safrizal shahir
Rupa dan Jiwa (1979) oleh Syed Ahmad Jamal
SAFRIZAL SHAHIR
Buku bertajuk Rupa dan Jiwa, yang diterbitkan pada tahun 1979 oleh Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, bersempena dengan pameran dengan tajuk yang sama boleh disifatkan sebagai teks terawal yang berusaha untuk memperkenal, mengklasifikasi dan mengulas mengenai kesenian visual tradisional Melayu. Buku, atau lebih tepatnya dipanggil katalog kepada pameran tersebut, mengandungi teks yang berupa esei, data objek pameran dan penerangan pendek berkenaan objek yang dirujuk. Esei dan penerangan pendek berkenaan objek yang dirujuk tersebut telah ditulis oleh Syed Ahmad Jamal yang juga menjadi kurator kepada pameran tersebut. Setakat yang diketahui pameran Rupa dan Jiwa adalah pameran seni pertama di Malaysia yang cuba untuk mengetengahkan objek-objek atau karya seni yang disifatkan sebagai mempunyai ciri keMelayuan yang tulen.
beberapa latar kepada realisasi projek rupa dan jiwa
Sebuah penyelidikan dan penulisan yang mendalam perlu dilakukan untuk memahami tentang realisasi atau kewujudan pameran dan penerbitan Rupa dan Jiwa. Pemahaman dan perkaitan terhadap sejarah idea Malaysia Moden, sejarah sosio budaya Melayu dan sejarah sosio politik moden Malaysia, khususnya pada tahun 1970-an, diperlukan untuk membolehkan projek Rupa dan Jiwa dapat difahami atau dinilai dari pelbagai segi dengan lebih baik. Tulisan saya di sini tidak memberi analisa atau tafsiran mengenai hal-hal tersebut. Apa yang akan ditulis ini adalah merupakan lontaran awal tentang idea-idea yang saya anggap singnifikan berkaitan pameran tersebut, khususnya dari aspek latar dan idea kewujudannya.
Idea dan kepentingan pameran Rupa dan Jiwa adalah amat signifikan jika ditinjau dalam pemahaman sosio budaya dan sosio politik Malaysia moden. Signifikasi pameran dan sekaligus penerbitan yang mengir-inginya adalah tinggi memandangkan sebelum itu tidak pernah ada
pameran atau penerbitan yang secara khusus membincangkan perihal kesenian visual tradisional Melayu. Dari sudut lain kewujudan pameran dan juga penerbitan katalog pameran itu sebenarnya menjadi batu asas kepada permulaan usaha penyelidikan dan pemahaman terhadap satu dari pelbagai aspek yang wujud dalam kebudayaan Melayu.
Realisasi pameran dan penerbitan Rupa dan Jiwa juga boleh dibaca sebagai satu menifestasi lahiriah kebudayaan dalam ukuran moden bagi masyarakat Melayu. Dalam sebuah masyarakat yang secara relatifnya baharu menerima kemerdekaan dan arus kemodenan sedang mula meresap dalam kehidupan masyarakatnya, pameran dan penerbitan ini telah memberi satu tanda bahawa masyarakat atau bangsa Melayu sebenarnya mempunyai sebuah tamadun visual sejak berabad lamanya. Dari aspek ini Rupa dan Jiwa bukan hanya sekadar eksposisi artifak tetapi ia adalah tanda makna kepada kewujudan sebuah budaya bagi masyarakat Melayu yang sebelum ini dikesampingkan, dilupakan atau diabaikan. Dari segi lain ia menjadi pendokong kepada idea kebijaksaaan dan pemikiran tinggi Melayu itu sendiri khususnya dari aspek budaya visual.
Rupa dan Jiwa juga sebenarnya muncul dicelah suntikan semangat baru nasionalisme Melayu. Semangat baru tersebut muncul sebagai kesan, samada secara langsung atau tidak, hasil daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan (3K) yang diadakan pada tahun 1971. Penetapan yang terhasil dari kongres tersebut yang memberi penekanan kepada aspek Islam dan Melayu itu boleh dianggap sebagai cetusan gelombang baru, kepada inteligensia Melayu khususnya, untuk meneroka dan memahami asal atau akar budaya mereka yang selama ini terbenam atau dibenamkan. Cabaran untuk meneroka, mengkaji dan memahami aspek-aspek keMelayuan ini telah disahut oleh kumpulan sarjana yang relatif muda pada ketika itu, khususnya yang berpusat di Universiti Malaya atau di Lembah Kelang umumnya.
Dari aspek lain, peranan dan kedudukan Syed Ahmad Jamal dalam konteks ini boleh dikira menarik dan unik. Pada tahun 1975, beliau yang baru pulang dari University of Hawaii, Honolulu dengan ijazah sarjana dalam sejarah seni telah membuat permohonan untuk bekerja di Universiti Malaya. Melihat latar kedudukan dan pendidikan Syed Ahmad Jamal, Ungku Aziz sebagai naib canselor Universiti Malaya telah mengambil beliau bekerja sebagai pensyarah pelawat. Antara penumpuan atau kerja utama yang diberikan kepada Syed Ahmad Jamal adalah untuk
rupa dan jiwa (1979) oleh syed ahmad jamal safrizal shahir
melakukan penyelidikan dan menjayakan pameran berkaitan kesenian Islam dan kemudiannya kesenian Melayu. Banyak pameran telah berjaya dilaksanakan oleh Syed Ahmad Jamal selama tempoh empat tahun sebagai pensyarah pelawat di Universiti Malaya itu dengan yang terakhirnya pada tahun 1979 melalui pameran Rupa dan Jiwa. Selepas itu Syed Ahmad Jamal telah dilantik sebagai Pengarah, Pusat Budaya di Universiti Malaya sehingga tahun 1983.
Menyelidik dan menghasilkan sebuah pameran seperti Rupa dan Jiwa sebenarnya adalah sesuatu yang saya anggap mencabar bagi Syed Ahmad Jamal. Cabaran itu wujud dari sebab tiadanya sebarang kajian atau usaha awal yang memadai untuk dijadikan rujukan dan platform awal bagi memulakan kajian. Dari sudut lain, dunia kesenian visual tradisional Melayu pula bukanlah merupakan sebuah bidang kajian yang sedia wujud atau telah mapan. Bahkan ianya adalah sebuah bidang kajian yang baharu. Selain itu secara peribadi saya merasakan projek Rupa dan Jiwa ini juga adalah sesuatu yang agak asing atau baharu dari sudut penyelidikannya bagi Syed Ahmad Jamal. Ia dinyatakan dengan melihat dan memahami latar kerjaya dan pendidikan Syed Ahmad Jamal sebelum memulakan projek ini.
Perlu dinyatakan pula bahawa idea-idea ini dinyatakan bukan untuk merendah-rendahkan usaha atau sebarang pencapaian yang telah dilakukan atau dikecapi oleh pameran dan penerbitan Rupa dan Jiwa. Ia diketengahkan sebagai satu menifestasi cabaran yang difikirkan wujud sewaktu projek itu dijalankan. Dengan memahami cabaran-cabaran ini ia mungkin dapat membuatkan kita sedar tentang apa yang dihadapi dan berlaku pada waktu itu berkaitan projek ini.
idea dan refleksi dari teks katalog pameran rupa dan jiwa
Teks yang wujud dalam katalog Rupa dan Jiwa tersebut tidak dapat ditanggap sebagai teks rapi atau tersusun dalam konteks penerangan kepada kesenian visual tradisional Melayu. Hal ini berlaku memandangkan sebab, tujuan dan fokus kepada kewujudan katalog itu sebenarnya adalah untuk menjadi pendokong kepada pameran yang dilangsungkan. Maka katalog tersebut, seperti yang sepatutnya berlaku, telah bertindak sebagai perekod, perujuk dan penerang kepada objek-objek yang dipamerkan dalam pameran tersebut. Esei yang disertakan dalam katalog itu juga telah bertindak dalam kerangkan rujukan yang sama. Maka teks yang wujud
itu merupakan refleksi atau citra kepada objek seni atau barang seni yang dipamerkan dalam pameran tersebut. Pameran tersebut termasuk katalog yang diterbitkan boleh dianggap sebagai pembuka bicara kepada ruang apresiasi awal kesenian visual tradisional Melayu yang disifatkan benar-benar tulen dari segi kemelayuannya. Hal ini bermaksud keseluruhan praktis Rupa dan Jiwa itu adalah berkaitan eksposisi dan rujukan objek seni atau disebut pameran objek seni berbanding praktis kajian tekstual berkenaan objek. Maka Rupa dan Jiwa itu sebenarnya adalah hujah objek seni atau pameran seni dan bukan hujah teks seni.
Namun begitu tidak pula bermaksud teks yang dinyatakan itu terlalu lemah dan tidak signifikan. Bahkan dari perspektif yang lebih luas, kita sebenarnya dapat belajar, mengutip dan memahami mengenai banyak perkara berkenaan idea-idea penting dan signifikan sekitar aspek kesenian visual tradisional Melayu. Diantara yang paling penting dan banyak diketengahkan dalam teks tersebut adalah berkenaan alam semulajadi sebagai inspirasi, ilham atau subjek kepada bentuk seni yang diketengahkan atau dicipta. Dengan melihat bentuk dan ciri kesenian visual tradisional Melayu itu sendiri kita akan merasa sedar bahawa betapa rapatnya hubungan diantara alam dan penciptaan kesenian itu sendiri. Alam semulajadi yang berada dalam lingkungan hidup orang Melayu telah menjadi inspirasi, ukuran dan bahkan rujukan utama kepada ciptaan objek-objek bagi kegunaan hidup orang Melayu. Objek-objek tersebut telah dicipta untuk kemudahan hidup yang praktikal, namun inspirasi bentukan dan sifat bentukannya adalah jelas bersumberkan pemerhatian orang Melayu yang amat rapat kepada alam semulajadi disekelilingnya. Dengan mengambil ukiran bangau yang wujud pada perahu sebagai contoh, kita dapat melihat sejumlah interaksi, strategi dan transformasi yang menarik berkaitan hubungkait alam semulajadi sebagai inspirasi dan rujukan kepada orang-orang Melayu dalam hal kesenian. Pada suatu tahap kita dapat melihat imitasi realistik sebahagian burung bangau pada ukiran yang diketengahkan dan pada suatu tahap lain kita dapat melihat rupa bentuk bangau itu dikekalkan namun isinya telah mujaradkan dengan corak dan bentuk floral yang padat. Pada tahap lain pula kita dapat melihat bentuk bangau itu telah menjadi benar-benar abstrak dengan gaya rekaan unik tertentu. Hal ini menjelaskan kepada kita tentang idea kepada proses-proses olahan yang diketengahkan oleh tukang dan seniman Melayu iaitu seni Melayu bermula dari alam asal semulajadi kepada alam seni (mujarad) dan kembali semula ke alam semulajadi – wujud antara realiti tampak (zahir) dan realiti dibawah lapisan permukaan (batin).
rupa dan jiwa (1979) oleh syed ahmad jamal safrizal shahir
Alam dan persekitarannya yang merupakan sumber inspirasi, ukuran dan rujukan seniman atau tukang Melayu telah dilihat juga sebagai suatu kuasa atau punca kuasa yang besar dan perlu dirujuk dan dijadikan iktibar dari segi sumber dan aturannya. Memahami tabiat alam juga bermaksud mereka meneliti keupayaan dan sifat-sifat daya dan sumber yang terhasil dari alam. Dua kedudukan dapat dilihat dari keadaan ini iaitu pertamanya alam dan aturannya difahami dan diinsafi melalui ciptaan yang cuba meniru sifat dan keadaan aturan alam itu. Rekaan atau ciptaan seni yang membuat rujukan terus kepada aturan dan sifat alam itu terlalu banyak wujud dalam kesenian visual tradisional Melayu, contohnya seperti dalam seni ukiran kayu dengan cara tumbuhan tertentu tumbuh dan berkembang (Jalur Kacang, Bunga Ketumbit) atau ciri awanan di langit (Awan Bergerak). Keduanya adalah, alam dan aturannya difahami dan diinsafi dengan cara seniman atau tukang itu berinteraksi dengan sumberdaya alam itu sendiri. Ia terlihat dengan kaedah bagaimana seseorang seniman atau tukang itu mengguna dan mengeksploitasi bahantara dari alam. Ia jelas terlihat dengan cara bagaimana bahantara seperti kayu (ukiran), logam (perhiasan), tanah liat (peralatan memasak) atau daunan (anyaman) tertentu di eksploitasi atau digubah sehingga menampilkan ciri dan kualiti tertentu yang sepadan dengan nilai dan kekuatan bahan, disamping dapat mengeluarkan ciri keindahan asli bahantara tersebut.
Bagi seniman dan tukang Melayu, melihat alam itu adalah dengan memahami dan menghormati aturannya, bukan hanya pada tahap interaksi fizikal insan dan alamnya (antaranya melalui usaha mendapat hasil dari alam – bertani atau menternak), tetapi juga sehingga tahap mengikut rentak, sifat dan ciri keadaan alam dan elemennya. Keadaan inilah yang menjadikan bentuk-bentuk kesenian visual tradisional Melayu itu bersinergi dengan cara yang amat harmoni dengan alam semulajadi di mana seseorang seniman atau tukang itu hidup, menjelmakan objek seninya dan menggunapakai objek tersebut dalam kehidupan seharian. Keseluruhannya ciri, sifat dan ekosistem kesenian visual tradisional Melayu ini amatlah mapan dan lestari sekali.
Oleh kerana pemahaman dan rasa hormat yang mendalam terhadap alam itu wujud dan berpengaruh secara amat besar dalam hidup seniman dan tukang tersebut, maka sifat individualistik itu gagal ditemui dalam keseluruhan ekosistem kesenian visual tradisional Melayu. Seniman atau tukang sebagai seorang individu dilihat dan
difahami dalam kedudukan sebagai sebahagian dari ekosistem hidup itu sendiri dan bukan sebagai individu terpusat dan menguasai ekosistem. Maka kesannya ciri dan bentuk kesenian ini tidak memperlihatkan “suara diri”, keakuan dan ekspresi individu tetapi ia memperlihatkan pandangan kolektif (individu dan masyarakatnya) yang berselari dengan hasrat mencari harmoni dalam hubungan mereka dengan alam semulajadi disekeliling. Ciri kebenaran, keikhlasan dan kejujuran dalam mencari harmoni itulah yang menjelmakan sifat padan, molek, halus dan segak – iaitulah ciri keindahan utama dalam kesenian Melayu. Kerana itulah seniman dan tukang Melayu ini lebih dikenali sebagai seniman dan tukang tak bernama.
Di samping itu melalui teks katalog Rupa dan Jiwa yang dirujuk, dapat diketengahkan satu lagi ciri atau keadaan kesenian visual tradisional Melayu iaitu sifat dan ciri hiasan. Idea hiasan sebenarnya menguasai keseluruhan daya cipta, persepsi dan aplikasi kesenian ini. Bentukan objek dicipta dengan sesuatu tujuan yang praktikal melalui pembuatan yang molek lagi halus, namun ia disudahi atau dilengkapkan dengan hiasan yang juga molek, halus dan indah. Dalam konteks ini, hiasan bukanlah sekadar sebagai hiasan tetapi hiasan adalah sebahagian dari komponen utama pembuatan objek yang merupakan sentuhan keemasan yang seakan-akan memberi wajah (jiwa) kepada tubuh (raga). Hiasan itulah inti kepada kesenian Melayu dan ia adalah rupa kepada jiwa kesenian itu sendiri. Dari ukiran kayu, tempaan logam, sulaman, tekatan sehinggalah kepada pelbagai jenis dan bentuk anyaman, keindahan kesenian tersebut terletak kepada idea dan ciri hiasan itu sendiri yang penuh harmoni lagi molek ciptaanya.
rupa dan jiwa: melihat ke hadapan
Secara jujur tidak yang banyak berlaku atau berubah secara signifikan berkaitan pameran dan penerbitan Rupa dan Jiwa. Apa yang dimaksudkan sebagai “berlaku” disini adalah tiadanya tindakbalas atau kerja lanjutan yang dilakukan berdasarkan pameran dan penerbitan ini. Jika wujud sebarang usaha penyelidikan lanjutan atau hal-hal yang berkaitan dengannya, ia telah menjadi usaha yang terpencil dan tidak diketahui oleh khalayak. Bahkan bidang kesenian visual tradisional Melayu masih lagi belum terbangun sebagai sebuah ranah atau bidang kajian yang tersendiri. Selepas 38 tahun, tidak banyak yang berubah. Kita tidak mendengar sebarang siri persidangan atau forum khusus berkaitan kesenian visual