Al-Mu`An`An Dan Al-Mu’annan
3.3.3 Perbahasan Ketiga : Mardud Dengan Sebab Kecaman Pada Perawi
Yang dimaksudkan dengan kecaman perawi ialah mentajrihkannya dengan kata-kata dan mempertikaikannya dari sudut keadilan dan agamanya serta dari sudut ketepatan, hafalan dan kepekaannya.
Sebab-sebab kecaman pada perawi
Sebab kecaman pada perawi ada sepuluh. Lima daripadanya berkait dengan keadilan manakala lima lagi berkait dengan ketepatan.
Sebab-sebab yang berkait dengan keadilan ialah: 1. Berdusta.
2. Dituduh berdusta 3. Fasiq.
4. Bid`ah.
5. Tidak diketahui (jahalah).
Sebab-sebab yang berkait dengan ketepatan ialah: 1. Kesilapan yang jelek.
2. Buruk hafalan. 3. Kelalaian.
4. Banyak kekeliruan.
5. Percanggahan dengan perawi thiqah.
Penulis akan menyebut satu persatu hadis mardud dengan sebab-sebab di atas mengikut tertib sebab kecaman yang paling kuat.
3.3.3.1 Maudhu’
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah berdusta atas Rasulullah s.a.w. maka hadisnya itu dinamakan hadis maudhu`.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada wadha`a al-syai‟ iaitu merendahkannya. Dinamakan demikian kerana kedudukannya yang rendah.
Menurut istilah pula, pendustaan yang direka, dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.
Kedudukannya
Ia adalah hadis dha`if yang paling jelek dan paling keji. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai satu bahagian yang tersendiri bukan daripada hadis-hadis dha`if.
Hukum meriwayatkannya
Ulama telah sepakat bahawa tidak halal meriwayatkannya bagi sesiapa yang mengetahui kedudukannya dalam apa bentuk sekalipun melainkan jika diterangkan kepalsuannya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
نٌبذاكلا دحأ وهف بذك هنأ يرٌ ثٌدحب ًنع ثدح نم " ملسو هٌلع الله ىلص الله لوسر نع".
“Sesiapa yang menceritakan daripadaku sesuatu hadis yang kelihatan sebagai palsu maka dia adalah salah seorang pendusta.”
Cara pereka-pereka hadis menyampaikan hadis
1. Sama ada pereka iaitu mencipta ucapannya sendiri kemudian meletakkan satu sanad untuknya lalu dia meriwayatkannya.
2. Atau dia mengambil ucapan ahli hikmat atau orang lain lalu meletakkan sanad untuknya.
Bagaimana hadis mudhu` dikenali
Ia dapat dikenali melalui:
1. Pengakuan oleh pereka itu sendiri seperti pengakuan Abu `Ismah Nuh bin Abi Maryam bahawa dia telah mencipta hadis kelebihan setiap surah al-Quran daripada Ibn Abbas.
2. Sesuatu seperti pengakuan seperti pereka itu menceritakan daripada seorang syaikh. Lalu dia ditanya tentang tahun lahirnya lalu dia menyebutkan tahun kewafatan syaikh tersebut terdahulu dari tahun kelahirannya sendiri dan hadis hadis itu hanya diketahui melaluinya sahaja.
3. Bukti pada perawi. Contohnya ialah perawi itu seorang rafidhah dan hadis pula tentang kelebihan ahli bait.
4. Bukti pada riwayat. Seperti hadis itu mempunyai lafaz yang rapuh atau bercanggah dengan pancaindera atau nash al-Quran yang terang.
Faktor pendorong kepada pemalsuan hadis dan golongan-golongan yang terlibat
1. Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan dari melakukan kemungkaran. Pereka-pereka ini adalah kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada zuhud dan kesolehan. Mereka adalah perawi yang paling jahat kerana orang ramai menerima hadis-hadis rekaan mereka kerana percayakan mereka. Di antara mereka ini ialah Maisarah bin Abd Rabbih. Ibn Hibban telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Dhu`fa‟ daripada Ibn Mahdi katanya: “Saya bertanya kepada Maisarah bin Abd Rabbih: Dari mana anda bawakan hadis-hadis ini, `siapa yang membaca ini maka pahalanya begini‟? Dia menjawab: Saya menciptakannya supaya orang ramai berminat”.
2. Untuk menyokong fahaman, terutamanya fahaman kumpulan-kumpulan politik setelah berlaku fitnah dan kemunculan kumpulan politik seperti Khawarij dan Syi`ah. Setiap kumpulan menciptakan hadis masing-masing bagi menyokong fahaman mereka seperti hadis: Ali sebaik-baik manusia, sesiapa yang meraguinya maka kafir. 3. Serangan terhadap Islam. Golongan ini ialah ahli zindiq yang tidak mampu
menghancurkan Islam secara terbuka lalu mereka memilih cara yang keji ini. Mereka telah mencipta sejumlah hadis dengan tujuan memalsukan Islam dan menyerangnya. Di antara mereka ini ialah Muhammad bin Sa`id al-Syami yang telah disalib kerana kezindikannya. Dia telah meriwayatkan daripada Humaid daripada Anas secara marfu`: “Saya adalah penutup sekelian nabi, tidak ada nabi selepasku kecuali siapa yang Allah kehendaki.” Sesungguhnya para ulama hadis telah bangkit menjelaskan kedudukan hadis-hadis maudhu`. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat-Nya.
4. Mendampingi pemerintah. Sebahagian mereka yang lemah iman mendekatkan diri dengan para pemerintah dengan mencipta hadis sesuai dengan penyelewengan yang ada pada pemerintah seperti kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha`I al-Kufi dengan al-Mahdi ketika dia menemuinya sedang bermain-main dengan burung merpati. Lalu secara langsung dia membawakan dengan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w. sebagai bersabda: “Tidak ada perlumbaan kecuali pada pedang, kuda, unta atau burung. Dia telah menambahkan burung kerana al-Mahdi. Mengetahui hal ini, beliau memerintah supaya disembelih merpati itu dan berkata: “Sayalah yang menyebabkan dia berbuat demikian.”
5. Mencari rezeki. Seperti sesetengah tukang cerita yang mencari wang dengan menyampaikan hadis kepada orang ramai. Mereka membawakan cerita-cerita yang menghiburkan dan pelik sehingga orang ramai memberi perhatian dan menghulurkan kepada mereka seperti Abu Sa`id al-Mada‟ini.
6. Mencari kemasyhuran. Ini dengan cara mengemukakan hadis-hadis pelik yang tidak ada pada syaikh-syaikh hadis. Mereka memalingkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil lalu menarik minat orang lain mendengarnya seperti Abu Dihyah dan Hammad al-Nasibi.
Fahaman al-Karamiyyah dalam masalah mereka hadis
Sekumpulan ahli bid`ah yang dikenali sebagai al-Karamiyyah mendakwa harus mereka hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman. Mereka beralasan dengan lafaz tambahan yang diriwayatkan dalam sesetengah jalan hadis: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku” iaitu tambahan “untuk menyesatkan manusia”. Tetapi tambahan ini tidak sabit di sisi ulama hadis yang hafiz.
Setengah mereka berkata pula: “Kami berdusta untuk kepentingan baginda bukan untuk kemudaratan baginda.” Dalil ini sangat lemah sekali kerana syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tidak memerlukan para pendusta untuk melariskannya.
Dakwaan ini bercanggah dengan ijmak umat Islam sehingga Imam Muhammad al-Juwaini menghukumkan kufurnya pereka hadis.
Kesilapan sesetengah ahli tafsir dalam menyebutkan hadis-hadis maudhu`
Sesetengah ahli tafsir melakukan kesilapan dalam menyebutkan hadis-hadis maudhu` di dalam kitab-kitab tafsir mereka tanpa menjelaskan kepalsuannya terutama hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka`ab tentang kelebihan al-Quran surah demi surah. Antara ahli tafsir itu ialah:
1. Al-Tha`labi. 2. Al-Wahidi. 3. Al-Zamakhsyari. 4. Al-Baidhawi. 5. Al-Syaukani.
Kitab-kitab yang masyhur tentang hadis-hadis maudhu`
Kitab al-Maudhu`at karangan Ibn al-Jauzi. Ini merupakan kitab paling awal dalam masalah ini tetapi beliau seorang bermudah dalam menghukumkan sesuatu hadis sebagai maudhu`. Oleh kerana itu, ulama mengkritik dan memberi komentar terhadapnya.
1. Al-La‟ali al-Masnu`ah Fi al-Ahadith al-Maudhu`ah karangan al-Suyuti. Ini merupakan ringkasan kepada kitab Ibn al-Jauzi dan komentar terhadapnya dan tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibn al-Jauzi.
2. Tanzih al-Syari`ah al-Marfu`ah `an al-Ahadith al-Syani`ah al-Maudhu`ah karangan Ibn `Arraq al-Kanani. Kitab ini adalah ringkasan kepada kedua kitab di atas dan merupakan kitab yang padat, kemas dan berguna.
3.3.3.2 Al-Matruk
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah tuduhan berdusta maka hadisnya itu dinamakan hadis matruk.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-tark iaitu meninggalkan. Orang Arab menamakan telur yang telah menetas dan keluar anak burung darinya sebagai al-tarikah iaitu yang ditinggalkan kerana tidak mempunyai faedah.
Sebab dituduh berdusta
Hadis tersebut hanya diriwayatkan melaluinya sahaja dan bercanggah dengan kaedah-kaedah umum.<!--[if !supportFootnotes]-->[1]<!--[endif]-->
Perawi itu diketahui berdusta dalam percakapan biasa tetapi tidak jelas dia berdusta dalam hadis.
Contohnya
Hadis `Amar bin Syamir al-Ju`fi al-Syi`i daripada Jabir daripada Abu al-Tufail daripada `Ali dan `Ammar kata mereka berdua: “Rasulullah s.a.w. membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bertakbir pada hari Arafah pada sembahyang zuhur dan melakukan perjalanan setelah sembahyang Asar pada hari tasyriq yang terakhir”.
Al-Nasa‟i, Daruqutni dan ulama lain berkata `Amar bin Syamir: Dia seorang matruk al-hadith.
Kedudukannya
Kita telahpun mengetahui bahawa hadis dha`if yang paling jelek ialah maudhu` kemudian matruk kemudian munkar kemudian mu`allal kemudian mudraj kemudian maqlub dan mudhtarib. Begini tertib kedudukannya yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar.
3.3.3.3 Al-Munkar
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kesilapan yang jelek atau sering lalai maka hadisnya itu dinamakan hadis munkar.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-inkar iaitu mengingkari lawan kepada mengakui.
Dari segi istilah pula ulama memberikan beberapa takrif yang paling masyhur ialah ialah: Hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi jelek kesilapannya atau sering lalai atau jelas kefasikannya.
Takrif ini disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar dan beliau menisbahkan kepada orang lain. Al-Baiquni di dalam nazamnya menggunakan takrif ini:
“Hadis yang diriwayatkan oleh perawi dha`if bercanggah dengan perawi thiqah”.
Inilah takrif yang disebutkan dan diterima oleh Ibn Hajar. Dalam takrif ini ada tambahan kepada takrif pertama iaitu percanggahan perawi dha`if dengan riwayat perawi thiqah.
Perbezaan di antara munkar dan syazz
Hadis syazz diriwayatkan oleh perawi maqbul dalam keadaan bercanggah dengan perawi yang lebih utama daripadanya.
Hadis munkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi dha`if bercanggah dengan perawi thiqah.
Dengan ini, kedua-dua takrif ini mempunyai persamaan dari sudut percanggahan dan berbeza dari segi perawi syazz adalah maqbul manakala perawi munkar adalah dha`if. Kata Ibn Hajar: “Orang yang telah menyamakan kedua-duanya sesungguhnya dia tidak memerhati dengan baik”.
Contoh
1. Contoh munkar mengikut takrif pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa‟i dan Ibn Majah daripada riwayat Abu Zukair Yahya bin Muhammad bin Qais daripada Hisyam bin Urwah daripada bapanya daripada Aishah secara marfu`: “Makanlah buah kurma mengkal (hampir masak) dengan yang kering kerana apabila anak Adam memakannya maka syaitan akan marah.” Kata al-Nasai`i: “Ini hadis munkar, Abu Zukair berseorangan meriwayatkannya. Dia seorang syaikh yang soleh. Muslim mengeluarkan hadisnya pada mutaba`at, cumanya keseorangannya dalam periwayatan tidak dapat diterima.
2. Contoh munkar mengikut takrif kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim melalui jalan Hubayyib bin Habib al-Zayyat daripada Abu Ishaq daripada al-`Aizar bin Huraith daripada Ibn Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa dan melayani tetamu maka dia akan memasuki syurga.” Kata Abu Hatim: dia seorang munkar kerana perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan inilah yang ma`ruf.
Kedudukannya
Daripada dua takrif di atas, dapat diketahui bahawa munkar termasuk dalam kategori hadis dha`if jiddan (sangat dha`if) kerana berdasarkan takrif pertama adalah periwayatan perawi dha`if yang melakukan kesilapan yang jelek atau sering lalai atau fasiq. Manakala menurut takrif kedua periwayatan dha`if yang menyalahi riwayat perawi lain yang thiqah. Kedua-duanya mempunyai kedha`ifan yang bersangatan. Oleh kerana itu, kita telah sebutkan ia berada selepas hadis matruk dari sudut kedha`ifan yang bersangatan.
3.3.3.4 Al-Ma’ruf
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada `arafa iaitu mengenali.
Dari segi istilah hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang menyanggahi riwayat perawi dha`if.
Dengan makna ini, hadis ma`ruf ialah lawan kepada hadis munkar atau dengan ungkapan yang lebih tepat lawan kepada hadis munkar mengikut definisi Hafiz Ibn Hajar.
Contohnya
Contoh bagi hadis ma`ruf ialah hadis disebutkan pada contoh yang kedua bahagian munkar tetapi melalui jalan perawi-perawi thiqah iaitu secara mawquf setakat Ibn Abbas kerana setelah mengemukakan hadis Hubayyib yang marfu`, Ibn Abi Hatim berkata: “Ia adalah munkar, kerana perawi-perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan itulah yang ma`ruf.
3.3.3.5 Al-Mu’allal
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kekeliruan maka hadisnya itu dinamakan hadis mu`llal. Ini adalah sebab yang keenam..
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada a`alla iaitu mencacatkan atau menimpakan penyakit. Kata nama mu`all iaitu yang cacat atau ditimpa penyakit. Binaan perkataan ini mengikut kaedah saraf yang masyhur dan merupakan bahasa yang fasih. Tetapi sebutan al-mu`allal oleh ulama hadis tidak mengikut bahasa yang masyhur. Ada juga di kalangan ulama hadis yang menyebutkan sebagai al-ma`lul. Ini ungkapan yang sangat lemah di sisi ulama bahasa Arab.
Dari segi istilah pula hadis yang kesan mempunyai `illat yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya kelihatan tidak ada.
Definisi `Illah
Sebab yang sukar lagi tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis. Berdasarkan kepada definisi ini, ulama menyimpulkan `illah tersebut mestilah memenuhi dua syarat iaitu:
1. Sukar dan tersembunyi.
2. Mencacatkan kesahihan hadis.
Jika tidak ada salah satu seperti `illah itu zahir atau tidak mencacatkan maka ia bukan `illah mengikut istilah ulama hadis.
Penggunaan `illah tidak dengan makna istilah
Takrif yang disebutkan dalam perenggan yang lalu adalah maksud `illah di sisi istilah ulama hadis. Bagaimanapun, kadang-kadang mereka menggunakan lafaz `illah bagi menunjukkan sebarang kecaman yang ditujukan kepada hadis walaupun kecaman itu tidak tersembunyi atau mencacatkan.
Kecaman dengan alasan yang tidak tersembunyi atau nyata seperti menyatakan pendustaan perawi, kelalaian, lemah hafalannya atau sebab-sebab lain. Sehinggakan Imam al-Tirmizi menamakan nasakh sebagai `illah.
Kecaman dengan alasan yang tidak mencacatkan seperti alasan percanggahan yang tidak menggugatkan kesahihan hadis seperti memursalkan hadis yang diriwayatkan para perawi thiqah secara bersambung-sambung. Berdasarkan kepada ini sesetengah ulama menyebutkan antara hadis yang sahih ada yang sahih mu`allal.
Keutamaan dan kehalusan ilmu ini dan siapakah yang menguasainya
Mengetahui `illal al-hadith atau kecacatan hadis termasuk dalam bahagian ilmu hadis yang paling utama dan paling halus kerana memerlukan kepada kajian yang mendedahkan `illah yang sukar dan tersembunyi yang hanya dikesan oleh tokoh-tokoh besar dalam ilmu hadis. Bahagian ini hanya dikuasai oleh ahli hadis yang kuat hafalan, pakar dan mempunyai
kefahaman yang tajam. Oleh itu, lautan yang dalam ini hanya diredahi oleh sebilangan kecil imam hadis seperti Ali Ibn al-Madini, Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim dan al-Daruqutni.
Sanad manakah yang dimasuki oleh `illah?
`Illah memasuki sanad yang lengkap dengan syarat sahih secara zahir kerana hadis yang daif tidak perlu untuk mencari `illahnya kerana ini tertolak dan tidak diamalkan.
Bagaimana mengetahui `illah
`Illah dapat dikesan dengan berpandukan kepada: 1. Berseorangan perawi dalam riwayat.
2. Percangahan dengan perawi lain.
3. Tanda-tanda lain di samping dua perkara di atas.
Perkara-pekara ini mengingatkan kepada orang yang mengetahui ilmu ini tentang kekeliruan yang berlaku kepada perawi hadis sama ada terdedah kemursalan dalam hadis yang diriwayatkan secara mausul atau mauqufnya hadis yang diriwayatkan secara marfu`. Atau sebuah hadis dimasukkan dalam satu hadis lain atau kekeliruan lain yang membuatkannya hampir yakin lalu menghukumkannya sebagai tidak sahih.
Jalan untuk mengetahui mu`allal
Jalan untuk mengetahuinya ialah dengan menghimpunkan semua jalan sanad hadis dan mengkaji pada perbezaan para perawi dan membandingkan siapakan yang paling tepat dan kemas kemudian memberi keputusan kepada riwayat yang terdapat `illah.
Di mana terletak `illah
1. `Illah terletak pada sanad inilah yang paling banyak seperti alasan illah dengan sebab mauquf atau mursal.
2. `Illah terletak pada matan dan ini paling sedikit seperti hadis yang menafikan bacaan basmalah di dalam sembahyang.
Adakah `illah pada sanad mencacatkan matan hadis
Kadang-kadang illah mencacatkan pada matan di samping mencacatkan pada sanad seperti illah dengan alasan mursal.
Mencacatkan pada sanad sahaja manakala matan sahih seperti hadis Ya`la bin `Ubaid daripada al-Thauri dariapda `Mara bin Dinar daripada Ibn `Umar secara marfu`: “Dua orang yang melakukan jual beli berhak mendapat khiyar”. Ya`la telah waham dalam meriwayatkan daripada al-Thauri dalam kata-katanya `Amar bin Dinar sedangkan yang sebenarnya ialah Abdullah bin Dinar. Matan ini sahih walaupun pada sanad terdapat illah kesilapan kerana masing-masing `Amar dan Abdullah bin Dinar ialah perawi yang thiqah. Tersilap menyebutkan perawi thiqah dengan perawi lain tidak menjejaskan kesahihan matan walaupun lafaz sanad silap.
Karangan yang masyhur tentang hadis mu`allal
2. `Ilal al-Hadith oleh Ibn Abi Hatim.
3. Al-`Ilal Wa Ma`rifah al-Rijal oleh Ahmad bin Hanbal. 4. Al-`Ilal al-Kabir oleh al-Tirmizi.
5. Al-`Ilal al-Saghir oleh al-Tirmizi.
6. Al-`Ilal al-Waridah Fi Ahadith al-Nabawiyyah oleh al-Daruqutni. Kitab ini adalah yang paling lengkap dan paling detail.
Percanggahan dengan perawi-perawi thiqah
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah percanggahan dengan perawi-perawi thiqah maka timbul lima kategori hadis yang lain iaitu mudraj, maqlub, mazid fi muttasil al-asanid, mudhtarib dan musahhaf.
1. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan siyaq sanad atau memasukkan mawquf dalam marfu` maka ia dinamakan mudraj.
2. Jika percanggahan yang melibatkan mendahulukan atau mengkemudiankan maka ia dinamakan maqlub.
3. Jika percanggahan yang berkait dengan penambahan perawi maka ia dinamakan mazid fi muttasil al-asanid.
4. Jika percanggahan yang berkait dengan menukar perawi dengan perawi lain atau wujud pertentangan yang saling menolak pada matan dan tidak dapat ditarjihkan maka ia dinamakan mudhtarib.
5. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan lafaz tetapi konteks ayat tetap kekal maka ia dinamakan musahhaf.
3.3.3.6 Mudraj
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada adraja iaitu memasukkan sesuatu ke dalam benda lain.
Dari segi istilah pula hadis yang diubah siyaq sanadnya atau dimasukkan ke dalam matan sesuatu yang lain tanpa pemisah.
Bahagiannya
Mudraj terbahagi kepada dua iaitu mudraj al-Isnad dan mudraj al-Matn.