Pengarca-pengarca dari India ini dilahirkan di India. Kebanyakkan mereka memperolehi kemahiran membuat arca ini daripada nenek-moyang mereka. Mereka ini diimport oleh kontraktor-kontraktor tempatan untuk membuat arca-arca Ganesa dan mereka diberikan ganjaran dalam bentuk wang. Sebilangan besar pengarca dari India ini mendapat pendidikan tentang pembuatan arca dari institut yang terkemuka di India.
Dalam kajian ini seramai lapan orang pengarca telah ditemuramah.
Temuramah Pertama (14-8-2002, Kuil Bedong, 1000 am)
Sivasubramaniam ialah seorang pengarca yang berasal dari Kumbakonam, India.
Beliau berumur 35 tahun. Siva mula bekerja sebagai pengarca semasa beliau berumur 15 tahun dan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengarcaan ini.
Apabila disoal tentang perbezaan di antara kepercayaan masyarakat India dengan kepercayaan masyarakat Greek dan Mesir dalam upacara-upacara sembahyang beliau menjawab bahawa masyarakat Greek dan Mesir menganggap tuhan mempunyai bahagian badan yang seiras dengan manusia. Masyarakat itu memuja dewa-dewi yang mempunyai dua tangan, dua kaki dan satu kepala seperti manusia biasa. Tubuh badan dewa-dewi mereka mempunyai kecantikan yang unik. Masyarakat India pula melihat dewa sebagai
pencipta besar. Pada zaman dahulu sehingga kini para pendeta telah menyanyikan banyak lagu dan syair yang memuji keagungan kuasa dewa-dewa.
Beliau juga menerangkan bahawa masyarakat India memang handal dan pakar dalam mengukir arca-arca yang unik. Mereka dapat mengukir atau menghasilkan arca Ganesa dengan menggunakan batu granit, kayu dan simen. Keunikan ini tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Masyarakat India percaya bahawa mengukir arca adalah salah satu pekerjaan yang unik dan perlu disanjungi. Mereka mengukir tubuh badan dewa-dewi sehingga masyarakat terpesona dengan ukirannya.
Sebelum Siva membuat sesuatu arca seperti arca Ganesa beliau akan menganalisi dan menghayati lagu-lagu yang berkaitan dengan tuhan. Beliau akan bertapa untuk mengimbaskan setiap anggota badan dewa Ganesa. Fikiran dan naluri beliau akan bersatu sehingga beliau dapat mengimbas kembali rupa bentuk dewa selepas bertapa. Dalam keadaan inilah beliau akan mula mengukir rupa bentuk dewa Ganesa sehingga ia berupa patung yang bernyawa.
Temuramah Kedua (14-8-2002, Kuil Bedong, 1100am)
Sami Mutulingga Kurukal pernah ke negara India untuk menelaah lebih terperinci dalam bidang keagamaan. Apabila ditanya tentang keistimewaan cakerawala beliau menerangkan bahawa masyarakat India percaya cakerawala mempunyai kuasa yang besar. Kuasa cakerawala ini dapat dilihat dan dirasai oleh setiap benda. Bagi memperolehi kuasa cakerawala seseorang individu harus mempunyai kepercayaan terhadap tuhan. Kemudian individu tersebut harus melihat kuasa yang ada pada
benda-benda kehidupan sekelilingnya. Dengan ini individu berkenaan akan sedar bahawa tuhan adalah segala-galanya.
Menurut sami ini lagi bumi yang dicipta dengan cantik dan menarik ini dapat membuktikan kewujudan tuhan. Kewujudan tuhan akhirnya membawa kepada pembentukan arca-arca Ganesa untuk tujuan penyembahan. Beliau juga menerangkan untuk tujuan sembahyang tempat-tempat khas harus dipilih dan di tempat itu upacara sembahyang akan diadakan terlebih dahulu. Menurutnya lagi arca-arca Ganesa yang berlainan bentuk diletakkan di tempat-tempat yang khas seperti taman bunga, tasik, sungai, bukit-bukau, perigi dan juga di kawasan bandar. Tempat-tempat yang dikunjungi dan diduduki oleh dewa adalah paling bagus, cantik, sunyi serta mempunyai keunikan dan keistimewaan.
Temuramah Ketiga (10-10-2002, Sungai Petani, 500pm)
Pengarca ini bernama Vengkadacalam. Beliau berasa dari Karaikudi, Tamil Naadu dan berumur 62 tahun. Beliau mempelajari kemahiran pengarcaan ini daripada Kalaimamani Thusman di Madurai, India selama 17 tahun. Beliau menjelaskan bahawa pengarcaan adalah pekerjaan turun temurun keluarga beliau dan kini anak sulungnya juga bekerja sebagai pengarca di India. Beliau sangat berminat dalam bidang pengarcaan sejak kecil lagi. Setiap hari beliau meluangkan masa selama sejam sebelum tidur untuk mengimbas kembali apa yang beliau belajar dan apa yang perlu dibuat untuk menambahkan kecantikan arcanya. Untuk membuat arca, beliau menggunakan dawai, pasir, pisau, simen dan simen putih. Beliau menggunakan simen putih untuk menghaluskan lapisan permukaan sesuatu arca terutamanya bahagian kepala arca.
Apabila simen putih bercampur dengan simen biasa ia tidak mudah kering dan membolehkan pengarca membentuk arca dengan tenang terutamanya di bahagian muka.
Bahagian muka arca perlu disiapkan dalam tempoh masa sejam untuk menggelakkan ia daripada kering.
Sebelum beliau membuat arca Ganesa beliau membuat dasar atau rangka arca dengan menggunakan dawai dan mengikat dawai itu sepertimana yang diperlukan oleh arca. Kemudian beliau akan mencampurkan serpihan bata dan simen campuran pasir ke atas dawai untuk membina arca secara kasar. Kemudian arca disapukan dengan simen halus untuk menyiapkannya. Beliau juga menjelaskan bahawa kesabaran dan konsentrasi yang penuh diperlukan untuk menghasilkan arca terutamanya di bahagian muka.
Biasanya beliau mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan muka arca Ganesa.
Beliau menggunakan ukuran yang ditetapkan untuk membina arca Ganesa.
Ukuran dalam kiraan depa digunakan untuk membina arca Ganesa. Untuk tujuan membina arca Ganesa beliau menggunakan 7 depa dan untuk membina dewa-dewa lain ukuran lebih daripada 7 depa dibuat mengikut penjelasan beliau di kalangan dewa-dewa Hindu, dewa Ganesalah yang paling pendek disebabkan kepalanya berbentuk gajah dan badannya berbentuk manusia. Tambahan pula arca Ganesa sentiasa berada di dalam posisi duduk. Untuk membina arca Ganesa beliau menggunakan tali pusat Ganesa sebagai tempat permulaan ukuran, iaitu bahagian bawah tali pusat berukuran tiga depa manakala bahagian atasnya berukuran empat depa. Menurutnya sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih kurang sepuluh ribu arca yang berlainan jenis. Kebanyakan arca Ganesa bersaiz antara 2 hingga 3 kaki. Beliau mengambil masa selama 3 hari untuk
menyiapkan sebuah arca Ganesa yang bersaiz 2 hingga 3 kaki. Beliau juga pernah membina arca ketinggian 15 kaki.
Temuramah Keempat (10-10-2002, Sungai Petani, 600pm)
Pengarca ini bernama Tharmalingam dan berasal dari Kumbakonam, Ukkirakiramam, India. Beliau berumur 40 tahun dan telah mempelajari kemahiran ini daripada tok gurunya Mariappa Sivaji dan V.K.Sivam. Beliau tidak mendapat sebarang pengetahuan daripada buku tetapi hanya dengan pengalaman sahaja. Selain daripada kemahiran dalam bidang arca beliau juga mahir dalam bidang lukisan.
Menurut beliau arca yang berlainan saiz memerlukan tempoh masa siap yang berlainan. Contohnya arca yang bersaiz 3 hingga 4 kaki memerlukan 4 hingga 5 hari untuk disiapkan. Pada pendapat beliau lagi terdapat perbezaan di antara arca yang dihasilkan pada zaman dahulu dengan zaman sekarang. Acra zaman dahulu diukir tanpa perhiasan seperti sari, dhoti dan barang kemas manakala arca-arca yang dibuat sekarang pula lebih banyak ukiran perhiasan untuk menarik perhatian orang ramai.
Temuramah Kelima (22-12-2002, Sungai Petani, 400pm)
Pengarca ini pula bernama Sekaran dan beliau berumur 44 tahun. Nama kampung halamannya ialah Sivasangaram Pathi, Tamil Naadu. Pada awalnya beliau menjadi pembantu kepada para pengarca di kampung halaman. Dari situ beliau telah mempelajari selok-belok pembinaan arca. Daripada pengalamannya beliau menegaskan terdapat perbezaan di antara ukiran batu dan ukiran di atas kayu. Corak-corak yang diukir pada kayu tidak boleh dibuat di atas batu. Terdapat pelbagai peraturan agama untuk membuat
arca jenis batu terutamanya arca Ganesa. Menurut beliau lagi seseorang pengarca itu perlu berpuasa dan membaca mantera sebelum membuat arca tersebut. Untuk membuat arca kayu Ganesa beliau menggunakan pokok Thekku kerana kekuatan dan kemantapan pokok tersebut. Pokok Cenda juga boleh digunakan tetapi ia memerlukan kos yang amat tinggi serta sukar diperolehi.
Beliau juga pernah bekerja di bawah pengawasan adik iparnya yang bernama Vaithialingam sebelum bekerja dengan adik ipar yang satu lagi yang bernama Tangavalarcari. Beliau pernah menjelajahi banyak negeri di India pada tahun 1974 dan telah pergi ke USA untuk membuat arca Ganesa di sebuah kuil di sana. Sekaran menjelaskan bahawa tiada sebarang perubahan pada arca yang dibina di sini dan Tamil Nadu kerana kesemua arcanya dibuat oleh pengarca dari India.
Temuramah Keenam (22-12-2002, Sungai Petani, 500pm)
Pengarca ini bernama Sinathanaaiyappan dan berasal dari Tevakodai Tamil Naadu. Beliau berumur 38 tahun. Beliau mempelajari seni membuat arca ini daripada gurunya yang bernama Sanmugasundaram Karaikodi selama setahun. Sina penuhkan mempunyai pengalaman bekerja sebagai pengarca selama 21 tahun. Beliau pernah bekerja di India dan kini beliau bekerja di Daerah Kuala Muda Kedah. Menurut beliau terdapat berbezaan yang ketara di antara arca simen dan arca batu. Arca batu biasanya di buat sebagai bahan perhiasan. Manakala arca batu granit pula dibuat untuk pemujaan.
Beliau juga berpendapat arca batu granit yang diletakkan di pusat rahim kuil mempunyai satu kekuasaan yang luar biasa. Semasa membuat arca Ganesa beliau membuat bahagian dada dan perut dahulu diikuti dengan kaki dan tangan. Akhir sekali barulah bahagian
muka dibentuk. Kerja pelicinan arca pula dimulakan dari bahagian muka ke bahagian lain di badan kecuali bahagian tangan. Bahagian tangan dibentuk akhir sekali kerana bahagian tangan arca selalu memegang pelbagai jenis peralatan.
Temuramah Ketujuh (22-12-2002, Sungai Petani, 600pm)
Pengarca ini bernama Saktivel dan beliau berumur 44 tahun, berasal daripada Daerah Ramanathan, Paramakudi, Tamil Naadu, India. Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang ukiran kayu. Gurunya ialah Subramaniam. Saktivel merupakan seorang pengarca yang berpelajaran tinggi iaitu hingga High School. Bapanya seorang pengarca tetapi melarang beliau terlibat dalam bidang kesenian dengan mengatakan bidang ini tidak sesuai untuk kesejahteraan keluarga. Saktivel kemudian mengasah bakatnya dengan membaca buku-buku yang berkaitan tentang kesenian arca.
Saktivel mengelaskan arca kepada 2 jenis iaitu arca dengan hiasan dan arca tanpa hiasan. Arca hiasan ialah arca yang mempunyai hiasan tambahan manakala arca tanpa hiasan pula ialah arca yang memaparkan ciri-ciri semula jadi tanpa sebarang tokok-tambahan. Menurut beliau terdapat 32 jenis arca Ganesa. Arca-arca Ganesa juga diletakkan di bawah “Pokok Arasu” dan di tepi sungai di mana terdapat perbezaan dari segi peralatan yang dipegang oleh arca-arca Ganesa. Arca Ganesa mempunyai pelbagai nama mengikut rupa bentuknya. Nama untuk arca Ganesa juga diberikan oleh para pengikutnya apabila sesuatu doa mereka dimakbulkan. Mereka akan membina sebuah kuil Ganesa dan memberi nama khas untuk arca tersebut. Beliau mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan sebuah arca. Biasanya warna kuning dan merah jambu digunakan untuk mewarnakan arca Ganesa.
Temuramah Kelapan (23-12-2002, Sungai Petani, 1000am)
Pengarca ini bernama Mani, berasal dari Karaikudi, Tamil Naadu, India, berumur 46 tahun dan telah bekerja dalam bidang pembuatan arca selama 20 tahun. Beliau lebih pakar dalam bidang mewarnakan arca. Beliau pernah menjadi penuntut di Sekolah Kesenian di India. Beliau hanya menggunakan 15 jenis warna untuk menghasilkan warna yang dikehendaki. 15 jenis warna yang digunakan ialah 3 jenis warna kuning, 3 jenis warna merah, 4 jenis warna hijau, 3 jenis warna biru dan warna putih. Beliau mendapat berlainan ton warna dengan mencampurkan warna putih dengan warna-warna yang disebut di atas. Mani menggunakan cat berjenama Nippon ICI untuk mewarnakan arcanya. Beliau hanya menggunakan cat minyak dan bukannya cat air kerana cat minyak bersifat kalis air, tahan lama serta memberi satu sinaran yang cantik. Cat jenis minyak juga boleh bertahan selama 7 hingga 8 tahun.
Menurut Mani, tidak terdapat sebarang perubahan pada arca yang terdapat di sini dan di India. Beliau menegaskan ada beberapa peraturan untuk mewarnai arca.
Contohnya untuk arca Ganesa beliau menggunakan warna kuning secara amnya. Oleh kerana terdapat 32 jenis arca Ganesa, beliau menggunakan warna yang berlainan seperti merah jambu, merah muda dan sebagainya untuk membezakan di antara satu sama lain.
Beliau juga tidak mengamalkan amalan berpuasa sebelum memulakan kerja-kerja pembuatan arca kerana menurutnya pemikiran yang suci memadai untuk menghasilkan sebarang arca dewa-dewi. Beliau mempunyai dua orang pembantu yang bernama Selva yang berumur 32 tahun dan Krishna Moorthi yang berumur 44 tahun. Kedua-duanya berasal dari Tamil Naadu dan mempunyai kemahiran yang cukup baik dalam bidang ini.
Beliau menggunakan bahan kimia ‘Thinne’ untuk mencairkan cat manakala minyak
Turpentine digunakan untuk membersihkan berus. Teknik pencampuran di antara minyak tanah dan cat tidak digunakan oleh beliau kerana bimbang kualitinya akan terjelas.