• Tidak ada hasil yang ditemukan

PENGKAJI BARAT

Dalam dokumen Asal Usul Bahasa Melayu (Halaman 43-47)

5.1 PENGENALAN

lam Melayu yang banyak mengeluarkan hasil hutan dan rempah-ratus, menjadi tumpuan orang Eropah. Mereka menyedari bahawa untuk memudahkan perniagaan, bahasa anak negeri perlu difahami dan dikuasai. Di samping itu pula orang Eropah sudah mulai ramai yang tinggal di ceruk rantau Nusantara ini kerana berniaga, membuka ladang, atau ditugaskan oleh kerajaan mereka sebagai pegawai. Para mubaligh Kristian turut sama ke Kepulauan Melayu untuk mengajar agama Kristian kepada orang Eropah yang bertugas di sini dan juga kepada orang tempatan. Semua ini memerlukan kemahiran bahasa Melayu. Sejak itu, buku petunjuk sederhana dan kamus bahasa Melayu dianggap penting.

5.2 PENGKAJI BARAT

Frederick de Houtman (adik Cornelis de Houtman) menyusun perkataan dan ayat bahasa Melayu Madagaskar. Bahan ini disusunnya semasa ia ditawan oleh pemerintah Aceh dalam tahun 1599-1602 M. Kamus ini pertama kali dicetak di Amsterdam pada tahun 1604 M dan dicetak semula pada tahun 1673 M. Buku ini dicetak lagi di Batavia (kini Jakarta) pada tahun 1707 M.

Gotardus Arthus menterjemah buku Frederick de Houtman di atas ke dalam bahasa Latin pada tahun 1608 M. Buku ini dicetak untuk kali kedua pada tahun 1614 M, dan daripada bahasa Latin ia diterjemahkan pula ke dalam bahasa Inggeris oleh Augustine Spalding yang diterbitkan di London pada tahun 1624 M. Albert Ruyl pula mengubah tajuk karya Frederick di atas, dan mengadakan sedikit pengubahsuaian yang kemudian dicetak di Amsterdam pada tahun 1650 M dan dicetak semula di Batavia pada tahun 1677 M setelah diperbaiki oleh Frederick Gueynier. Sekali lagi kamus ini diterbitkan di Batavia juga pada tahun 1708 M oleh Petrus van der Worm, dan beliau mengatakan bahawa inilah kamus Melayu - Belanda yang terbaik.

Casper Wittens menyusun kamus bahasa Melayu - Belanda yang kemudian diperbaiki oleh Sebastian

Danckaerts dan diterbitkan oleh Gravenhaghe pada tahun 1623 M dan di Batavia pada tahun 1706 M. Kamus ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh David Haex dan diterbitkan di Rom pada tahun 1631 M. Thomas Bowerey menyusun kamus Inggeris - Melayu pada tahun 1701 M dengan mengemukakan sedikit peraturan nahu. Kamus ini ditulis oleh pedagang yang datang ke Nusantara, yang mencatat semua perkataan yang diingatinya (daripada bahasa lisan) sehingga berlaku banyak kesalahan ejaan. Contoh ayat yang dikemukakan juga banyak yang tidak berterima (tidak gramatis).

Andreas Lambert Loderus mencetak semula kamus yang disusun oleh Casper Wittens dan Sebastian

Danckaerts. Ia juga mencetak semula kamus yang disusun oleh Tustus Heurnius dan kamus yang disusun oleh Frederick Gueynier di Batavia pada tahun 1708 M.

George Henrik Werndly (Belanda) seorang sarjana bahasa Melayu menulis Nahu Melayu yang diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1736 M, John Howison menyusun kamus Inggeris - Melayu pada tahun 1801 M, dan P. Farve menyusun kamus Perancis - Melayu pada tahun 1817 M.

Sebelum P. Farve, William Marsden telah menulis A grammar of the Malayan language pada tahun 1812 M. Pendahuluan buku ini mengandungi 50 halaman. Banyak perkara yang dibincangkan oleh Marsden dalam Pendahuluan bukunya ini. Beberapa hal yang penting ialah:

(a) Yang dimaksud dengan Kepulauan Melayu itu ialah Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, Maluku, dan beberapa buah pulau yang lain. Setiap pulau, masyarakatnya memiliki bahasa mereka sendiri tetapi dalam hal perniagaan terutama di bandar pelabuhan, mereka menggunakan bahasa Melayu. Di antara pelbagai dialek yang dituturkan di pasar semasa berhubungan, dialek Melayulah yang paling

asas dan ia kemudian berkembang menjadi bahasa Melayu.

(b) Bahasa Melayu itu indah, susunan ayatnya teratur, dan nahunya sederhana. Penyebutannya pula mudah sehingga perkataan pinjaman pun akan mereka selaraskan dengan pengucapan masyarakat setempat.

(c) Bahasa Melayu bukan berasal daripada bahasa Jawa, namun orang Jawa menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan pergaulan. Bahasa Melayu di Sumatera hampir sama dengan bahasa Melayu di Semenanjung dan perbezaan tersebut hanyalah vokal akhir sahaja.

(d) Langkapura terletak di antara Palembang dan Jambi, bukan di Pulau Jawa kerana tidak ada kesan kerajaan ini di sana.

(e) Orang di atas angin bermaksud orang Arab manakala orang di bawah angin bermaksud orang Melayu. Orang di bawah angin lebih suka menyembelih kerbau daripada lembu.

(f) Perkataan Jawi (tulisan) bukanlah berasal daripada perkataan Jawa, Jawi (lembu, atau pokok jawi-jawi) tetapi membawa maksud campuran tulisan Arab, Parsi, dan Melayu. Perkataan ini dikiaskan daripada anak Jawi yang bermaksud anak campuran.

(g) Bahasa Melayu bukan berasal daripada bahasa Sanskrit tetapi bahasa Sanskrit memperkaya bahasa Melayu, sungguhpun ada persamaan bahasa Melayu dengan bahasa Tagalog, Bisaya, dan Pampanga tidak dapat dibuat sebagai alasan bahasa orang Melayu berasal dari Filipina kerana orang Melayu berkulit kekuning- kuningan dan berambut panjang manakala Filipina berkulit agak gelap dan berambut keriting.

(h) Bangsa Melayu di Sumatera, Jawa, Sulawesi, dan di beberapa buah pulau yang lain telah lama memiliki abjadnya sendiri sebelum tulisan Arab diperkenalkan.

(i) Menolak pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu serupa dengan bahasa yang dituturkan di Indo-China dengan alasan bahawa pengkaji tersebut (J.C. Leyden) tidak menyenaraikan perbendaharaan kata dalam sifatnya yang asal. Jika seseorang pengkaji tidak mempunyai pengetahuan tentang budaya masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut lazimnya ia akan menyampaikan sesuatu yang lain daripada yang sebenarnya dan ini akan menyebabkan sesuatu kajian tersebut tidak sempurna.

(j) Pendengaran pengkaji yang tidak tepat, penyisipan bunyi atau huruf pada ejaan yang asal didapati berlaku. Untuk siapakah penyesuaian sebutan tersebut dilakukan? Bagi penutur Eropah yang sudah mahirkah? Penutur tempatan yang terpelajar, penyesuaian tersebut jelas tidak memanfaatkan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa ejaan Melayu bukan seperti yang mereka katakan tidak tepat atau tidak mempunyai peraturan tertentu.

Dalam Pendahuluan itu juga Marsden banyak menyanggah beberapa pendapat penulis Barat tentang bangsa dan bahasa Melayu yang menurutnya lebih mengutamakan kepentingan pemerintah yang menjajah daripada kebenaran data dan fakta.

Isi buku ini tidak dibahagikan pada bab melainkan pada beberapa tajuk kecil. Tajuk tersebut di antara lain ialah: Abjad Jawi, Konsonan, dan Vokal, Tanda Bacaan Tulisan Jawi, Golongan Kata, Bahagian Ayat, Nama, Sifat, Perbandingan, Bilangan, Ganti Nama, Penunjuk, Keterangan, Sendi, Penghubung, Seruan, Pengimbuhan, Binaan Ayat, Dialek, Prosodi, dan Praksis.

Beberapa hal yang menarik dalam isi buku ini ialah, Marsden mengatakan bahawa orang Melayu telah

mengambil 28 huruf Arab, iaitu £, [, \, ], Ð, a, b, d, e, f, g, i, j, k, l, m, n, o, p, q, r, u, v, w, x, z, y, å dan mencipta enam huruf lagi dengan menambah titik tertentu pada bentuk yang sudah sedia ada, iaitu c, h, p, s, u, ].

Marsden telah menggolongkan perkataan bahasa Melayu pada tujuh golongan, iaitu Ganti Nama Diri,

Perbuatan, Keterangan, Sendi, Penghubung, Seruan, dan Partikel. Marsden memasukkan Adjektif ke dalam kata yang menerangkan Sifat Nama. Dalam bahasa Melayu bentuk perkataan tidak menunjukkan tunggal atau jamak tetapi Bilangan tersebut dinyatakan secara khusus, iaitu menggunakan Bilangan dan bila perlu dengan Penjodoh Bilangannya sekali.

Menurut Marsden, Kata Sendi sangat penting untuk membezakan makna, seperti ke rumah, dari rumah, di rumah, di luar rumah, di atas rumah, di bawah rumah, dan lain-lain. Dengan demikian, sesuatu Nama akan mudah diketahui sama ada Nama pada Objek atau Nama pada Kata Sendi.

Beliau tidak setuju Kata Bilangan dimasukkan ke dalam golongan Adjektif kerana Kata Bilangan memiliki ciri yang khusus. Oleh yang demikian, beliau mencadangkan agar digunakan Kata Bilangan Kardinal, Ordinal, dan Pecahan. Kata Bilangan ini pula sangat penting untuk menyatakan sesuatu Nama sama ada tunggal atau jamak, kerana dalam bahasa Melayu Nama tunggal dan jamak tidak dicirikan oleh perubahan bentuk.

Perkataan angkau berubah apabila perkataan sebelumnya diakhiri dengan bunyi vokal a seperti mana bagi kelompok kata darimana angkau yang akan disebut menjadi darimanangkau. Begitu juga perubahan tersebut berlaku apabila perkataan sebelumnya diakhiri dengan bunyi asal n seperti akan bagi kelompok kata akanangkau. Untuk mengelakkan bunyi seperti ini maka perkataan angkau diubah menjadi dikau sehingga

lahirlah perkataan darimana dikau dan akan dikau. Perkataan dikau kini jarang digunakan dan kembali mengambil perkataan engkau atau disingkatkan menjadi kau.

Perkataan iya atau inya juga mengalami hal yang sama. Apabila bunyi akhir perkataan sebelumnya bunyi h seperti suruh bagi kelompok kata suruhiya dan bunyi akhir sebelumnya vokal a seperti mana bagi kelompok kata ke manaiya maka perkataan iya mendapat penambahan d sehingga menjadi diya. Dengan demikian, ada selang bunyi di antara perkataan sebelumnya dan sesudahnya, iaitu suruh diya atau ke mana diya. Perkataan diya kini dieja menjadi dia.

Perkataan iya bagi milik atau kepunyaan biasa disebut niya seperti pada kelompok kata kapala niya atau rambut niya. Lama-kelamaan bunyi niya berubah menjadi nya sehingga kelompok kata di atas menjadi kepalanya atau rambutnya. Inilah sebabnya nya dikatakan berasal daripada perkataan dia kerana dia berasal daripada iya dan inya juga berasal daripada iya.

Pembinaan Awalan dengan Kata Dasar ditentukan oleh huruf awal sesuatu Kata Dasar. Dengan demikian, beliau mengemukakan rumus seperti yang berikut ini:

(a) Awalan men- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf j, c, d.

(b) Awalan meng- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf a, e, i, o, u, h, g. (c) Awalan mem- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf b, p.

(d) Awalan me- mendahului perkataan yang bermula dengan huruf r, m, n, w, l.

(e) Perkataan yang bermula dengan huruf t, s, p, k suku kata pertama Kata Dasar ini akan mengubahsuai bunyi bagi kelancaran pelafazan apabila digabungkan dengan Awalan.

Perkataan tolong, huruf t gugur dan awalannya menjadi men- dan hasilnya menolong. Perkataan susu, huruf s gugur dan Awalannya menjadi meny- dan hasilnya menyusu. Perkataan palu, huruf p gugur dan Awalannya menjadi mem- dan hasilnya memalu. Perkataan kata, huruf k gugur dan Awalannya menjadi meng- dan hasilnya mengata.

Di samping imbuhan di atas, Marsden juga mengemukakan Awalan ber-, bel-, dan be-. Menurut beliau lagi Awalan be- lebih umum digunakan dalam bahasa lisan, Awalan ber-untuk bertulis dan bel- jarang berlaku, kecuali pada perkataan belajar.

Di dalam buku tersebut, yang dimaksudkan dengan Kata Penunjuk itu ialah Penunjuk Kala yang terbahagi tiga, iaitu

(a) Kala Kini Contoh: lagi, sambil, serta, seraya. (b) Kala Lepas Contoh: telah, sudah.

(c) Kala Akan Datang Contoh: mahu, hendak, akan.

Dikatakan bahawa Awalan ter- apabila diimbuhkan pada Perbuatan, ia menghasilkan Imbuhan Pasif, seperti terpukul, teralah, tertulis yang beliau samakan dengan imbuhan Latin -tus, seperti amatus, doctus, loctus. Awalan ter- ini akan berubah menjadi te- apabila ia diimbuhkan dengan Kata Terbitan yang mendapat Awalan per- seperti persayang menjadi tepersayang.

Imbuhan yang lain ialah: pen, peng, pem, pe, per, pel, di, ke, se, kan, i, an, lah, kah, tah, nya,

-ku/ku-, -mu, -kau/kau-, -nya, -pun, -nda. Di dalam buku ini terlihat bahawa Marsden mengutamakan

perbincangan tentang binaan perkataan dan hanya sedikit sahaja binaan ayat.

Marsden berpendapat bahawa binaan ayat dalam bahasa Melayu sederhana atau mudah kerana peraturannya sedikit dan setiap golongan perkataan mempunyai tugasnya masing-masing. Semasa pembinaan ayat tidak berlaku perubahan perkataan (pada Kata Perbuatan), tidak ada perubahan perlambangan (huruf) untuk jantina mahupun bilangan. Beliau memberi kesimpulan bahawa nahu bahasa Melayu tidak serupa dengan nahu bahasa Latin.

Marsden juga menyedari bahawa ada perbezaan di antara bahasa lisan dengan bahasa bertulis. Banyak perkataan yang tidak disebut (digugurkan) pada bahasa lisan tetapi maknanya tidak berubah. Katanya hal ini sangat ketara apabila orang Melayu menjawab soalan yang biasanya dijawab seringkas mungkin.

Ciri yang umum dalam Ayat Penyata bahasa Melayu menurut Marsden ialah Nama merupakan Subjek kepada Perbuatan yang kedudukannya di hadapan. Perbuatan biasanya diikuti oleh Nama (Objek) atau perkataan lain yang menerangkan Perbuatan atau Nama. Bagi Ayat Perintah pula Perbuatan mendahului Nama atau Ganti Nama. Dalam membina ayat, pengguguran perkataan tertentu boleh berlaku tanpa menjejaskan makna ayat

tersebut.

Walaupun Marsden mengakui bahawa nahu bahasa Melayu tidak serupa dengan nahu bahasa Latin, namun beliau tidak dapat melepaskan nahu bahasa Inggeris dalam mengkaji bahasa Melayu.

Pada tahun 1852 M, buku John Crawfurd yang berjudul A grammar and dictionary of the Malay

language diterbitkan. Judul ini terdiri daripada empat buku. Buku pertama, iaitu jilid 1 pula terdiri daripada dua

buku, dan jilid 2 juga terdiri daripada dua buku. Jilid 1 buku pertama mengungkapkan sejarah bahasa Melayu. Diperlihatkan juga perbandingan perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Jawa. Beberapa perkataan tersebut ialah:

Bahasa Melayu Bahasa Jawa kasih asih gargaji garaji kapak kampak karbau kebo siku sikut lalat lalar padi pari pusat pusar cubit juwit makan mangan

Di samping itu diperlihatkan juga perbandingan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Lampung, bahasa Melayu dengan bahasa Sunda, bahasa Melayu dengan bahasa Madura, bahasa Melayu dengan bahasa Bali, bahasa Melayu dengan bahasa Bugis, dan juga dengan beberapa bahasa di Indonesia Timur seperti bahasa di Pulau Timor, Pulau Roti, dan Pulau Sawu.

Perbandingan perkataan tersebut juga beliau lakukan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Tagalog, Bisaya, Campa, Formosa, Maori, Tahiti, Caroline, Guham, dan beberapa bahasa lain di Lautan Pasifik hingga bahasa Malagasi di Pulau Madagaskar. Perbandingan ini dimaksudkan oleh Crawfurd betapa banyaknya persamaan perkataan di antara bahasa Melayu dengan bahasa yang terdapat di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Di dalam buku ini juga diperlihatkan beberapa bentuk aksara beberapa bahasa seperti Batak, Rejang, Lampung, Bugis, dan Tagalog.

Dalam Jilid 1 bahagian kedua pula khusus membincangkan nahu yang dimulainya dengan abjad Jawi dan cara penyebutan perkataan seperti yang dihuraikan oleh Marsden. Penggolongan perkataan juga tidak jauh berbeza dengan Marsden, iaitu Nama, Adjektif, Ganti Nama, Perbuatan, dan Pengulangan. Perbincangan binaan ayatnya juga tidak jauh berbeza dengan Marsden.

Jilid 2 bahagian pertama merupakan kamus bahasa Inggeris - bahasa Melayu manakala jilid 2 bahagian kedua merupakan kamus bahasa Melayu - bahasa Inggeris. Di dalam kamus bahasa Melayu - bahasa Inggeris ini belum ditemui senarai perkataan yang bermula dengan Q dan V. Abjad X pula digunakan bagi perkataan yang bermula dengan kh, seperti xas, xabar, xairat, xalifah, xalwat, dan lain-lain. Ini bermakna abjad X yang sekarang ini belum digunakan. Beberapa perkataan dinyatakan asalnya, misalnya daripada bahasa Arab (A), Jawa (J), Sanskrit (S), Tamil (T), Portugis (POR), dan lain-lain.

Pada tahun 1895 M, R.J. Wilkinson menyusun kamus Inggeris - Melayu. Menurut Harun Aminurrashid kamus ini sangat berguna dan sangat mendalam penyiasatan bahasa Melayunya. Tidak lama selepas itu, Wilkinson menyusun kamus Jawi - Melayu - Inggeris yang diterbitkan pada tahun 1902 M. Wilkinson bertugas sebagai nazir sekolah di Jabatan Pelajaran di Negeri-negeri Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan). Beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Ejaan. Sejak itu terkenallah Ejaan Wilkinson, iaitu ejaan yang terdapat di dalam kamusnya tersebut.

Kamus ini dapat dianggap unik kerana abjadnya mengikut abjad Jawi. Oleh yang demikian, di bawah kata masukan A, terdapat juga U, E, I, dan O. Ini berlaku kerana alif ( £ ) mewakili semua vokal. Setelah kata masukan alif, ia diikuti oleh B ( [ ), T ( \ ), TH ( ] ), J ( Ð ), C ( c ), H ( a ), KH ( b ), D ( d ), DZ ( e ), R ( f ), S ( i ), SH ( j ), S ( k ), DL ( l ),T ( m ), TL ( n ), 'A ( o ), GH ( p ), NG ( p ), F ( q ), P ( s ), K ( r ), K ( u ), G ( u ) , L ( v ), M ( w ), N ( x ), W ( z ), H ( y ), Y ( å ), NY ( ] ).

Sebenarnya, tidaklah susah kerana kamus ini menyediakan indeks menurut abjad yang kita kenali sekarang ini. Bahagian akhir kamus ini pula menyediakan nama burung, ular, dan pokok berserta nama saintifiknya dalam bahasa Latin.

Sebenarnya masih ada beberapa buah buku nahu dan kamus bahasa Melayu yang ditulis oleh ahli bahasa yang lain, tetapi kebanyakannya telah menjangkau abad ke-20. Pada masa ini, beberapa ahli bahasa tempatan (Melayu) telah mulai menulis kamus dan nahu bahasa Melayu.

Dalam dokumen Asal Usul Bahasa Melayu (Halaman 43-47)

Dokumen terkait