• Tidak ada hasil yang ditemukan

Mencari Guru Cemerlang

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Mencari Guru Cemerlang"

Copied!
6
0
0

Teks penuh

(1)

Mencari Guru Cemerlang

Hamdan Sulaiman

Biodata

DATO’ HAMDAN SULAIMAN, 60 tahun, pernah menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan aktif sebagai Presiden, Persatuan Mahasiswa. Beliau pernah menjadi guru, Pegawai Khas kepada Menteri Pelajaran, pegawai di Biro Tatanegara, pegawai di Jabatan Penuntut Malaysia di Chicago dan Ketua Unit Perhubungan Awam di Kementerian Pertanian Malaysia.Selepas bersara pilihan sendiri, beliau bertugas sebagai Pengurus Kanan di KTM, Pengarah Eksekutif Kumpulan di sebuah Syarikat swasta, Pegawai Dengan Tugas-tugas Khas Menteri Besar Kedah dan Naib Presiden Kanan di Syarikat Ramunia.Pernah menjadi Penganalisis Politik dan Sosial dalam MHI, TV3, di samping menulis dalam ruangan Pendapat di Utusan Malaysia. Kini beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam beberapa buah syarikat swasta.

Dua buah filem barat terkenal, ‘Dead Poets Society’ (lakonan Robin Williams, terbitan tahun 1989) dan ‘To Sir, with Love’ (lakonan Sidney Poitier,1967) menceritakan tentang hubungan guru-pelajar, bagaimana pada mulanya guru-guru berkenaan tidak disenangi oleh pelajar masing-masing, tetapi akhirnya berubah menjadi guru kesayangan atas dedikasi dan kesabaran yang mereka tunjukkan. Perkara yang menarik perhatian dalam filem-filem tersebut ialah guru berkenaan telah berjaya membuka perspektif baru kepada pelajar tentang pendidikan yang mengubah sikap mereka terhadap bilik darjah.

Sebuah drama tv tempatan “Cikgu Limau Kasturi” juga membawa tema yang sama pada suatu masa dahulu. Filem-filem ini sebenarnya diinspirasikan daripada kisah-kisah benar guru-guru cemerlang yang melihat anak murid mereka sebagai produk pengajaran yang harus dihasilkan sebaik mungkin.

Mengimbas kembali dedikasi watak guru dalam filem-filem bertema sebegini, benarkah wujud guru berkenaan dalam alam realiti? Sekiranya kita membuat penyelidikan ke atas 9,200 buah sekolah di seluruh negara (terdapat sebanyak 7,406 buah sekolah rendah dan 1,794 buah sekolah menengah di Malaysia mengikut perangkaan 2003) ada kemungkinan besar kita bertemu dengan guru yang berdedikasi seperti yang ditemukan, walaupun sebenarnya tidak sedramatik seperti yang digambarkan dalam filem yang telah kita tonton. Kita hanya perlu pergi sendiri ke mana-mana daerah dan negeri serta singgah di kedai-kedai kopi atau di masjid. Sekiranya kita bertanyakan soalan kepada anggota masyarakat

(2)

setempat, pasti mereka akan menamakan beberapa orang guru yang berdedikasi dan berjaya memberikan pendidikan yang baik kepada murid mereka.

Ada kemungkinan guru-guru berkenaan tidak dapat ditemui lagi di tempat-tempat itu kerana mereka telah bersara, berpindah ataupun telah meninggal dunia. Namun, nama mereka kekal dalam ingatan ibu bapa dan murid yang pernah mereka didik. Kadang-kadang mungkin lebih mudah bagi kita memperoleh nama dan maklumat guru-guru ini di tempat mereka bertugas daripada mendapatkannya daripada Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri kerana biasanya pejabat-pejabat ini lebih berminat menyimpan rekod guru bermasalah daripada guru cemerlang.

Mereka ini juga merupakan wira dalam bidang pendidikan yang tidak menonjol dan tidak dikenali ramai, melainkan oleh masyarakat dan pelajar setempat. Bagi mereka ganjaran kepada sumbangan yang mereka berikan ialah kepuasan melihat anak-anak didik berjaya dalam pendidikan dan kemudiannya dalam kerjaya masing-masing.

Bagi penulis, guru cemerlang lebih daripada sekadar menjadi guru yang mengajarkan ilmu dengan berkesan. Ia merupakan seorang yang kreatif, ‘berfikir di luar kotak’ dan sanggup melakukan tugas-tugas pendidikan di luar amalan lazim yang telah dipelajarinya dalam teori-teori pendidikan di maktab perguruan. Ia mendidik pelajar, bukan sekadar mengajarkan mata pelajaran kepada mereka. Ia memberikan perspektif baru tentang bilik darjah kepada pelajar. Ia membina dan memupuk semangat kecintaan atau ‘sense of belonging’ terhadap sekolah kepada pelajarnya.

Dalam mencari sifat-sifat seorang guru cemerlang itu, penulis teringatkan seorang guru di sebuah sekolah dalam kawasan pedalaman. Bila penulis menyatakan hasrat untuk menceritakan pengalamannya sebagai seorang guru cemerlang untuk renungan umum, ia keberatan untuk dikenali. Baginya, apa yang dilakukannya sebagai seorang pendidik merupakan suatu tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Itulah pegangan guru berkenaan, iaitu Cikgu Z. Setelah lulus dari sebuah universiti tempatan dalam tahun 70-an, Cikgu Z memilih untuk ditempatkan mengajar di sebuah sekolah menengah di kawasan pedalaman sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Beliau merupakan guru berijazah Melayu pertama di tempatkan di sekolah tersebut. Hasratnya untuk bertugas di sekolah menengah yang terceruk itu meletakkan dirinya berbeza daripada guru Melayu berijazah lain yang rata-ratanya mahu bertugas di sekolah kawasan bandar yang serba lengkap dengan segala kemudahan.

Selepas beberapa bulan mengajar di situ, Cikgu Z mendapati hubungan ibu bapa pelajar dengan sekolah begitu asing. Jangankan datang ke sekolah untuk bertanyakan kemajuan pelajaran anak-anak, kehadiran mereka atas jemputan dalam acara-acara tahunan yang seperti Hari Ucapan, Sukan Tahunan dan sebagainya pun amat mendukacitakan, seolah-olah mereka menjauhi sekseolah-olah. Sementara segelintir yang hadir adalah terdiri daripada ibu bapa pelajar yang tidak bermasalah.

(3)

bilangan pelajar di situ adalah seramai lebih kurang 700 orang. Ini menyebabkan Pengarah Pelajaran Negeri yang hadir merasmikan upacara tersebut berjenaka dengan mengatakan ibu bapa di tempat itu tidak mengamalkan perancangan keluarga kerana seramai 20 orang ibu bapa telah menghasilkan seramai 700 orang anak!

Menyedari masalah ini, Cikgu Z bertekad untuk mendekatkan ibu bapa dengan sekolah. Ia sedar usaha ini bukannya mudah. Sikap ibu bapa yang sudah bertahun-tahun tidak berminat dengan sekolah tidak boleh ditukar secara mendadak. Baginya, ‘sekiranya ibu bapa berasa segan untuk datang ke sekolah, kita sepatutnya membawa sekolah kepada ibu bapa’. Pendekatan ini cuba dilaksanakannya sebulan sebelum menjelang Hari Ucapan Tahunan sekolah.

Atas persetujuan Pengetua sekolah tersebut, Cikgu Z menyusun program melawat ke kampung-kampung dalam daerah pedalaman itu. Seramai lebih kurang tujuh orang guru dengan tugas-tugas khas dipilih untuk menganggotai rombongan tersebut. Antara mereka ialah guru yang bertanggungjawab dalam ehwal peperiksaan, disiplin dan yuran persekolahan.

Ketibaan mereka di setiap kampung disambut meriah sehinggakan dewan orang ramai yang menjadi tempat perjumpaan yang dirancang itu penuh sesak dengan ibu bapa. Lawatan pihak sekolah ke kampung-kampung seumpama itu tidak pernah mereka saksikan sebelum ini. Antara atur cara yang diadakan ialah sesi penerangan dan soal jawab. Terbukti ibu bapa begitu berminat dengan hal persekolahan anak-anak mereka. Pertemuan antara pihak sekolah dan ibu bapa di setiap kampung berlangsung sehingga hampir tiga jam. Dengan diikuti majlis jamuan kemudiannya, kehadiran guru-guru ini menjadikan pertemuan berkenaan seolah-olah majlis sambutan orang kenamaan. Bukan setakat ibu bapa yang gembira dengan ‘majlis’ berkenaan, guru yang terlibat juga merasakan mereka dihargai. Sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa itu seterusnya menjadi perangsang untuk mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Usaha dan kesungguhan guru sebuah sekolah menengah yang terpencil untuk merapatkan hubungan pihak sekolah dan ibu bapa nampaknya memang diterima baik. Ibu bapa telah menunjukkan sokongan mereka. Hal demikian tidak berlaku sebelum ini kerana tiada pihak yang memulakannya. Cikgu Z telah memecahkan sebuah tembok pemisah antara ibu bapa dengan sekolah melalui program ‘guru masuk kampung’ yang dicetuskannya. Melalui kesempatan dan ‘mood’ yang telah tercetus sepanjang pertemuan itu, Cikgu Z bersama-sama Pengetuanya terus berkempen supaya ibu bapa hadir ke Hari Ucapan sekolah yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan setiap ibu bapa yang hadir dengan menyebut bahawa ‘Mengikut adat orang timur dan orang Melayu, kunjungan tetamu hendaklah dibalas’. Senyuman jelas terukir di wajah para ibu bapa tanda bersetuju dan Cikgu Z turut tersenyum kerana dia yakin pada Hari Ucapan nanti, dewan pelbagai guna sekolah pasti perlu dibesarkan lagi bagi menampung kehadiran ibu bapa yang mempunyai minat baru ini.

(4)

Memang tepat sekali jangkaannya, kerana pada majlis Hari Ucapan itu, dianggarkan seramai 150 orang ibu bapa hadir. Pengarah Pelajaran Negeri yang diundang untuk merasmikan majlis agak terkejut dengan perkembangan yang disaksikannya. Pada kali ini dia berseloroh dengan menyatakan kini ibu bapa di situ sudah pandai merancang keluarga! Pengetua sekolah turut tersenyum, manakala Cikgu Z terasa sebak dan hampir menitis air mata melihat bermulanya suatu kejayaan dalam bidang pendidikan di daerah terpencil itu.

Ketika beliau mula-mula sampai di sekolah tersebut, Cikgu Z juga hairan kerana sekolah itu tidak mempunyai lagu sekolah walaupun penubuhannya sudah melewati 10 tahun. Disebabkan ia juga mempunyai sedikit kebolehan dalam bidang muzik maka mudahlah bagi Cikgu Z mencipta sebuah lagu sekolah untuk dinyanyikan beramai-ramai di samping lagu Negaraku dalam perhimpunan mingguan. Bagi Cikgu Z lagu sekolah adalah penting sebagai lambang jati diri sekolah berkenaan. Hal ini dapat dikaitkan dengan sekolah-sekolah premier di seluruh negara yang mempunyai lagu sekolah-sekolah masing-masing dan dinyanyikan dengan penuh semangat oleh pelajarnya.

Pelajar mula merasai kehadiran Cikgu Z di sekolah berkenaan dan kehadirannya telah merobah suasana sekolah mereka perlahan-lahan. Tanpa mereka sedari, Cikgu Z sedang berusaha menanamkan kecintaan pelajar terhadap pelajaran menerusi kegiatan-kegiatan yang mendekatkan mereka dengan sekolah.

Cikgu Z sebenarnya beruntung kerana semua usahanya untuk memajukan sekolah mendapat sokongan kuat Pengetuanya. Apabila Pengetua memberi restu untuk sesuatu rancangan yang ingin dilaksanakan, kebiasaannya guru lain tidak mendatangkan masalah lagi, walaupun pada mulanya mereka agak berkeberatan kerana terpaksa keluar daripada kebiasaan budaya kerja lama yang telah memberi keselesaan kepada mereka.

Ramai guru di sekolah itu yang berasal dari bandar-bandar besar tinggal di kampung berkenaan pada hari-hari persekolahan. Biasanya pada setiap hari Jumaat mereka sudah bersedia untuk segera meninggalkan kampung itu untuk menikmati sinar lampu neon di bandar tempat asal mereka. Bagi yang tidak bermotokar sendiri, teksi sudah sedia menunggu mereka di luar pagar sekolah untuk membawa mereka pulang ke kota, iaitu 5 minit sebelum loceng tamat persekolahan berbunyi. Kepada guru-guru ini, lima hari setengah ialah bilangan hari mereka ’berkampung’ di tempat berkenaan pada setiap minggu sebelum pulang ke kota untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Sesetengahnya pula cuma datang semula pada pagi hari Isnin untuk memulakan tugas pada minggu berikutnya. Nyatalah ini bukan petanda baik dalam tanggungjawab pendidikan jika dibandingkan dengan guru suatu masa dahulu yang kebanyakannya merupakan penduduk setempat atau telah menetap dalam masyarakat setempat melalui perkahwinan. Cikgu Z tidak melihat keadaan ini sebagai masalah besar, sebaliknya merancang pengisian yang teratur dan berfaedah untuk kepentingan sekolah dan pelajar. Baginya, apabila guru-guru ini berasa khidmat dan tanggungjawab mereka dihargai oleh ibu bapa dan pelajar, mereka tidak berkeberatan untuk menghadiri kegiatan-kegiatan kokurikulum yang

(5)

Dalam usaha menanamkan kecintaan dan tanggungjawab pelajar terhadap sekolah, Cikgu Z seakan-akan belum berpuas hati. Pada suatu ketika dahulu, Cikgu Z yang kini sudah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan, mendapati betapa beratnya ibu bapa menunaikan tanggungjawab membayar yuran persekolahan anak mereka. Beliau telah mengadakan kempen untuk mengatasi masalah ini dengan mengadakan ‘Minggu Kutip Hutang’. Pada setiap pagi lagu ‘Bayar Hutang’ yang dicipta khas untuk menggalakkan murid-murid membayar tunggakan yuran mereka diperdengarkan menerusi pembesar suara. Pada setiap pagi juga ketua-ketua tingkatan perlu mengisikan jumlah kutipan yang diperoleh pada papan kenyataan besar berhadapan medan perhimpunan bagi menggalakkan persaingan antara kelas. Dalam masa seminggu selepas kempen itu dilaksanakan, sekolah berkenaan berjaya mengumpul hampir dua ribu ringgit yuran yang telah tertunggak, iaitu suatu jumlah yang besar bagi sekolah tersebut pada tahun 70-an.

Penglibatan ibu bapa dalam kegiatan sekolah terus meningkat apabila Cikgu Z melaksanakan perjumpaan ibu bapa dengan guru-guru mata pelajaran. Ibu bapa telah membanjiri sekolah kerana minat mereka yang kini bertambah terhadap kemajuan pelajaran anak masing-masing. Mereka ditunjukkan dengan kad kemajuan pelajar, di samping perbincangan tentang prestasi anak masing-masing dalam setiap pelajaran. Ada ibu bapa yang terperanjat kerana mendapati kad-kad tersebut mempunyai tandatangan mereka, sedangkan mereka tidak pernah pun melihatnya sebelum itu! Perjumpaan secara individu itu menghasilkan kefahaman dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa. Waktu pertemuan yang dijangkakan berakhir pada pukul 5 petang berlanjutan hingga ke pukul 8 malam. Ini kerana kegiatan seumpama ini merupakan sesuatu yang baharu bagi ibu bapa pelajar sekolah luar bandar ketika itu, walaupun pada hakikatnya sekolah-sekolah di bandar telah lama melaksanakannya.

Inisiatif Cikgu Z seterusnya yang sukar dilupai oleh ibu bapa ialah bagaimana sekolah menjemput ibu bapa pilihan untuk hadir pada Hari Sukan sebagai penyampai hadiah undangan. Mereka yang dijemput itu terdiri daripada ibu bapa yang telah menunjukkan minat terhadap sekolah dan kemajuan pelajar melalui kunjungan yang kerap. Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan Tahunan di sekolah tersebut, hadiah tidak lagi disampaikan oleh orang-orang kenamaan seperti Pengarah Pelajaran, Pegawai Daerah, Penghulu dan sebagainya, tetapi oleh ibu bapa yang terpilih. Dengan berpakaian kemas dan segak mereka diiringi oleh Pengetua untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang acara sukan. Layanan sebagai orang kenamaan kepada mereka itu mungkin merupakan yang pertama dan terakhir yang pernah mereka terima yang pasti dikenang hingga ke akhir hayat. Cikgu Z menyedari tentang kejayaan pelajar biasanya diukur menerusi pencapaian mereka dalam peperiksaan. Bagi tujuan tersebut beliau menggalakkan mereka mengulang kaji pelajaran di dalam bilik yang disediakan di sekolah pada waktu malam. Di samping suasana pembelajaran yang selesa, kegiatan mengulang kaji pelajaran oleh pelajar diawasi oleh guru yang datang mengikut giliran.

Kisah di atas merupakan sebahagian daripada inisiatif Cikgu Z ketika beliau bertugas di sekolah tersebut selama dua tahun sebelum beliau bertukar ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Ibu bapa telah memberi sokongan penuh kepadanya. Mereka juga memberi

(6)

‘hak’ kepadanya untuk menghukum pelajar-pelajar yang melanggar disiplin. Walaupun tempoh Cikgu Z berkhidmat di sekolah tersebut adalah singkat, apa yang Cikgu Z lakukan telah menampakkan perubahan ketara ke atas suasana pendidikan dan imej sekolah tersebut. Idea yang telah dilaksanakan oleh Cikgu Z di sekolahnya selama dua tahun itu bukanlah idea yang luar biasa kerana beliau mengambilnya dari beberapa buah sekolah premier, iaitu tempatnya mengajar sebelum beliau memasuki universiti dahulu. Namun, bagi ibu bapa dan pelajar sekolahnya, Cikgu Z melakukan sesuatu yang baharu bagi mereka kerana mereka tidak pernah mengalaminya sebelum dia datang bertugas di sekolah itu. Cikgu Z juga mungkin tidak merasai kenaikan pangkat hasil dedikasi yang ditunjukkannya. Namun mengikut ceritanya sendiri, dalam banyak tugas yang dilaksanakan pada tempat-tempat yang berbeza, ternyata pengalamannya di sekolah tersebut memberikannya kepuasan yang luar biasa. Beliau masih dapat mengingati perhimpunan khas yang diadakan sempena perpisahannya. Dalam majlis itu beliau tidak dapat berucap panjang kerana dadanya sebak dan matanya tergenang dengan air mata kerana kesedihan. Dua tahun di sekolah tersebut mengajarnya erti kecemerlangan yang dicari.

Bukan niat beliau untuk bermegah-megah dengan apa yang dilakukannya itu kerana baginya ramai lagi guru yang mempunyai dedikasi lebih tinggi dan lebih kreatif daripadanya. Hanya barangkali, mereka itu tidak diketengahkan atau tidak dicari pun! Jika kita mahu mencari guru cemerlang, kita mungkin berjumpa dengan ratusan, malahan ribuan Cikgu Z.

Referensi

Dokumen terkait

(permohonan). Strategi 10: Membuat penawaran dan janji. Membuat janji dan penawaran kepada petutur juga dapat merupakan perwujudan dari kesantunan positif. Strategi 11:

Variabel yang diklasifikasikan untuk metode Naïve Bayes dan sebagai variabel respon pada metode Regresi Logistik Ordinal adalah status pembayaran premi yang diukur dengan

Pembahasan Secara Deskriptif Secara deskriptif variabel keselamatan dan kesehatan kerja (K3) berada pada skala rata-rata 3,35 dimana pada skala ini merupakan skala

Bahwa kegiatan Perkemahan Satuan Karya Bhayangkara (Persabhara) Kwartir Daerah Jawa Tengah Tahun 2018 merupakan pertemuan bagi Pramuka Penegak dan Pramuka Pandega

Hasil penelitian pada frekuensi perilaku kissing vagina ini menunjukkan, bahwa hewan percobaan yang diberi perlakuan kontrol baik tanpa pemberian hormon

Dalam merawat tanaman juga harus memperhatikan kadar kelembaban tanah, karena kelembaban tanah adalah faktor yang mejadikan tanaman tumbuh dengan baik atau tidak.. Kelembaban

Berdasarkan hasil analisis menggunakan Teknik analisis regresi data panel dan pengukuran dividend payout ratio dengan menggunakan variabel kinerja keuangan dengan

Pengujian kendaraan bermotor dilakukan agar setiap kendaraan bermotor benar-benar laik secara teknis untuk dioperasikan di jalan, karena pada kenyataannya masih