• Tidak ada hasil yang ditemukan

PENULIS TEMPATAN

Dalam dokumen Asal Usul Bahasa Melayu (Halaman 47-53)

Sebuah kamus yang disusun oleh Syed Mahmud bin Syed Abdul Kadir al-Hindi telah diterbitkan pada tahun 1894 M. Kamus ini berjudul Kamus Mahmudiyyah dan diulang cetak pada tahun 1925 M di Kota Bharu, Kelantan. Di samping menyusun kamus, Syed Mahmud juga menulis buku ilmu pengetahuan. Kamus Arab - Melayu ditulis pula oleh Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi yang berjudul Kamus Idris al-Marbawi atau lebih dikenali dengan Kamus Marbawi dicetak pada tahun 1412 H (1933 M). Kamus ini terdiri daripada 18,000 perkataan Arab dengan pengertian bahasa Melayu dan 700 perkataan disertai gambar.

Sedikit lebih awal daripada usaha Syed Mahmud ini ialah karya Raja Ali Haji (atau nama selengkapnya ialah Raja Haji Ali ibni Raja Haji Ahmad), iaitu buku yang berjudul Bustanulkatibin (Petunjuk-petunjuk bahasa Melayu) yang diterbitkan pada tahun 1857 M dan Kitab pengetahuan bahasa pada tahun 1858 M. Kedua-dua buku ini saling melengkapi dan Harimurti Kridalaksana telah membincangkan kedua-dua buku ini sekaligus di dalam makalahnya "Bustanulkatibin dan Kitab pengetahuan bahasa- sumbangan Raja Ali Haji dalam ilmu bahasa Melayu" (1983 M).

Harimurti Kridalaksana antara lain mengatakan "Bidang-bidang ilmu bahasa Melayu yang digarap oleh Raja Ali Haji ialah:

1. Tata ejaan yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 1 sampai fasal 10.

2. Pembahagian kelas kata yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 11 sampai 14, dan Kitab pengetahuan bahasa halaman 2 sampai halaman 21.

3. Analisis kalimat yang dimuat di dalam Bustanulkatibin fasal 15 sampai 31, dan Kitab pengetahuan bahasa halaman 22 sampai halaman 32.

4. Leksikografi yang dimuat di dalam Kitab pengetahuan bahasa mulai bab kedua (halaman 50 para ketiga)". Apabila memberi takrifan Nama, Raja Ali Haji mengatakan "Nama yaitu tiap-tiap barang yang menunjukkan maknanya pada dirinya, tiada berserta dengan masa yang tiga, yakni masa yang telah lalu dan masa lagi yang akan datang dan masa hal sekarang ini".

Jika dihalusi takrifan di atas, ia bukan sahaja menyatakan bagaimanakah menentukan sesuatu perkataan tersebut sebagai Nama tetapi juga golongan lain, iaitu Perbuatan dan Sifat. Ujian tersebut dapat diperlihatkan seperti yang berikut ini:

* sudah Ali * akan budak itu * sedang pokok

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Kelompok kata di atas boleh dikatakan tidak berterima, oleh yang demikian perkataan Ali, budak itu, dan pokok ialah Nama. Nama tidak boleh didahului oleh (tiada berserta dengan) masa yang tiga. Perhatikan pula contoh yang berikut ini:

sudah duduk sudah tinggi akan berlari akan putih sedang tidur sedang merah

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Kelompok kata ini berterima. Oleh yang demikian, perkataan duduk, berlari, tidur, tinggi, putih, dan merah ialah bukan Nama. Yang boleh didahului oleh tiga masa ini jika bukan Perbuatan, ia mungkin Sifat. Memasukkan

Perbuatan dan Sifat ke dalam satu golongan yang sama sebenarnya telah dirintis oleh Raja Ali Haji kerana di dalam buku ini beliau menyamakan golongan perkataan bagi kaya, miskin, tidur, bersuka-suka, berdiri, berani, makan, benar.

Raja Ali Haji juga menekankan penggunaan Kata Sendi bagi Kelompok Kata Sendi Namaan, seperti: dengan si Zaid

daripada air laut pada kitab demi Allah bagi si Zaid di atas loteng di dalam pundi-pundi seperti si Umar

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan).

Contoh di atas memperlihatkan bahawa ada golongan Nama yang mesti didahului oleh golongan Kata Sendi Nama, seperti daripada, pada, demi, bagi, di, seperti.

Menurut Raja Ali Haji, ayat terdiri daripada "... mubtada yakni permulaan perkataan dan khabar bersandar daripada permulaan itu".

Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munshi menulis buku Kitab pemimpin Johor sejak tahun 1871 M dan diterbitkan pada tahun 1978 M. Menurut beliau bahasa itu ialah bunyi percakapan yang terbit daripada fikiran dan hati yang dijelmakan melalui suara atau bunyi bahasa.

Buku ini banyak membincangkan tentang bunyi bahasa. Sebagai contoh kita lihat bagaimana Muhammad Ibrahim memberi penjelasan tentang bunyi v. Katanya "Membunyikan dia hendaklah kenakan gigi-gigi di atas pada sesama tengah bibir yang di bawah dan renggangkan bibir yang di atas itu lalu dibunyikan seperti hendak menyebut bunyi b tetapi biarlah berangin keluarnya di antara bibir di atas dan bibir di bawah serta gigi seperti syarat yang tersebut. Berguna dalam bahasa Inggeris dalam perkataan-perkataan seperti di bawah ini dan sebagainya, misalnya: Victoria, November, Gavnor."

Seperti juga ayahnya, iaitu Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Muhammad Ibrahim juga seorang pengkritik sosial yang berterus terang. Dalam Fasal yang Kedua Puluh Satu bukunya tersebut, Muhammad Ibrahim mengatakan: "Adapun tabiat lidah Melayu yang tiada berpelajaran itu selalu memendekkan sebutan sesuatu perkataan, hingga orang-orang yang berpelajaran pun tertarik kepada sebutan yang salah itu sebab telah menjadi biasa disebut dalam sebutan sesuatu tempat atau kampung atau negeri itu".

Satu hal yang menarik di dalam buku ini ialah perbincangan Muhammad Ibrahim tentang ibu perkataan. Menurut beliau ibu perkataan ini berkuasa memberanakkan beberapa perkataan lain sehingga menjadi ayat dan juga perenggan. Karangan dianggap tidak sempurna jika tidak ada ibu perkataan dan penggunaan ibu perkataan yang tidak tepat akan merosakkan karangan tersebut.

Yang dimaksudkan oleh Muhammad Ibrahim ibu perkataan tersebut di antara lain ialah: istimewa, adapun, arakian, alkisah, bermula, bahawasanya, bahawa, hatta, dan, dewasa, sebermula, sebagai lagi, sebagai pula, sekali persetua, seyogiayanya, syahdan, kalakian, maka.

Selang beberapa tahun kemudian barulah muncul karya Muhammad Syah bin Yusof yang berjudul Sanjuh suratan. Buku ini diterbitkan pada tahun 1922 M di Maktab Melayu Melaka. Buku ini terdiri daripada tiga bab, iaitu pembinaan ayat, pembinaan kata, dan menulis karangan pendek.

Muhammad Syah memberi takrifan ayat ialah "susunan daripada beberapa perkataan yang mengandungi makna". Beliau juga telah membuat golongan perkataan yang diberinya istilah: Nama, Keadaan Nama (Sifat), dan Perbuatan. Setiap golongan ini diperincinya satu persatu. Menarik untuk disebutkan bahawa takrifan Perbuatan yang dikemukakan oleh Muhammad Syah ini ada hubungannya dengan takrifan Raja Ali Haji, yakni: "Maka tiap-tiap perbuatan itu dihukum oleh masa yang ada sekarang, masa akan datang dan masa yang telah lalu".

Muhammad Syah juga telah menyatakan bahawa tiap-tiap menentukan bilangan yang banyak atau berjenis-jenis perlulah didahului oleh perkataan sekalian atau segala. Dalam membina ayat sederhana beliau berpendapat perlu ada Nama dan Perbuatan. Kedua-dua bahagian ini boleh ditambah dengan beberapa bahagian lagi sehingga

menjadi: Nama - Keadaan - Masa - Perbuatan - Nama Kena Buat - Keadaan Kena Buat. Contohnya ialah: Kucing - merah (itu) - sudah - menangkap - tikus - putih.

Muhammad Syah juga telah memperkenalkan Ayat Songsang di dalam bukunya ini dengan keterangan "Adapun ayat-ayat songsang itu ialah menyalahi yang biasa, iaitu didahulukan "yang kena buat" daripada "yang berbuat" tetapi mahulah didahulukan penambah "di" pada Perbuatan dan perkataan "oleh" pada yang berbuatnya". Contoh yang diberikan ialah: Qasim baca surat disongsangkan menjadi Surat dibaca oleh Qasim.

Dalam bahagian Pembinaan Kata beliau membahagikan imbuhan pada dua bentuk, iaitu tambahan di pangkal perkataan, iaitu ber-, ter-, di-, se-, pe-, ke-, me- dan tambahan di hujung perkataan, iaitu -an, -i, -lah.

Bagaimanapun, di bahagian ini beliau tambahkan juga dengan Penggandaan. Perubahan me- menjadi mem-, meng-, men-, meny- menurut pengarang ini "supaya ringan pada lidah menyebutnya".

Pada bahagian mengarang pula, Muhammad Syah memberikan lima kaedah agar sesuatu karangan dianggap lengkap, iaitu (1) Asas, (2) Keadaan, (3) Perkara-perkara Berguna, (4) Kegunaan, dan (5) Pengakuan Tamat. Setiap bahagian ini diberi huraian yang cukup dan selepasnya disediakan contoh karangan pendek.

Kitab punca bahasa pula ditulis oleh Abdullah bin Talib dan diterbitkan di Terengganu pada tahun 1927 M. Beliau pula memberi takrifan terhadap "perkataan" sebagai sebutan manusia yang mengandungi makna yang berfaedah. Untuk perkataan ini beliau menggolongkan pada sembilan golongan, iaitu Nama, Ganti Nama, Sifat, Perbuatan, Kelakuan, Faham Kata, Penyambung Kata, Pengecuali, dan Seruan. Beberapa golongan ini sama dengan perbincangan ahli bahasa terdahulu. Yang baru di sini ialah: Kelakuan ialah perkataan yang

menunjukkan gaya atau rupa terhadap perbuatan, seperti bagaimana, di mana, bila, segera, lambat, kuat,

perlahan, lama. Faham Kata ialah perkataan yang menolong kepada perkataan yang lain, seperti telah, akan,

sedang, bagi, pada, atas, bawah. Pengecuali ialah perkataan yang menolak atau mengeluarkan sesuatu supaya menentukan kadar yang dimaksud, seperti melainkan, kecuali, namun, tidak, seumpamanya. Seruan pula beliau takrifkan sebagai sebutan yang digunakan untuk isyarat, seperti ya, hai, wah, oh, aih, yah, nah.

Abdullah bin Talib melihat pembinaan ayat daripada sudut tugas perkataan. Katanya sesuatu ayat atau percakapan itu sekurang-kurangnya mesti ada: Yang Berbuat - Perbuatan - Yang Diperbuat. Contoh yang dikemukakan ialah: Muhammad - gali - telaga.

Bagi pengimbuhan, Abdullah bin Talib mengemukakan bentuk awalan yang lebih banyak kerana menurut beliau awalannya memang demikian asalnya. Bukan kerana susah menyebutnya. Huruf tambahan yang ditambah pada awal perkataan ialah: ber-, ter-, per-, pen-, pem-, peng-, pe-, se-, di-, me-, men-, meng-, mem- dan huruf

tambahan pada awal dan akhir perkataan ialah: ber-...-an, ter-...-lah, di-...-i, pe-...-an, per-...-kan, pe-...-i,

pen-...-kah, peng-...-an, me-...-i, meng-...-i, men-...-kan, ke-...-an.

Pada masa yang sama, iaitu pada tahun 1927 M, di Singapura diterbitkan pula sebuah buku berjudul Ilmu bahasa Melayu: penggal I. Pada mulanya buku ini bertajuk Pelita mengarang yang ditulis oleh O.T. Dussek dan Mohd. Hasyim bin Haji Talib. Buku ini telah diberi beberapa catatan tambahan oleh C.O. Bliganan (guru pembaca bahasa Melayu di Sekolah Bahasa-bahasa Timur di London) dan menyerahkannya kepada Sidang Pengarang yang terdiri daripada R.O. Winstedt, O.T. Dussek, W.B. Clark, dan Zainal 'Abidin bin Ahmad.

Sidang Pengarang ini bukan sahaja membuat beberapa pindaan tetapi juga menambah bab daripada yang asal. Tujuan buku ini ialah untuk kegunaan guru di sekolah Melayu dan menjadi buku rujukan utama pelajar di Sultan Idris Training College (SITC) (sekarang Maktab Perguruan Sultan Idris), Tanjung Malim. Buku ini juga

dikeluarkan oleh Pejabat Karang-Mengarang SITC.

Buku ini terdiri daripada sepuluh bab, iaitu Bab 1 - Bunyi Suara yang Digambarkan dengan Huruf, Bab 2 - Kenyataan Setengah Huruf-huruf Jawi, Bab 3 - Bunyi-bunyi dalam bahasa Melayu, Bab 4 - Kuasa-kuasa Alif, Ya, Wau, dan Baris, Bab 5 - Membatangkan Huruf-huruf Jadi Bunyi dan Perkataan, Bab 6 - Pati Petua-petua Ejaan Jawi, Bab 7 - Dari Hal Perkataan Berganda, Bab 8 - Huruf-huruf Tambahan (Penambah), Bab 9 - Golongan Perkataan, Bab 10 - Ayat.

Di dalam buku ini dibincangkan Penggandaan sama ada cara pembinaannya mahupun maknanya. Pada bahagian yang memperlihatkan kelainan daripada bentuk dan makna yang umum, disediakan bahagian Ingatan yang maksudnya serupa dengan perbincangan kekecualian. Seandainya ditemui binaan perkataan yang seolah-olah Penggandaan tetapi bukan, ia diberi penjelasan yang khusus. Sebagai contoh ialah: telunjuk, cemerlang, selirat. Di dalam buku ini perbincangan Sisipan belum timbul.

Buku ini juga membincangkan pembinaan kata dengan awalan ber- dan be-. Dikatakan bahawa "Apabila ditambahkan kepada setengah-setengah perkataan asal yang ada di dalamnya bunyi berpadu dengan r, misalnya kerja, serta, terkam, layar, lajar maka ditulis bekerja, beserta, beterkam, belayar, belajar ialah kerana

mengelakkan bunyi yang berat apabila berulang-ulang bunyi yang membunuh r."

Awalan yang asal untuk meng- pula ialah me- sehingga disediakan hukum atau rumus untuk binaannya. Sebagai contoh dinyatakan bahawa "Jika perkataan yang berawalkan salah satu daripada huruf r, ng, l, m, n, w, ny maka me- sahaja. Jika perkataan asas itu berawalkan salah satu daripada huruf-huruf a, h, kh, gh, g, h maka hendaklah ditambahkan dengan meng-".

Penulis buku ini berpendapat bahawa perkataan makan dan minum tidak seharusnya ditambah awalan me- menjadi memakan dan meminum, seperti pada contoh: Kita makan nasi bukan Kita memakan nasi; Dia minum air bukan Dia meminum air. Hujahnya ialah "Maka tentang perkataan minum itu pula me itu telah sedia suatu huruf tambahan jua kerana asalnya perkataan itu inum dan me itu ialah um."

Penggunaan Kata Sendi Nama di dan ke ternyata diperhatikan dengan saksama di dalam buku ini. Huraian yang diberikan ialah "Akan tetapi pada beberapa perkataan yang tertentu di dan ke itu dipakai bersamaan keduanya, iaitu menurut apa makna yang dimaksudkan. Jika dimaksudkan makna bergerak atau tempat pergi pakailah ke dan jika dimaksudkan tempat tetap atau sudah sampai di tempat itu pakailah di". Contoh yang diberikan ialah: singgah ke Melaka singgah di Melaka

tiba ke Singapura tiba di Singapura berjalan ke darat berjalan di darat

(Huruf tebal ialah perkataan yang dimaksudkan)

Berkenaan dengan Pembinaan Ayat pula, buku ini menjelaskan bahawa ayat ialah "suatu susunan atau ikatan yang sempurna daripada beberapa perkataan keadaannya memberi faham dengan sepenuh-penuh faham". Ayat pula ada tiga jenisnya, iaitu Ayat Selapis, Ayat Berlapis, dan Ayat Bersilang. Yang dimaksudkan dengan Ayat Selapis, "iaitu yang ada satu perbuatannya dan satu pembuatnya". Ayat Berlapis ialah "susunan perkataan yang ada di dalamnya dua ayat itulah, yakni dua perbuatan dan dua pembuatnya". Ayat Bersilang pula, "iaitu seperti ayat berlapis juga tetapi ayat-ayat yang berhimpun itu tidak sama pangkatnya. Hanya satu sahaja yang boleh hidup sendiri; yang lain-lain itu bergantung nyawa kepada yang satu itulah".

Pada tahun 1938 M muncul pula sebuah buku yang berjudul Mengajar rahsia dalam nahu bahasa Jawi hasil karya Yunus bin Saldin. Isi buku ini agak berbeza dengan buku terdahulu. Bahagian awal merupakan teori yang terdiri daripada: Perkataan yang Asal, Perkataan yang Lengkap, Penambahan, Hitungan, dan Menunjuk Pihak. Setiap bahagian ini diberi huraian singkat dan kadangkala hanya ada contoh sahaja.

Bahagian kedua ialah beberapa buah karangan pendek. Dengan persembahan seperti ini kita yakin buku ini digunakan sebagai rujukan guru. Berdasarkan karangan yang disediakan, guru akan menjelaskan dan memberi huraian tentang bidang nahu yang dibincangkan pada bahagian pertama. Di sini pengajaran nahu lebih ditekankan pada penerapannya, bukan pada teorinya.

Satu tahun kemudian, iaitu pada tahun 1939 M, Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman menghasilkan buku Penokok dan penambah dalam bahasa Melayu. Inilah buku pertama yang khusus membincangkan nahu bahasa Melayu tentang Pembinaan Kata. Menurut Haji Muhammad Said, "Adalah tersebut dalam jalan bahasa Melayu, bahasa cakapan itu dijadikan daripada bunyi-bunyi dan bahasa tulisan itu dijadikan daripada huruf-huruf. Bunyi-bunyi atau huruf-huruf dirangkaikan jadi perkataan".

Yang menarik di dalam buku ini ialah istilah yang digunakan agak berbeza dengan istilah yang digunakan oleh penulis terdahulu seperti perkataan umbi untuk Kata Dasar, pendepan untuk awalan, pandin (penambah kemudian) untuk akhiran, umbutan untuk Kata Terbitan, penokok untuk satu atau lebih pendepan, penambah untuk satu atau lebih pandin, kandin untuk apitan.

Di dalam buku ini dinyatakan bahawa imbuhan apitan tidaklah hadir sekaligus. Setiap imbuhan hadir secara berperingkat dari dalam ke luar. Sebagai contoh perhatikan binaan perkataan tak + di + per + harga + i + kan + nya + lah, iaitu 3 + 2 + 1 + umbi + 1 + 2 + 3 + 4.

Buku kedua Haji Muhammad Said ialah Jalan basa Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1953 M. Buku ini khusus membincangkan tentang Pembinaan Ayat. Dengan demikian, dari penulis ini lahir buku Pembinaan Kata dan Pembinaan Ayat. Ada beberapa hal penting yang dikemukakan dalam Pengenalan buku

ini.

Keinginan untuk menulis nahu Melayu terdorong oleh pengetahuan penulis tentang nahu bahasa Inggeris dan bahasa Arab sehingga timbul fikirannya "... bagaimana lain-lain bahasa boleh membuat nahunya sendiri, mengapa bahasa Melayu tak boleh berbuat demikian".

Penulis ini menganggap bahawa jalan bahasa Melayu tidak serupa dengan bahasa Arab. Oleh yang demikian, beliau mendakwa "... apa jadi Melayunya itu melainkan dengan seperihal mengikut liuk dan lentuk Arab tatkala itu hilang semangat dan kacak Melayu terkecuali orang yang telah mahir Melayunya".

Nahu bahasa Inggeris juga tidak sama dengan nahu bahasa Melayu. Jadi "Tidak boleh hanya mengikut atau tulis terjemah kelak bukannya jadi baik kepada bahasa Melayu, tetapi semata-mata merosakkan dan jadilah bahasa Melayu keinggerisan ialah kacukan yang sangat dihelak".

Oleh yang demikian, beliau berpendapat biarlah kedua-dua nahu bahasa Arab dan nahu bahasa Inggeris itu hanya sebagai kias sahaja. Mana yang baik dan sesuai diambil dan mana yang tidak sesuai ditinggalkan. Perlu juga dicatatkan di sini bahagian akhir Pengenalan tersebut.

Haji Muhammad Said menyampaikan "... permohonan dan permintaan kepada sekalian pembaca yang hemah, janganlah gemar mencacatkan sahaja, tetapi patutlah lebih gemar pada membantu memolekkan sesuatu benda yang demikian menjadikan kita semuanya beroleh kemajuan yang segera adanya".

Bahagian awal isi buku ini patut juga dikemukakan kerana ia merupakan takrifan terhadap bahasa dan ayat. "Adalah fikiran seseorang itu dizahirkan dengan bahasa cakapan atau bahasa tulisan. Bahasa cakapan itu dijadikan daripada bunyi-bunyi dan bahasa tulisan itu dijadikan daripada huruf. Bunyi-bunyi atau huruf-huruf itu dirangkaikan jadi perkataan. Dua atau lebih perkataan yang memberi cukup makna jadi satu perenggan kata atau ayat. Jalan bahasa itu menunjukkan bagaimana bercakap dan menulis dengan betul".

Beliau menggolongkan perkataan pada sembilan golongan, iaitu Nama, Ganti Nama, Perbuatan, Rupa Nama (Sifat), Rupa Kata (Keadaan Perbuatan), Sendi Nama, Sendi Kata (Kata Penghubung), Seruan, Ibu Kata (Kata Permulaan Ayat). Setiap golongan perkataan ini beliau perincikan lagi dengan contohnya sekali.

Untuk melahirkan sesuatu ayat, golongan perkataan di atas diguguskan pada dua gugusan besar, iaitu Benda atau Perkara (orang atau benda yang dicakapkan) dan Berita (hal atau butir yang dicakapkan). Pengisi Benda ialah Nama atau Ganti Nama dan pengisi Berita ialah Perbuatan. Perkataan yang menerangkan ialah Rupa Nama dan Rupa Kata. Perkataan yang menghubungkan ialah Sendi Nama dan Sendi Kata. Perkataan yang hadir sendiri ialah Seruan dan Ibu Kata.

Berkenaan dengan Bilangan dalam bahasa Melayu Haji Muhammad Said berpendapat bahawa "... dalam bahasa Melayu hukum ini (penggandaan untuk jamak) tiada kuat kerana boleh juga digunakan rupa tunggal itu bagi banyak, yakni jika tiada ditambah angka dua (tanda penggandaan) itu bermakna banyak juga dengan sebab mengikut saksi percakapan dalam perenggan kata itu Maka ramailah orang datang ke situ tidak termustahak dikatakan Maka ramailah (orang-orang) datang ke situ." Di dalam buku ini juga telah diperkenalkan istilah Perbuatan Melampau untuk Kata Kerja Transitif, Perbuatan tak Melampau untuk Kata Kerja tak Transitif, Pelengkap untuk Objek Tepat, Ketujuan untuk Objek Sipi.

Bahagian akhir buku ini dilampirkan petikan Hikayat Abdullah II, iaitu novel karya Abdullah bin Abdul Kadir Munshi. Petikan ini dimaksudkan sebagai menguji kefahaman pelajar atau pembaca tentang jalan bahasa Melayu yang telah dihuraikan terdahulu. Perlu juga dinyatakan bahawa penulis buku ini mendapat nasihat daripada Zainal 'Abidin bin Ahmad bagi mempereloknya dan beliau juga telah menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa Inggeris.

Hingga permulaan abad ke-19, kamus bahasa Melayu telah disusun dalam enam bahasa, iaitu Belanda, Latin, Inggeris, Perancis, Arab, dan bahasa Melayu manakala nahu bahasa Melayu pula telah ditulis dalam bahasa Belanda, Inggeris, dan Melayu. Jika pada mulanya bahasa Melayu ditulis oleh ahli pelayaran dan perniagaan tetapi kemudian ia dikaji oleh sarjana bahasa Melayu sama ada oleh bukan orang Melayu mahupun oleh orang Melayu sendiri.

5.4 KESIMPULAN

Daripada huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sudah sejak lama memiliki tradisi nahunya. Oleh kerana kajian awal bahasa Melayu dilakukan oleh bukan penutur ibunda bahasa Melayu

dan bahasa Melayu itu sendiri telah dipengaruhi oleh susuk bahasa Arab dan bahasa Inggeris, maka penyusunan nahunya juga tidak terlepas daripada pengaruh kedua-dua bahasa ini.

Walau bagaimanapun, beberapa orang penulis tempatan telah berusaha menulis nahu yang lebih bersifat Melayu, namun kerana rujukan awal dan pengetahuan nahu yang diterima berasal daripada bahasa asing, maka pengaruh tersebut masih tidak dapat dilepaskan. Sementelahan pula, hampir semua buku nahu bertitik tolak daripada falsafah Yunani dan dikembangkan oleh penulis nahu bahasa Inggeris.

Marsden, W. A grammar of the Malayan language, 1812, m.s. 38-42.

Ismail Hussein. Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita, 1984, m.s. 41-42. Marsden, W. op. cit., , m.s. 32.

Crawfurd, J. A grammar and dictionary of the Malay language, 1852. Wilkinson, R.J. Kamus Jawi - Melayu - Inggeris, 1903.

Harun Aminurrashid. Kajian sejarah perkembangan bahasa Melayu, 1966, m.s. 92. Abdullah Hassan. 30 tahun perancangan bahasa Malaysia, 1987, m.s. 56.

Skinner, C. Prosa Melayu baharu, 1959, m.s. 21-22.

Al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf. Kamus Idris al-Marbawi: Arab - Melayu, 1933.

Kridalaksana, Harimurti. Bustanulkatibin dan Kitab pengetahuan bahasa - sumbangan Raja Ali Haji dalam

ilmu bahasa Melayu. Kertas kerja dibentangkan pada Hari Sastera '83, 10-13 Dis. 1983. Johor Bahru.

Raja Ali Haji. Kitab pengetahuan bahasa, 1987, m.s. 2.

Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munshi. Kitab pemimpin Johor, 1878. Muhammad Syah bin Yusuf. Sanjuh suratan, 1922.

Abdullah bin Talib. Kitab punca bahasa, 1927.

Dalam dokumen Asal Usul Bahasa Melayu (Halaman 47-53)

Dokumen terkait