PELABURAN HARTANAH KUMPULAN 1MDB
KEDUDUKAN TAPAK CADANGAN PROJEK TRX
3.2. Perolehan Tanah Projek Tun Razak Exchange
3.2.1. Tanah seluas 70.5 ekar di kawasan Imbi pada asalnya adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 April 1994 bersetuju supaya tanah tersebut dipindah milik kepada Dataran Perdana Sdn. Bhd. (DPSB), iaitu syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan [sebelum diambil alih oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)]. Walaupun persetujuan telah lama diperoleh, perjanjian pindah milik tanah hanya ditandatangani pada 7 April 2010 dan DPSB telah menjelaskan bayaran pindah milik kepada PTP berjumlah RM740,000 masing-masing pada 22 April 2010 dan 5 Mei 2010. PHB telah mendaftarkan kaveat persendirian ke atas tanah ini bagi menjamin kepentingannya.
3.2.2. Bagaimanapun, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 28 April 2010 telah meluluskan supaya tanah di kawasan Imbi dipindah hak milik kepada 1MDB bagi melaksanakan cadangan pembangunan strategik Kuala Lumpur. Pada 15 Jun 2010, Kementerian Kewangan memohon PTP membatalkan perjanjian pindah milik tanah antara PTP dan DPSB bagi membolehkan pindah milik tanah kepada 1MDB serta mengembalikan semula wang bayaran pindah milik tanah kepada DPSB. Pada 28 Julai 2010, Jemaah Menteri memutuskan PTP memindahkan 34 lot tanah DPSB kepada 1MDB dengan harga
nominal sejumlah RM1,000 bagi setiap lot serta membatalkan keputusan mesyuarat terdahulu (13 April 1994).
3.2.3. Bagi melaksanakan pindah milik tanah kepada 1MDB, dua perjanjian pembatalan telah ditandatangani antara pihak yang terlibat. Perjanjian Pembatalan Pertama ditandatangani antara PTP dan DPSB pada 8 September 2010 untuk membatalkan perjanjian pindah milik tanah bagi 37 lot yang ditandatangani pada 7 April 2010. Perjanjian Pembatalan Kedua pula ditandatangani antara Menteri Kewangan Diperbadankan dan PHB pada 14 September 2010 bagi menarik semula kaveat ke atas tanah DPSB dalam tempoh 14 hari selepas RM100 juta diterima di bawah Perjanjian Penyelesaian.
3.2.4. Pada 17 September 2010, Perjanjian Penyelesaian telah ditandatangani antara 1MDB, DPSB dan PHB di mana 1MDB bersetuju untuk membayar penyelesaian berjumlah RM230 juta, iaitu RM130 juta kepada DPSB dan RM100 juta kepada PHB. Pembelian 34 lot tanah TRX telah dimuktamadkan dengan termeterainya Perjanjian Jual Beli antara PTP dan 1MDB pada 1 Oktober 2010 dengan harga jualan berjumlah RM34,000 (RM1,000 satu lot). Kronologi perolehan tanah TRX adalah seperti jadual berikut:
JADUAL 4.6
RINGKASAN KRONOLOGI PEROLEHAN TANAH TRX
TARIKH KRONOLOGI
07.04.2010 Perjanjian Tukar Milik Tanah antara PTP dan DPSB - 37 lot tanah dengan harga RM740,000.
22.04.2010
Perjanjian Jual Beli antara DPSB dan PHB bagi penjualan saham DPSB kepada PHB berjumlah RM127 juta. PHB telah membuat kaveat persendirian ke atas tanah Dataran Perdana.
28.04.2010 Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pemindahan hak milik tanah Kerajaan di kawasan Imbi, Kuala Lumpur.
28.07.2010 Jemaah Menteri memutuskan PTP memindahkan 34 lot tanah DPSB kepada 1MDB.
08.09.2010
Perjanjian Pembatalan antara PTP dan DPSB membatalkan perjanjian tukar tanah bertarikh 7 April 2010 bagi 37 lot tanah. PTP bersetuju membayar balik RM740,000 kepada DPSB.
14.09.2010
Perjanjian Pembatalan antara Menteri Kewangan Diperbadankan dan PHB. PHB akan menarik semula sekatan ke atas tanah DPSB dalam tempoh 14 hari selepas RM100 juta diterima di bawah Perjanjian Penyelesaian.
17.09.2010
Perjanjian Penyelesaian antara 1MDB, DPSB dan PHB. 1MDB bersetuju untuk membayar penyelesaian berjumlah RM230 juta di mana RM130 juta dibayar kepada DPSB manakala RM100 juta kepada PHB.
01.10.2010
Perjanjian Pembelian bagi 34 lot tanah seluas 70.555 ekar di kawasan Imbi, Kuala Lumpur ditandatangani antara PTP dan 1MDB dengan harga jualan berjumlah RM34,000 (RM1,000 satu lot).
Sumber : Dokumen Perjanjian Berkaitan
3.2.5. Semakan JAN mendapati sejumlah RM230.11 juta kos perolehan tanah TRX telah direkodkan dalam penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011 seperti jadual berikut:
JADUAL 4.7
KOS PEROLEHAN TANAH TRX
TARIKH BUTIRAN BAYARAN JUMLAH
(RM)
13.08.2010 Change of express condition on land 5,100
14.09.2010 Dataran Prima Sdn. Bhd. 130,000,000
14.09.2010 Pelaburan Hartanah Berhad 100,000,000
22.09.2010 Pesuruhjaya Tanah Persekutuan - pemindahan tanah 34,000
09.11.2010 Premium tanah 33,000
16.11.2010 Yuran pendaftaran tanah & kaveat 5,100
22.11.2010 Wong & Partners - KLIFD dan BM 37,122
JUMLAH 230,114,322
Sumber : Rekod Kewangan 1MDB Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Mac 2011
3.2.6. Semasa tanah TRX diperoleh, terdapat beberapa penyewa yang telah menandatangani perjanjian penyewaan dengan PTP bagi menduduki tanah tersebut. Bagi mengosongkan tapak TRX, Kumpulan 1MDB telah menandatangani Perjanjian Penyelesaian dengan penyewa tanah tersebut serta bersetuju membayar bantuan kewangan muhibah (goodwill financial assistance), bayaran penyelesaian dan pendahuluan berjumlah RM72.27 juta seperti jadual berikut:
JADUAL 4.8
BAYARAN PENYELESAIAN DAN PENDAHULUAN KEPADA PENYEWA TANAH TRX
TARIKH
PERJANJIAN PENERIMA BAYARAN
BAYARAN
(RM) TANAH TERLIBAT
08.09.2011 Jemima Filem Sdn. Bhd. 850,000 GRN 12124, Lot 495
19.04.2011 Ladang Impian 1 Sdn. Bhd. 35,000,000 GRN 64188 Lot 1309 GRN 64190 Lot 1310 GRN 64184 Lot 206 GRN 64183 Lot 205 GRN 64191 Lot 1311 GRN 64192 Lot 1312 GRN 64193 Lot 1313 GRN 64185 Lot 207 10.06.2011 Wawasan Cempaka
Corporation Sdn. Bhd. Tiada HS(D) 80358, No. Lot PT 48 17.06.2011 Konsortium Koperasi
Pengguna Malaysia Berhad 3,000,000
GRN 72806, Sebahagian Lot 1164, No. PT 98
28.12.2011 Best Fishing Corporation
Sdn. Bhd. 200,000
Lot 242-255, Jalan Imbi Off Jalan Barat
20.04.2012 UMNO Bahagian Bukit
Bintang 2,800,000
GRN 29431, Lot 212, Jalan Rawa Off Jalan Imbi 21.04.2012 Imbi Palace Restaurant
Sdn. Bhd. 420,000
Lot 242-255, Jalan Imbi Off Jalan Barat
01.07.2014 Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur 30,000,000
Pembangunan semula pasar baru Bukit Bintang
JUMLAH 72,270,000
3.2.7. Bayaran bantuan kewangan muhibah kepada semua penyewa tanah tersebut telah dijelaskan oleh Kumpulan 1MDB. Bagi Wawasan Cempaka, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membuat penyelesaian tanpa kos.
3.2.8. Manakala bagi tanah yang disewa oleh UMNO Bahagian Bukit Bintang, persetujuan telah dicapai antara dua pihak di mana 1MDB RE bersetuju untuk membeli bangunan lain bagi menempatkan pejabat UMNO tersebut. Selaras dengan resolusi Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 14 Oktober 2011, 1MDB telah membeli satu unit 6 tingkat bangunan kedai pejabat di No. 157, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur dengan harga RM2.80 juta pada 18 November 2011. Bangunan ini kemudiannya telah dijual semula kepada UMNO Bahagian Bukit Bintang dengan harga yang sama dengan menandatangani perjanjian jual beli pada 20 April 2012. Dengan mengambil kira wang pampasan sejumlah RM1 juta yang perlu dibayar oleh 1MDB, UMNO Bahagian Bukit Bintang perlu membayar baki sejumlah RM1.80 juta secara ansuran. Bayaran ansuran yang dipersetujui berjumlah RM600,000 sepatutnya dijelaskan melalui ansuran selama 60 bulan bermula bulan Julai 2012 hingga Jun 2017. Manakala baki berjumlah RM1.20 juta akan dibayar pada ansuran terakhir bulan ke-60. Bagaimanapun, semakan JAN mendapati bayaran terakhir yang dibuat oleh UMNO Bahagian Bukit Bintang hanyalah setakat ansuran bulan Disember 2013 yang diterima pada 21 Februari 2014. Baki bayaran ansuran adalah berjumlah RM1.62 juta.
3.2.9. Di samping itu, pasar sedia ada di kawasan tersebut juga perlu dipindahkan agar sesuai dengan konsep pembangunan TRX. Persetujuan telah dicapai untuk pembangunan semula pasar baru Bukit Bintang melalui beberapa siri perbincangan antara 1MDB dan DBKL serta mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas. Pada 10 Februari 2014, Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertulis telah bersetuju dengan keputusan mesyuarat RE Exco yang meluluskan kos pembinaan pasar baru Bukit Bintang yang perlu ditanggung oleh 1MDB terhad kepada RM30 juta. Sejumlah RM15.07 juta telah dibayar kepada DBKL sehingga bulan Oktober 2015.
3.2.10. Secara keseluruhannya, kos perolehan tanah TRX telah meningkat kepada RM302.38 juta dengan mengambil kira bayaran perolehan tanah terdahulu berjumlah RM230.11 juta serta bantuan kewangan muhibah dan bayaran penyelesaian (termasuk pendahuluan) berjumlah RM72.27 juta. Mengikut Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 5 Julai 2010, kos perolehan tanah TRX berjumlah RM230.11 juta telah dibiayai melalui rizab tunai sedia ada.