__________________________________________________________
PENERAPAN 5M DALAM KEPIMPINAN ORGANISASI Dr. Hj. Muhammad bin Hj. Nordin¹
¹Jabatan Pendidikan Islam IPG Kampus Pendidikan Teknik
Emel: [email protected] PENGENALAN
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dirangka untuk meningkatkan kualiti modal insan ke arah sistem pendidikan yang terbaik serta efektif dan efisien. Sehubungan dengan itu, usaha yang berterusan diperlukan terhadap semua pihak bagi memastikan pengurusan kepimpinan terhadap guru-guru adalah cemerlang supaya kecemerlangan dapat ditingkatkan kerana modal insan yang berjaya bermula di sekolah (Parise & Spillane, 2010). Bagi melahirkan kecemerlangan, ia bermula daripada pemimpin yang hebat dan mempunyai kepimpinan organisasi yang cemerlang.
Kepimpinan organisasi sangat diperlukan lebih-lebih lagi dunia hari ini menghadapi cabaran VUCA yang menuntut persediaan semua pihak.
Semua pihak perlu memainkan peranan yang utama dalam menghadapinya. VUCA yang dimaksudkan adalah Volatility (ketidakstabilan), Uncertainty (ketidakpastian), Complexity (kerumitan) dan Ambiguity (kesamaran). Volatility adalah peningkatan kemeruapan yang sangat drastik terhadap perubahan empat dimensi iaitu jenis, kelajuan, isi padu dan skala. Uncertainty mencengkam ketidakpastian hasil kemeruapan pantas yang menyebabkan begitu sukar untuk menjangka perkara berikutnya. Complexity hadir bersama kerumitan impak ketiadaan perhubungan jelas antara punca dan akibat. Akhirnya, hadir ambiguity membawa bersama kesamaran terhadap ketepatan yang mewujudkan kepelbagaian berganda maksud terhadap persekitaran (Berita Harian, 4 September 2017).
Bidang pendidikan turut terkesan dengan cabaran dunia VUCA ini. Guru, pendidik dan pemimpin harus bertindak pantas dalam menanganinya seiring dengan kepantasan VUCA melayari dunia hari ini. Pendidikan dalam era millennium hari ini menuntut ilmu bukan sekadar perpindahan ilmu tetapi memerlukan kepada pencapaian maksima murid dalam ilmu yang disampaikan. Begitu juga dengan kepimpinan dalam organisasi. Visi dan misi organisasi boleh tercapai melalui kepimpinan yang bijaksana,
__________________________________________________________
relevan dan kompeten. Terdapat begitu banyak kajian kepimpinan yang memberi jawapan bahawa gaya kepimpinan adalah faktor utama terhadap kegagalan dan kejayaan organisasi (Bass & Riggio, 2006). Hasil kajian Jamilah et.al (2016) menjelaskan semakin tinggi amalan kepimpinan transformasional diamalkan dalam kalangan pemimpin sekolah, semakin tinggi tahap kualiti guru dapat dihasilkan. Bagaimanakah kepimpinan yang relevan boleh dihasilkan dalam dunia VUCA hari ini?
Ciri-ciri yang ada pada 5M ini mampu mengawal diri kepemimpinan untuk mendepani VUCA. Ketidaktentuan, kesamaran dan kekaburan dalam dunia VUCA akan berjaya dihadapi dengan jatidiri, human governance dan tazkiyatunnafs yang mantap melalui eleman 5M yang dijana dalam diri individu. Bukan sahaja dunia VUCA, semua fenomena akan berjaya dilalui dan dihadapi melalui pembentukan dan pengahayatan 5M dalam diri.
Kertas kerja ini akan membincangkan lima elemen tertentu dalam kepimpinan organisasi yang boleh diaplikasikan oleh pemimpin-pemimpin meliputi sekolah, IPTA, IPTS dan badan-badan tertentu. Semoga kertas kerja ini memberi manfaat kepada penghasilan pemimpin yang berkualiti dan efisien.
PERNYATAAN MASALAH
Kepimpinan merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh seorang pemimpin yang telah dipilih. Sikap sambal lewa dan tidak mengambil berat terhadap amanah yang diberi akan mengundang kepada perkara-perkara yang merosakkan pemimpin itu sendiri. Sebagai contoh, kepimpinan yang tidak dipandu oleh integriti menjadi punca utama seseorang pemimpin itu terlibat dengan rasuah (laman web SPRM, 2 Julai 2021).
Satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan bahawa “kalian semua adalah seorang pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah pimpinannya”. Melalui hadis ini jelaslah bahawa seorang pemimpin bukan hanya bertanggungjawab di dunia semata tetapi setiap tindakan dan perlakuannya akan dipertanggungjawabkan di akhirat (Engku Ahmad Zaki.
2020). Prinsip keadilan, syura dan rendah diri mestilah diamalkan bagi mengelakkan diri terleka dengan perkara-perkara dunia dan menjadikan diri lebih bertakwa kepada Allah. Prinsip ini seiring dengan kepimpinan yang dibawa Oleh Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung dunia sehingga masyarakat barat turut mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW merupakan orang paling berpengaruh di dunia (H. Hart. 2005).
__________________________________________________________
Kepimpinan yang berlandaskan Islam berupaya melahirkan pemimpin yang berakauntabiliti, berintegriti dan berkualiti melalui ciri-ciri kepimpinan yang akan diterjemahkan melalui prinsip 5M yang diketengahkan. Iktibar daripada pemimpin-pemimpin Islam yang hebat seperti Umar bin al- Khattab, Umar bin Abdul Aziz dan Harun al-Rasyid diharap dapat menjadi role model dan contoh terbaik kepada semua pemimpin khususnya pemimpin di institusi tinggi mahupun di sekolah.
Kajian Literatur
Guru 5M, sudah tidak asing lagi dalam dunia pendidikan. Khususnya dalam kalangan guru Pendidikan Islam. Lima peranan yang dimainkan dalam pembinaan guru pendidikan Islam yang sempurna adalah Murabbi, Mudarris, Muaddib, Muallim dan Mursyid. Gambaran kelima-lima elemen ini dapat dilihat daripada rajah 1 yang ditunjukkan yang dipetik daripada kajian Syed Najmuddin et.al. (2009).
Rajah 1 : Lima Prinsip Guru Pendidikan Islam
Kajian telah menunjukkan bahawa setiap lima prinsip ini mempunyai ciri- ciri yang tertentu dan mempunyai peranan yang tersendiri. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan pada tahun 2012, kajian mendapati berdasarkan amalan pengajaran guru pendidikan Islam domain muaddib adalah dominan, diikuti oleh murabbi, mursyid, Muallim dan mudarris (Halim et.al. 2012).
Antara ciri-ciri guru murabbi yang dibincangkan ialah merealisasikan pembentukan dan pembangunan para pelajar dari pelbagai aspek sama ada jasmani, emosi, rohani, intelek dan social agar melahirkan insan soleh
__________________________________________________________
yang berakhlak mulia, menerapkan nilai kemanusiaan, menerapkan unsur ketauhidan, menggunakan bahasa komunikasi yang sesuai (Syed Najmuddin et.al, 2009 dan Razaleigh, 2014). Berdasarkan kajian, Rasulullah SAW merupakan contoh murabbi yang teragung, melalui pendekatan yang digunakan oleh baginda dalam berdakwah antaranya nasihat, halaqah, syura, perbincangan, penyelesaian masalah, analogi dan tunjuk cara (Kamal et.al. 2017)
Manakala ciri-ciri guru mudarris ialah mempunyai kepakaran serta mempunyai kecekapan dan kemampuan membuat keputusan professional, memiliki sifat humor, menyampaikan maklumat dengan mudah, tepat dan jelas, memiliki kemahiran interpersonal yang baik (Syed Najmuddin et.al, 2009 dan Razaleigh, 2014). Pandangan ini seiring dengan Zulazizi (2020) yang berpandangan guru mudarris adalah mempunyai kemahiran dalam pelbagai teknik dan pendekatan serta sangat professional dalam membuat keputusan menggunakan intelek dan tidak beremosi.
Seterusnya ciri-ciri guru muaddib ialah menyuburkan akhlak mulia kepada pelajar, mempamerkan sikap prihatin kepada kebajikan pelajar, mempamerkan sifat tawadhuk atau rendah diri dan mempamerkan sifat keceriaan (Syed Najmuddin et.al, 2009 dan Razaleigh, 2014). Kajian Hakim et.al. (2020) menunjukkan konsep muaddib ini telah dilaksanakan dengan baik di sekolah-sekolah zon selatan. Melalui sifat-sifat mahmudah yang di tampilkan berupaya membawa murid kepada pendekatan Islam yang sebenar.
Antara ciri-ciri guru Muallim ialah mewarnai pembentukan dan pembangunan diri pelajar sebagai insan soleh, menepati fakta, menyatupadukan ilmu intra dan inter bidang, memiliki dan menguasai ilmu (Syed Najmuddin et.al, 2009 dan Razaleigh, 2014). Abd Halim dan Khairul (2010) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu memainkan peranan yang penting dalam mengiktiraf guru sebagai Muallim disamping kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, motivasi dan personaliti guru.
Seterusnya yang terakhir adalah ciri-ciri guru mursyid menfokuskan konsep kepimpinan Rasulullah SAW dalam proses mendidik dan membimbing para sahabat, bersikap adil dan tegas, mempamerkan sifat kepimpinan yang mesra, menmpilkan kepimpinan berhikmah (Syed Najmuddin et.al, 2009 dan Razaleigh, 2014). Guru yang boleh berperanan sebagai seorang mursyid adalah sangat sedikit bilangannya kerana guru tersebut semestinya turut mampu menggalas tugas sebagai Mualim,
__________________________________________________________
Mudarris, Muaddib dan Murabbi di samping mengajak dirinya sendiri untuk menimba ilmu pengetahuan, melakukan kajian sekitar bilik darjah, melakukan tambah nilai pada maklumat dan amalan serta memperbaiki tahap keimanan kepada Allah (Zulazizi, 2020).
Melalui elemen atau ciri-ciri yang dinyatakan oleh pengkaji terdahulu ternyata mempunyai signifikan dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti dan berakauntabiliti. Berdasarkan ciri-ciri ini pemimpin yang dilahirkan akan lebih mudah didekati dan memenuhi kehendak dan keperluan pensyarah, guru dan staf. Menurut Rosnah dan Faizal (2012), dalam konteks pemimpin pendidikan
• Pemimpin menyediakan ruang dan peluang pembelajaran.
• Pemimpin menjadi model pembelajaran.
• Pemimpin menggalakkan inovasi.
• Pemimpin memberikan penghargaan dan pengiktirafan.
• Pemimpin membangunkan potensi warga.
Menurut Northouse (2009) yang dipetik daripada Rozita et.al. (2017), terdapat lima dimensi untuk menjelaskan tentang kepimpinan.
• Dimensi kepimpinan adalah berkaitan ciri-ciri individu menyokong pernyataan bahawa pemimpin adalah dilahirkan (nature) dan bukannya dibentuk (nurture). Ia merujuk kepada pemimpin yang mempunyai ciri-ciri khusus seperti berkeyakinan tinggi, bijak membuat keputusan, pandai bergaul dan sebagainya.
• Dimensi kepimpinan adalah satu bentuk keupayaan mempunyai persamaan dengan pandangan yang pertama iaitu keupayaan memimpin sebagai bakat semulajadi. Namun, sesetengah pendapat menghujahkan keupayaan memimpin boleh dibangunkan menerusi latihan.
• Dimensi kepimpinan merupakan satu bentuk kemahiran, di mana kepimpinan dilihat sebagai kompetensi boleh-bina untuk mencapai matlamat organisasi. Ia membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk menjadi pemimpin melalui pembelajaran dan latihan.
• Dimensi kepimpinan adalah berkaitan tingkahlaku menekankan jenis tingkah laku utama dalam orientasi tugasan pemimpin iaitu berorientasikan tugas dan berorientasikan manusia.
• Dimensi kepimpinan adalah berkaitanperhubungan mentakrifkan kepimpinan daripada sudut komunikasi dua hala, di antara pemimpin dengan pengikutnya. Dalam hal ini, perlakuan pemimpin mempengaruhi pengikutnya dan begitulah pula sebaliknya.
__________________________________________________________
OBJEKTIF KAJIAN
• Mengenal pasti kepimpinan 5M berdasarkan al-Quran dan al- hadis.
• Mengenal pasti amalan kepimpinan 5M yang boleh diaplikasikan dalam organisasi.
Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan menggunakan pendekatan analisis dokumen. Beberapa dokumen tertentu dianalisis untuk menjawab kepada objektif yang telah ditetapkan. Kajian berbentuk deskriptif bertujuan untuk mengenal kepimpinan menurut perspektif 5M. Pengkaji menggunakan metodologi analisis dokumen melalui fakta, data, maklumat dan bukti bahan-bahan seperti buku, artikel jurnal dan kertas kerja. Metode pengumpulan data kajian ini adalah untuk memahami konsep dan digunakan dalam memahamkan teori-teori yang berkaitan.
HASIL DAN PERBINCANGAN KAJIAN Menerapkan Unsur Ketauhidan (Murabbi)
Perkataan utama yang harus difahami adalah ketauhidan. Ketauhidan adalah daripada perkataan wahada yang bermaksud tunggal atau satu.
Melalui perkataan wahada lahir perkataan tauhid dan seterusnya ketauhidan. Menurut Qamus al-Muhit, tauhid bererti menjadikan sesuatu itu satu. Tauhid menurut syarak ialah mengesakan Allah dengan ibadat serta meyakini ke-Esaan tersebut pada zat sifat-sifat dan perbuatannya.
Surah al-Ikhlas adalah surah yang paling dekat untuk penegasan terhadap ketauhidan kepada Allah. Sebagaimana yang terkandung dalam surah al- Ikhlas yang bermaksud:
Katakanlah: Dialah Allah yang Maha Esa. Allah adalah Rabb yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan dia.
Ayat ini menunjukkan satu penetapan khususnya pada ayat 1. Ia menunjukkan bahawa Allah itu Esa dari sudut zatnya dan juga hakikatnya.
__________________________________________________________
Berdasarkan ketetapan tauhid yang dinyatakan, Sayyid Qutub dalam tafsirnya berpendapat bahawa dari ketetapan ini boleh melahirkan satu manhaj kehidupan manusia yang sempurna. Manhaj inilah yang menunjukkan kebergantungan kepada Allah dan akan sentiasa dekat kepada Allah dan seterusnya takut untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
Dari perspektif tauhid ini turut menjelaskan kesamaan manusia di hadapan Tuhan dan membuktikan persamaan antara sesama manusia (Nur Farhana, 2012). Wan Liz Ozman Wan Omar (1996) menyatakan bahawa perlaksanaan pendekatan tauhid terhadap kepimpinan berupaya memberi implikasi yang baik antaranya:
• Individu Muslim akan bersikap terbuka, tidak jumud dan sempit fikirannya. Ia akan menjadi pekerja yang amanah, cekap dan disiplin. Ini adalah kerana apabila konsep tauhid telah sebati dengan jiwa seseorang hamba, maka sebarang tindakannya akan berlandaskan ketakwaan kepada Allah S.A.W.
• Konsep tauhid akan melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang paling tinggi. Mereka akan memperkatakan sesuatu yang hak dan benar.
• Ia menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri dan tawadduk.
Oleh itu ia boleh membentuk budaya kerja yang bercirikan oleh semangat hormat-menghormati, prihatin dan tolong-menolong di antara satu sama lain.
• Ia membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman dan kesungguhan yang
tinggi. Apabila ia melakukan sesuatu yang berdasarkan lunas- lunas Islam, maka ia pasti
mendapat pertunjuk daripada Allah S.A.W.
• Pegangan konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang salih, berani dan berdiri tegak dalam kebenaran. Ini akan menjadikan seseorang pekerja itu mengamalkan nilai-nilai yang murni, amanah dalam tanggungjawab dan rajin serta cekap dalam menjalankan tugas.
Memiliki Kemahiran Interpersonal (Mudarris)
Menurut Horward Gardner (1983) yang dipetik daripada Nik Yusri et.al.
(2020) mendefinisikan kemahiran interpersonal sebagai kebolehan memahami orang lain dan menggunakan kebolehan ini dalam berinteraksi, bekerjasama, membimbing dan menguruskan komunikasi. Kemahiran ini membolehkan seseorang memahami perasaan, tabiat dan hasrat orang
__________________________________________________________
lain. kemahiran ini dapat membantu dalam berkomunikasi dan berkerjasama dengan orang lain dalam menghasilkan suatu projek yang berfaedah dan dapat memberi motivasi kepada orang lain. Firman Allah dalam 2 ayat yang dinyatakan bermaksud:
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(As-Sajdah 32:24)
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.
(Al-Anbiyaa' 21:73)
Berdasarkan kepada kedua-dua ayat ini kemahiran interpersonal menurut al-Quran ialah:
• Tenang dan berkeyakinan sewaktu menghadapi krisis,
• Memahami isu dan masalah yang berkaitan sehingga dapat menyelesaikannya dengan baik dan diterima bersama.
• Sabar dan tegas
• Hubungan yang teguh dengan Allah SWT
Manakala daripada perspektif komunikasi ialah mengucap perkataan yang baik, benar dan lembut (Nik Yusri 2020). Kajian Roselena dan Izaham (2015) telah menunjukkan terdapat lima kompetensi utama yang perlu ada pada pemimpin berkualiti iaitu berpengetahuan, berkemahiran, berkeperibadian positif, menyumbang kepada organisasi, dan kesanggupan memimpin. Manakala kajian Rozita et.al. (2018), menunjukkan bahawa peranan interpersonal termasuklah peranan ketua organisasi memberi arahan, melatih dan menilai prestasi orang bawahan, disamping pemimpin berperanan mewakili organisasi ketika acara formal dan bukan formal, mempengerusikan mesyuarat dan peranan sebagai perantara yang melibatkan jaringan pihak luar.
Mempamerkan Sifat Tawadhuk Dan Rendah Diri (Muaddib)
__________________________________________________________
Tawaduk ialah rendah hati. Semua manusia adalah sama disisi Allah, hanya ketakwaan yang membezakan manusia dengan manusia yang lain.
Allah SWT berfirman dalam:
Dan rendahkanlah dirimu kepada orang Mukminin yang mengikutimu.
(Surah al-Hijr, ayat 88)
Menurut Ibn Kathir maksud rendahkan diri adalah berlemah lembut dengan mereka. Rasulullah SAW memandang tinggi individu yang bersifat merendah diri. Sebagaimana mafhum hadis yang dinyatakan:
Tidaklah Allah itu menambahkan pada diri seseorang sifat pemaaf, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seorang itu merendahkan diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘azza wajalla.
(Riwayat Muslim)
Bagi memahami konsep tawadhuk dengan lebih jelas, ia adalah sikap lawan daripada sombong. Seseorang yang bersifat tawadhuk tidak akan menolak kebenaran dan tidak memperlekehkan orang lain. Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam.
Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an:
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
(Surah al-Israa’ ayat 37)
Ayat ini turut disokong dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
(Sahih Muslim)
Seorang pemimpin yang tawadhuk akan merasakan dirinya adalah insan yang terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Tugas dan pangkat yang diberikan adalah amanah dan bukannya untuk mendabik dada dengan kelebihan yang diberikan. Oleh yang demikian setiap pemimpin hendaklah menjauhi sikap sombong dan bangga diri, kerana kelebihan di dunia belum menjamin untuk kita mendapat kelebihan di akhirat.
__________________________________________________________
Memiliki Dan Menguasai Ilmu (Muallim)
Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan.
Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.
(Ibnu Majah)
Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:
Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.
(al-Mujadalah ayat 11)
Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.
Antara kelebihan yang dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW bagi orang- orang yang menuntut ilmu ialah akan mendapat balasan syurga. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.
(Riwayat Muslim)
Dapatan kajian Rosnah dan Faizal (2012) menemui lima elemen kepimpinan terbaik organisasi pembelajaran. Elemen tersebut ialah menyediakan ruang dan peluang pembelajaran untuk guru, menjadi model pembelajaran, menggalakkan inovasi, memberikan penghargaan dan pengiktirafan serta membangunkan potensi warga sekolah. Ciri-ciri ini boleh ditunjukkan oleh kepimpinan yang berilmu dan mengusai ilmu.
Pemimpin akan dilihat sebagai contoh dalam semua aspek, bukan sekadar hanya memberi arahan tetapi benar-benar ingin membimbing dan meningkatkan potensi staf.
__________________________________________________________
Mempamerkan Sifat Kepimpinan Yang Mesra Staf (Mursyid)
Melalui pendekatan elemen mursyid pemimpin berupaya mempemerkan sifat yang mesra staf. Kemesraan yang ditunjukkan oleh seorang pemimpin mampu melahirkan staf yang efisien dan bertanggungjawab.
Setiap staf perlu diberi kefahaman dan terma-terma kerja yang diharapkan dalam organisasi. Dengan cara ini staf akan lebih menguasai kerja dan mampu membuat checklist bersifat harian, mingguan dan bulanan. Oleh yang demikian, natijah dan produktiviti organisasi akan lebih berkesan dan memberangsangkan. Firman Allah dalam al-Quran:
Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).
(Surah al-Jathiyah ayat 20)
Berdasarkan terjemahan ayat yang dinyatakan rahmat yang dimaksudkan adalah nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang dapat dihayati oleh umat Islam (Sinar Harian, 15 Januari 2020). Melalui kepimpinan yang mesra akan lahirlah kepimpinan yang berhikmah. Segala arahan, pesanan dan teguran diberikan secara berhikmah. Kebijaksanaan pemimpin melaksanakan konsep hikmah merapatkan jurang dan mendekatkan pemimpin dengan staf.
PEMIMPIN 5M
MENERAPKAN UNSUR KETAUHIDAN
MEMILIKI KEMAHIRAN INTERPERSONA
L
MEMPAMERKA N SIFAT TAWADHUK DAN RENDAH
DIRI MEMILIKI DAN
MENGUSAI ILMU MEMPAMERKA
N SIFAT KEPIMPINAN YANG MESRA
STAF
__________________________________________________________
Rajah 2 : Cadangan Model Kepimpinan 5M
Rajah 2 menunjukkan cadangan model kepimpinan 5M. Kefahaman dan aplikasi sepenuhnya kepada kelima-lima prinsip ini akan membawa kepada kepimpinan yang berwibawa dan efisien dan yang lebih penting membawa kepada keharmonian dan ketenangan dalam organisasi. Tanpa staf siapalah pemimpin, oleh yang demikian, sebagai seorang pemimpin, hargailah staf.
KESIMPULAN
Secara umumnya kajian ini telah menjawab dua objektif kajian yang telah dikemukakan. Melalui lima ciri ini diharapkan dapat menambah pengetahuan terhadap disiplin ilmu yang berkaitan dengan kepimpinan.
Model Kepimpinan 5M ini diharapkan dapat memenuhi kriteria seorang pemimpin yang beradab mulia dan mempunyai jiwa manusiawi yang berpegang kepada prinsip Rabbani sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam. Lima prinsip yang diketengahkan adalah menerapkan unsur ketauhidan dalam diri, memiliki dan mempunyai kemahiran interpersonal, mempamerkan sifat tawadhuk dan rendah diri, memiliki dan menguasai ilmu dan seterusnya yang terakhir adalah mempamerkan sifat kepimpinan yang mesra staf. Melalui lima prinsip ini diharapkan dapat membantu menampilkan organisasi yang cemerlang seiring dengan visi dan misi.
RUJUKAN Al-Quran al-Karim
Abdul Hakim Ramli, Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, Azmil Hashim.
(2020). Amalan Guru Pendidikan Islam berdasarkan konsep Muaddib di Zon Selatan Negeri Johor. Jurnal Teknikal dan Sains Sosial. Bil. 10. Jilid 1. 98-109.
Ab. Halim Tamuri, Muhamad Faiz Ismail, Kamarul Azmi Jasmi. 2012.
Komponen Asas Untuk Latihan Guru Pendidikan Islam, GJAT, Volume 2 Isu 2, 53-62
Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Azman Ajuhary. 2010. Amalan pengajaran guru Pendidikan Islam berkesan berteraskan konsep Mu‘allim.
Journal of Islamic and Arabic Education. 2 (1). 43-56
__________________________________________________________
Bass, B. M. 1985. Leadership and performance beyond expectations. The Free Press : New York.
Eddy, P.L. 2013. Developing leaders: The role of competencies in rural community colleges. Community College Review 41(1): 20-43
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. 2020. Pemimpin dan Kesejahteraan Negara. My Metro.
H.Hart, Michael. 2005. The 100: A Ranking of the Most Influential Person in History. California: Carol Publishing Group.
Jamilah Man, Yahya Don & Siti Noor Ismail. 2016. Kepimpinan Transformasional Dan Kualiti Guru Generasi ‘Y’, Jurnal Kepimpinan Pendidikan, Bil.3 Isu 1, hal 29-42
Kamal J. I Badrasawi Abdul Shakour Preece Che Noraini Hashim Nik Md Saiful Azizi. 2017. The Concept Of Murabbi In Muslim Education With Reference To Selected Teaching Methods Of The Prophet Muhammad. al- Shajarah, Special Issue, 327-357
Laman Web Rasmi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Muhammad Zulazizi Mohd Nawi. 2020. Peranan Guru Pendidikan Islam Dalam Membawa Transformasi Terhadap Mobiliti Sosial Dalam Masyarakat. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari. 179-188.
Nik Yusri Musa, Marwan Ismail dan Muhammad Hafizuddin. 2020.
Kemahiran Interpersonal (Interpersonal Skills): Satu Analisis Menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah. 6th International Conference on Human Sustainability (INSAN2020) University Tun Hussein Onn, Malaysia, 19th August 2020
Parise, L. M., & Spillane, J. P. 2010. Teacher learning and instructional change: How formal and on-the-job learning opportunities predict change in elementary school teachers' practice.The Elementary School Journal, 110(3), 323-346.
Razaleigh Muhamad Kawangit. 2014. Peranan Guru Pendidikan Islam Dalam Pengurusan Aktiviti Dakwah di Sekolah. Kertas kerja. 1-13.
__________________________________________________________
Roselena Mansor, Mohd Izham Mohd Hamzah. 2015. Kepimpinan Berkualiti: Perspektif mengenai Kompetensi yang Diperlukan untuk Memimpin dengan Berkesan. Jurnal Pengurusan. 45, 143-154
Rosnah Ishak & Muhammad Faizal A. Ghani. 2012. Amalan Kepimpinan Terbaik Untuk Sekolah “Organisasi Pembelajaran”. Jurnal Pendidikan Malaysia. 37(2). 35-41
Rozita Ibrahim, Muhammad Rahimi Hasan & Bahiyah Abdul Hamid. 2018.
Takrif Kepimpinan, Ciri-Ciri Pemimpin dan Motivasi untuk Memimpin menurut Sudut Pandang Pemimpin Wanita Akar Umbi. Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara 19: 28-42
Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab. Halim Tamuri, Isahak Othaman, Mohd.
Sabri Mamat. 2009. Kajian Persepsi Pelajar Terhadap Tahap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam MRSM, Journal of Islamic and Arabic Education, 1(2), 2009, 31-50.
Wan Liz Ozman Wan Omar. (1996). “Pengurusan Islam Abad Ke-21”.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.