• Tidak ada hasil yang ditemukan

Temuramah bersama Nur Hanim Khairuddin

Dengan ucapan terima kasih kepada Valentine Willie.

Apabila anda mula menceburi bidang pengkuratoran pada akhir 1990-an, apakah pemahaman umum atau persepsi tentang peranan kurator di Malaysia? Adakah pemahaman atau persepsi tersebut telah berubah?

Pemahaman awal saya tentang pengkuratoran datang melalui penglibatan saya sebagai seorang seniman dalam pameran kumpulan pada pertengahan hingga akhir 1990-an. Pada ketika itu, saya memahami peranan kurator hanya melibatkan pemilihan tema, seniman dan karya, menyusun objek di ruang pameran, dan, dalam beberapa kes, menyumbang teks yang secara ringkas menerangkan tentang kerja-kerja dan seniman yang terlibat. Pada saya, kurator hanya memainkan peranan kecil, walaupun penting, dalam pameran. Mereka bertindak sebagai orang di sebalik tabir yang tanggungjawab utamanya adalah untuk memastikan bahawa hasil karya dipamerkan dengan betul. Saya juga menganggap bahawa kurator adalah pekerjaan mudah yang memerlukan cita rasa yang tinggi sedikit dan bakat dalam menulis. Pada masa itu, pada saya, kurator banyak berkait dengan estetik dan pertimbangan teknikal yang berkaitan dengan penyampaian seni kepada orang ramai.

Persepsi saya tentang pengkuratoran memang berubah, terutamanya sejak 10 tahun yang lalu. Saya menyedari bahawa pengkuratoran bukan sahaja terhad kepada menganjurkan pameran, atau hanya mempamerkan koleksi karya seni untuk dinikmati oleh orang awam. Sebaliknya, ia merangkumi keseluruhan aktiviti dan proses. Walaupun kebanyakan kurator yang bekerja hari ini, sama ada untuk institusi awam atau komersil masih berfungsi sebagai penganjur objek dan penulis teks mengikut tema dan konsep yang telah ditetapkan, saya melihat banyak perubahan telah berlaku. Ini sudah pasti mengubah dan memperluaskan pemahaman umum saya tentang amalan kurator.

Pada masa kini, amalan pengkuratoran di Malaysia seperti di tempat lain adalah lebih holistik, rumit, pelbagai dan banyak peringkat. Kurator memimpin dan mengawal keseluruhan proses pembuatan pameran, daripada membangunkan tema dan konsep berdasarkan kajian mendalam

Tiga Jenis Kurator:

Temuramah bersama Nur Hanim Khairuddin

TEMU SELIDIK MENERUSI E-MEL BERSAMA YAP SAU BIN, 18 OGOS 2017. TERJEMAHAN DARI BAHASA INGGERIS OLEH ROHAIDA ALI DAN URSILAN ZAKI.

temu ramah bersama nur hanim khairuddin tiga jenis kurator dan rujukan melalui membentuk ruang, aliran, konteks dan wacana

pameran untuk menyusun teks kuratorial dan promosi, dan melaksanakan program sampingan.

Namun, yang paling penting, kurator berfungsi sebagai perantara antara pelbagai agen: seniman, karya seni, institusi, penonton, media, masyarakat umum, bahkan pengumpul. Ini bermakna kurator memainkan peranan yang lebih aktif dan kritikal. Mereka berada betul-betul di tengah-tengah proses penghasilan, pengantaraan, penyebaran dan penggunaan seni. Itulah sebabnya pameran dan projek kontemporari selalunya melibatkan acara sosial, perbincangan dan pendidikan, seperti penyelidikan latar belakang, lawatan kurator, persembahan artis, forum, ceramah, dan aktiviti kanak-kanak; tidak seperti sebelum ini apabila kurator biasanya mengambil tempat duduk belakang selepas pelancaran rancangan mereka. Ini telah mendorong kurator untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran - kreatif, praktikal, pentadbiran, teoretikal, intelektual, sosial - dan bekerja dalam pelbagai bidang, disiplin dan amalan. Sekiranya sebelum ini kita hanya melihat satu jenis kurator, kini kurator boleh dikategorikan kepada sekurang-kurangnya tiga: institusi, galeri dan bebas. Terdapat perbezaan yang ketara dalam fokus, amalan dan objektif kuratorial mereka. Secara umum, mereka yang bekerja di institusi dan galeri tidak begitu eksploratif berbanding mereka bekerja secara bebas. Memandangkan kurator institusi perlu mematuhi peraturan tertentu dan mengikut matlamat yang telah ditetapkan oleh majikan, mereka tidak mempunyai banyak ruang untuk mencuba bentuk kuratif yang lebih eksperimental dan radikal yang mungkin tidak selari dengan dasar museologi dan pensejarahan institusi atau agenda komersial galeri mereka. Sebaliknya, kurator bebas, terutamanya apabila bekerja bagi projek yang dimulakan sendiri atau ruang yang dikendalikan oleh artis dan program yang dibiayai sendiri, mereka sering kali bebas mengguna pakai banyak strategi kuratorial, termasuk DIY dan gerila.

Sementara itu, anda berpengalaman bekerja sebagai ketiga-tiga jenis kurator tersebut. Dalam masa lebih dari 20 tahun, penglibatan anda dalam projek-projek ini merangkumi acara seperti Pekan Seni Ipoh, bekerja dengan artis muda dan kanan di institusi serta galeri komersial dan ruang independen dan baru-baru ini anda bekerja di biennale antarabangsa.

Apakah perbezaan antara pelbagai projek ini? Bagaimanakah amalan kurator anda telah berkembang dalam tempoh ini?

Pada tahun 1996, saya dilantik oleh Yayasan Kesenian Perak (YKP) sebagai kurator. Acara utama kami ialah Festival Seni Ipoh tahunan yang berlangsung dari tahun 1996 hingga 2000. Ia merupakan perayaan pelbagai disiplin yang merangkumi unsur seni visual, teater, muzik, kerajinan, kesusasteraan dan persembahan tradisional. Walaupun saya merupakan sebahagian daripada penganjurnya, iaitu jawatankuasa kuratorial, peranan saya adalah lebih sebagai fasilitator. Saya melakukan banyak kerja-kerja pentadbiran daripada mengatur pengangkutan kepada menyunting katalog dan risalah, hinggalah kepada memastikan bahawa tandas ada disediakan untuk pelawat. Ini adalah pengalaman pertama saya dalam kurator. Ia mengajar saya bagaimana mengendalikan pelbagai masalah dan kebimbangan, serta berunding dengan kumpulan orang yang berlainan, termasuk agensi negara seperti polis dan majlis-majlis tempatan. Saya juga belajar tentang pentingnya mewujudkan rangkaian yang luas, yang telah terbukti sangat membantu untuk amalan kurator semasa saya.

Sekitar tahun 2000, operasi YKP perlu dikurangkan. Pada masa itu juga saya mula meneroka ruang alternatif yang dikendalikan oleh artis, kumpulan muzik underground, dan kumpulan aktivis sosiopolitik. Kedua-dua faktor ini memberi saya inspirasi untuk meluaskan skop aktiviti YKP, maka terciptalah ruang seni kecil yang diberi nama rumah YKP. Ini memberi saya peluang untuk memperluaskan amalan kurator saya. Beroperasi dengan kakitangan dan bajet yang terhad, kami berjaya mengadakan pelbagai aktiviti termasuk perbincangan seni budaya Gebang Seni bulanan, acara Genta Merdeka, sesi perkongsian artis, pertunjukan filem, persembahan muzik, bacaan puisi dan bengkel seni kanak-kanak, dan projek bukan-seni dan sosial seperti kempen menderma darah dan kempen amal kemanusiaan.

Saya dapati setiap jenis pameran yang saya melibatkan diri masing-masing mempunyai masalah yang berbeza (dan begitu juga dengan keseronokannya). Setiap satunya memerlukan saya menggunakan sedikit pendekatan yang berbeza. Sepanjang tempoh saya di rumahYKP, saya mula terlibat dalam beberapa jenis praktis berasaskan komuniti dan estetika hubungan sosial dan khusus mengikut tapak. Ini mendorong saya untuk bergerak jauh dari persekitaran white cube, memberi saya peluang untuk membawa seni bagi melibatkan diri dengan penonton yang

temu ramah bersama nur hanim khairuddin tiga jenis kurator lebih luas. Menguruskan pameran secara solo atau kumpulan untuk artis

muda dan baru meningkat naik pula sebenarnya tidak banyak yang perlu dilakukan kerana tujuan mereka adalah untuk memperkenalkan artis-artis ini kepada dunia seni atau komersial semata-mata. Bagi menganjurkan pertunjukan untuk seniman senior yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia, saya terpaksa berurusan dengan beberapa dimensi kaedah pengkuratoran yang menarik tetapi mencabar. Menganjurkan pertunjukan solo seniman pertengahan kerjaya dan senior mungkin kadang kalanya banyak tekanan. Saya tidak dapat melaksanakan idea saya bagaimana pameran tersebut patut dianjurkan atau bagaimana caranya untuk mewakili mereka. Sementara itu, penglibatan saya sebagai salah seorang kurator bersekutu untuk 2016 Biennale Singapura telah membantu saya memahami dengan lebih baik bagaimana untuk menganjurkan pesta seni kontemporari antarabangsa yang utama.

Saya menyedari bahawa amalan kuratorial saya pada asasnya melibatkan tiga jenis atau peringkat kerja: memfokuskan kepada perkara pentadbiran, pengurusan dan teknikal; melaksanakan idea-idea yang sudah diterima oleh pihak lain; dan memulakan dan merealisasikan rekaan, konsep dan wacana pameran saya sendiri. Melalui usaha saya, saya telah belajar bagaimana untuk berinteraksi, berunding dan bekerjasama dengan pihak lain yang mengambil bahagian dalam pelbagai peringkat pameran. Saya juga belajar bagaimana untuk mengendalikan pelbagai kekangan, dari keperluan institusi, tempoh masa dan belanjawan kewangan hinggalah kepada sensitiviti awam dan sikap artis terhadap pelbagai perjuangan kuasa dan kedudukan antara orang yang terlibat. Dalam penyuntingan katalog untuk pertunjukan utama, saya suka bekerjasama dengan beberapa penulis, jika boleh, dari pelbagai disiplin, demi mewakili suara yang berbeza dan ulasan pelbagai tentang seniman dan seni mereka. Saya juga menyedari betapa pentingnya pameran dan projek seni menjadi acara situasi atau sosial, menjadikannya dialog dan interaktif.

Projek mana yang menjadi rujukan utama bagi pembangunan kuratorial anda sendiri?

Saya rasa projek-projek dan aktiviti yang saya lakukan sepanjang tempoh saya sebagai kurator di YKP dan kemudian di rumahYKP memberi saya asas yang kuat. Walau bagaimanapun, projek atau pameran lain yang saya percaya telah menolong meningkatkan amalan kuratorial saya ke tahap baharu adalah pameran tinjau balik mini Sulaiman Esa di Balai Seni Visual

Negara pada tahun 2011, pertunjukan posthumous Ismail Hashim di Balai pada tahun 2015, dan semestinya, Singapore Biennale pada tahun 2016. Semasa mengendalikan pameran Sulaiman, sebagai contoh, buat pertama kalinya saya berhadapan dengan masalah berurusan dengan artis perintis yang sangat berpengaruh. Pelbagai karya yang dihasilkannya dan jenis wacana yang melibatkannya melalui seninya benar-benar meletakkan saya dalam situasi yang amat mencabar sebagai kurator. Di samping itu, dalam merealisasikan pameran tersebut, saya menghadapi masalah penciptaan secara fizikal, iaitu acara bersejarah dalam seni moden Malaysia, iaitu, pameran dia dan Redza Piyadasa pada tahun 1974 – ekspo Towards Mystical Reality. Semasa membantu Wong Hoy Cheong dalam pertunjukan Almarhum Ismail Hashim membolehkan saya, antara lain, memahami amalan kurator-sebagai-juruarkib, dan bacaan serta perwakilan intertekstual seorang artis yang telah meninggal dunia dan seninya. Strategi untuk mencipta semula karya-karya masa lalu, melalui semakan bahan-bahan arkib, membongkar wacana dan kedudukan secara kritikal, serta menggunakan pendekatan intertekstual yang saya ambil dari dua pameran ini kemudian diguna pakai dalam pertunjukan Zulkifli Dahlan yang saya uruskan baru-baru ini.

Singapura Biennale adalah pesta seni utama pertama yang saya sertai sebagai kurator. Tidak dinafikan, acara ini memberi peluang kepada saya untuk memperluaskan pengetahuan dan pengalaman dalam pengkuratoran. Saya telah belajar beberapa perkara baru di sini. Antaranya, proses yang ketat untuk mendefinisikan konsep dan reka bentuk pameran dan memilih seniman dan karya; kerjasama rumit dengan satu pasukan kurator dan pengurus yang sangat dinamik; dan keperluan kurator, terutama orang asing, untuk menyedari konteks sosial, politik dan budaya tempatan serta sensitiviti serta isu penapisan dan amalan pengawalseliaan.

Bagaimanakah anda melihat amalan kurator berkembang dalam lapangan seni Malaysia pada masa hadapan?

Kita harus menerima hakikat bahawa amalan kuratif di Malaysia, sebahagian besarnya masih lagi konvensional dari segi bentuk dan semangat, khususnya dalam ruang institusi dan komersial. Lebih-lebih lagi, kita tidak mempunyai kurator yang cukup terlatih secara rasmi, dan majoriti mereka yang ada hari ini dilatih sebagai seniman. Walau

temu ramah bersama nur hanim khairuddin tiga jenis kurator bagaimanapun, terdapat kemajuan yang menarik. Boleh dikatakan,

kurator tertentu telah membawa pengkuratoran tempatan ke peringkat kecanggihan yang lebih tinggi, dan kami kini menyaksikan pengkaryaan yang lebih dinamik berlaku di luar institusi dan galeri.

Terdapat banyak perkembangan menarik tetapi saya hanya tonjolkan beberapa sahaja. Sepanjang lima tahun yang lalu, bilangan kurator muda, terutamanya yang bekerja bebas, kelihatan meningkat terutama dalam suasana kreatif seni indie dan di kalangan aktivis sosiobudaya. Sesetengah daripada mereka tidak semestinya berasal dari latar belakang seni halus tetapi disiplin lain seperti sains sosial, kesusasteraan, muzik, dan aktivisme sosial dan politik. Mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang memadai mengenai sejarah dan falsafah seni kontemporari tetapi mereka telah berjaya menghasilkan beberapa projek kuratorial yang menarik menggunakan medium, idea dan pendekatan baru. Antara kurator yang berpengetahuan tentang pergerakan seni kontemporari, nampaknya terdapat beberapa orang yang lebih berminat untuk terlibat dalam estetika hubungan sosial. Kebimbangan utama mereka adalah menganjurkan projek berorientasikan penonton yang mengambil kira penonton sebagai penonton aktif dan bukan aktif. Sesetengah daripada mereka, mungkin dalam protes terhadap pengkomersialan seni yang berleluasa, mengambil pendirian yang lebih avant-gardist dan konseptualis dalam kuratif mereka. Landskap sosiopolitik semasa juga mungkin telah memberi inspirasi kepada seniman dan kurator yang celik politik untuk memberi tumpuan kepada program, pertunjukan dan tindakan berasaskan komuniti atau bukan galeri, kadang-kadang dengan propaganda dan semangat campur tangan. Akhir sekali, kemunculan teknologi komunikasi dan maklumat yang lebih canggih telah menghasut beberapa orang untuk menggunakan Internet dan media sosial untuk mengawasi pertunjukan dan mengadakan acara dalam talian.

Pada tahap tertentu, nampaknya terdapat peralihan dalam peranan dan kuasa kurator juga. Dahulu, kita melihat kurator hanya berfungsi sebagai pemilih seniman dan bekerja untuk pameran tanpa memberikan sebarang respons perbincangan dan kritikal. Sekarang, mereka merupakan pereka atau pencipta atau pengarah acara yang mengambil keseluruhan proses menganjurkan pameran dengan sendiri atau bekerja sama dengan kolaborator lain. Terdapat juga fenomena kurator-sebagai-seniman, di mana kurator menganggap pameran yang mereka usahakan sebagai "objek" seni dalam dirinya sendiri. Peralihan ini mungkin berlaku sejajar

dengan transformasi semasa fokus, kecenderungan, asas teori dan ideologi kurator. Nampaknya pengkuratoran tidak lagi terhad kepada melakukan kerja pentadbiran dan menyusun objek dalam suasana kiub putih tetapi telah bergerak ke arah menjadi amalan kritis, antara disiplin, relasional, berorientasikan umum, serta politik dan amalan berpolitik.

Praktis Kuratorial di Malaysia Pasca 2010: