1 TEKS UCAPAN
YANG HORMAT PROFESOR DATO’ DR. DAING NASIR IBRAHIM NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN HARI KUALITI & INOVASI 2015 PADA HARI ISNIN, 6 JULAI 2015, PUKUL 5.00 PETANG
DI ASTAKA, UMP KAMPUS GAMBANG SALUTASI
Saudara Pengacara Majlis;
Rakan-rakan saya:
Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa);
Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni);
Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusof,
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi);
Encik Abdul Rahman Shafie, Pemangku Pendaftar;
2 Encik Zainuddin Othman,
Bendahari;
Haji Ruslan Che Pee, Ketua Pustakawan;
Dekan-dekan, Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab;
Para penerima anugerah yang diraikan;
Rakan-rakan media;
Tuan-tuan dan puan-puan;
Warga kerja UMP yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
3 KATA PEMBUKA
1. Alhamdulillah, sukalah saya merafakkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah rahmat, kurnia dan izin-Nya, maka kita berpeluang untuk bertemu dalam majlis pada petang 19 Ramadhan yang barakah ini.
2. Penganjuran sambutan Hari Kualiti & Inovasi 2015, yang dikelolakan oleh Pusat Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti (PPKPK) dalam bulan Ramadhan yang mulia ini merupakan manifestasi penghayatan falsafah kesabaran, ketabahan dan pengorbanan sebagai resepi kejayaan warga kerja yang cemerlang.
3. Ruang masa yang tersedia untuk melipat gandakan amal ibadah sepanjang Ramadhan sewajarnya digunakan juga untuk memuhasabah kualiti perkhidmatan kita sebagai penjawat awam kerana pekerjaan dan rutin seharian kita di pejabat adalah juga sebahagian daripada ibadah.
4 4. Oleh yang demikian, adalah penting untuk warga kerja UMP memahami bahawa hakikat perkhidmatan kita sebagai penjawat awam menuntut aras akauntibiliti yang tinggi, bukan sahaja terhadap rakyat dan kerajaan, tetapi lebih dari itu terhadap Allah Ta’ala.
5. Menyedari hakikat tersebut, tumpuan yang serius perlu diberikan kepada aspek pemeliharaan kualiti perkhidmatan secara istiqamah bagi menjamin keutuhan sistem penyampaian yang bukan sekadar memuaskan, tetapi berupaya melangkaui ekspektasi pelanggan dan pemegang taruh Universiti ini.
6. Untuk mencapai tahap tersebut, inovasi merupakan pemangkin yang membolehkan penambahbaikan terhadap kualiti kerja dan perkhidmatan dilakukan secara berterusan. Hal ini merupakan satu aspek kritikal dalam konteks kelestarian sesuatu organisasi, apatah lagi bagi sebuah Universiti Awam dan Badan Berkanun Persekutuan seperti UMP.
5 KOORDINAT SIKAP DALAM BUDAYA PRESTASI TINGGI
7. Tuan-tuan dan puan-puan,
Selepas 13 tahun penubuhannya, UMP harus terus berevolusi secara dinamik dengan dipacu oleh warga kerja berkualiti yang menghayati budaya perkhidmatan cemerlang.
8. Ini merupakan satu cabaran bagi sebuah organisasi yang sedang berkembang seperti UMP. Dengan jumlah warga kerja semasa sekitar 1,700 orang yang meliputi 200 orang pegawai bukan akademik dari Kumpulan Pengurusan & Profesional, 600 orang pegawai akademik dan 900 orang kakitangan Kumpulan Pelaksana & Sokongan, tumpuan besar akan terus diberikan untuk menggembleng mereka sebagai kumpulan penjawat awam yang berprestasi tinggi.
6 9. Penentuan aras prestasi ini boleh dibuat menggunakan pelbagai mekanisme. Selain daripada penetapan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan Petunjuk Utama Prestasi (KPI), pihak pengurusan akan sentiasa melihat mekanisme-mekanisme lain yang berupaya menunjukkan pengukuran prestasi yang realistik dan praktikal untuk diguna pakai.
10. Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam Amanat Tahunan 2015 pada 25 Februari yang lalu, mesejnya adalah jelas buat semua warga kerja UMP – bahawa aspek kualiti, integriti dan akauntibiliti sama sekali tidak boleh dikompromi sekiranya UMP ingin menerima taraf autonomi pada masa hadapan.
11. Keterbukaan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam liberalisasi pengurusan Universiti Awam melalui agenda autonomi dan pendekatan disentralisasi memberi ruang dan peluang untuk UMP lebih berkreativiti dan berinovasi dalam sistem pentadbiran dan penyampaiannya.
7 12. Walaubagaimanapun, sekiranya warga kerja kita tidak memiliki kualiti, sikap dan nilai perkhidmatan yang benar-benar cemerlang dan terbilang, maka ruang dan peluang tersebut boleh mengakibatkan krisis integriti yang serius, sekaligus menghakis keyakinan umum kepada Universiti ini.
13. Maka, di ambang pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang akan berjalan seiringan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-11, masanya telah tiba bagi warga kerja UMP di semua peringkat untuk menetapkan koordinat sikap yang tepat berpaksikan profesionalisme, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan.
8 MEMAKNAKAN SEMANGAT PENGANJURAN
14. Tuan-tuan dan puan-puan,
Sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah medan pengiktirafan terhadap warga kerja dan Pusat Tanggungjawab yang telah menyumbang secara signifikan kepada UMP, maka aspek falsafah dan mesej yang ingin ditampilkan melalui acara ini perlu diberikan perhatian yang serius.
15. Oleh sebab itulah, saya percaya bahawa Jawatankuasa Pelaksana dan panel-panel penilai telah mengambil perhatian terhadap saranan-saranan daripada saya dan pihak pengurusan mengenai proses saringan dan pemilihan penerima-penerima anugerah pada hari ini.
16. Agenda transformasi perkhidmatan awam memerlukan sumbangan warga kerja yang dinamik dan berwawasan, dan ruang untuk mereka yang bersifat ‘biasa-biasa’ (mediocre) kini semakin sempit dan mengecil.
9 17. Inilah yang telah saya tegaskan dalam Amanat Tahunan 2015 yang berjudul “Berani Berbeza, Memaknakan Autonomi”. Aspek “Berani Berbeza” tersebut perlu difahami dalam konteks positif yang luas di mana warga kerja dan PTJ seharusnya menampilkan keupayaan yang unik melangkaui perimeter konvensional untuk membolehkan UMP terus berevolusi sebagai sebuah universiti yang kompetitif.
18. Maka, tema “Mencabar Kelaziman, Mengukuh Inovasi” yang mendasari sambutan Hari Kualiti & Inovasi 2015 ini sebenarnya mencabar kita untuk mendakap perspektif yang lebih global dalam citra pengurusan dan berupaya menampilkan perbezaan dalam acuan tersendiri yang menjadikan UMP sebuah universiti yang unik.
19. Justeru, jelaslah bahawa apa yang diperlukan kini ialah disiplin sebagai elemen terpenting untuk memacu dan seterusnya melestarikan agenda kualiti, inovasi sebagai katalis kecemerlangan Universiti ini.
10 15. Disiplin yang disemat kukuh dalam diri para penjawat di UMP secara logiknya akan mendorong mereka untuk bertindak secara positif ke arah aktiviti-aktiviti yang menambah nilai kepada prestasi organisasi.
16. Bertrand Russel, seorang ahli falsafah Inggeris yang memenangi Hadiah Nobel 1950 pernah menulis bahawa, “right discipline
consists, not in external compulsion, but in the habits of mind which lead spontaneously to desirable rather than undesirable activities.”
17. Justeru, dorongan (drive) untuk melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan tugasan rasmi kita memerlukan momentum yang sentiasa hangat dan segar. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda bahawa
“Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.”
11 18. Momentum kecemerlangan ini akan terus dapat dikekalkan sekiranya warga kerja kita sentiasa memperolehi inspirasi dan motivasi daripada setiap lapisan kepimpinan di UMP, sama ada di peringkat unit, bahagian, PTJ dan pengurusan tertinggi. Di sinilah letaknya penterjemahan prinsip “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam erti kata yang sebenar.
UCAPAN TAHNIAH, KATA PENUTUP DAN LAFAZ PERASMIAN
19. Tuan-tuan dan puan-puan,
Sepertimana yang saya nyatakan di awal ucapan ini tadi, saringan yang ketat telah dibuat kepada calon-calon bagi setiap kategori anugerah untuk Hari Kualiti & Inovasi 2015.
20. Penetapan kriteria dan syarat yang ketat ini membuktikan keseriusan pihak pengurusan dalam memastikan prestij anugerah-anugerah ini terpelihara dengan nilai yang tinggi.
12 21. Justeru, sukalah saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada warga kerja UMP yang bakal menerima anugerah dan hadiah masing-masing kerana sememangnya anda adalah yang terbilang dalam kalangan yang cemerlang.
22. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada warga Jawatankuasa Pelaksana Hari Kualiti & Inovasi 2013 atas perkhidmatan dan komitmen yang telah diberikan untuk menjayakan penganjuran acara ini.
23. Marilah kita berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala sentiasa melimpahkan rahmat peliharaan-Nya kepada UMP dan warganya dengan naungan kecemerlangan, kejayaan, kesihatan dan kesejahteraan, Amin.
24. Bersempena bulan yang mulia ini, diucapkan Ramadhan Kareem dan menjelang 1 Syawal 1436 Hijrah, saya ingin merakamkan ucapan Salam Eidul Fitri dan Maaf Zahir dan Batin buat semua warga kerja dan mahasiswa UMP.
13 25. Dengan harapan dan doa tersebut serta lafaz yang mulia
Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan
Hari Kualiti & Inovasi UMP 2015.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.