif yang boleh dilihat dengan jelas seperti mengutip sewa, menggelakkan berlakunya sebarang tunggakan cukai, meningkatkan bilangan penyewa dan sebagainya. Objektif ini lebih tertumpu kepada penyediaan atau perlaksanaan perkhidmatan tertentu yang dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk menjayakan pencapaian objektif jangka panjang. Manakala objektif yang kedua ialah objektif jangka panjang. Ia merupakan lanjutan kepada objektif jangka pendek itu tadi. Secara amnya, fokus objektif tersebut adalah untuk meningkatkan nilai modal dan sewa bagi sesuatu harta tanah. Merujuk kepada dua kategori objektif tersebut, ia jelas menerangkan bahawa sesuatu amalan pengurusan harta tanah yang dilaksanakan oleh sesuatu pihak mempunyai objektif yang mana jangka masa untuk memperolehinya telah ditentukan. Pada masa yang sama, kedua-dua objektif tersebut juga mempunyai perkaitan atau kesinambungan antara satu sama lain.

Pandangan tentang wujudnya objektif jangka pendek dan jangka panjang ini juga telah turut dipersetujui oleh Abd. Rahman (2004).

Seterusnya, Phyrr et al. (1989) pula telah menyatakan bahawa objektif utama pengurusan harta tanah ialah untuk melaksanakan strategi-strategi yang sesuai dengan matlamat jangka panjang iaitu bagi memaksimumkan jumlah pulangan yang diharapkan daripada pelaburan yang dilakukan ke atas sesuatu hayat harta tanah. Manakala Direktorat Bina Sarana Perdagangan et al. (1993) pula telah menjelaskan bahawa objektif utama pengurusan harta tanah adalah terbahagi kepada dua, iaitu untuk mengelola investasi (pendapatan dan modal) suatu harta tanah dan untuk mengelola dan melaksanakan kegiatan fizikal ke atas harta tanah sehingga tercapai hasil yang optimum secara efisyen dan ekonomi. Sementara itu, dengan merujuk kepada kepentingan pemilik harta tanah, Fernandez (1995) pula telah menyatakan bahawa objektif pengurusan harta tanah ialah untuk mengekalkan dan meningkatkan pulangan pelaburan yang diperolehi daripada sesuatu harta tanah pelaburan dan untuk memastikan terjadi peningkatan nilai modal mengikut suatu jangkamasa yang telah ditetapkan. Selain itu, menurut Abd. Rahman (2004), secara ringkasnya objektif pengurusan harta tanah boleh dirumuskan kepada tiga tujuan, iaitu untuk memaksimumkan pulangan, memanjangkan hayat produktif sesuatu harta tanah dan mengekalkan atau meningkatkan nilai modal sesuatu harta tanah.

Berdasarkan keseluruhan pandangan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa dalam profesion pengurusan harta tanah terdapat pelbagai objektif yang boleh diketengahkan oleh mana-mana pihak yang terlibat. Ini kerana tidak terdapatnya suatu ketetapan khusus yang telah dinyatakan sebagai skop atau panduan dalam membentuk objektif pengurusan harta tanah. Walau bagaimanapun merujuk kepada semua pandangan tersebut, maka secara amnya didapati bahawa kebanyakan objektif pengurusan harta tanah yang telah dinyatakan mempunyai kaitan dengan motif ekonomi atau kewangan. Ini kerana kebanyakan kandungan objektif tersebut telah disandarkan kepada keinginan untuk memperolehi pulangan pelaburan yang optimum, memanjangkan hayat ekonomi sesuatu harta tanah, mengekalkan atau meningkatkan

nilai modal harta tanah, meningkatkan keuntungan dan sebagainya. Menurut Mondy dan Premeaux (1995) sesuatu objektif itu dianggap bermotif ekonomi apabila kandungannya melibatkan sasaran yang berkaitan dengan aspek kedayahidupan, keuntungan dan pertumbuhan.

Walau bagaimanapun, selain daripada motif ekonomi, pembentukan objektif-objektif umum pengurusan harta tanah juga turut tertumpu kepada motif perkhidmatan. Menurut Mondy dan Premeaux (1995), sesebuah organisasi memerlukan objektif yang bermotifkan perkhidmatan (selain daripada objektif yang bermotifkan kewangan) supaya organisasi itu dapat terus bertahan atau bersaing dan seterusnya memenuhi tuntutan pengguna. Secara amnya, bagi objektif pengurusan harta tanah yang bermotifkan perkhidmatan ini ia akan menonjolkan keperluan untuk melaksanakan amalan pengurusan harta tanah dengan lebih sistematik dan mencapai prestasi tertentu. Oleh itu, lazimnya kandungan objektif pengurusan harta tanah yang bermotifkan perkhidmatan menyatakan sasaran atau kepentingan untuk memastikan harta tanah dapat diurus dengan lebih baik dan berkesan. Ratcliff (1961), misalnya telah menyatakan bahawa salah satu objektif pengurusan harta tanah ialah untuk memanjangkan dan mengekalkan aspek fizikal harta tanah serta keadaan persekitarannya hingga berapa pada tahap kecekapan yang optimum. Merujuk kepada objektif ini, ianya telah menjelaskan bahawa sesuatu amalan pengurusan harta tanah itu dilakukan bagi membolehkan ia menyediakan perkhidmatan yang membawa kepada penggunaan harta tanah pada tahap yang paling optimum.

Sementara itu, menerusi suatu kajian yang dibuat oleh Ho et al. (1996) ke atas firma-firma pengurusan harta tanah di Hong Kong, sebanyak tujuh objektif yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada tujuan perlaksanaan amalan pengurusan harta tanah telah pun dikenalpasti. Merujuk kepada penemuan tersebut, maka didapati tiga daripada tujuh objektif tersebut iaitu untuk mencapai suatu proses pengurusan yang berkesan, untuk memastikan perkhidmatan yang berkualiti disediakan dan untuk membangunkan suatu piawaian yang berkaitan dengan pengurusan harta tanah merupakan objektif-objektif yang mempunyai kaitan dengan motif perkhidmatan.

Manakala tiga lagi objektif iaitu untuk memaksimumkan kadar pulangan sewa bersih, untuk meminimumkan kos dan untuk meminimumkan kerugian adalah dikategorikan sebagai objektif-objektif yang bermotif ekonomi. Selebihnya, iaitu objektif untuk mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan pula jika diteliti adalah lebih cenderung sebagai suatu objektif yang mempunyai kaitan dengan motif sosial.

Secara amnya, objektif yang bermotif sosial ini merupakan objektif sampingan yang cuba dicapai oleh sesebuah organisasi pengurusan harta tanah yang ditubuhkan di dalam sektor swasta. Tetapi bagi sektor awam, pembentukan objektif pengurusan harta tanah yang bermotif sosial merupakan suatu bentuk kemestian. Ini kerana menurut Simons (1994) antara objektif utama sektor awam ialah untuk menghasilkan pulangan sosial kepada para pengundi di dalam kawasannya. Merujuk kepada fakta tersebut, maka bolehlah dirumuskan bahawa bagi mana-mana organisasi pengurusan harta tanah yang ditubuhkan dalam sektor awam, ia sememangnya perlu membentuk suatu objektif yang mempunyai kaitan dengan motif sosial sebagai salah satu objektif utamanya.

Menerusi perbincangan di atas, maka secara ringkasnya dapatlah dijelaskan bahawa pembentukan objektif-objektif yang berkaitan dengan profesion pengurusan harta tanah secara amnya adalah dipengaruhi oleh tiga motif utama iaitu motif ekonomi, perkhidmatan dan sosial. Justeru itu, dengan memfokuskan perbincangan ke atas sumber-sumber atau kajian terdahulu yang berkaitan dengan pembentukan atau penyenaraian objektif-objektif BPHTPBT, maka rumusan awal akan dapat dilakukan bagi memutuskan sama ada objektif-objektif tersebut mempunyai kaitan dengan kewujudan ketiga-tiga motif yang telah dibincangkan atau sebaliknya. Merujuk kepada cadangan penubuhan BPHT yang khusus di dalam organisasi PBT, Rosdi (1992) telah mencadangkan beberapa objektif yang boleh digunakan sebagai asas kepada penubuhan bahagian tersebut. Objektif-objektif tersebut ialah untuk mengeksplotasi secara mendalam bidang-bidangkuasa seperti yang diperuntukan dengan tujuan membantu PBT menambahkan sumber pendapatan, untuk menyediakan satu kaedah atau pendekatan di mana penyertaan daripada seberapa ramai ahli masyarakat dalam urusan dan perjalanan

PBT dapat diperolehi dan untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan dengan menggunakan tenaga pekerja yang berkelayakan dalam bidang pengurusan harta tanah.

Secara amnya, pemakaian terhadap ketiga-tiga objektif ini bukanlah merupakan sesuatu yang mutlak tetapi lebih berperanan sebagai asas atau panduan yang sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak pengurusan PBT dalam membentuk objektif-objektif BPHT masing-masing. Seterusnya merujuk kepada tiga objektif tersebut, Shardy dan Abdul Hakim (2004a) telah membuat ulasan bahawa objektif pertama yang dicadangkan itu sememangnya mempunyai kaitan dengan motif ekonomi, manakala objektif keduanya pula adalah tertumpu kepada motif sosial dan objektif yang ketiga pula adalah tertumpu kepada motif perkhidmatan. Seterusnya, menerusi kajian yang dibuat oleh Shardy dan Abdul Hakim (2004a) juga, didapati sebanyak 15 objektif telah dikenalpasti sebagai objektif-objektif BPHTPBT di negara ini (sila rujuk lampiran A). Secara ringkasnya, pembentukan 15 objektif yang tersenarai itu adalah merangkumi pelbagai motif iaitu motif ekonomi (seperti objektif untuk memastikan pengekalan nilai modal harta tanah PBT, memastikan pengeluaran kos yang seiring dengan tahap kualiti harta tanah; menyumbang atau meningkatkan jumlah pendapatan PBT dan sebagainya), motif sosial (seperti objektif untuk menyediakan maklumat yang tepat kepada pengguna, memastikan rasa tanggungjawab terhadap pengguna, menyediakan kawalan keselamatan dan sebagainya) dan motif perkhidmatan (seperti objektif untuk menyelenggara sistem pembaikan yang teratur dan berkesan, memberikan perkhidmatan jualan dan sewaan kepada pengguna, mengurus harta tanah milik PBT dengan baik dan berkesan dan sebagainya).

Merujuk kepada keterangan-keterangan yang dinyatakan oleh Rosdi (1992) dan Shardy dan Abdul Hakim (2004a) ini didapati ia jelas menunjukkan bahawa motif-motif objektif BPHTPBT sememangnya memiliki persamaan dengan motif-motif objektif umum profesion pengurusan harta tanah itu sendiri. Motif tersebut adalah terbahagi kepada tiga kategori iaitu motif ekonomi, motif sosial dan motif perkhidmatan. Oleh yang demikian, maka wajarlah jika sumber-sumber yang dipertimbangkan bagi menentukan motif-motif objektif profesion pengurusan harta tanah turut digunakan

sebagai sebahagian daripada sumber-sumber yang menjelaskan motif-motif objektif BPHTPBT. Secara ringkasnya jadual 2.3 menunjukkan sumber-sumber yang terlibat.

Jadual 2.3 : Sumber-sumber perbincangan mengenai motif-motif objektif BPHTPBT. Motif

Bil .

Pengarang Tahun

Ekonomi Perkhidmatan Sosial

1. Rathcliff. 1961

a a

2. Scarrett. 1983

a a

3. Phyrr et al. 1989

a

4. Wofford dan Clauretie 1992

a a

5. Direktorat Bina Sarana Perdagangan et al. 1993

a a

6. Rosdi 1992

a a a

7. Fernandez. 1995

a

8. Ho dan Leung 1996

a a a

9. Larsen, J. 2003

a

10. Abd. Rahman 2004

a

11. Shardy dan Abdul Hakim

2004a

a a a

2.4.1 Proposition 2

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, maka didapati wujudnya tiga motif utama yang mempengaruhi pembentukan objektif-objektif BPHTPBT. Motif-motif tersebut adalah terdiri daripada Motif-motif ekonomi, Motif-motif perkhidmatan dan Motif-motif sosial. Merujuk kepada tiga motif tersebut, maka motif ekonomi bolehlah dianggap sebagai motif yang paling penting memandangkan kebanyakan objektif-objektif umum profesion pengurusan harta tanah telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pencapaian motif tersebut.