Kajian ini bertujuan untuk membandingkan pencapaian murid bermasalah pendengaran dari aspek kefahaman makna perkataan sebelum dan selepas menggunakan perisian PPBK pembelajaran kosa kata.
Objektif Kajian
Membandingkan perbezaan skor min praujian dengan skor min pascaujian dari aspek kefahaman makna perkataan bagi murid bermasalah pendengaran yang menggunakan perisian PPBK.
Hipotesis Kajan
Ha1 Terdapat perbezaan yang signifikan antara skor min pra ujian dengan skor min pasca ujian dari aspek kefahaman makna perkataan bagi murid bermasalah pendengaran yang menggunakan perisian PPBK.
LITERATUR
Masalah Bahasa Murid Bermasalah Pendengaran
Perkembangan bahasa golongan bermasalah pendengaran adalah satu bidang yang mendapat perhatian ahli linguistik sejak zaman Chomsky lagi. Pengkaji yang terlibat dalam kajian bahasa golongan bermasalah pendengaran termasuklah Kyle dan Harris (2006); Harris dan Moreno (2004); Quigley dan Paul (1984) dan Moores (1985). Kajian Quigley dan Paul (1984) mendapati kebolehan membaca murid bermasalah pendengaran yang berumur 14 hingga 16 tahun adalah sama dengan kebolehan membaca murid biasa yang berumur 7 tahun. Manakala Moores (1985) telah mengkaji perbandingan pencapaian 37 orang murid bermasalah pendengaran dengan murid biasa dalam ujian Kloz yang diukur mengikut Ujian Pencapaian Stanford. Kajian membuktikan murid bermasalah pendengaran lemah dalam kosa kata dan sintaksis yang mengakibatkan mereka lemah dalam membaca. Walau bagaimanapun, kemahiran membaca dan menulis ini masih boleh diajar kepada murid bermasalah pendengaran melalui latihan yang berterusan (Kyle dan Harris, 2006).
Bagi kanak-kanak biasa, mereka telah dibimbing menguasai bahasa bermula pada hari pertama mereka dilahirkan tetapi kanak-kanak bermasalah pendengaran terpaksa menunggu sehingga mereka memasuki alam persekolahan untuk mempelajari bahasa. Kanak-kanak bermasalah
pendengaran mencapai umur persekolahan dengan pemahaman yang sedikit tentang benda, walaupun benda tersebut mempunyai nama. Menurut Conrad (1981) terdapat kajian yang mengesan perkembangan bahasa kanak-kanak sejak bayi lagi. Menurut kajian tersebut, dalam usia tiga bulan kanak-kanak aktif mendengar pertuturan ibunya. Setelah berusia setahun, kanak-kanak biasa mula menyusun perkataan menggunakan kosa kata yang terdiri daripada 50 perkataan dan ketika berusia tiga tahun mereka sudah mempunyai 1000 patah perkataan namun kanak-kanak bermasalah pendengaran tetap seperti ketika berumur 3 bulan, tidak mempunyai kosa kata dalam minda mereka. Kajian ini disokong oleh Hallahan dan Kaufman (1991 dalam Mander et al., 1995) yang mengatakan murid bermasalah pendengaran ketinggalan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 tahun di belakang rakan sebaya mereka dalam kemahiran berbahasa. Jurang perbezaan ini akan bertambah selari dengan bilangan tahun persekolahan mereka.
Menurut Carnine, Silbert, Kame‘enui & Trarver (2004) pembelajaran bahasa adalah proses yang berterusan sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah ke akhir hayat. Makna perkataan pula boleh dipelajari secara tidak langsung melalui perbualan seharian, membaca buku kepada anak-anak sebelum tidur dan banyak lagi. Justeru, kanak-kanak bermasalah pendengaran yang mempunyai ibubapa yang bermasalah pendengaran lebih mudah mempelajari bahasa berbanding kanak-kanak bermasalah pendengaran yang mempunyai ibubapa yang boleh mendengar. Hal ini disokong oleh kajian Paul (1998) dan Marschark (1997). Kajian mereka mendapati kanak-kanak bermasalah pendengaran yang selalu berinteraksi dan belajar bersama ibu bapa lebih maju dalam pendidikan. Oleh itu, jelaslah bahawa komunikasi saling memahami dan belajar bersama ahli keluarga adalah penyumbang kepada pencapaian akademik yang baik dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pendengaran. Namun kekurangan program awal bagi membentuk bahasa, komunikasi dan minda bayi bermasalah pendengaran di Malaysia, menyebabkan mereka membesar dengan ketiadaan bahasa. Hal ini disebabkan kebanyakan ibu bapa mereka (di Malaysia) tidak berpendidikan tinggi, tinggal di luar bandar dan tidak mengambil berat tentang kepentingan komunikasi (Abdullah Yusoff & Che Rabiaah Mohamed, 2004). Hal ini menyebabkan ibu bapa tidak pasti bentuk bahasa (lisan, isyarat, tulisan) yang patut digunakan bagi tujuan komunikasi dengan anak mereka yang bermasalah pendengaran.
Pendekatan Pengajaran Bahasa Murid Bermasalah Pendengaran
Perkembangan teknologi maklumat memberi harapan baharu kepada murid bermasalah pendengaran untuk terus bersaing dalam bidang pendidikan. Banyak kajian telah dibuat di luar negara membuktikan penggunaan PPBK mampu membantu mempertingkatkan penguasaan bahasa golongan bermasalah pendengaran (Barker, 2003; Aist, 2002; Massaro dan Light, 2004). Oleh kerana multimedia adalah kombinasi daripada pelbagai sistem media seperti teks, grafik, animasi, bunyi, audio dan video, ia dijangka dapat membantu murid bermasalah pendengaran mempelajari bahasa dengan lebih mudah kerana maklumat dapat disampaikan dalam pelbagai cara. Walaupun mereka tidak dapat mendengar bunyi yang dihasilkan namun gabungan
berbagai media mampu menarik mereka untuk terus mencuba. Sebagai contoh, sekiranya murid mempelajari tentang ‗kucing‘, walaupun tidak dapat mendengar bunyi kucing namun mereka masih dapat membaca petikan dan melihat gambar kucing bergerak.
Crawford (1997) menyatakan multimedia berupaya menjadi alat bantu pengajaran yang efektif kerana ia berupaya menarik minat murid, penyabar dan responsif, berpusatkan murid, menyokong pembelajaran yang terbuka, bebas dan fleksibel, boleh diamalkan di mana-mana sahaja serta tidak mengenal jantina, bangsa dan ketidakupayaan. Sementara itu Matter dan Bos (1993) pula menjelaskan, penggunaan komputer boleh meningkatkan prestasi pencapaian murid kurang upaya dengan lima cara iaitu menyampaikan pengajaran bersesuaian dengan ciri-ciri unik individu, menyampaikan maklumat pengajaran secara sistematik, memberi peluang maklum balas segera dengan lebih kerap, meningkatkan motivasi untuk terus belajar ke tahap yang lebih kompleks, dan meningkatkan tumpuan perhatian yang lebih kepada menyelesaikan tugasan. Sebagai kesimpulan, ciri-ciri multimedia yang dinyatakan oleh para pengkaji jelas mampu membantu murid bermasalah pendengaran untuk mempelajari bahasa dengan lebih efektif.
METODOLOGI
Kajian ini berasaskan kepada reka bentuk kuantitatif yang menggunakan kaedah kuasi-eksperimen. Sampel dipilih daripada sekolah yang melaksanakan program integrasi untuk bermasalah pendengaran di negeri Sabah. Sekolah ini dipilih kerana sekolah ini adalah satu-satunya sekolah menengah di Sabah yang melaksanakan program integrasi untuk murid bermasalah pendengaran. Justeru, kajian ini menggunakan persampelan bertujuan.
Dalam kajian ini Ujian Pencapaian Kosa Kata (UPKK) digunakan untuk menilai pencapaian kefahaman murid bermasalah pendengaran terhadap makna perkataan sebelum dan selepas mengikuti pembelajaran menggunakan perisian PPBK. Ujian Pencapaian Kosa Kata ini digubal berpandukan Ujian Pencapaian Kosa Kata oleh Thornbury (2002). Oleh kerana perkataan-perkataan yang telah dipelajari hanya melibatkan nama tumbuh-tumbuhan maka soalan-soalan yang dibina adalah untuk memastikan responden mengetahui kedudukan perkataan tersebut di dalam kumpulan atau kelas perkataan yang diuji. Untuk tujuan ini dua bentuk soalan dibina iaitu:
a. Menulis perkataan mengikut kumpulan yang betul b. Memadankan perkataan dengan gambar
Analisis item telah dilaksanakan dengan menggunakan perisian QUEST dan item-item dalam UPKK adalah sesuai dengan Infit MNSQ antara 0.83-1.26. Manakala perisian PPBK dibangunkan khusus untuk murid bermasalah pendengaran dan telah dinilai oleh pakar ICT dan guru pendidikan khas.
PENGUMPULAN DATA DAN ANALISIS DATA
Proses analisis data dibuat menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Dalam kajian ini, analisis statistik deskriptif yang digunakan hanyalah bertujuan untuk menganalisis skor ujian murid. Ujian-t pengukuran berulang pula digunakan untuk membandingkan skor min praujian dengan skor min pascaujian dari aspek kefahaman makna perkataan bagi murid bermasalah pendengaran yang menggunakan perisian PPBK. Data-data dalam kajian ini dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis statistik yang terdapat di dalam program Statistical Package for the Social Science (SPSS) pada aras signifikan 0.05.
DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan analisis skor setiap item seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.1, ramai responden mempunyai masalah apabila mengelaskan perkataan mengikut kumpulan yang betul bagi kumpulan bunga dan sayur-sayuran. Peratusan responden menjawab dengan tepat bagi item 8-15 iaitu mengelaskan perkataan mengikut kumpulan bunga dan sayur-sayuran adalah rendah iaitu antara 30%–50%. Namun bagi kumpulan buah-buahan, peratusan responden yang menjawab betul adalah sederhana.
Jadual 1.1: Peratus responden menjawab betul
Item Bil. Responden Skor Pra Ujian % Murid Menjawab Betul Skor Pasca Ujian % Murid Menjawab Betul 1 30 20 66.7 21 70 2 30 14 46.7 22 73.3 3 30 9 30 17 56.7 4 30 14 46.7 17 56.7 5 30 9 30 13 43.3 6 30 17 56.7 19 63.3 7 30 11 36.7 17 56.7 8 30 6 20 12 40 9 30 7 23.3 11 36.7 10 30 9 30 12 40 11 30 7 23.3 12 40 12 30 5 16.6 13 43.3 13 30 5 16.6 15 50 14 30 6 20 9 30 15 30 7 23.3 13 43.3 16 30 20 66.7 24 80 17 30 21 70 22 73.3 18 30 5 16.6 23 76.7 19 30 17 56.7 20 66.7 20 30 15 50 21 70
Jadual 1.2 menunjukkan contoh jawapan yang diberikan oleh responden. Dapatan ini menunjukkan masih ada responden yang tidak dapat membezakan nama bunga, sayur dan buah-buahan. Ini menunjukkan responden masih tidak memahami makna perkataan yang dipelajari. Namun bagi item yang mempunyai gambar peratus responden yang menjawab betul adalah tinggi.
Jadual 1.2: Contoh jawapan responden
Buah-buahan Bunga Sayur-sayuran
labu seri pagi papaya
oren ixora kailan
dahlia daisi nanas
terung durian mawar
peria timun cempedak
Walau bagaimanapun dapatan kajian ini telah menunjukkan peningkatan skor min antara pra ujian dan pasca ujian seperti ditunjukkan dalam Jadual 1.3. Jadual 1.3: Perbezaan skor min antara pra ujian dan pasca ujian
Pra ujian Pasca ujian Perbezaan skor min
Min 7.80 11.73 -3.93
N 30 30
Sisishan
piawai 5.34 6.32
Seterusnya, untuk menguji hipotesis kajian, ujian-t pengukuran berulang telah digunakan. Hasil kajian dalam Jadual 1.4 mendapati nilai t-kiraan (-4.73) adalah lebih kecil berbanding dengan nilai t-kritikal (2.045) manakala nilai signifikan ialah 0.000 kurang dari aras keertian (α=0.05). Oleh itu hipotesis alternatif (Ha1) diterima iaitu terdapat perbezaan yang signifikan antara skor pra ujian dan pasca ujian dari aspek semantik bagi responden yang menggunakan perisian PPBK.
Jadual 1.4: Ujian-t pengukuran berulang (P<0.05)
Ujian Min Sisihan
Piawai
t df Sig.
(2-hujung) Pra ujian &
Pasca ujian -3.93 4.56 -4.73 29 0.000