Modal Sosial Mantap Tingkat Perpaduan
Laporan Tahunan World Bank (2000) berjudul Entering the 21st Century mengiktiraf satu lagi modal baru yang menjadi pelengkap kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara, iaitu ‘modal sosial’ (social capital). Apakah yang dimaksudkan dengan modal sosial ?
Satu artikel yang terdapat dalam laman sesawang (website) Bank Dunia (World Bank) bertajuk What is Social Capital mentakrifkan ‘modal sosial’ merujuk kepada institusi, jalinan hubungan masyarakat serta norma yang membentuk kualiti dan kuantiti interaksi sosial sesuatu masyarakat.
Persoalannya, bagaimana kita dapat mengukur pencapaian modal sosial itu? Menurut Robert D. Putnam dalam bukunya Bowling Alone: The Collapse and Revival of American Community (2000), indeks modal sosial boleh diukur melalui penyertaan komuniti dalam organisasi atau persatuan; kehadiran masyarakat dalam aktiviti dan acara awam; penglibatan komuniti dalam aktiviti sukarela; dan aspek kepercayaan antara individu dalam komuniti.
Pembangunan dan kejayaan modal sosial ini dapat dicapai dengan baik sekiranya setiap individu dalam komuniti itu saling mempercayai, bertoleransi, persefahaman serta mengamalkan prinsip penerimaan.
Di sinilah rasionalnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menekankan prinsip ‘penerimaan’ melalui gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya. Nilai penerimaan terutamanya yang membabitkan masyarakat berbilang kaum adalah berkaitan dengan tingkat kepercayaan dan jaringan (hubungan) dalam masyarakat.
Sekiranya wujud tingkat kepercayaan dan penerimaan yang tinggi di dalam masyarakat kita yang bersifat majmuk ini maka lebih mudahlah modal sosial itu dicapai dengan baik dan berkesan.
Di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), elemen ‘modal sosial’ ini dapat dikesan dalam komponen ‘keterangkuman’ (inclusiveness) yang merupakan salah satu daripada tiga komponen asas di bawah MBE. ‘Keterangkuman’ atau penyertaan menyeluruh merupakan pra syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan permuafakatan masyarakat.
Penyertaan bersama tanpa mengira kaum mampu membentuk modal sosial yang saling bantu-membantu yang akhirnya dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat. Untuk mencapai hasrat tersebut maka mereka harus berupaya membina ‘jambatan penghubung’ (bridging social capital) ke arah kerjasama dan perpaduan di kalangan anggota masyarakat atau komuniti yang bersifat heterogeneous.
Kesan daripada jaringan modal sosial yang mantap akan dapat meningkatkan mobilisasi sumber komuniti serta mempertingkatkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Ia sekali gus dapat menjayakan inclusiveness sama ada dalam aspek ekonomi ataupun sosial (economic and social inclusion).
Kesimpulan, pembangunan modal sosial yang mantap akan dapat menjadikan masyarakat kita lebih berdaya saing, dinamik, proaktif dan memiliki daya tahan yang tinggi ketika berlakunya sebarang krisis sama ada krisis politik ataupun krisis ekonomi. – BH 4 Julai 2012