Asal-usul Penulisan Jawi Di Nusantara Terutama Dalam Bidang
Tauhid
Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu. Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu. Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik jawi.
Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu, perkataan “Jawi” (يواج) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” ((ةواج. Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan catatan Sejarah Melayu, perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini. Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab, perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain.
Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa. Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”.