BAB EMPAT SEJARAH TAPANULI
4.1 Profil Tapanuli
Pada zaman kolonial Belanda, Sumatera Utara merupakan pemerintahan yang bernama Gouvernment Sumatera yang diterajui oleh seorang Gabenor yang tinggal di Medan. Sumatera terdiri daripada daerah-daerah pentadbiran yang dinamakan
Keresidenan (Badan Infokom Provsu, 2007). Pada zaman permulaan kemerdekaan Republik Indonesia, Sumatera merupakan kesatuan pemerintahan; iaitu, Provinsi Sumatera Utara di bawah kekuasaan seorang Gabenor dan terdiri daripada daerah-daerah administratif keresidenan yang diterajui oleh seorang Residen.
Daerah Tapanuli lazim pula disebut tanah Batak. Apabila dilihat dari tempat tinggal yang dihuni oleh sub-subetnik Batak, cakupan tanah Batak sangat luas. Tanah Batak meliputi wilayah yang terbentang antara Singkil (sekarang masuk bahagian Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam) hingga sekitar Sungai Barumun yang berbatasan dengan Provinsi Sumatera Barat. Sekarang ini yang dimaksudkan dengan tanah Batak ialah kumpulan wilayah pentadbiran kabupaten (daerah) ; iaitu, Kabupaten Tapanuli Utara, Kabupaten Tapanuli Tengah, dan Kabupaten Tapanuli Selatan (Simanjuntak, 2006: ms. 10-11).
Rajah 4.1 Peta Rancangan Provinsi Tapanuli
(Sumber Rajah : http://bersamatoba.com/wp-content/uploads/2009/02/peta-tapanuli.jpg)
Sepuluh tahun terakhir ini menurut catatan pengkaji tiga kabupaten tersebut dibahagi lagi dengan menubuhkan kabupaten baru. Kabupaten Tapanuli Utara sekarang ini “beranak” dan “bercucu” menjadi enam kabupaten; iaitu, Kabupaten Tapanuli Utara, Kabupaten Dairi, Kabupaten Pakpak Bharat (anak Kabupaten Dairi), Kabupaten Toba Samosir, Kabupaten Humbang Hasundutan, dan Kabupaten Samosir (seluruhnya menjadi 6 kabupaten yang memiliki autonomi tersendiri/mandiri). Manakala Kabupaten Tapanuli Tengah (tetap, belum ada pembahagian kabupaten baru). Sementara itu Kabupaten Tapanuli Selatan sekarang ini menjadi lima kabupaten; iaitu, Kabupaten Tapanuli Selatan, Kota Padangsidempuan, Kabupaten Mandailing-Natal, Kabupaten Padang Lawas (Palas) dan Kabupaten Padang Lawas Utara (Paluta).
Provinsi Sumatera Utara dengan jumlah penduduk seramai 12.5 juta orang, struktur pemerintahannya kini terdiri daripada 33 Kabupaten dan Kota iaitu, Kabupaten 1) Asahan, 2) Langkat, 3) Deli Serdang, 4) Serdang Bedagai, 5) Labuhan Batu, 6) Labuhan Batu Utara, 7) Labuhan Batu Selatan, 8) Tapanuli Utara, 9) Dairi, 10) Pakpak Bharat, 11) Toba Samosir, 12) Humbang Hasundutan, 13) Samosir, 14) Tapanuli Tengah, 15) Tapanuli Selatan, 16) Mandailing-Natal, 17) Padang Lawas, 18) Padang Lawas Utara, 19) Karo, 20) Simalungun, 21) Nias, 22) Nias Utara, 23) Nias Selatan, 24) Nias Barat, dan 25) Batu Bara. Manakala Kota, yang sama kedudukannya dengan Kabupaten; iaitu, Kota: 26) Tanjungbalai, 27) Binjai, 28) Tebingtinggi, 29) Pematangsiantar, 30) Sibolga, 31) Padangsidempuan, 32) Gunungsitoli, dan 33) Medan (sekali gus menjadi ibu negeri Provinsi Sumatera Utara).
Daripada 30 Kabupaten dan Kota tersebut yang temasuk bekas Keresidenan Tapanuli ialah : 1) Tapanuli Utara, 2) Dairi, 3) Pakpak Bharat, 4) Toba Samosir, 5) Humbang Hasundutan, 6) Samosir, 7) Tapanuli Tengah, 8) Sibolga, 9) Tapanuli Selatan, 10) Mandailing-Natal, 11) Padangsidempuan, 12) Padanglawas 13) Padanglawas Utara, 14) Nias, 15) Nias Selatan, 16) Nias Barat, 17) Nias Timur, dan 18) Gunungsitoli. Manakala bekas Keresidenan Sumatera Timur ialah 1) Medan, 2) Binjai, 3) Pematangsiantar, 4) Tebingtinggi, 5) Tanjungbalai, 6) Asahan, 7) Batu Bara, 8) Labuhanbatu, 9) Labuhanbatu Utara, 10) Labuhanbatu Selatan, 11) Deli Serdang, 12) Serdang Bedagai, 13) Karo, 14) Simalungun, dan 15) Langkat.
Mengikut pendapat Joustra dalam buku “Batakspiege” yang diterbitkan di Belanda pada tahun 1910 (Simanjuntak, 2006: ms. 18-19), beliau membahagikan etnik Batak kepada 6 subetnik iaitu, 1) Karo, 2) Pakpak-Dairi, 3) Simalungun, 4) Toba, 5) Angkola, dan 6) Mandailing. Apabila diintegrasikan etnik Batak dengan daerahnya maka keseluruhan daerah etnik Batak (dengan 6 subetnik) ialah Kabupaten/Kota; iaitu, 1). Karo, 2) Dairi, 3) Pakpak Bharat, 4) Simalungun, 5) Tapanuli Utara, 6) Toba Samosir, 7) Humbang Hasundutan, 8) Samosir, 9) Tapanuli Selatan, 10) Padangsidempuan, 11) Padanglawas, 12) Padanglawas Utara, 13) Mandailing-Natal, 14) Tapanuli Tengah, dan 15) Sibolga.
Dalam mesyuarat I Komite Nasional Daerah (KND) Provinsi Sumatera pada 1 Disember 1947 dinyatakan terdapat kesukaran dalam perhubungan apabila ditinjau dari aspek pertahanan maka hal ini diputuskan untuk membahagikan Provinsi Sumatera kepada tiga sub provinsi; iaitu, sub Provinsi Sumatera Utara yang terdiri dari Keresidenan Aceh, Keresidenan Sumatera Timur, dan Keresidenan Tapanuli,
sub Provinsi Sumatera Tengah, dan sub Provinsi Sumatera Selatan. Dalam perkembangan selanjutnya menerusi Undang-Undang No. 20 pada tahun 1948 bertarikh 15 April 1948, pemerintah pusat di Jakarta menetapkan Sumatera dibahagikan kepada tiga provinsi iaitu masing-masing berhak mengaturkan dan menguruskan daerahnya sendiri; iaitu, Provinsi Sumatera Utara meliputi Keresidenan Aceh, Keresidenan Sumatera Timur, dan Keresidenan Tapanuli. Provinsi Sumatera Tengah meliputi Keresidenan Sumatera Barat, Keresidenan Riau, dan Keresidenan Jambi. Manakala Provinsi Sumatera Selatan terdiri dari Keresidenan Bengkulu, Keresidenan Palembang, Keresidenan Lampung, dan Keresidenan Bangka dan Belitung.
Pada permulaan tahun 1949 penyusunan semula pemerintah telah diadakan di Sumatera Utara kerana meningkatnya serangan Belanda. Oleh itu, sistem pertahanan yang lebih kukuh dan sempurna diperlukan. Untuk itu, alat-alat kekuasaan sivil dan tentera perlu dipusatkan dalam tiap-tiap daerah ketenteraan yang berada dalam satu tangan; iaitu, Gabenor Tentera. Dengan demikian, seluruh kekuasaan sama ada sivil mahupun tentera berada dalam tangan Gabenor Tentera. Perubahan yang sedemikian ini ditetapkan oleh keputusan Pemerintah Darurat Republik Indonesia bertarikh 16 Mei 1949 No. 21/Pem/PDRI. Dalam tindakan selanjutnya dengan keputusan Pemerintah Darurat Republik Indonesia pada 17 Mei 1949 No 22/Pem/PDRI kuasa Gabenor Sumatera Utara ditiadakan. Gabenor diangkat menjadi komisar dengan tugasan-tugasan mengawasi pemerintah, sama ada sivil atau tentera. Melalui suruhan Dewan Pembantu dan Penasihat Wakil Perdana Menteri bertarikh 15 September 1949, maka Sumatera Utara dibahagikan menjadi dua daerah ketenteraan istimewa iaitu, Aceh dan Tanah Karo diketuai oleh Gabenor Tentera Teungku M Daud dan
daerah Tapanuli/Sumatera Timur diketuai Gabenor Tentera Dr FL. Tobing, (Badan Infokom Sumatera Utara, 2007).
Dengan ketetapan Pemerintah Daerah Republik Indonesia dalam bentuk Peraturan Pertama Menteri Pengganti Peraturan Pemerintah pada 17 Disember 1949 No. 8/Des/WKPM terbentuklah Provinsi Aceh dan Provinsi Tapanuli/Sumatera Timur, kemudian dengan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang No. 5 tahun 1950 bertarikh 14 Ogos 1950 Peraturan Wakil Perdana Menteri Pengganti Peraturan Pemerintah bertarikh 17 Disember 1949 No. 8/Des/WKPM tahun 1949 tersebut dicabut dan kembali ditubuhkan Provinsi Sumatera Utara dengan daerah yang meliputi daerah Keresidenan Aceh, Keresidenan Sumatera Timur, dan Keresidenan Tapanuli.4