Terdapat lima orang pengarca tempatan sahaja yang yang ditemuramah yang dilahirkan di Daerah Kuala Muda. Mereka mendapat pendedahan dalam pembuatan arca daripada pemerhatian , minat, dan daya usaha sendiri.
Temuramah Pertama (5-3-2002, Sungai Petani, 300pm)
Pengarca tempatan yang agak terkenal di daerah Kuala Muda ialah Murugan.
Murugan kini berumur 47 tahun dan beralamat di 57, Lorong Gemilang 3, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tamil di Ladang Harvard di Daerah Kuala Muda. Kedua-dua ibubapanya bekerja sebagai penoreh getah di ladang yang berhampiran. Murugan juga mengikut jejak bapanya bekerja sebagai penoreh getah. Pembuatan arca merupakan kerja sambilan.
Menurut Murugan, beliau tidak mempunyai apa-apa pendidikan formal tentang pembuatan arca. Hanya minat yang mendalam dalam bidang pembuatan arca ini sahaja yang mendorong beliau mempelajarinya.
Murugan mempelajari seni membuat arca ini dari kontraktor yang diimport khas dari India untuk membuat arca di kuil di ladangnya. Murugan sering ke kuil berkenaan untuk membantu kontraktor tersebut dan dari sinilah lahirnya minat untuk membuat arca.
Menurut beliau lagi beliau hanya membuat arca-arca kecil sahaja pada mulanya dan
sering menghadapi masalah dalam mewarnakannya tetapi lama-kelamaan beliau mulai mahir dalam seni ini.
Menurut Murugan lagi arca-arca yang telah dibuat oleh beliau tidaklah setanding dengan arca-arca Ganesa yang dibuat oleh pengarca dari India. Arca-arca dari India mempunyai nilai kesenian yang halus dan sukar untuk ditandangi. Nilai-nilai kesenian ini hanya boleh diperolehi di institusi-institusi kesenian di India dan beliau berasa kesal kerana tidak berpeluang untuk mengikutinya.
Murugan kini membuat arca di kuil-kuil yang kecil saiznya di Daerah Kuala Muda. Kuil-kuil yang kecil tidak mempunyai peruntukan kewangan yang banyak. Oleh yang demikian para pentadbir kuil terpaksa mendampingi pengarca-pengarca seperti Murugan yang kurang berpengetahuan untuk membuat arca-arca Ganesa. Murugan juga membuat arca-arca ini hanya untuk kepuasan diriya dan ia bukan untuk dijual. Oleh yang demikian hasil kerja Murugan tidaklah dipertikaikan oleh masyarakat setempat.
Temuramah Kedua (10-3-2003, Sungai Petani, 1200pm)
Seorang lagi pengarca tempatan yang telah ditemuramah ialah Velan. Velan berumur 40 tahun dan minat beliau yang mendalam dalam bidang pembuatan arca ini mendorong beliau menceburi bidang ini. Menurut beliau lagi seni ini dikenali oleh beliau melalui bapanya. Bapanya bekerja secara sambilan dengan kontraktor pengarca India dan beliau sering membawa balik arca-arca untuk diwarnai. Kadang-kala Velan juga mengikut bapanya ke tempat pembuatan arca untuk membantu. Velan mendapat pengalaman dan pengetahuan apabila bekerja secara sambilan di situ.
Dengan pengalaman yang ada Velan membantu bapanya untuk membuat arca di kuil-kuil kecil di sekitar Daerah Kuala Muda. Pada mulanya dia mengalami kesulitan dalam pembuatan kerana tidak mempunyai pengetahuan dari segi ukuran dan bentuk-bentuk asal. Jadi beliau mula meniru dari arca-arca yang dibuat di India. Akhirnya beliau mulai mahir mencipta arca dengan meniru.
Selepas bapa Velan meninggal dunia, Velan dikunjungi oleh masyarakat tempatan untuk membuat arca. Beliau tidak mahu menghampakan mereka lalu mula membuat arca-arca untuk kuil sebagai pendapatan sampingan. Velan sendiri dapat membezakan hasil kerjanya dengan hasil kerja pengarca India. Menurut beliau hasil kerja pengarca India adalah bermutu tinggi kerana mereka pandai mengukir secara halus dan pandai menggabungkan warna untuk mendapatkan hasil yang menarik. Ini menyebabkan kos arca sangat tinggi dan ia tidak mampu dibeli oleh kuil-kuil kecil. Akhir sekali Velan berjanji bahawa dia akan memperbaiki hasil kerjanya mengikut peredaran zaman.
Temuramah Ketiga (20-3-2—3, Sungai Petani, 1200pm)
Kathiravan juga seorang pengarca tempatan yang telah menceburi bidang ini selama 15 tahun. Kathiravan kini berumur 48 tahun dan boleh dikatakan masih mentah lagi dalam bidang pembuatan arca. Apabila ditanya mengenai kenapa beliau memilih bidang ini, beliau mengatakan bahawa beliau terpaksa buat atas desakan keluarganya.
Kathiravan menghadapi penyakit yang menyebabkan beliau tidak boleh membuat kerja-kerja yang berat. Oleh yang demikian bapanya telah menghantar beliau ke kuil berhampiran untuk membantu kontraktor dari India untuk membuat arca. Dari sinilah Kathiravan memperolehi ilmu untuk membuat arca. Beliau telah bekerja selama 3 tahun
dengan pengarca-pengarca dari India dan beliau masih lagi berhubung dengan mereka sehingga kini.
Menurut beliau lagi sehingga kini beliau telah membuat arca-arca di 15 buah kuil yang kecil dan sederhana kecil. Beliau juga mempunyai beberapa orang remaja sebagai pembantu. Menurut beliau lagi pada masa kini adalah sukar untuk mencari seorang pengarca yang benar-benar mahir kerana ramai tidak mempunyai minat dalam bidang ini.
Ramai remaja kini lebih suka berkerja di kilang atau di tempat-tempat lain berbanding menjadi pengarca. Ini kerana kerja-kerja lain menjanjikan gaji yang tetap dan stabil. Di samping itu pembuatan arca juga memerlukan kesabaran, ketekunan da konsentrasi yang tinggi. Menurut beliau lagi untuk membuat arca-arca Ganesa yang akan dipuja beberapa pantang larang perlu diikut oleh pengarca supaya mereka tidak ditimpa oleh sebarang malapetaka.
Temuramah Keempat (5-4-2003, Sungai Petani, 1000am)
Seorang lagi pengarca tempatan yang ditemui di Daerah Kuala Muda ini ialah Thangaraju Kandasamy. Beliau kini berumur 41 tahun. Beliau telah mengalami kecacatan pada kedua-dua belah kakinya yang menyebabkan beliau tidak boleh berjalan. Namun kecacatan ini tidak sedikitpun menjadi penghalang kepada beliau untuk bergiat di dalam bidang pengarcaan ini. Thangaraju telah dilahirkan di Ladang Bukit Sembilan di Kuala Ketil. Pada peringkat awal beliau banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti-aktiviti seperti melukis, memain alat muzik, membuat arca-arca kecil dan sebagainya. Lama-kelamaan proses pembuatan arca telah menarik minat beliau dan telah dijadikan kerjayanya.
Thangaraju mempelajari seni pengarcaan ini melalui pemerhatian proses-proses pembuatan arca daripada pengarca yang datang dari India untuk membuat arca di kuil daerah ini. Beliau kemudiannya akan mengulangi proses-proses tersebut di rumah untuk mempelajari teknik-teknik tersebut. Namun demikian hasil yang diperolehi tidak memuaskan kerana pengarca-pengarca dari India ini tidak berminat untuk berkongsi ilmu. Mereka takut ilmu mereka akan berpindah tangan secara percuma. Oleh yang demikian mereka lebih suka membuat arca secara tersembunyi. Jadi pada peringkat ini Thangaraju membuat arca dengan ilmu yang ada dan ditambahkan sedikit dengan imaginasinya. Beliau kemudian telah merujuk buku-buku tentang seni pengarcaan. Buku-buku ini juga dapat memberikan gambaran kepada beliau tentang rupa dewa-dewa dan dewi-dewi. Arca-arca yang terdapat di kuil juga dijadikan bahan kajian oleh beliau dalam proses mempelajari pembuatan seni arca.
Thangaraju sendiri telah membuat pengakuan bahawa beliau tidaklah begitu arif tentang proses pewarnaan. Kebiasaannya arca yang dibuat oleh beliau diwarnai dengan warna-warna kegemarannya. Ia lebih dipengaruhi oleh situasi dan perasaannya sendiri.
Thangaraju sebenarnya memendam keinginan untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang pengarcaan tetapi masalah kewangan menjadi penghalang utamanya. Di samping itu kecacatan dirinya juga menghadkan pergerakakannya menyebabkan beliau terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain. Namun demikian beliau sanggup belajar tentang seni ini jika diberi tawaran oleh pengarca tempatan di sini. Pengarca seperti Thangaraju ini perlulah diberi penghargaan kerana walaupun cacat beliau mempunyai motivasi yang tinggi untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburinya.
Temuramah Kelima (25-5-03, Sungai Petani, 1100am)
Salah seorang pengarca tempatan yang terkenal di Daerah Kuala Muda ialah Arumugam Kidhu yang kini berumur 61 tahun. Beliau adalah bekas guru besar Sekolah Tamil dan selepas bersara beliau telah menjadi pengarca Papier Mache sepenuh masa.
Beliau telah dilahirkan di Bukit Junun, Gurun dan kini menetap di Taman Aman Jaya, Sungai Petani. Beliau mempunyai 9 orang adik beradik. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Kalyani dan mempunyai 9 orang anak.
Menurut Arumugam minat beliau dalam bidang seni muncul sejak kecil lagi. Pada peringkat awal, masa beliau telah banyak diluangkan untuk melukis. Beliau berbakat dalam melukis poster dan mural di mana ini dapat dilihat di sekolah lama beliau.
Kemudian beliau mula berjinak-jinak dalam bidang ukiran. Beliau mula mengukir arca-arca daripada batang kayu dan tanah liat. Antara arca-arca-arca-arca yang diukir terdiri daripada binatang seperti burung, arnab dan barang-barang perhiasan yang lain. Menurut beliau hanya pokok-pokok yang mempunyai batang yang keras sahaja boleh digunakan untuk mengukir.
Semasa beliau mengukir arca-arca daripada kayu ini beliau telah bertemu dengan seorang pengarca papier mache dari India. Menurut beliau pengarca dari India inilah yang menjadi pendorong bagi beliau mempelajari teknik-teknik membuat arca dengan papier mache. Beliau telah pergi ke India sebanyak tiga kali iaitu pada setiap cuti tahunan persekolahan untuk mendalami lagi dalam bidang ini. Antara tempat-tempat yang dikunjungi oleh beliau untuk mempelajari teknik ini ialah Tanjavur dan Kanchipuram yang terdapat di Tamil Nadu India Selatan. Kini Arumugam mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang ini. Beliau telah menghasilkan lebih kurang 300 jenis arca
papier mache. Bilangan arca dewa-dewi sahaja yang dihasilkan melalui teknik ini ialah 350. Setakat ini beliau telah membuat 31 arca Ganesa iaitu 4 gaya Ganesa yang sedang duduk dan satu gaya Ganesa yang sedang berdiri. Kesemua arca-arca Ganesa yang dibuat adalah bersaiz di antara 6 inchi hingga 1 meter dan dibuat berdasarkan permintaan masyarakat. Walaupun Arumugam merupakan pengarca papier mache yang terulung di Malaysia namun masih ramai yang tidak mengenalinya. Ini kerana beliau sendiri tidak gemar akan publisiti. Arca-arca papier mache Ganesa yang dibuat oleh Arumugam kini boleh didapati di kuil-kuil tempatan.
PERBANDINGAN DI ANTARA HASIL KERJA PENGARCA LUAR NEGARA