Kaedah Menilai Kecekapan Kemahiran Membaca
Bahasa Arab dalam Kalangan Pelajar IPTA
[Method of Assessing The Proficiency of Arabic
Reading Skills among PHEI Students]
Nurul Iza Salsabila Che Rani1 & Kaseh Abu Bakar1 Abstrak
Kemahiran membaca secara harfiah bermaksud kecekapan dan kepandaian memerhati tulisan serta memahami maksudnya. Kajian ini menggunakan konsep dan teori bacaan daripada sorotan literatur pengkaji terdahulu dan dikumpulkan bagi menghasilkan artikel ini. Seperti yang dinyatakan oleh para sarjana terdahulu, penguasaan membaca dalam bahasa Arab dalam kalangan pelajar masih berada pada tahap yang rendah kerana tidak mampu menguasai kemahiran membaca dengan baik. Penilaian terhadap tahap kecekapan kemahiran membaca dalam bahasa Arab mengambil kira banyak aspek termasuk tahap kebolehbacaan. Kebolehbacaan merupakan tahap atau aras di mana pelajar boleh membaca dan memahami teks dengan baik dan memahami makna teks dengan baik. Revolusi pendidikan masa kini telah mewujudkan beberapa ujian kecekapan kemahiran bahasa bagi mengukur tahap kemahiran berbahasa pelajar. Penilaian ujian kecekapan dalam kemahiran membaca bahasa Arab yang berkualiti merupakan satu kaedah yang baik untuk mengukur tahap kemahiran membaca pelajar sekali gus membantu pelajar dan guru meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam kemahiran membaca bahasa Arab. Dengan adanya strategi efektif dalam meningkatkan penguasaan dan kecekapan kemahiran membaca bahasa Arab, matlamat pengenalan kursus mahupun jurusan bahasa Arab dan Pengajian Islam dalam kalangan pelajar IPTA tercapai. Rentetan itu, pelajar dapat menguasai kemahiran bahasa dengan menyeluruh dan membolehkan mereka dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda mahupun Ijazah Tinggi yang lain.
Kata kunci:
Kemahiran Membaca, bahasa Arab, Ujian Kecekapan Bahasa Arab. Abstract
Reading skills mean competence and the ability to observe writing and understand its meaning. This present study adopted reading concept and theory based on past literature and compiled to write up this article. As reported by past scholars, it shown that reading proficiency in Arabic among students is still at a low level because they are not able to master reading skills efficiently. Assessment of the level of proficiency in reading skills in Arabic takes into account many aspects including the level of readability. Readability is the level or levels where students can read and understand the meaning of the text properly. Revolutionize education today has created some language competency test to assess the level of language proficiency of students. Evaluation tests of proficiency in reading Arabic that quality is a good method to measure the students' reading skills while helping students and
1 Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi,
Selangor Darel Ehsan, MALAYSIA
Corresponding Author:
Kaseh Abu Bakar, Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600
UKM Bangi, Selangor Darel Ehsan, MALAYSIA *E-mail: [email protected]
BITARA
Volume 4, Issue 1, 2021: 158-170 © The Author(s) 2021 e-ISSN: 2600-9080 http://www.bitarajournal.comteachers to improve the quality of teaching and learning, especially in reading Arabic. With aids of effective strategies in enhancing empowerment and mastering in reading Arabic language, the objectives of Arabic language courses among PHEI students achieved. In line with that, the students could empowering the language skills comprehensively and they eligible to be awarded Bachelor Degree as well as others highest degree.
Keywords:
Reading Skills, Arabic, Arabic Proficiency Test.
Cite This Article:
Nurul Iza Salsabila Che Rani & Kaseh Abu Bakar. 2021. Kaedah menilai kecekapan kemahiran membaca bahasa Arab dalam kalangan pelajar IPTA. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 4(1): 158-170.
Pengenalan
Menurut Kamus Dewan (2014), kemahiran membawa maksud kecekapan dan kepandaian melakukan sesuatu perkara, manakala membaca pula merujuk kepada memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti serta memahamkan makna kandungannya. Frasa kemahiran membaca secara literal membawa maksud kecekapan dan kepandaian memerhatikan tulisan serta memahamkan maksudnya. Definisi membaca telah berubah dengan begitu ketara sekali sejak lima puluh tahun dahulu kerana pengetahuan individu mengenai proses membaca semakin berkembang. Namun pemahaman tentang proses membaca, dan beberapa bentuk penakrifan adalah penting jika proses pengajaran dan teknik penilaian mencukupi. Pada dasarnya, membaca adalah proses pemikiran yang konstruktif dan merangkumi pemahaman makna tersurat dan tersirat. Ia melibatkan aplikasi, analisis, penilaian dan imaginasi. Membaca juga merupakan proses yang memerlukan kepada pemikiran. Ia adalah satu aktiviti di mana perkembangan kognitif individu dapat dikembangkan (Stauffer 1969; Walker 1974). Ini lebih daripada sekadar kemampuan untuk memahami makna yang jelas daripada petikan yang disampaikan malah pembaca boleh menghayati, mentafsir serta mempelajari sesuatu daripada bahan bacaan yang dibaca.
Seperti yang dinyatakan oleh Lado (1964), membaca didefinisikan sebagai satu proses untuk memperjelaskan pola sesuatu bahasa berdasarkan tulisan yang dinyatakan. Dengan adanya pola bahasa yang jelas ianya membolehkan pembaca untuk mengecam perkataan, mengaitkan perkataan dengan bunyi dan seterusnya dapat menterjemahkan kepada makna (Dechant, 1970). Membaca juga diinterpretasikan sebagai satu proses untuk memahami lambang-lambang bercetak atau bertulis agar pembaca dapat menterjemahkannya kepada makna. Menurut Kenedy (1981), kemahiran membaca melibatkan beberapa tahap keupayaan seperti proses mengecam bentuk visual, menghubungkaitkan dengan makna, memahami serta menginterpretasikan maksud.
Secara umumnya, membaca adalah salah satu sumber kepada asas pengetahuan dan pembentukan diri ke arah memperoleh ilmu pengetahuan (Pringgawidagda 2002) dan tujuan membaca adalah untuk memahami teks yang dibaca dan memastikan kandungan teks yang dibaca memberi makna kepada pembaca (Yahya 2005). Hal ini bererti membaca memberikan respon terhadap segala ungkapan penulis sehingga mampu memahami kandungan bacaan
dengan baik. Konsep kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul (Rosni Samah 2012). Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan (Ashinida Aladdin 2012 & Uraidah Abdul Wahab 2014).
Revolusi Kemahiran Membaca
Bermula dari kemunculan pencetakan pada zaman Johann Gutenbergy sehingga perkembangan media digital, ianya menjelaskan transformasi yang dialami bagi pembaca untuk menguasai kemahiran membaca. Seperti yang dapat dilihat dengan jelas, berlaku perubahan yang ketara dalam kalangan masyarakat mengenai tabiat membaca yang melibatkan proses yang kompleks serta memerlukan persekitaran yang kondusif. Dalam erti kata lain, penguasaan kemahiran membaca memerlukan keadaan yang senyap dan sunyi untuk membolehkan pembaca memberi fokus. Ianya dapat dikaitkan dengan penglibatan kemahiran lain dalam proses membaca seperti kemahiran berfikir, penumpuan yang mendalam serta kebolehan untuk membuat reflekso terhadap idea dalam kandungan bacaan. Secara amnya, dengan adanya buku, kertas mahupun media cetak, proses membaca dapat dilaksanakan dengan mudah.
Seterusnya, aktiviti membaca turut dilaksanakan di alam maya dan pelaksanaannya dilihat berbeza berbanding membaca berasaskan media cetak. Berikutan oleh pemodenan yang menghambat masyarakat pada masa kini, ianya memberi impak kepada penumpuan pembaca untuk melaksanakan aktiviti membaca contohnya aktiviti pembacaan yang dilaksanakan dalam alam maya. Kemajuan teknologi tidak membataskan industri percetakan di mana ianya masih menjadi tumpuan utama serta dijadikan rujukan. Sebagai contoh, siswa siswi masih lagi menggunakan buku yang ada di perpustakaan untuk dijadikan rujukan utama dalam pembelajaran walaupun terdapat kemudahan internet untuk mendapat nota dan jurnal dalam laman sesawang.
Kesimpulannya, konsep membaca yang banyak dibincangkan kini, merupakan rentetan kesinambungan daripada proses perkembangan bahan bacaan, kaedah bacaan, dan kemahiran membaca individu itu sendiri. Ini termasuklah hal yang berkait dengan tahap kecekapan kemahiran membaca bahasa Arab yang merupakan pemangkin utama kajian ini. Perlu juga difahami bahawa tujuan utama membaca walau dalam apa jua bahasa pun, adalah untuk memahami bacaan dan bukanlah sekadar kebolehan menutur patah-patah perkataan. Justeru penguasaan kemahiran membaca yang dilengkapi dengan aplikasi strategi membaca perlu dititikberatkan oleh pembaca dalam usaha pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Kepentingan Kemahiran Membaca
Francis Bacon, seorang ahli falsafah Inggeris pernah berkata ”reading maketh a full man”, membaca membuatkan seseorang berisi dengan ilmu agar berupaya untuk berfikir secara kritis, rasional serta mengamalkan gaya pemikiran terbuka. Seperti yang dinyatakan oleh Alimuddin Mohd Dom (2009), individu yang membudayakan sikap suka membaca merupakan individu yang berbudaya tinggi serta berupaya mendorong orang lain untuk turut sama mempraktikkan budaya membaca.
Berdasarkan lima ayat pertama dalam surah al-‘Alaq, ayat tersebut menjelaskan kepentingan membaca. Secara terperincinya, lima ayat pertama dalam surah tersebut menjelaskan bahawa: (1) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. (2) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (3) Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. (4) Yang mengajar (manusia) dengan pena dan tulisan. (5) Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya (al-Quran al-Karim, surah al-‘Alaq).
Menurut tafsiran Sayyid Qutb (1992), surah tersebut menjelaskan bahawa kemahiran membaca merupakan tuntutan belajar dan mengajar menerusi perantaraan qalam (pena atau tulisan) agar ilmu dapat diperolehi dan dalam masa yang sama disebarkan. Seperti yang dinyatakan oleh Kazmi (2005), penggunaan perkataan iqra’ (bacalah! Olehmu) yang ditekankan dalam surah al-‘Alaq menunjukkan perbezaan dengan konteks isma’ (dengarkanlah olehmu) di mana ilmu pengetahuan memerlukan usaha melalui pembacaan di mana ianya disifatkan sebagai aktiviti aktif berbanding mendengar yang disifatkan sebagai aktiviti yang pasif.
Merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Shihab (1996), teknik membaca dibahagikan kepada dua jenis iaitu membaca tanpa teks bacaan (seperti yang dipraktikkan oleh Nabi S.A.W) dan membaca berpandukan teks seperti membaca al-Quran. Qutb (1992) menyatakan bahawa bahan-bahan bacaan yang merangkumi segala perkara bermanfaat dan dapat dijangkau oleh manusia dengan perantaraan pelbagai media yang disimbolkan sebagai
al-Qalam (pena) yang “merupakan alat atau bahan paling berkesan dan dominan ke arah
pemerolehan ilmu pengetahuan”. Perkara ini menjelaskan bahawa surat al-‘Alaq telah memperincikan elemen membaca meliputi jenis, bahan dan media masa.
Aktiviti membaca adalah proses kemahiran yang kompleks di mana ianya melibatkan aspek kognitif yang berteraskan elemen pengecaman, membuat interpretasi dan persepsi terhadap bahan bercetak mahupun bertulis (Giesen, 2001). Seperti yang dinyatakan oleh Goodman (1971), proses membaca bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat di dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan dan ianya dikategorikan sebagai proses psikolinguistik. Manakala, dari perspektif Crawley dan Mountain (Farida, 2005), proses membaca meliputi elemen pemikiran, pemahaman, penelitian, dan penilaian yang berasaskan aspek metakognitif. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa proses membaca adalah dinamik tetapi kompleks untuk memastikan pembaca dapat menguasai kemahiran membaca dengan cepat, memahami dan membuat interpretasi secara menyeluruh (Nik Farhan et al., 2010).
Dalam mendapatkan ilmu pengetahuan seperti yang diunjurkan dalam Islam, membaca merupakan platform yang efektif ke arah tujuan tersebut. Berikutan itu, dalam menguasai pembelajaran bahasa, kemahiran membaca merupakan kemahiran yang terpenting seperti yang telah dipersetujui oleh ilmuwan bahasa Timur dan Barat. Oleh itu, dalam usaha meningkatkan proses pembelajaran dan pemikiran, pelajar mahupun individu hendaklah menguasai kemahiran membaca. Dengan menguasai kemahiran membaca, setiap kandungan dalam proses pembacaan dapat difahami dengan menyeluruh. Ianya bertepatan dengan dapatan kajian oleh Nambiar (2005); Urquhart & Weir (1998); Della (1998) bahawa proses membaca merupakan proses kognitif yang membolehkan individu meningkatkan kemahiran membaca.
Dalam konteks pelajar, membaca dapat meningkatkan dan meluaskan pengetahuan pelajar terhadap sesuatu perkara. Menerusi aktiviti membaca, ianya turut membantu pelajar
untuk mendapatkan ilmu daripada sumber-sumber alternatif dan tidak hanya bergantung kepada sumber primer iaitu buku dalam menimba ilmu. Dengan menguasai kemahiran membaca, pelajar dapat mensintesis dan mengkritik kandungan yang dibaca. Secara tidak langsung, proses tersebut dapat mempelbagaikan kebolehan pelajar di mana ianya merupakan salah satu strategi yang tepat dan efektif untuk memastikan pelajar dapat memahami kandungan yang dibaca sama ada isi yang tersurat mahupun tersirat.
Seterusnya, dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar, kemahiran membaca merupakan kemahiran yang paling dominan. Jika pelajar menguasai kemahiran membaca dengan baik khususnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) misalnya, ianya pasti menjadi pemangkin kepada proses pembelajaran secara kendiri sekali gus mendorong kepada kejayaan dan kecemerlangan mahasiswa dan mahasiswi di IPT. Hal ini kerana pembelajaran IPT lebih menekankan konsep pembelajaran kendiri di mana pensyarah hanya bertindak sebagai fasilitator, selebihnya bergantung kepada pelajar untuk mencorakkan pembelajaran mereka. Bertepatan dengan dapatan kajian yang dilaporkan oleh Huba & Freed (2000) di mana pelajar IPT bebas untuk meneroka ilmu berdasarkan keinginan dan minat mereka melalui kemahiran membaca.
Dapat disimpulkan bahawa kemahiran membaca amat penting untuk dikuasai oleh setiap pelajar. Ianya adalah untuk memastikan kemahiran tersebut dapat diguna pakai dalam kehidupan serta diaplikasikan untuk kemaslahatan manusia dan seluruh alam.
Kemahiran Membaca dalam Bahasa Arab
Seperti yang dilaporkan Ab. Halim Muhammad & Che Radiah Mezah (2007), tahap kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan pelajar di sekolah menengah adalah rendah berikutan oleh kelemahan mereka dalam menguasai tatabahasa, sebutan huruf serta tidak berupaya untuk membina ayat mengikut kaedah sebenar bahasa Arab (Ishak Rejab 1992). Situasi yang sama turut dialami oleh pelajar di peringkat pengajian tinggi di mana mereka tidak dapat menguasai kemahiran berbahasa Arab secara menyeluruh. Ianya disebabkan oleh kelemahan yang berlaku di peringkat sekolah menengah. Dalam pengajian Islam terutamanya peringkat pengajian tinggi, penguasaan Bahasa Arab diibaratkan sebagai “nyawa” (Anwar Zainal Abidin, 1993:197). Menurut Ashinida Aladdin (1998), dalam memastikan pelajar di peringkat pengajian tinggi yang mengambil jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab layak dikurniakan ijazah sarjana muda mahupun ijazah yang lebih tinggi, mereka perlu menguasai bahasa Arab dengan menyeluruh terutamanya dari segi membaca dan memahami sumber-sumber pengajiannya dalam jurusan tersebut.
Strategi membaca merupakan antara strategi pembelajaran utama yang perlu diberi penekanan (KPM 2001). Penguasaan kemahiran membaca dalam bahasa Arab yang baik mampu memberi impak yang besar terhadap tahap kecekapan kemahiran membaca bahasa Arab dalam kalangan bukan penutur jati khususnya pelajar bidang pengajian Islam di Institusi
Pengajian Tinggi. Kemahiran membaca merupakan gabungan daripadakemahiran mendengar,
bertutur dan menulis agar penguasaannya berada pada tahap optimum. Dalam konteks penguasaan kemahiran Bahasa Arab, kemahiran membaca perlu diberi perhatian dan keutamaan yang lebih terperinci kerana kemahiran membaca teks bahasa Arab menjadikan
pelajar memahami bahan bacaan pengajian Islam yang ditulis dalam bahasa Arab. Seperti yang dilaporkan oleh Nik Rahimi (1998), kemahiran menguasai bahasa Arab adalah penting agar dapat dipraktiskan secara meluas berikutan oleh bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran yang menjadi panduan hidup sebagai seorang Muslim.
Bahan bacaan, proses membaca dan berfikir dilihat mempunyai hubungan yang signifikan terhadap kemahiran membaca. Penguasaan proses membaca melibatkan beberapa elemen seperti faham, tindak balas dan kritis di mana pembaca perlu berfikir secara aktif agar dibolehkan untuk berinteraksi dengan teks. Oleh itu, pembaca dapat memahami makna yang tersurat dan tersirat yang disampaikan oleh penulis (Nik Farhan et al., 2010). Secara tidak langsung, kemahiran membaca dapat dikuasai. Tambahan pula, penguasaan kemahiran membaca yang dikuasai oleh pelajar dapat menjadikan proses pembelajaran berlangsung dengan lebih dinamik dan bermotivasi serta mendorong amalan membaca.
Sebagai bahasa semulajadi, keupayaan dalam memahami teks arab secara rasionalnya mempunyai keupayaan yang sama untuk memahami kriteria bahasa asing yang lain. Dalam mengatasi masalah terhadap kelemahan menguasai kemahiran bahasa seperti Bahasa Arab, strategi pembelajaran bahasa (SPB) dilihat memberi impak yang memberangsangkan. Ianya kerana kemahiran membaca dapat ditingkatkan di mana strategi tersebut bertindak sebagai pendorong untuk menguasai kemahiran membaca.
SPB bertindak sebagai satu cabang ilmu dalam meningkatkan kemahiran membaca. Berikutan itu, strategi tersebut meliputi proses-proses mental yang digunakan untuk meningkatkan penguasaan kemahiran bahasa tersebut menerusi tindakan yang dilaksanakan (Cohen 1990 & Garner 1987). Menurut Macaro & Erler (2008), strategi kemahiran membaca merupakan tugasan yang difikirkan oleh pembaca untuk membina makna dari bahan bacaan dan melibatkan gabungan beberapa bentuk tindakan yang perlu dilakukan oleh pembaca serta boleh dipelbagaikan dan disesuaikan dengan kandungan, tahap kebolehbacaan dan mutu bahan bacaan, agar kefahaman terhadap teks dapat dioptimumkan. Berikutan oleh pelbagai persoalan dan perbahasan tentang pelaksanaan SPB, Rubin (1975) menyatakan bahawa SPB diaplikasikan dalam kelas mahupun luar kelas menyumbang kepada kecemerlangan pelajar dalam pengajian mereka. Oleh itu, terbukti bahawa SPB berkesan dalam meningkatkan penguasaan pelajar dalam menguasai kemahiran membaca.
Dapat dilihat dengan jelas bahawa SPB boleh diajar dan dipelajari di mana ianya bertindak sebagai pemangkin untuk memastikan individu dapat menguasai kemahiran membaca secara kolektif. Dapatan tersebut dilaporkan oleh Kamarul Shukri et al. (2009); Macaro (2001); 0’Maley & Chamot (1990); Oxford (1990) bahawa pelaksanaan SPB merupakan alternatif untuk meningkatkan penguasaan pelajar mempelajari bahasa asing.
Setelah mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh pelajar dalam menguasai kemahiran bahasa Arab, pastinya revolusi kemahiran membaca semakin bergerak maju dalam memperbaiki mutu dan meningkatkan tahap kecekapan kemahiran membaca dalam bahasa Arab. Justeru itu, perkara utama yang seharusnya dilakukan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran bahasa Arab di Malaysia adalah dengan membina dan mengesahkan ujian-ujian yang relevan bagi mengenal pasti tahap kemahiran bahasa Arab dalam kalangan pelajar. Pelbagai ujian penilaian bahasa untuk menguji tahap kecekapan kemahiran pelajar telahpun dibangunkan oleh serata dunia dan diguna pakai hasil daripada perkembangan kemahiran
bahasa dan pastinya tujuan utama ujian kecekapan ini adalah untuk menilai tahap kecekapan kemahiran bahasa individu.
Ujian Penilaian Kemahiran Membaca
Ujian membaca adalah penting dalam membantu guru mahupun pensyarah untuk menilai tahap kemahiran membaca pelajar. Melalui pemerhatian secara teliti terhadap ujian kecekapan kemahiran membaca, pastinya kelemahan pelajar dalam penguasaan kemahiran membaca dapat dikenalpasti sekaligus membantu pelajar untuk meningkatkan tahap kecekapan kemahiran membaca mereka dalam pembelajaran. Fakta mengenai sumbangan positif yang diperolehi daripada pelbagai jenis ujian membaca adalah untuk meningkatkan kualiti kemahiran membaca. Pengujian dalam ujian penilaian membaca berkait rapat dengan aspek membantu meningkatkan tahap kemahiran membaca pelajar.
Penggunaan asas ujian dalam program pendidikan adalah untuk memberi maklumat dan keputusan serta membuat penilaian (Azizi Yahya et al. 2017). Ujian kecekapan bahasa memainkan peranan penting dalam penyelidikan kesan perbezaan pengajaran dan teknik pemerolehan bahasa. Ukuran penguasaan bahasa merupakan komponen penting dalam beberapa kajian penilaian kaedah pengajaran bahasa asing skala besar yang dijalankan pada tahun 1960 (Smith & Levin 1970). Ujian kecekapan bahasa juga telah menunjukkan kriteria keupayaan bahasa untuk pengajaran dan pemerolehan bahasa kedua di dalam kelas (Chaudron 1988).
Dalam satu kajian yang telah dilakukan, Kaseh (2008) telah memberikan pandangan berkenaan beberapa ujian berkaitan ujian bahasa Arab atau ujian diagnostik untuk menceritakan perihal konsep ujian diagnostik keatas pembacaan bahasa Arab. Antara perkara yang ditekankan adalah konstruk pembacaan dalam ujian yang dijalankan, bagaimana ujian kecekapan dibentuk, dan bagaimana ujian penilaian kemahiran bahasa ini berfungsi. Terdapat pelbagai ujian yang telah dibina untuk menilai tahap kecekapan bahasa, antaranya Online
Arabic Profeciency Test (O-APT), Al-Arabiyya Test dan DIALANG . Kesemua ujian ini boleh
menguji tahap kefahaman bacaan pelajar. Setiap ujian yang dibina pastinya telah mengikut skala ukuran yang tertentu bagi mengukur tahap pencapaian pelajar. Salah satu alat ukur utama yang menjadi skala pengukuran ujian kecekapan bahasa masa kini adalah skala pengukuran
Common European Framework of Reference For Language (CEFR).
Di Malaysia, perlaksanaan CEFR telah bermula pada tahun 2018 secara besar-besaran di mana pihak Kementerian telah mula memanggil para guru Bahasa Inggeris di seluruh Malaysia untuk diberikan taklimat dan kursus mengenai format dan input CEFR. Hal ini kerana peranan skala pengukuran CEFR ini sudah mula dikenali dan berpotensi untuk menjadi kayu ukur kepada tahap penilaian penguasaan bahasa pelajar. Pembinaan konstruk ujian yang tidak jelas memberi kesan terhadap penilaian pelajar. Begitu juga dengan pembinaan konstruk yang tidak merangkumi kesemua tahap, hal ini akan menyebabkan tahap kemahiran bahasa pelajar sukar untuk dibezakan sekaligus menyebabkan data yang diperolehi tidak jelas. Pengesahan konstruk adalah perlu untuk menilai sejauh mana langkah-langkah yang paling baik diambil untuk membina item. Bagi tujuan pengesahan, spesifikasi ujian perlu membuat rangka kerja teori yang mendasari ujian untuk menghuraikan hubungan antara teori dan tujuan ujian itu
direka (Charles Alderson 1995). Pengujian, pengukuran dan penilaian berdasarkan instrumen penilaian yang sah dan boleh dipercayai sahaja dapat menganalisis data dengan tepat bagi mencapai objektiviti sesuatu instrumen (Ahmad Hashim 2004).
Jenis Ujian Kemahiran Bahasa
Online Arabic Profeciency Test (O-APT)
O-APT adalah ujian kecekapan untuk menguji tahap penguasaan bahasa Arab dalam kemahiran mendengar dan membaca yang telah dibangunkan oleh Center for Applied Linguistics (CAL). Ini merupakan salah satu perkembangan daripada ujian kecekapan bahasa Arab manual kepada ujian berasaskan komputer dan ia secara langsung dipengaruhi oleh garis panduan kecekapan ACTFL dalam semua peringkat pembinaan ujian: spesifikasi ujian, pemilihan teks, pembentukan item dan semakan item (Winke & Aquil, 2006).
Pembinaan konstruk ujian bacaan didalam O-APT ini dilihat berpandukan garis panduan kecekapan ACTFL. ACTFL merupakan garis panduan umum bagi mengukur kemampuan berbahasa asing. Kemudian diikuti dengan pembinaan garis panduan khusus mengikut bahasa. Bahasa Arab tidak terkecuali daripada arus perkembangan ini apabila sembilan pakar pengajian dan pengajaran bahasa Arab di Amerika Syarikat berganding bahu menghasilkan Arabic Proficiency Guidelines berasaskan garis panduan umum tadi (Allen 1995). Ia adalah suatu sistem yang membandingkan kecekapan berbahasa seseorang pelajar bukan penutur jati dengan kecekapan berbahasa penutur jati sebagai kayu ukur (Allen 1995). Terdapat 11 peringkat kesemuanya yang mewakili perkembangan kecekapan bahasa seseorang pelajar. Ia berasaskan kepada perincian tentang perlakuan bahasa seseorang bermula dari yang baru mula mempelajari bahasa (tahap novice low) hingga ke peringkat yang sudah mempunyai kemampuan profesional yang sempurna (Superior dan Distinguished).
Menurut Kaseh (2020), penilaian adalah suatu elemen yang amat kritikal. Penilaian berbentuk performance atau apa yang pelajar boleh lakukan adalah asas kepada pengukuran tahap kemahiran . Ini boleh digabung dengan penilaian berbentuk pencapaian seperti kuiz nahu atau yang berbentuk proses seperti portfolio. Melihat daripada isu-isu kesahan dan kebolehpercayaan, pertimbangan yang wajar dalam menentukan corak penilaian yang hendak digunakan dalam sesuatu instrumen itu haruslah diteliti dan dinilai dengan sebaiknya. Hal ini bagi memastikan pelajar dapat menyerlahkan apa yang mereka boleh lakukan dalam bahasa Arab dan pada masa yang sama, membolehkan guru mengukur kemahiran mereka.
Al-Arabiyya Test (https://toafl.com/al-arabiyya-test)
Al-Arabiyya Test adalah milik Al-Arabiyya Institute dan merupakan ujian penguasaan bahasa
Arab berasaskan komputer sepenuhnya yang dibangunkan oleh Eckehard Schulz, seorang Profesor di Institut Oriental Universiti Leipzig. Al-Arabiyya Institute mempunyai pengalaman selama lebih 40 tahun dalam mengajar dan membuat peperiksaan bahasa Arab dan akademik untuk pelajar dalam bidang pengajian Arab dan juga pelajar yang dilatih untuk menjadi jurubahasa dan penterjemah mengikut piawaian dengan tahap I, II, III, IV yang mana
masing-masing mewakili A2, B1 dan B2 dan C2 dalam skala pengukuran CEFR. Walau bagaimanapun, untuk kemahiran mendengar, membaca dan menulis di dalam ujian ini diuji bermula tahap A1sehingga B2.
Al-Arabiyya Test ini sepenuhnya ujian kemahiran bahasa yang menggunakan pengujian
berasaskan komputer. Jika dilihat dengan teliti, ujian berasaskan komputer jauh lebih dekat dengan realiti penerimaan dan perkembangan bahasa, ianya lebih berkesan dan tidak mengambil masa yang lama berbanding dengan ujian secara manual. Pelajar yang diuji melalui Al-Arabiyya Test ini akan dinilai dalam masa tertentu seperti yang telah ditetapkan untuk setiap tugasan( penilaian membaca , menulis, bertutur, dan mendengar). Ia telah membuktikan secara praktikal bahawa tempoh masa dan jumlah soalan yang diberi untuk penilaian kemahiran individu membawa kepada keputusan yang dijangkakan mengikut skala pengukuran CEFR.
DIALANG
DIALANG adalah ujian kecekapan kemahiran bahasa berasaskan komputer untuk 14 bahasa Eropah (tidak termasuk bahasa Arab) yang dibina berdasarkan skala pengukuran CEFR dan tidak terhad kepada mana-mana silabus. Ia adalah ujian tanpa kepentingan yang direka untuk menyokong pembelajaran autonomi di mana pelajar diandaikan belajar bahasa dengan lebih baik apabila mereka dibimbing kawalan yang lebih baik ke atas pembelajaran dan lebih menyedari proses pembelajaran (Alderson 2003).
Tujuan ujian ini adalah untuk memberikan maklumat diagnostik berkenaan dengan kecekapan mereka dalam perbendaharaan kata, struktur ayat, membaca dan mendengar. DIALANG merupakan ujian separa penyesuaian (semi-adaptive) berbanding dengan penyesuaian peringkat item (item-level adaptivity), DIALANG terdiri daripada tiga ujian yang mempunyai tiga tahap kecekapan yang berbeza dan individu yang mengambil ujian diberikan ujian yang sepadan dengan kecekapan yang dipilih oleh mereka sendiri. Kemahiran membaca di dalam ujian DIALANG, dilihat dari segi tujuan dan perkembangan intelektual. Fokus utama DIALANG dalam kemahiran membaca adalah untuk mendapatkan maklumat, ianya juga merangkumi kemahiran berfikir aras tinggi dan pembacaan yang kritikal. Model DIALANG hanya menguji tiga kemahiran iaitu mengenalpasti idea utama, mengenalpasti butiran khusus dan membuat rumusan. Menurut Alderson (2000), bentuk teks merangkumi deskriptif, naratif, perbincangan dan arahan.
DIALANG boleh menguji melalui lima cara. Pertama, ianya adalah susunan empat ujian: mendengar, membaca, perbendaharaan kata dan struktur. Individu yang mengambil keempat-empat ujian ini, dapat mengetahui tahap kecekapan yang diukur untuk setiap kemahiran. Untuk setiap kemahiran, individu juga akan menerima penerangan secara terperinci tentang apa yang boleh dilakukan bersesuaian dengan tahap kecekapan masing-masing. Kedua, semasa mengambil ujian, individu yang diuji mempunyai pilihan untuk mengaktifkan butang maklum balas yang akan memaklumkannya mengenai ketepatan jawapan selepas setiap jawapan yang dikemukakan. Ketiga, prestasi individu yang diuji pada kompenan kemahiran yang berbeza akan ditunjukkan. Sebagai contoh, individu yang diuji dapat mengetahui sama ada kelemahan dirinya adalah dalam mencari maklumat terperinci. Keempat, selepas mengambil setiap ujian, individu akan diberikan maklum balas dan nasihat segera bagaimana untuk meningkatkan keupayaannya dalam kemahiran bahasa. Akhirnya, sistem ini juga
mentadbir penilaian kendiri dipermulaan setiap ujian. Tujuan sistem penilaian kendiri ini adalah untuk mempertingkatkan backwash effect DIALANG kerana ia menggalakkan pembelajaran autonomi dan kesedaran tentang pembelajaran bahasa seseorang.
Pada akhir ujian, sistem akan memaklumkan kepada individu yang diuji sama ada dia telah menilai dirinya dengan tepat, dan sekiranya terdapat percanggahan di antara penilaian kendiri dan penilaian yang diukur, ia akan memberikan penjelasan untuk percanggahan tersebut.
Implikasi dan Cadangan
Implikasi daripada kajian ujian kecekapan bahasa berasaskan komputer menunjukkan tahap kecekapan pelajar dalam empat kemahiran bahasa boleh dinilai dengan lebih baik. Dengan menguji keempat-empat kemahiran tersebut, ianya mendorong para guru dan pelajar untuk mengambil pendekatan yang seimbang terhadap pembelajaran bahasa serta memastikan para pelajar mengembangkan kemampuan untuk menggunakan bahasa dengan lebih berkesan di dunia nyata. Ketepatan penilaian kendiri adalah syarat autonomi pelajar, khususnya dalam penilaian kecekapan bahasa. Sekiranya pelajar dapat menilai prestasi mereka sendiri dengan cukup tepat, mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya pada pendapat guru dan pada masa yang sama mereka membantu guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif setelah mengetahui aspek kelemahan pelajar yang perlu diberi tumpuan. Kekangan dalam menyediakan peralatan mahupun pembinaan sistem penilaian kecekapan bahasa yang bersesuaian terutamanya untuk bahasa Arab menjadi faktor tahap kemahiran berbahasa Arab pelajar masih lagi rendah terutamanya dalam kemahiran membaca.
Terdapat beberapa cadangan yang boleh dikemukakan. Cadangan yang pertama ialah peralatan seperti komputer ataupun makmal bahasa harus ditambah baik dan diwujudkan bermula di peringkat sekolah seterusnya di IPT agar aktiviti penilaian kecekapan bahasa dapat dilaksanakan. Penyediaan kemudahan ini akan memudahkan tenaga pengajar dan memberi keselesaan kepada pelajar dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus mampu menilai tahap penguasaan kemahiran bahasa pelajar sejak dari awal lagi. Seterusnya, latihan dan pendedahan dalam melaksanakan ujian penilaian kecekapan bahasa harus diberikan kepada para pensyarah. Hal ini kerana, tidak semua pensyarah memahami kepentingan pelaksanaan ujian penilaian kecekapan bahasa kepada pelajar. Sekiranya mereka diberikan latihan mengenai pengendalian ujian penilaian kecekapan bahasa, tiada masalah akan timbul dalam proses pelaksanaan. Pensyarah akan dapat menambah baik strategi pengajaran sekiranya latihan yang mencukupi diberikan. Hal ini disokong oleh kajian Faridah (2013) yang menyatakan bahawa latihan intensif, konsisten dan menyeluruh perlu diberikan kepada para guru agar mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran teori dan praktikal untuk menyediakan rancangan mengajar yang lebih baik. Cadangan yang terakhir ialah pembinaan instrumen ujian penilaian kecekapan bahasa yang diguna pakai untuk mengukur tahap kemahiran membaca pelajar haruslah dikaji dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar ianya benar-benar dapat membantu dalam menentukan kualiti tahap kemahiran membaca pelajar.
Kesimpulan
Kemahiran membaca bahasa Arab merupakan kemahiran bahasa yang paling menonjol dalam usaha untuk memperoleh dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan bidang pengajian Islam. Oleh itu para pelajar bidang pengajian Islam perlu lebih berketerampilan untuk membaca bahan-bahan pengajian mereka dalam bahasa Arab. Penguasaan kemahiran membaca bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kecekapan membaca, mentafsir ,dan memahami makna kandungan sekaligus membantu pelajar untuk cemerlang dalam bidang pengajian mereka. Namun, banyak kajian menunjukkan bahawa kemahiran membaca bahasa Arab dalam kalangan pelajar pengajian Islam berada pada tahap yang mengecewakan. Hal ini disebabkan kurangnya penguasaan kemahiran membaca bahasa Arab dalam kalangan pelajar, walaupun mereka telah lama mempelajari bahasa tersebut. Kebanyakan pelajar berhadapan dengan masalah untuk memahami teks bahasa Arab kerana penguasaan tatabahasa yang lemah dan saiz penguasaan kosa kata yang terhad (Harun Baharudin et. al 2017). Malah masih ramai pelajar yang tidak dapat membaca teks Arab dengan lancar walaupun teks berkenaan berada pada aras mudah, ringkas dan mempunyai baris (Mohd Zahimie & Hakim Zainal 2014).
Dapatlah diringkaskan bahawa membaca merupakan satu usaha untuk memperolehi pengalaman-pengalaman baru serta ilmu pengetahuan yang terkini sesuai dengan perkembangan zaman. Terdapat pandangan yang menganggap bahawa membaca merupakan satu proses meringkaskan bahan yang sedang dibaca daripada rumus-rumus yang bertulis. Selain itu, kemahiran membaca turut dianggap sebagai salah satu usaha untuk memahami makna daripada bahan-bahan yang dibaca. Terdapat salah anggap bahawa mengajar kemahiran membaca merupakan suatu yang mudah lalu kemahiran ini diajar dengan cara mengulangi pembacaan perenggan demi perenggan dengan tujuan untuk memperbaiki kemahiran membaca. Usaha seterusnya ditumpukan hanya kepada menghuraikan maksud perkataan-perkataan yang dibaca serta perenggan-perenggan dalam bahan bacaan tersebut. Perkara sebegini tidak mampu menyumbang kearah tahap penguasaan kemahiran membaca pelajar itu sendiri.
Selaras dengan perkembangan teknologi, pastinya tahap kecekapan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar IPTA khususnya dapat dinilai sekaligus membantu meningkatkan mutu penguasaan kemahiran membaca dalam bahasa Arab. Pelbagai ujian kecekapan bahasa yang dibangunkan memberi begitu banyak kesan positif dalam memperbaiki kualiti kemahiran membaca pelajar. Implikasi daripada penggunaan ujian penilaian tahap kemahiran membaca dalam Bahasa Arab banyak membantu dalam kajian yang melibatkan kemahiran berbahasa terutamanya bagi meningkatkan kualiti kajian yang dilakukan. Ini membantu dalam membangunkan model ujian kecekapan bahasa Arab dan merupakan langkah awal dalam menghasilkan ujian yang dapat mengukur kemampuan individu serta kesukaran item dalam satu dimensi mengikut skala pengukuran CEFR. Seterusnya, dapat membantu semua pihak yang terlibat dalam menangani masalah pelajar berkaitan isu kemahiran membaca dalam bahasa Arab.
Rujukan
Ab. Halim Muhammad & Che Radiah Mezah. 2007. Kolokasi: Aspek Penting dalam Pengusaan Bahasa Arab: Satu Kajian di Kalangan Pelajar IPTA. Persidangan Pengajaran dan Pembelajaran di Peringkat Pengajian Tinggi CTLHE07, hlm. 139-148.
Alderson, J.C. (2000). Assessing reading. Cambridge: Cambridge University Press.
Alderson, J.C. (2003). Diagnosing foreign language proficiency: A teaching/testing interface. In Gloria Poedjosoedarmo (Ed.), Teaching and Assessing Language Proficiency
Anthology Series 45. Singapore: SEAMEO Regional Language Centre.
Alderson, J. C., Clapham, C & Wall, D. 1995. Language Test Construction and Dianne Wall. United Kingdom: Cambridge University Press.
Alimuddin Mohd. Dom. (2009) Ucapan Perasmian Majlis Anugerah NILAM Kebangsaan 2009, 14 Julai 2009, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Allen, R. 1995. Higher level language skills in Arabic: Parameters and Issues. The Teaching of
Arabic as a Foreign Language: Issues and Directions. Penyt. Mahmud al-Batal. Provo,
UT: American Association of Teachers of Arabic
al-Quran Al-Karim Terjemahan dan Tajwid Bewarna. (2018). Shah Alam: Karya Bestari. Ashinida Aladdin. 2012. Analisis penggunaan strategi komunikasi dalam komunikasi lisan
bahasa Arab. GEMA Online Journal of Language Studies 12(2): 645–666.
Cohen, A. D. 1999. Strategies in Learning and Using a Second Languagae. London: Longman. Della, C. 1998. The reading strategies of MBA students: A qualitative investigation. Tesis MA
tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Farida Rahim. (2005) Pelaksanaan pengajaran membaca di kelas IV SD 08 Padang. Jurnal
Bahasa Dan Seni. p. 249-269
Faridah Yunus (2013). Pelaksanaan penaksiran autentik dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak - satu kajian tindakan. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia
Garner, R. 1987. Metacognition and reading comprehension . Norwood, NJ: Ablex Publihing CO
Goodman, K. S. 1971 Paycholingustic Universals In The Reading proces. The psychology of
second language learning. Cambridge: Cambridge University Press. 135.
Harun Baharudin, Zawawi Ismail & Nik Mohd Rahimi. 2017. Pembinaan Ujian Tahap Saiz Kosa Kata Arab, Jurnal Pendidikan Malaysia, 42 (1) (2017); 13-19.
Hasanul Aotad. Perkembangan Pembelajaran bahasa Arab. Rabu 10 Julai 2013 http://assajjad.com diakses pada 15 April 2014
Huba, M. E., & Freed, J. E. 2000. Learner-centered assessment on college campuses: Shifting the focus from teaching to learning. Boston: Allyn and Bacon.
Ishak Rejab. 1992. Masalah Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab Di Malaysia. In Ismail Ab. Rahman (Ed.), Pendidikan Islam Di Malaysia. Bangi: Penerbit UKM.
Kamarul Shukri Mat Teh, Mohamed Amin Embi, Zamri Mahamod & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff. 2009. Konseptualisasi model pengajaran strategi pembelajaran Bahasa kedua/asing. Proceedings of ILANSS Issues in Language Teaching and Learning. Kaseh Abu Bakar. 2008. Rasch Calibration of Diagnostic Arabic Reading Test Item. Tesis Dr.
Kaseh Abu Bakar. 2020. Bahasa Arab Berasaskan Tahap Kecekapan: Satu Saranan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kazmi,Y.2005. The rise and fall of culture of learning in early Islam. Islamic Studies, 44(1).15-51
Kelancaran Membaca Teks Arab: Kajian Kes di KUIM, Prosiding Seminar Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2014, Fakulti Pengajian Islam, UKM & Fakulti Kontemporari Islam, UniSZA
Kemeneterian Pendidikan Malaysia.2001. Belajar cara belajar. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Lado, R. 1964. Language Teaching: A Scientific Approach. New York: McGraw-Hil
Macaro, E., & Erler, L. 2008. Raising the achievement of young readers of French through strategy instruction. Applied Linguistic, 29(1). 90-119.
Macaro. E. (2001). Learning Stratergies in Foreign and Second Language Clasrooms. London and New York: Contiuum.
Nambiar, R. 1998. Learning strategies: A Malaysian perspective. Monograph. Faculty of Language Studies. UKM
Nik Farhan Mutapha, Nik Hanan Mustapha & Abdul Rahman Chik, (2010), Tabiat Membaca dalam Bahasa Arab, Dlm. Ambigapathy Pandian, Murshidi Harun @Zakaria, Tan Hock Thye, Siti Noraini Jupri & Noraini Ali (pnyt) Pancadimensi P&P Bahasa: Trend dan
Amalan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. 316-326.
Oxford, R. L. 1990. Language learning stratergies: What every teacher should know. Boston: Heinle & Heinle Publishers.
Pringgawidagda. (2002) Strategi Penguasaan Berbahasa. Yogyakarta: Adicita Karya Nusa. Qutb, Sayyid. 1992. Fi Zilal al-Quran (Jilid 6, Edisi ke-17). Al-Qahirah: Dar al-Syuruq. Rosni Samah. 2012. Pembinaan ayat bahasa Arab dalam kalangan lepasan sekolah menengah
agama. GEMA Online Journal of Language Studies 12(May): 555-569.
Rubin, J. (1975). What the good language learner can teach us? TESOL Quarterly, 9, 41-51. Shihab, Muhammad Quraish. 1996. Studi Kritis Tafsir al-Manar. Bandung: Pustaka Hidayah. Stauffer, R. G., (1969) Directing Reading Marturity as a Cognitive Process. New York, Harper
and Row.
Uraidah Abdul Wahab. 2014. Penggunaan Penyusun Grafik Dalam Penguasaan Kolokasi Bahasa Arab. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Urquhart, A. H. & Weir, C. J. 1998. Reading in a second language: Process, product and
experience. London: Longman.
Walker, C. (1974) Reading Development and Extension.. Landon, Ward Lock Educational. Wan Azura Wan Ahmad, Lubna Abd Rahman, Arnida A. Bakar & Ahmad Pangidoan Nasution.
2006. Pendekatan dan Strategi Efektif dalam Penguasaan bahasa Arab. Nilai: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.
Winke, P., & Aquil, R. (2006). Issues in developing standardized tests of Arabic Language proficiency. In K.M. Wahba, Z.A. Taha & L.England (eds.), A Handbook for Arabic
Language teaching professionals in the 21st Century, (pp. 221-233). Mahwah:
Lawrence Erlbaum.
Yahya Othman. (2005). Trend dalam pengajaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.