Nasikh Al-Hadith Wa Mansukhuh
3.3 Fasal Ketiga : Khabar Mardud (Tertolak)
3.3.2 Perbahasan Kedua: Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad
Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.
Bahagian-Bahagian Gugur
Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Gugur yang jelas
Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapati dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.
Ulama hadis telah memperkenalkan empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.
1. al-Mu`allaq 2. al-Mursal 3. al-Mu`dhal 4. al-Munqati`
Kedua: Gugur tersembunyi
Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad.
Ia mempunyai dua nama iaitu: 1. al-Mudallas
Al-Mu`Allaq
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja `allaqa al-syai‟ iaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu`allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.
Bentuknya:
1. Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda… 2. Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi`in.
Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal Bab Ma Yuzkar fi al-Fakhz: نامثع لخد نٌح هٌتبكر ملسو هٌلع الله ىلص ًبنلا ىطغ :ىسوم وبأ لاقو.
“Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika Uthman masuk.” Hadis ini adalah hadis mu`allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja iaitu Abu Musa al-Asy`ari.
Hukum Hadis Mu`allaq
Hadis mu`allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis iaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.
Hukum Hadis-Hadis Mu`allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim
Hukum ini iaitu hadis mu`allaq tertolak hanya kepada hadis mu`allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu`allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.
1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti „berkata‟, „menyuruh‟ dan „menyebut‟ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti „diriwayatkan daripada‟, „disebutkan‟, „diceritakan‟, „telah diriwayatkan‟, „telah disebutkan‟, maka ia tidak hukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat dhaif) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan kedhaifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.
Al-Mursal
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja arsal iaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi`in.
Bentuknya:
Bentuknya ialah seorang tabi`in – besar atau kecil- berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.
Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahih dalam kitab al-Buyu` (1539).
؛بيسلدا نب ديعس نع ،باهش نبا نع ،ليقع نع ثيللا انثدح .تٌثلدا نب تُجح انثدح .عفار نب دممح تٍثدحو
ةنبازلدا عيب نع ىنه ملسو ويلع للها ىلص للها لوسر نأ
Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi` menceritakan kepadaku bahawa Hujain menceritakan kepadaku bahawa al-Laith menceritakan daripada `Uqail daripada Ibn Syihab daripada Sa`id bin Musayyab bahawa Rasulullah s.a.w. melarang dari al-Muzabanah.
Sa`id bin al-Musayyab adalah tabi`in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w. tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi`in. paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi`in.
Mursal Menurut Fuqaha’ Dan Ulama Usul
Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursal menurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati` tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib.
Hukumnya
Mursal pada asalnya dha`if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul iaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi pearwi yang gugur itu daif.
Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita` (terputus sanad) berbeza dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan jika mereka tidak diketahui.
Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:
1. Dha`if dan mardud, iaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
2. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi`in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
3. Menerima dengan syarat. Iaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Syafi`e dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu. Syarat-syarat tersebut ialah:
i. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi`i yang besar.
ii. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
iii. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
iv. Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut: a) Hadis itu diriwayat melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung).
b) Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
c) Hadis itu bertepatan dengan qaul al-Sahabi (pendapat sahabat) d) Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut makna hadis itu.
Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka hadis itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai banyak jalan.
Mursal al-Sahabi
Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn Abbas, Ibn al-Zubair dan lain-lain.
Hukum Mursal al-Sahabi
Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi`in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi`in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan.
Dikatakan, hukum Mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini dha`if dan tertolak.
Kitab-kitab yang masyhur
1. al-Marasil karangan Abu Daud. 2. al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim.
3. Jami` al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-`Ala‟i.
Al-Mu`Dhal
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja a`dhala iaitu memenatkan. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari sanad dua orang perawi berturut-turut. Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam Ma`rifah `ulum al-Hadith dengan sanadnya kepada al-Qa`nabi
نم فلكي لاو فورعلداب وتوسكو وماعط كولمملل ملسو ويلع للها ىلص للها لوسر لاق لاق ةريرى ابأ نأ وغلب دق ونإ كلام نع
اذى قيطي ام لاإ لمعلا
أطولدا في اذكى كلام نع ولضعأ لضعم
“Daripada Malik bahawa sampai kepadanya bahawa Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hamba yang dimiliki itu berhak mendapat makanannya, pakaiannya secara yang baik. Dia tidak boleh dibebankan dengan kerja melainkan yang mampu dilaksanakannya. Al-Hakim berkata: Hadis ini mu`dhal daripada Malik demikianlah yang diriwayatkannya secara mu`dhal di dalam al-Muwatta‟”
Hadis ini mu`dhal kerana dua orang perawi berturut-turut gugur antara Malik dan Abu Hurairah. Kita telahpun mengetahui bahawa keguguran ini berlaku berdasarkan kepada hadis lain yang diriwayatkan di luar kitab al-Muwatta‟. Sanad itu ialah daripada Malik daripada Muhammad bin `Ajlan daripada bapanya daripada Abu Hurairah.
Hukumnya
Mu`dhal adalah hadis yang dha`if dan keadaan lebih buruk daripada hadis mursal dan munqati` kerana ramainya perawi yang gugur daripada sanad. Hukum ini sepakat di kalangan ulama.
Persamaan Antara Mu`dhal Dan Mu`allaq
Di antara mu`dhal dan mu`allaq terdapat hubungan keumuman dan kekhususan dari satu sudut.
1. Menyerupai mu`alaq dari sudut, apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari permulaan sanadnya. Pada ketika itu, hadis ini dalam masa yang sama mu`dhal dan mu`allaq.
2. Berbeza dalam dua bentuk:
i) Apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari pertengahan sanad maka itu adalah mu`dhal tidak mu`allaq.
ii) Apabila seorang perawi sahaja yang dibuang dari permulaan sanad, maka ia adalah mu`allaq tidak mu`dhal.
Antara Sumber Hadis Mu`dhal
Al-Suyuti menulis: Di antara sumber hadis mu`dhal ialah: 1. Kitab al-Sunan karangan Sa`id bin Mansur.
2. Kitab-kitab Ibn Abi al-Dunya.
Al-Munqati`
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku bagi kata kerja inqata`a iaitu terputus. Dari segi istilah ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun. Contohnya
Iaitu setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau akhirnya atau pertengahannya. Dengan itu, termasuk di dalam takrif ini, mursal, Mua`allaq dan Mu`dhal. Bagaimanapun, ulama mustalih hadis mutakhirin mengkhususkan munqati` dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadis mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama mutaqaddimin. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan: “Munqati` itu lebih banyak digunakan kepada riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi`i daripada sahabat seperti Malik daripada Ibn Umar.
Munqati` Mengikut Ulama Hadis Yang Mutakhir
Iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Seolah-olah munqati` lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad, gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nukhbah dan syarahnya al-Nuzhah.
Kadang-kadang terputus sanad berlaku di satu bahagian pada sanad kadang-kadang berlaku lebih daripada satu seperti dua atau tiga bahagian,
Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq
اىومتيلو نإ ملسو ويلع للها ىلص للها لوسر لاق لاق ةفيذح نع عيثي نب ديز نع قاحسإ بيأ نع يروثلا ركذ لاق قزارلا دبع انث
تُمأ يوقف ركب ابأ
“Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya al-Thauri telah menyebutkan daripada Abu Ishaq daripada Zaid bin Yuthai` daripada Huzaifah secara marfu`: Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.” Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Syarik antara al-Thauri dan Abu Ishaq kerana al-Thauri tidak pernah mendengar hadis daripada Abu Ishaq secara langsung. Sebenarnya beliau mendengar daripada Syarik dan Syarik mendengar daripada Abu Ishaq. Terputus sanad ini tidak sesuai untuk dikatakan sebagai mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Justeru kita mengatakan ia adalah munqati`.
Hukumnya:
Munqati` adalah dhaif dengan sepakat ulama kerana tidak mengetahui kedudukan perawi yang gugur.
Al-Mudallas
Definisi al-Tadlis:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau pencampuranan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan).
Dari segi istilah ia adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.
Pembahagian Tadlis