• Tidak ada hasil yang ditemukan

Huzaimah Ismail, Mohd Yadman Sarwan, Syed Zainal Abidin Syed Muhammad Tahir & Farahdina Abdul Manaf

PENGENALAN

Bencana Banjir di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu pada 26 Disember 2014 dikatakan fenomena banjir paling besar pernah dialami dalam sejarah moden negara. Negeri Kelantan seakan- akan lumpuh, malah segala pengalaman berhadapan banjir selama ini seperti tidak dapat digunakan.

Air naik secara mendadak di Dabong, Manik Urai dan Kuala Kerai sehingga paras 10 meter dari dataran banjir. Banjir kali ini mempunyai kuasa pemusnah yang besar dengan kandungan lumpur, lodak, pasir dan debris yang sangat tinggi menyebabkan banjir berupaya merosak dan memusnahkan rumah, bangunan pejabat, jambatan dan pelbagai kemudahan awam. Lebih 500,000 penduduk terjejas dan perlu dipindahkan dengan hampir RM2.85 bilion harta awam musnah. Musibah tersebut telah memberikan kesan sosial kepada mangsa yang terlibat, khususnya kemusnahan rumah kediaman yang dianggarkan hampir 1400 buah. Pelbagai projek perumahan mangsa banjir telah dilaksanakan untuk membantu mangsa banjir. Salah projek yang dilaksanakan adalah berkonsepkan aplikasi wakaf yang bersifat komprehensif melalui kerjasama pelbagai pihak, iaitu projek wakaf Rumah Kekal Baharu (RKB) mangsa banjir di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong, Kuala Krai Kelantan.

AMALAN WAKAF

Wakaf dari sudut bahasa berasal dari perkataan Arab iaitu waqf, yang merupakan kata terbitan (masdar) dari kata kerja waqafa. Ia mempunyai pelbagai makna mengikut tujuan dan penggunaan ayat itu sendiri. Dari segi bahasa, waqf bermakna berhenti, menegah dan menahan (Ibn Manẓūr, 1956).

Perkataan “menahan” lebih sinonim digunakan oleh kebanyakan ahli fiqh (al-Sharbinī, 1994).

Manakala, menurut istilah perundangan Islam, wakaf didefinisikan sebagai suatu bentuk dedikasi harta sama ada secara terang (sarih) atau sindiran (kinayah) di mana harta (substance) berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja diambil (Siti Mashitoh, 2007).

Wakaf merupakan salah satu amalan kebajikan yang terpuji dan dituntut dalam Islam. Di dalam al-Qur‟an, terdapat banyak ayat yang menggalakkan umat Islam melakukan amalan kebajikan seperti sedekah jariah, hibah, derma dan sebagainya. Terdapat juga beberapa hadith Nabi SAW yang menuntut umat Islam melakukan amalan kebajikan ini. Amalan wakaf bertujuan mengharap pahala daripada Allah, adakalanya wakaf itu untuk kepentingan diniyyah, „ailiyyah, „ilmiyyah, ijtima‟iyyah, sihhiyyah, mahupun „askariyyah. Seumpama pada zaman Rasulullah SAW, Uthman bin `Affan telah mewakafkan telaga al-raumah yang menjadi sumber bekalan air utama untuk umat Islam ketika itu.

Air merupakan kemudahan asas yang diperlukan untuk kehidupan ijtima‟iyyah.

Wakaf adalah instrumen ekonomi Islam yang unik yang berfungsi untuk kebajikan (birr), kebaikan (ihsan) dan persaudaraan (ukhuwah). Pelbagai jenis wakaf boleh dilaksanakan dengan tujuan khusus atau umum, sama ada dalam bentuk harta alih atau harta tidak alih. Termasuk tanah, bangunan, kenderaan, emas, perak, harta intelek atau dalam bentuk wakaf kontemporari seperti wang tunai, saham wakaf, wakaf saham, sukuk, wakaf tunai atau wakaf perkhidmatan. Wakaf perkhidmatan atau kepakaran termasuklah kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT), profesionalisme sebagai jurutera, arkitek, doktor, guru dan apa-apa kepakaran atau kemahiran yang boleh diwakafkan. Dengan adanya amalan wakaf seperti ini mampu memberikan impak yang besar terhadap ekonomi umat Islam kerana segala ilmu dan kepakaran yang ada dapat dikongsi bersama serta dapat menyumbang ke arah penghasilan produk dan aset wakaf yang manfaatnya berpanjangan sehingga akhir zaman. Seterusnya pahala jariahnya terus mengalir untuk pewakaf hingga ke akhirat.

78

Wakaf terawal dalam Islam adalah tindakan Rasulullah SAW mewakafkan masjid Quba‟ untuk digunakan oleh orang ramai pada tahun 622M. Sebagaimana disebut dalam hadis riwayat „Umar bin Shaybah dari „Amr bin Sa‟ad bin Mu‟adh: “Kami bertanya tentang wakaf terawal dalam Islam.

Orang-orang Ansar mengatakan ianya adalah wakaf Rasulullah SAW.” (al-Shaukani, 1973) . Ini menunjukkan bahawa wakaf pada dasarnya adalah merupakan amalan yang diinterpretasikan melalui tindakan Rasulullah SAW. Amalan berwakaf ini juga diteruskan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah SAW, di mana Sayidina „Umar RA telah mewakafkan tanah yang beliau peroleh di Khaybar untuk kebajikan umat Islam. Begitu juga dengan wakaf telaga al-Rumah oleh Sayidina

„Uthman RA yang telah memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. Institusi wakaf ini turut menjadi medium penyelesaian sosial dan ekonomi masyarakat. Pensyariatan amalan wakaf adalah berasaskan tuntutan dan perintah Allah SWT sebagaimana firmanNya;

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkah kan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali „Imran, 92)

Pada dasarnya amalan wakaf dapat menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT di samping berkongsi manfaat di kalangan masyarakat yang sangat memerlukan bantuan seperti mereka yang menerima musibah banjir. Banyak ayat-ayat al-Qur‟an yang menggambarkan kelebihan berwakaf sekali gus menggalakkan umat Islam melaksanakannya. Firman Allah SWT;

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah umpama sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah, 261)

Amalan berwakaf telah terbukti berperanan penting dalam membangunkan tamadun Islam di era kegemilangannya. Pada zaman kerajaan Uthmaniyyah misalnya, pernah dicatatkan bahawa pendapatan daripada wakaf pernah mencecah separuh daripada keseluruhan jumlah pendapatan kerajaan pada masa itu. Justeru, budaya dan amalan yang murni ini tetap diteruskan pada zaman ini bagi memberikan pelbagai manfaat untuk semua pihak. Pelbagai bentuk aplikasi wakaf boleh dilaksanakan untuk dimanfaatkan oleh mereka yang berkemampuan dalam membantu pembangunan ummah, sama ada dalam aspek sosial, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Melibatkan asset mudah alih bantuan dari mereka yang memiliki kelebihan dari segi harta, kepakaran dan ilmu pengetahuan.

LATAR BELAKANG KAMPUNG TELEKONG KUALA KRAI

Jajahan Kuala Krai adalah salah satu daripada jajahan yang tertua yang telah diwujudkan oleh pemerintah British pada tahun 1909 dan merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan. Ibu daerahnya ialah bandar Kuala Krai yang merupakan jajahan kedua terbesar di Kelantan selepas Gua Musang dengan keluasan 2,287.10 kilometer persegi. Terdapat tiga daerah utama dalam jajahan ini iaitu Batu Mengkebang, Olak Jeram dan Dabong dengan 35 mukim.

Pusat pentadbiran jajahan pada mulanya terletak di Kg. Mengkebang, Jalan Batu Lada dan kemudian berpindah berhampiran Tangga Krai (Tangga Bradley) pada tahun 1927. Kini Pusat Pentadbiran Jajahan telah berpindah ke bangunan baru berpusat di kawasan Guchil pada 22 April 1985. Kuala Krai berkembang pesat setelah dibuka lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang pada Ogos 1983 yang merupakan laluan jalan raya ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Dua sungai utama iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir bertemu di Sungai Kelantan di bandar Kuala Krai. Terdapat stesen keretapi yang menghubungkan Tumpat ke Gua Musang dan kebanyakan penduduk di jajahan Kuala Krai mengusahakan tanaman getah.

79

Kampung Telekong terletak terletak dalam Mukim Telekong, daerah Kuala Krai.

Kampung ini menjadi sempadan antara daerah Kuala Krai dengan Machang. “Telekong”

merupakan pakaian yang digunakan oleh wanita Muslimah ketika menunaikan solat, namun sejarah kewujudan sebenar kampung ini belum dapat ditemui rekodnya. Walau bagaimana pun semasa peristiwa kebangkitan pahlawan Kelantan ia-itu Haji Mat Hasan bin Panglima Munas (Tok Janggut) menentang Inggeris, nama kampung Telekong ini tercatat dalam surat telegraf seorang pegawai Inggeris yang berpejabat di Kuala Krai yang menceritakan detik-detik perjalanannya melarikan diri ke Kota Bharu melalui kampung Telekong ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1915 (Kelab Pencinta Sejarah Kelantan, 2012).

PEMBINAAN RUMAH KEKAL BAHARU MELALUI APLIKASI WAKAF

Projek pembinaan RKB ini dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak, antaranya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Ground Zero dan Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membina rumah kekal baharu kepada mangsa bencana banjir berkenaan (Sinar, 2 Januari, 2016).

Pertubuhan Ground Zero yang merupakan gabungan jemaah Masjid al-Falah USJ 9 Subang Jaya (MAF) dan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) menjadi pelaksana dalam misi bantuan kepada mangsa banjir ini dengan penglibatan rakan kerjasama yang terdiri daripada ahli gabungan seperti Kongres Pendidikan Awal Kanak-kanak Islam Malaysia (MIECC) , Brainy Bunch, Dzul Iman Smart Khalifah, NUSB Pusat Dialisis Nefro Utama Sdn Bhd , Majulah Community - NGO dari Singapura, Aksi Cekap Tanggap (ACT) – NGO dari Indonesia dan Action Martial Art Academy League (AMAAL). Kumpulan gabungan ini terdiri daripada individu pelbagai latar belakang pekerjaan;

seperti jurutera, arkitek, guru agama, doktor, ahli perniagaan dan kontraktor. Antara skop bantuan yang diberikan adalah:

 Menghantar dan membekalkan barang keperluan seperti makanan, minuman dan peralatan dapur;

 Menyediakan kemudahan asas seperti khemah sementara berserta dengan “toto”, tikar, selimut dan bantal kepada mangsa banjir di kawasan yang dikenal pasti;

 Menyediakan dan memasang kemudahan elektrik dan air sementara dengan generator kuasa (gen-set) dan pendawaian serta water pump, water jet, water filter serta saluran paip ke rumah mangsa banjir;

 Mengatur dan menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah serta di sekitar kampong serta pembangunan semula infrastruktur asas seperti jalan perhubungan dan sebagainya;

 Menyediakan keperluan dan khidmat nasihat kesihatan dan sokongan emosi dan didikan agama dari kalangan doktor, ustaz dan ustazah; dan

 Membina rumah kekal untuk penduduk yang terjejas setelah dapat pengesahan status hak milik. Bantu membaiki rumah-rumah yang rosak akibat banjir.

Dengan 31 orang sukarelawan berdaftar, kumpulan ini ke kawasan yang ditimpa banjir membawa misi bantuan, pemulihan dan pembaharuan, terutamanya melibatkan aspek sosial dan ekonomi. Dengan menjadikan wakaf sebagai instrumen, pelbagai usaha dilakukan melibatkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan, antaranya seperti berikut:

 Menyampaikan sumbangan orang ramai berjumlah RM543,684.00 yang dikumpulkan sehingga 19 Mac 2015;

 Menghantar misi bantuan kemanusiaan daripada tarikh 28 Disember 2014 sehingga 23 Mac 2015 dengan membawa bekalan keperluan asas bernilai RM 86,000.00 ke kawasan-kawasan yang paling teruk;

 Menyampaikan 450 set dapur dan gas lengkap ke kawasan yang hanya boleh diakses oleh Boat / 4WD;

 Menghantar dan memasang 96 set lengkap khemah, bantal dan selimut, lebih 15 Genset dan 20 pam air;

80

 Membina tandas yang sempurna, surau sementara dan tangki air serta menyediakan peralatan pembersihan termasuk kereta sorong (wheel barrows) di tiga buah kampung yang melibatkan kemusnahan 66 buah rumah menjadi tumpuan misi bantuan berkenaan; serta

 Sebanyak RM 1 juta peruntukan disediakan dalam perancangan pembangunan Skim Perumahan Tetap untuk penduduk terlibat.

Sebanyak 60 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir telah dibina di Kampung Telekong. Rumah berkenaan dibina dengan peruntukan sebanyak RM 10.2 juta melalui sumbangan daripada LZS (MAIS) di tanah seluas empat hektar. Penyediaan infrastruktur terutama jalan di kawasan perumahan berkenaan turut disediakan, iaitu sebuah masjid, sebuah dewan serba guna serta enam rumah kedai. Selain itu, rumah berkenaan dilengkapi dengan perabot seperti katil, tilam dan set sofa. Lokasi tapak cadangan bagi projek ini terletak di Kuala Krai di kawasan rizab haiwan Telekong Mukim Telekong Daerah Batu Mengkebang jajahan Kuala Krai. Kawasan dengan keluasan keseluruhan sebanyak 21 ekor ini dijangka akan menjadi kawasan tumpuan di masa akan datang dengan dikelilingi dengan tanah tanah rizab kerajaan untuk pembangunan. Pembinaan projek perumahan yang dilaksanakan ini mempunyai objektif seperti berikut:

 Menjadikan wakaf sebagai instrumen penting menjayakan pembinaan perumahan mangsa banjir;

 Membantu mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti dahulu dan memulakan perjalanan baharu di dalam kamus hidup mereka;

 Membina komuniti masyarakat yang dapat membawa kepada kehidupan yang lebih harmoni serta persepakatan yang kukuh di antara satu sama lain; dan

 Menjadikan penempatan baharu ini bukan hanya sekadar kawasan perumahan semata-mata, tetapi akan menjadi hub komuniti baharu semua penduduk yang terlibat dengan penempatan semula akibat banjir.

BENEFESERIES (MAUQUF ALAIH)

Penerima sumbangan projek RBK merupakan mangsa banjir yang sudah sekian lama mendiami khemah dan bangsal, iaitu bertempat di Desa Darul Ehsan melalui sumbangan kerajaan Selangor.

Penempatan projek baharu RBK tersebut merupakan sumbangan LZS (MAIS) yang kemudian dikenali sebagai Desa Darul Ehsan, diambil nama bersempena dengan nama negeri Selangor Darul Ehsan. Ia diumumkan oleh YAB Menteri Besar Selangor pada majlis penyerahan kunci projek berkenaan di Simpang Tiga Kuari, Manik Urai. (UPKN, 18 Jun 2018). Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada asnaf fakir dan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui manfaat daripada dana zakat Selangor. Penempatan ini diuruskan oleh pihak MAIK selaku pemegang amanah dengan pemantauan LZS (MAIS).

Pemilihan 60 keluarga asnaf ini dilakukan melalui satu sesi bancian yang dilaksanakan pada Oktober hingga November 2015. Ia bagi memastikan kelayakan mereka memenuhi kriteria dan syarat yang telah ditetapkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) dan Majlis Daerah Kuala Krai. Rumah dengan keluasan 869 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas serta dilengkapi perabot dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,000.00 sebuah. Laman Seri Ehsan turut dilengkapi dengan infrastruktur yang kondusif seperti surau, dewan serba guna dan enam lot kedai serta kemudahan bekalan air bersih dan elektrik. Pembinaan rumah berkenaan yang berjaya disiapkan dalam tempoh hanya lima bulan menunjukkan suatu kejayaan yang besar dalam pengurusan projek dan mencapai objektif dalam pelaksanaan tanggungjawab dan keadilan sosial melalui wakaf sebagai instrumen penting.

81