Kematangan Berkomunikasi Semasa
Krisis Di Media Sosial
A.Aziz Azizam
Penyelidik, FKPM, UiTM Shah Alam.
Citation: Aziz,A.A (2014, May). Kematangan Berkomunikasi di Laman Sosial. Dewan Masyarakat, BIL. 5/2014, p6.
Sejak beberapa hari lalu, negara kita telah dikejutkan dengan tragedi yang dianggap misteri keatas kehilangan pesawat MAS MH370. Pasukan pencari dan penyelamat dari pelbagai negara bertungkus lumus mencari sebarang petunjuk yang mempu memberi jawapan kepada kehilangan pesawat tersebut.
Dalam hal ini, pelbagai andaian dan juga pendapat di dalam media sosial dilihat sedikit sebanyak memberi tekanan kepada seluruh rakyat terutamanya pihak keluarga yang terlibat dengan penyebaran berita palsu, spekulasi negatif dan sebagainya. Harus diingat bahawa komunikasi di laman sosial mesti hadir bersama tanggungjawab (Prof Dr. Azizul Halim Yahya, 2013) dan dalam soal ini perhatian terhadap sebarang penulisan di media sosial adalah kepada soal sensitiviti dan juga intigriti.
Media sosial memberi makna yang berbeza kepada setiap individu. Ada antaranya bagi tujuan interaksi sesame rakan, mendapatkan info terkini sesuatu berita, berkongsi maklumat, dan sebagainya namun seluruh perkara ini adalah berkenaan komunikasi antara individu dan juga khalayak. Justeru, kematangan dalam menyampaikan maklumat mahupun pendapat dalam media sosial adalah sangat penting terutamanya dalam krisis sebegini. Menurut kajian saya yang melihat tatacara penggunaan media sosial oleh golongan muda, penulisan komen atau “posting” mahupun kongsi (share) maklumat antara tujuan lainnya adalah untuk menjadi orang pertama dalam menyampaikan sesuatu maklumat itu, ingin mempengaruhi orang lain dengan maklumat yang disampaikan, dan paling utama adalah untuk “dilihat” oleh khalayak lain di media sosial, dengan
kata lainnya adalah untuk menjadi popular dengan “posting” mereka. Dengan objektif sedemikian, mungkin antara perkara yang disampaikan dalam media sosial tersebut menyentuh sensitiviti pihak-pihak tertentu, dan menyulitkan lagi suasana.
Dalam situasi sebegini, perhatian yang serius perlu di terapkan dalam menilai sesuatu penulisan yang hendak disampaikan di media sosial. Kita sebagai pengguna media sosial perlu matang dalam menilai penulisan yang ingin dikongsikan itu. Penilaian ini harus bersifat menyeluruh daripada kesahihan sumber dan juga impak terhadap khalayak yang membacanya. Dalam situasi pesawat yang hilang ini, mungkin ada antara rakyat Malaysia yang terlalu teruja dan mengkaitkan situasi dengan pelbagai teori. Walaubagaimanapun pada masa yang genting ini, perkara utama yang perlu difikirkan sebelum membuat sebarang sebaran maklumat di media sosial adalah berkenaan nilai mesej tersebut. Jika nilai mesej tersebut adalah tidak releven adalah lebih baik kita tidak mengkongsikannya di media sosial.