• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB PENDAHULUAN

VIII. Sorotan Kajian Lepas

1. Fauzi Deraman, “Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi: Satu Kajian Terhadap Karya-Karya Syeikh Dawud bin Abdullah Al-Fataniy” (tesis kedoktoran, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1997).

Di dalam kajian ini, pengkaji telah membincangkan berkenaan biografi dan metodologi penulisan Syeikh Dawud bin Abdullah al-Fatani dalam karya-karyanya. Selain itu, beliau turut memuatkan serba sedikit latar belakang perkembangan karya penulisan jawi di Nusantara dan beliau telahpun melakukan takhrij hadith secara ringkas daripada beberapa karya Syeikh Dawud antaranya hadith-hadith daripada kitab Idah al-Bab (iaitu kitab yang menyentuh hal-hal munakahat), Bughyat al-Tullab, Munyat al-Musalli, Ghayat al-Taqrib,

al-Durr al-Thamin dan Arba‘in Syeikh Dawud al-Fatani.

2. Asmeng Yalawae, “Penghayatan Hak Dan Tanggungjawab Suami Isteri Dalam Sistem Kekeluargaan Islam: Satu Kajian Khusus Di Narathiwat Selatan Thailand” (Disertasi, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1998).

Kajian ini lebih bersifat kajian lapangan dan tidak ada satu pun dalam kajian ini yang menyentuh secara khusus terhadap hadith-hadith munakahat.

3. Norliza Ghazali, “Objektif Perkahwinan: Satu Kajian Khusus Terhadap Kefahaman Dan Penghayatan Masyarakat Islam Di Kuala Lumpur” (Disertasi, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1999).

Kajian ini juga lebih bersifat kajian lapangan dan tidak ada satu pun dalam kajian ini yang menyentuh secara khusus terhadap hadith-hadith munakahat.

4. Mohd Muhiden B. Abd. Rahman, “Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Sumbangannya Kepada Pengajian Hadith: Kajian Terhadap Kitab al-Fawa’id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah” (tesis kedoktoran, Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1999).

Pengkaji telah menyentuh dalam kajian beliau berkenaan sejarah penulisan karya-karya hadith sejak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ia terus berkembang di Nusantara dalam bentuk penulisan jawi. Perbincangan topik yang diketengahkan pengkaji membantu penulis untuk mengumpulkan data-data berkenaan sejarah kewujudan penulisan kitab-kitab jawi dan kepentingannya kepada umat Islam di Nusantara. Bab munakahat juga terdapat di dalam Kitab

al-Fawa’id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah dan sedikit sebanyak

membantu penulis dari sudut pengumpulan data berkenaan hadith-hadith munakahat yang terdapat dalam karya penulisan jawi.

5. Aba Yazid, “Implementasi Teori Maqasid al-Syari‘ah Terhadap Konsep Nikah Dan Hak-hak Wanita” (Disertasi, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2004).

Kajian ini merupakan kajian yang bersifat perpustakaan. Perbincangan disertasi ini adalah lebih menjurus kepada usaha mempertimbangkan kembali nilai-nilai hak asasi kaum wanita dan prinsip kesetaraan gender dalam Islam yang mana ia diperbincangkan dalam teori maqasid al-syari‘ah. Kemudian itu, dibina semula bangunan fiqah nikah dan wilayah nikah moden setelah melalui proses analisis keseluruhan aspek termasuk mengambil kira khazanah pemikiran klasik berkaitan konsep dan wilayah nikah. Namun begitu, kajian ini tidak ada suatu isu pun yang menyentuh berkenaan perihal munakahat dalam karya jawi.

6. Khadher Ahmad, “Sumbangan Syeikh ‘Abd Al-Samad Al-Falimbani dalam Bidang Hadith: Analisis Metodologi Penyusunan dan takhrij Hadith dalam

Kitab Hidayah al-Salikin” (Disertasi, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2008).

Penulisan ini merupakan kajian di peringkat sarjana. Pengkaji telah memuatkan dalam kajian disertasi ini dengan penemuan metodologi ulama dahulu dalam membawa hadith. Contoh-contoh yang dibawa pengkaji sedikit sebanyak membantu penulis mengenalpasti elemen takhrij yang digunapakai ulama terdahulu dalam menyatakan hadith.

7. Yunelis, Ena, “Kedudukan Kitab Fiqh Klasik Mazhab Syafi‘i dalam Menetapkan Hukum Di Kalangan Ulama Nahdlatul Ulama” (Disertasi, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2008).

Kajian ini cuba mengenal pasti kitab-kitab fiqh klasik yang mana selalu diguna pakai dalam kalangan ulama Nahdlatul Ulama di Indonesia dalam menetapkan berbagai kes hukum yang terjadi dalam masyarakat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh klasik yang kerap dijadikan sumber adalah dari karangan ulama mazhab Syafii. Penulis berhajat kepada maklumat-maklumat sebegini kerana berkemungkinan kitab-kitab fiqh klasik ini ada menyentuh perihal munakahat dan juga mempunyai kaitan dengan kemunculan karya-karya jawi yang dikaji penulis.

8. Mohd Anuar Ramli, “Analisis Gender dalam Karya Fiqh Klasik Ulama Melayu” (tesis kedoktoran, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2010).

Kajian ini menfokuskan tentang analisis gender di dalam karya fiqh klasik ulama Melayu. Tujuan kajian ini adalah melihat sejauhmana kewujudan isu gender dan elemen bias gender dalam karya fiqh klasik dan juga melihat wujudkah sikap misoginis dari kalangan ulama Melayu terutamanya dalam isu-isu berkaitan dengan perempuan.

Pengkaji juga telah melakukan analisis gender dalam pelbagai tema fiqh dengan menjadikan kitab Furu‘ al-Masa’il karya Syeikh Dawud al-Fatani sebagai asas kepada kajian beliau. Antara tema-tema fiqh yang dikaji adalah dalam aspek munakahat (kekeluargaan). Namun begitu, pengkaji lebih khusus tertumpu dalam isu poligami sahaja berbanding isu-isu lain dalam munakahat.

9. Waliko, “Konsep Perwalian Nikah Menurut Tinjauan Hadis” (Disertasi, Program Pasca Sarjana, Universitas Islam Negeri (UIN), Syarif Hidayatullah Jakarta, 2004).

Kajian ini merupakan kajian yang hanya menfokuskan kepada konsep sebenar wali nikah yang dilihat daripada sudut hadith-hadith Nabi s.a.w. Kajian ini dilakukan supaya permasalahan yang timbul seperti hak perempuan sama ada untuk berwali atau tidak dalam konteks pernikahan dan lain-lain lagi dijelaskan sebaiknya. Walaupun sedikit sebanyak hadith-hadith yang dikaji adalah berkaitan munakahat, natijahnya kajian ini tidak menfokuskan persoalan hak suami isteri, perceraian dan lain-lain. Fokus utama kajian ini hanya tertumpu kepada isu wali nikah.

10. Mohd Aizul Yaakob, “Riwayat Mengenai Kelebihan Bulan Hijri dalam Jam‘u al-Fawa‘id wa Jawahir al-Qala‘id oleh Syeikh Dawud al-Fatani : Takhrij dan Analisis” (Disertasi Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2011).

Kajian disertasi ini hanya tertumpu kepada hadith-hadith yang berkaitan dengan bulan hijri.

11. ‘Imad Din ‘Umar Mustafa ‘Amir, “Al-Ahadith Waridah fi Himayah al-Usrah min al-Tafakkuk: Jam‘an wa Tasnifan wa Takhrijan” (Disertasi, Kuliah Pengajian Tinggi, Universiti Jordan, 2004).

Kajian ini menghimpunkan hadith-hadith yang berkait rapat dengan topik pemeliharaan daripada perpecahan keluarga. Hadith-hadith berkaitan dibawa bersama dan ditakhrij, kemudian disusun mengikut topik yang sesuai.

12. Forum Kajian Islam Tradisional Pasuruan (2004), M. Idrus Ramli (ed.), Menguak Kebatilan Dan Kebohongan Sekte FK3 dalam Buku “Wajah Baru Relasi Suami-Istri Telaah Kitab ‘Uqud al-Lujayn”, c. 1. Pasuruan: Rabithah Ma’ahid Islamiyah Cabang Kabupaten Pasuruan.

Buku ini dikarang oleh pihak Forum Kajian Islam Tradisional Pasuruan untuk menjawab pelbagai persoalan yang timbul serta mengkritik semula isu-isu yang ditimbulkan oleh pengarang buku “Wajah Baru Relasi Suami-Istri Telaah

Kitab ‘Uqud al-Lujayn” iaitu Forum Kajian Kitab Kuning (FK3) yang mana

mereka telah mengkritik kitab ‘Uqud al-Lujayn karangan Syeikh Nawawi Banten. Hakikatnya, terkandung dalam kitab ‘Uqud al-Lujayn, hadith-hadith yang menyentuh perkara-perkara munakahat. Oleh itu, kajian ini secara tidak langsung membantu penulis dalam mengumpulkan maklumat berkaitan hadith-hadith munakahat.