Bil. Fail : (20) dlm PPS. 10/4/2 BUB Jld. 5
JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA
SURAT PEKELILING JPS Bil 4/2009
PENGEMASKINIAN DAN PENYERAGAMAN TATACARA PENILAIAN DAN PENYEDIAAN KERTAS PERAKUAN SEBUT HARGA KEPADA JAWATANKUASA
SEBUT HARGA JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA
1.0 TUJUAN
Surat pekeliling ini adalah bertujuan untuk mengemaskini dan menyeragamkan Tatacara Penilaian dan Penyediaan Kertas Perakuan Sebut Harga kepada Jawatankuasa Sebut Harga (JKSH) berdasarkan kepada Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bil. 5 Tahun 2009 yang telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia pada 24 Februari 2009.
2.0 LATAR BELAKANG
Kementerian Kewangan telah mengeluarkan SPP Bil. 5/2009 – Perubahan Had Nilai dan Tatacara Pengurusan Perolehan Secara Sebut Harga pada 24 Februari 2009 yang antara lainnya menerangkan secara terperinci berkenaan kaedah penilaian sebut harga yang perlu dibuat.
JKSH di peringkat ibu pejabat juga mendapati ketidakseragaman yang ketara dalam Kertas Perakuan yang dibentangkan terutama sekali dalam aspek penilaian kemunasabahan harga penyebutharga. Terdapat beberapa Bahagian menggunakan kaedah “cut-off” bagi menentukan kemunasabahan harga sedangkan Bahagian- bahagian lain hanya menggunakan perbandingan dengan Anggaran Jabatan (AJ).
Ekoran daripada pengeluaran SPP Bil. 5/2009 dan ketidakseragaman penilaian kemunasabahan harga ini, Lampiran D (D1 dan D2) kepada SPJPS Bil. 3/2004 – Perakuan dan Penilaian Sebut Harga yang digunapakai sebagai panduan dalam menyediakan penilaian dan kertas perakuan sebut harga Jabatan pada masa kini perlu dibuat beberapa pindaan dan tambahan.
3.0 TATACARA PENILAIAN DAN PENYEDIAAN KERTAS PERAKUAN SEBUT HARGA KEPADA JAWATANKUASA SEBUT HARGA
i) Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga
Selaras dengan Para 7, Lampiran 1 - Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Sebut Harga dalam SPP Bil 5/2009, Pengarah Bahagian / JPS Negeri / JPS Daerah / Jurutera Projek yang mengendalikan perolehan secara sebut harga hendaklah membuat lantikan secara bertulis Ahli Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga yang akan bertanggungjawab membuat penilaian dan seterusnya membuat perakuan kepada Jawatankuasa Sebut Harga. Bilangan ahli jawatankuasa penilai yang perlu dilantik adalah seperti di Lampiran I.
ii) Kertas Perakuan Kepada Jawatankuasa Sebut Harga
Format Kertas Perakuan Kepada Jawatankuasa Sebut Harga yang ditunjukkan dalam Lampiran D1 dan D2 kepada SP JPS Bil. 3/2004 adalah dibatalkan dan digantikan dengan format yang baru seperti yang ditunjukkan dalam Lampiran II dan Lampiran IIA.
iii) Kemunasabahan Harga
Bagi menentukan kemunasabahan harga di dalam penilaian sebut harga, kaedah seperti berikut hendaklah digunapakai:-
a) Bagi Sebut Harga kurang daripada 10 penyebut harga – analisa perbandingan harga adalah dengan menggunakan Anggaran Jabatan.
Rujuk Lampiran III untuk contoh analisa menggunakan Anggaran Jabatan.
b) Bagi Sebut Harga 10 penyebut harga ke atas – analisa perbandingan harga adalah dengan menggunakan pengiraan Harga ‘Cut-off’. Rujuk Lampiran IV. Contoh laporan penilaian menggunakan kaedah “cut- off” adalah seperti di Lampiran V.
c) Pakej pengiraan Harga ‘Cut-off’ menggunakan perisian ‘Microsoft Excel’ telah disediakan dan pihak tuan bolehlah menghubungi Pengarah, Bahagian Ukur Bahan & Kontrak, Ibu pejabat JPS Malaysia, Kuala Lumpur bagi mendapatkannya samaada melalui e- mail atau salinan cakera padat dan untuk mendapat latihan penggunaannya.
4.0 PENGUATKUASAAN DAN PEMBATALAN
4.1 Surat pekeliling ini berkuatkuasa dari tarikh ianya dikeluarkan dan hendaklah dibaca bersekali dengan SPP Bil. 5/2009 bertarikh 24 Februari 2009, SP JPS Bil. 3/2004 dan SP JPS Bil. 6/2008.
4.2 Surat pekeliling ini berkuatkuasa terhadap semua perolehan sebut harga kerja, bekalan dan perkhidmatan.
4.3 Garis Panduan dalam SP JPS Bil. 3/2004 dan pindaan kepadanya melalui SP JPS Bil. 6/2008 masih boleh digunapakai di mana berkenaan kecuali Lampiran D1 dan D2 kepada SP JPS Bil 3/2004 yang dibatalkan. Garis Panduan versi baru sedang dalam penyediaan.
Sekian. Terima kasih.
Tarikh: 13 Mei 2009