69
PEMBANGUNAN KOLEKSI PERSEORANGAN DI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA: SUATU PERKONGSIAN
Nor Azzah Momin, Hasmida Saleh dan Airin Noor Ab Majid Perpustakaan, Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai
[email protected], [email protected], [email protected]
ABSTRAK
Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebuah perpustakaan akademik, telah merancang strategi pembangunan koleksi mereka dengan mengamalkan kaedah pembelian, langganan dan juga penerimaan sumbangan atau hadiah. Ia mula membangunkan Koleksi Perseorangan pada tahun 2007 apabila mula menerima sumbangan bahan dalam jumlah yang banyak daripada seorang individu atau tokoh, untuk dijadikan sebagai salah satu koleksi rujukan di Perpustakaan. Terdapat dasar khusus yang telah dibangunkan sebagai rujukan dalam pengurusan koleksi ini yang mengandungi latar belakang koleksi, objektif penubuhan koleksi, kriteria bahan yang boleh diterima, unit yang terlibat dalam pengurusan koleksi, dan tatacara pelupusan koleksi. Sehingga kini terdapat sebanyak 11 Koleksi Perseorangan yang telah dibangunkan oleh Perpustakaan untuk tokoh-tokoh dari dalam dan luar USIM. Koleksi ini telah diproses untuk dirujuk oleh para pengguna Perpustakaan. Turut dikongsi adalah isu-isu dan cabaran dalam pengurusan koleksi ini.
Kata Kunci: Pembangunan koleksi; Koleksi perseorangan; Perpustakaan akademik;
Perpustakaan universiti; Pengurusan koleksi perpustakaan
ABSTRACT
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Library is an academic library which has planned their collection development strategy by adopting the methods of purchasing, subscribing and donations or gifts. It began developing the Individual Collection in 2007 when the Library began receiving resources contributed in large numbers from individual and scholars, as one of the reference collection in the Library. There is a specific policy that have been developed for reference in the management of the collection. The policy contains the background of the collection, objectives of the establishment of the collection, criteria of acceptable materials, units involved in collection management, and collection disposal procedures. To date, there are 11 Individual Collection that have been developed by the Library for scholars from within
70
and outside USIM. The collection has been processed for reference by Library users.
The article also shares the issues and challenges in the management of the collection.
Keywords: Collection development; Individual collection; Academic libraries;
University libraries; Library collection management
PENDAHULUAN
Sejak berabad lamanya, perpustakaan berfungsi sebagai pusat intelektual yang membudayakan ilmu pengetahuan khususnya dalam pembacaan dan pengaksesan maklumat. Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah ditubuhkan pada awal Julai 2000. Pada mulanya ia dikenali sebagai Perpustakaan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Nama universiti kemudiannya telah ditukar kepada USIM pada 2007.
Operasi Perpustakaan ini telah berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain berikutan ketiadaan bangunan tetap pada awal penubuhan. Bermula di Menara Institut Profesional Baitulmal (IPB), kemudian berpindah ke Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, Kuala Lumpur, pada Julai 2001. Perpustakaan kemudiannya berpindah ke tapak kampus tetap USIM di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada Julai 2005 dengan menempati bangunan sementara. Akhirnya pada 17 Disember 2008, Perpustakaan USIM mula beroperasi di bangunannya sendiri yang baru siap dibina.
Buat masa ini, Perpustakaan USIM telah mempunyai tiga perpustakaan cawangan iaitu, Perpustakaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Perpustakaan Fakulti Pergigian dan Perpustakaan Kolej Genius Insan. Setiap perpustakaan di bangunan utama serta di cawangan, mempunyai koleksi yang tersendiri, sesuai dengan fokus utama pengguna yang disasarkan.
Perpustakaan USIM juga telah memperoleh Sijil Pengurusan Kualiti dalam ISO 9001:2015 dan Sijil Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 pada 2016.
Justeru, Perpustakaan komited dalam memastikan setiap operasi yang dijalankan mempunyai Dasar yang khusus dan Standard Prosedur Operasi sebagai rujukan utama.
Ini termasuklah dalam urusan pembangunan koleksi di Perpustakaan.
KAJIAN LITERATUR
Asas pembangunan koleksi di sesebuah perpustakaan bertujuan untuk membina, mengukuh dan memantapkan sumber maklumat dalam pelbagai format bahan, sama ada bercetak atau tidak bercetak (elektronik). Pembangunan koleksi adalah aktiviti yang dinamik dan berterusan.
Menurut Reitz (2014) dalam Online Dictionary for Library and Information Science (ODLIS),
71
“collection development is the process of planning and building a useful and balanced collection of library materials over a period of years, based on an ongoing assessment of the information needs of the library's clientele, analysis of usage statistics, and demographic projections, normally constrained by budgetary limitations. Collection development includes the formulation of selection criteria, planning for resource sharing, and replacement of lost and damaged items, as well as routine selection and deselection decisions.”
Frempong-Kore (2020) menyatakan pembangunan koleksi sebagai satu aktiviti perpustakaan yang bertujuan untuk menyedia sumber maklumat yang bersesuaian kepada pengguna perpustakaan. Dalam hal ini, perpustakaan universiti pada kebiasaannya menumpukan aktiviti pembangunan koleksi mereka kepada bahan bacaan yang menyokong kepada kurikulum universiti.
Pembentukan dasar berkaitan pembangunan koleksi sesebuah perpustakaan adalah mandatori dan amat penting. Patel (2016) menyatakan bahawa Dasar Pembangunan Koleksi di perpustakaan akademik harus dijadikan panduan agar aktiviti ini disesuaikan dengan objektif penubuhan institusi. Pembangunan koleksi bagi sesebuah perpustakaan boleh dilaksana dengan beberapa kaedah, Adesina (2019) memetik cadangan Evans (2000) yang menyebutkan ia boleh dilaksanakan through purchase, gifts and donation or through exchange programmes.
Kaedah perolehan bahan melalui sumbangan dan hadiah seperti yang dinyatakan oleh Adesina, turut diamalkan di Perpustakaan Islam pada zaman kegemilangan Islam. Ini diakui oleh Haslan dan Latifah (2015), bahawa perolehan berbentuk hadiah turut diamalkan oleh perpustakaan Muslim. Sebagai contoh, Perpustakaan Di Raja Hakam II kerap menerima sumbangan berupa buku daripada penulis dan ilmuwan Islam. Haslan dan Latifah turut menyebut mengenai sumbangan bahan oleh individu, “Ibnu Mufarraj dari Fonteaurea dan Muhammad bin Harith Asad al-Khusaini dari Qayrawan adalah antara contoh individu yang menyumbang kepada pembangunan koleksi ini”.
LATAR BELAKANG
Pembangunan koleksi di Perpustakaan USIM
Perpustakaan USIM sebagai sebuah perpustakaan akademik yang menyokong sebuah institusi pengajian Islam telah membangunkan koleksinya di awal penubuhan dengan melengkapkan koleksi kitab-kitab turath. Seterusnya, ia diteruskan dengan melengkapkan bahan-bahan rujukan utama subjek yang ditawar oleh Fakulti.
72
Justeru, ia mempunyai beberapa koleksi yang sentiasa ditambah berdasarkan keperluan dan kehendak universiti. Kaedah pembangunan koleksi adalah berdasarkan kaedah pembelian, langganan dan sumbangan bahan. Pada masa ini, Perpustakaan USIM mempunyai sebanyak 23 koleksi. Di antara koleksi-koleksinya adalah Koleksi Rak Terbuka, Koleksi Undang-undang, Koleksi Perubatan, Koleksi Malaysiana, Koleksi Tesis, Koleksi Rujukan dan lain-lain.
Sehingga kini, jumlah koleksi bahan bercetak di Perpustakaan USIM telah mencecah jumlah sebanyak 68,514 judul dan 104,027 naskhah bahan. Jumlah ini dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa.
PENUBUHAN DAN PEMBANGUNAN KOLEKSI PERSEORANGAN Latar Belakang
Sejak awal penubuhannya, Perpustakaan USIM berhasrat untuk menjadi sebuah gedung ilmu yang kaya dengan pelbagai sumber maklumat bernilai tinggi. Sejajar dengan hasrat ini, pelbagai usaha dilakukan dalam proses pengembangan koleksi perpustakaan. Salah satunya adalah perolehan bahan melalui sumbangan orang perseorangan.
Idea penubuhan Koleksi Perseorangan terhasil apabila Perpustakaan menerima sumbangan terawal daripada Puan Salmah Abu Bakar, iaitu balu Allahyarham Tuan Haji Mashadi bin Salamon, di mana Perpustakaan telah menerima bahan koleksi beliau sebanyak 397 naskah selepas kematian beliau pada 2000.
Dasar Koleksi Perseorangan mula digubal mulai 2007. Ia dijadikan sebagai panduan utama untuk penilaian dan pemilihan koleksi tersebut. Berdasarkan dasar tersebut, Koleksi Perseorangan merujuk kepada koleksi yang dimiliki oleh seseorang tokoh atau individu, sama ada daripada hasil karya individu berkenaan atau daripada koleksi simpanan peribadi mereka yang merangkumi pelbagai bidang perkara, khususnya yang berkaitan dengan bidang kepakaran individu tersebut.
Koleksi Perseorangan ini bukan sahaja menjadi sumber maklumat penting kepada warga USIM, malah ia boleh menjadi sumber rujukan oleh para penyelidik yang mengkaji tentang latar diri tokoh tersebut atau bidang perkara yang berkaitan dengan kepakaran tokoh tersebut. Melalui koleksi seseorang tokoh, dapat juga dilihat bagaimana corak dan gaya pemikirannya terbentuk, seterusnya menatijahkan tindakan serta keputusan ke atas perkara-perkara dan ditanganinya.
Koleksi Perseorangan yang diwujudkan di Perpustakaan USIM bukan sahaja terhad kepada koleksi tokoh atau individu warga USIM, malah ia terbuka kepada tokoh dari luar USIM juga. Koleksi Perseorangan diurus oleh Seksyen Sumbangan dan Hadiah, di Bahagian Pembangunan Sumber (BPS).
73 Objektif Penubuhan
Penubuhan Koleksi Perseorangan ini mempunyai objektif seperti berikut:
1. Mempromosi koleksi bahan di Perpustakaan USIM.
2. Menjadi sumber maklumat penting kepada para penyelidik, khususnya mereka yang ingin membuat penyelidikan berkaitan tokoh, atau bidang tujahan yang dikuasai tokoh.
3. Menarik pengunjung untuk datang membuat rujukan di Perpustakaan. Ini kerana sebahagian buku sumbangan tersebut tidak lagi dijual dalam pasaran (out of print).
4. Menghargai kepakaran seseorang tokoh dalam bidang tertentu.
Proses Penerimaan Bahan Koleksi Perseorangan
Berdasarkan pengalaman Perpustakaan USIM, bahan-bahan bagi Koleksi Perseorangan diserah oleh penyumbang atau waris melalui pelbagai cara. Kaedah yang paling biasa adalah diserah sendiri kepada Perpustakaan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa penyumbang yang memohon supaya pihak Perpustakaan mengambil bahan sumbangan di kediaman mereka selepas perbincangan awal dibuat bagi memastikan bahan tersebut sesuai dijadikan koleksi perpustakaan seperti Koleksi Tan Sri Dato’ Abdul Kader Talip yang diambil secara berperingkat dari kediaman beliau. Begitu juga terdapat bahan yang dihantar mengguna kargo (dengan biaya Perpustakaan) disebabkan koleksi penyumbang, Dato’ Hj. Mohd. Mortadza Hj. Daud, berada di Sarawak.
Dasar Pengurusan Koleksi Perseorangan Perpustakaan USIM telah menetapkan beberapa syarat untuk membentuk sesuatu Koleksi Perseorangan, seperti berikut:
a) 70 peratus daripadanya tidak terdapat di dalam koleksi Perpustakaan USIM;
b) 70 peratus daripadanya adalah bahan yang tidak memerlukan pemuliharaan (bahan dalam keadaan baik);
c) 50 peratus daripadanya merupakan subject interest bagi penyumbang secara peribadi atau bidang kepakaran penyumbang;
d) Jumlah koleksi melebihi 500 naskah. Angka ini dinaikkan daripada jumlah 300 naskah yang ditetapkan pada tahun 2007 (Harianti, 2010).
Sekiranya koleksi yang diterima telah menepati syarat-syarat di atas, satu kertas kerja akan disedia untuk mendapat kelulusan penubuhan Koleksi bagi individu tersebut.
Kelulusan perlu diperoleh daripada Mesyuarat Jawatankuasa Perpustakaan (MJKP) USIM yang dipengerusi oleh Naib Canselor, dan keahliannya terdiri daripada semua Dekan Fakulti, Pengarah-pengarah bagi Pusat-pusat Akademik, dan beberapa Ketua- ketua Pusat Tanggungjawab lain seperti Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari.
74
Kertas kerja yang disediakan mengandungi maklumat diri penyumbang dan maklumat bahan yang disumbang, analisa bahan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan serta cadangan huruf singkatan yang akan diguna pada nombor pengelasan bahan.
Koleksi Perseorangan di Perpustakaan USIM
Terkini, Perpustakaan USIM telah mempunyai 11 Koleksi Perseorangan, di mana setiap satu koleksi tersebut diberi satu nombor panggilan yang unik, iaitu nombor panggilan yang diambil daripada awalan abjad nama penyumbang terbabit (Jadual 1).
Jadual 1: Senarai Koleksi Perseorangan Perpustakaan USIM
Bil Nama Penyumbang Tahun Terima
Jumlah Judul
Jumlah Naskah
Catatan
1 Tuan Haji Mashadi Haji
Salamon (thm) 2004 367 367
Mantan Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Bidang – Undang-undang Syariah
2 Tan Sri Dato’ Abdul
Kader Talip (akt) 2008 1,058 1,093
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan.
Bidang – Undang-undang Syariah
3
Datuk Haji Mohd Mortadza Hj Daud (mmd)
2010 234 571
Mantan Mufti Sarawak.
Bidang – Undang-undang Syariah
4
Profesor Madya Dr.
Che Wan Chik bin Che Wan Ibrahim (wci)
2007 306 491
Mantan Pensyarah USIM (FPBU) Bidang – Bahasa Inggeris
5
Tuan Yaacob @ Ranjit Singh Sodhy Abdullah (ysa)
2012 383 583
Mantan Peguam
Bidang – Undang-undang Sivil
6
Profesor Dr. Adel M.
Abdulaziz Algeriani (ama)
2012 333 359
Mantan Pensyarah USIM (FPQS) Yang Kini Bertugas Di Universiti Islam Malaysia (UIM)
Bidang - History, Islamic Civilization, Islamic Heritage, Manuscript.
75
7
Profesor Madya Dr.
Mohd. Rumaizuddin bin Ghazali (mrg)
2014 709 745
Pensyarah USIM (FKP)
Bidang – Pengajian Islam, Dakwah, Pengurusan Islam.
8
Professor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor Bin Haji Husin (ash)
2016 1,199 1,426
Mantan Naib Canselor USIM Bidang – Akidah Islam, Usuluddin, Syariah
9
Prof. Madya Dr.
Bhasah Bin Abu Bakar (bab)
2018 777 942
Mantan Pensyarah USIM (FPBU) Bidang – Pendidikan, Research Methodology.
10 Dr. Mohd Safar Bin
Hasim (msh) 2017 554 659
Bidang –Media, Komunikasi (Pensyarah UKM)
11
Encik Hisham
Muhammad Taky Eldin Kandil (hmk)
2019 832 1,059
Pensyarah USIM (PPT)
Bidang – Creative & Critical Thinking
Sehingga kini, jumlah keseluruhan Koleksi Perseorangan adalah sebanyak 6,752 judul dan 8,295 naskhah. Koleksi ini ditempatkan di Aras Dua Perpustakaan Utama USIM dan dikategori sebagai Rujukan sahaja.
Penghargaan kepada Penyumbang
Perpustakaan USIM sentiasa menghargai setiap sumbangan bahan yang dibuat oleh para penyumbang. Bak kata pepatah, “Orang berbudi, kita berbahasa”. Perpustakaan USIM telah mengambil inisiatif untuk menganjur majlis penghargaan kepada para penyumbang Koleksi Perseorangan. Terdapat dua majlis penghargaan yang telah dianjur setakat ini iaitu:
1. Majlis Penyerahan Rasmi Sumbangan Wakaf Koleksi Tan Sri Dato’ Abdul Kader Bin Talip pada 16 Oktober 2008.
2. Majlis Apresiasi Penyumbang Koleksi Perseorangan pada 26 Oktober 2015 dengan memberi penghargaan kepada tujuh orang penyumbang.
Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah khusus untuk merai dan menghargai para penyumbang perseorangan yang telah menyumbang bahan-bahan dalam koleksi mereka kepada Perpustakaan USIM. Bersempena dengan penganjuran majlis apresiasi (2015) tersebut, sebuah buku khas berjudul “Bio-Bibliografi Penyumbang Koleksi Perseorangan Perpustakaan USIM” telah diterbitkan dengan mengumpul biografi dan
76
senarai bahan sumbangan ketujuh-tujuh penyumbang yang diraikan. Ia turut mengetengahkan beberapa judul buku yang dianggap istimewa dalam satu-satu koleksi tokoh.
Dengan terkumpulnya senarai buku oleh penyumbang berkenaan di dalam sebuah buku setebal 237 muka surat ini, maka ia akan dapat diguna bagi mempromosi bahan dalam Koleksi Perseorangan ini dengan lebih meluas dan dalam format yang lebih tersusun.
Keistimewaan Koleksi Perseorangan
Koleksi ini merupakan sumber maklumat penting kepada pengunjung Perpustakaan sebagai sumber rujukan utama bagi penyelidik yang ingin mengkaji tokoh tersebut atau bidang perkara yang mereka minati. Memandangkan bahan-bahan yang disumbang ini dahulunya merupakan rujukan peribadi tokoh, maka terdapat catatan-catatan nota pada bahan yang dapat menambah nilai dan maklumat kepada pembacanya. Bahan-bahan di dalam Koleksi Perseorangan ini hanya untuk rujukan di Perpustakaan sahaja dan pinjaman bahan ini ke luar Perpustakaan adalah tidak dibenarkan buat masa ini.
Koleksi ini juga menghimpunkan bahan-bahan ilmiah yang menjadi rujukan oleh tokoh-tokoh ilmuwan berkenaan dalam bidang kepakaran mereka. Ia akan menjadi khazanah berharga di USIM bagi tujuan rujukan dan penyelidikan yang mengkhusus kepada bidang kepakaran mereka sahaja.
Selain daripada itu, turut dapat dirujuk adalah bahan-bahan sampingan lain yang turut dibaca dan dimiliki oleh tokoh. Ini secara tidak langsung akan dapat memberi maklumat tambahan berkenaan minat seseorang tokoh serta perkara lain yang dipelajari dan dikuasai tokoh.
ISU-ISU DAN CABARAN
Dalam setiap pengurusan sesuatu proses kerja, pastinya terdapat isu-isu dan cabarannya.
Bagi pengurusan Koleksi Perseorangan di Perpustakaan USIM, isu-isu dan cabarannya boleh dikategorikan seperti berikut:
1. Bahan uzur dan tidak lengkap
Di awal penerimaan koleksi perseorangan pada 2004, Perpustakaan USIM menerima semua buku yang disumbang tanpa menyemak dan membuat penilaian terlebih dahulu. Pada masa itu belum terdapat dasar dan prosedur yang diwujudkan untuk dijadikan panduan mengurus koleksi itu. Terdapat juga di antara bahan yang diterima dalam keadaan yang tidak memuaskan. Apabila keadaan ini berlaku, maka pihak Perpustakaan perlu mengeluarkan kos pemuliharaan dan pembaikan bahan yang agak besar. Tidak kurang juga terdapat fizikal bahan yang tidak lengkap, seperti
77
kehilangan muka surat, ketiadaan muka hadapan buku, kehilangan tulisan pada halaman buku dan sebagainya.
2. Bahan tidak relevan dan tidak sesuai dengan keperluan program akademik universiti.
Memandangkan koleksi perseorangan yang diterima adalah berdasarkan bidang kepakaran tokoh, maka terdapat juga kemungkinan berlaku sebahagian bahan sumbangan yang diterima tidak sesuai untuk dijadikan rujukan akademik warga universiti. Namun, sehingga kini koleksi yang diterima bersesuaian dengan program- program di USIM. Oleh itu, bagi perpustakaan yang ingin mewujudkan koleksi perseorangan, mereka perlu melihat dan menilai isu ini dengan lebih mendalam agar bahan-bahan dapat diguna pakai sebagai rujukan oleh warga universiti.
3. Buku beredisi lama dan tahun kebelakangan
Isu ini sering terjadi pada kebanyakan buku-buku yang diterima melalui sumbangan biasa ataupun untuk Koleksi Perseorangan. Terdapat juga diantara bahan yang diterima adalah edisi lama dan tidak lagi relevan untuk dirujuk terutama bagi buku- buku teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia tidak sesuai lagi untuk dirujuk oleh pengguna kerana teknologi yang dibincang dalam bahan yang disumbangkan itu tidak lagi digunakan serta tidak relevan dengan arus kepesatan teknologi terkini.
4. Penerbitan buku-buku digital (e-book)
Saingan pengeluaran buku-buku bercetak, e-buku atau buku dalam talian pada masa kini tidak dinafikan amat sengit. Buku-buku digital, buku berbentuk audio dan paparan video menjadi pilihan utama pengguna untuk dijadikan rujukan utama.
Penerbitan buku sebegini lebih menarik perhatian dan merupakan alternatif lain yang pengguna anggap lebih santai tetapi bermanfaat untuk diguna. Hal ini menyebabkan buku-buku dalam format bercetak kurang mendapat sambutan dan kurang dijadikan rujukan, dan menjadikan Koleksi Perseorangan kurang dirujuk. Promosi yang kerap dan secara kreatif perlu dibuat bagi mengetengahkan keistimewaan bahan-bahan yang ada.
5. Proses pemilihan dan penetapan bahan untuk Koleksi Perseorangan
Merujuk kepada Dasar Pengurusan Koleksi Perseorangan Perpustakaan USIM seperti yang telah dijelaskan di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu dijadikan panduan atau syarat untuk menetapkan status bahan yang diterima. Antaranya adalah jumlah koleksi hendaklah melebihi daripada 500 naskhah. Untuk mencapai jumlah ini, terdapat beberapa proses yang perlu dijalankan. Contohnya, mengasingkan bahan-bahan yang diterima mengikut bidang kepakaran penyumbang ataupun subject interest penyumbang dan sesuai untuk dijadikan rujukan. Begitu juga keadaan fizikal
78
bahan yang perlu diambil kira. Jika didapati bahan-bahan yang telah diasingkan ini memerlukan pemuliharaan yang tinggi, ia perlu dikeluarkan daripada senarai koleksi perseorangan penyumbang dan diganti dengan bahan yang sesuai bertepatan dengan Dasar Koleksi Perseorangan yang telah ditetapkan. Proses ini akan mengambil masa sehingga ke semua syarat di dalam Dasar Koleksi Perseorangan dipenuhi.
KESIMPULAN
Adalah menjadi harapan Perpustakaan USIM agar pengembangan Koleksi Perseorangan dapat bertambah sekurang-kurangnya satu koleksi dalam setahun, terutamanya sumbangan daripada tokoh-tokoh terkenal di Malaysia. Aktiviti dan penyebaran maklumat tentang bernilainya sesuatu Koleksi Perseorangan yang dibangunkan perlu lebih giat dijalan agar pengguna lebih cakna akan kewujudannya.
Pembangunan Koleksi Perseorangan perlu terus dipelihara dan sentiasa ditambah baik untuk memastikan bahan yang diterima selari dan tertumpu kepada keperluan pengguna.
Perkara ini akan memberikan manfaat kepada pengguna yang memerlukan bahan rujukan mengenai bidang kepakaran seseorang individu atau pun tokoh-tokoh ilmuwan dan akademik di Malaysia. Perpustakaan USIM juga akan dianggap seperti lubuk emas yang menyimpan koleksi bahan bacaan para ilmuwan negara.
Bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Koleksi Perseorangan yang terdapat di Perpustakaan USIM ini akan terus dijadikan bahan rujukan pengguna yang diperlukan walaupun individu ataupun tokoh ilmuwan yang menyumbang telah tiada.
RUJUKAN
Adesina, Akinola Samson. 2019. "An Assessement of Acquisition and Collection Development Activities in Academic Libraries: A Study of Joseph Ayo Babalola University Ikeji – Arakeji, Nigeria." Library Philosophy and Practice: 1-19.
https://ezproxy.usim.edu.my:2108/scholarly-journals/assessement-acquisition- collection-development/docview/2300552156/se-2?accountid=33993.
Frempong-Kore, Afua. 2020. Effects of Donations on The Collection Development of Private Academic Libraries in Ghana: A Case Study of Central
University. Library Philosophy and Practice (01): 1-17.
https://ezproxy.usim.edu.my:2108/scholarly-journals/effects-donations-on- collection-development/docview/2468684032/se-2?accountid=33993
Harianti Husain. 2010. Koleksi Perseorangan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia. Buletin Iqra’, 7: 12.
Haslan bin Tamjehi dan Latifah binti Ramli. 2015. Pengurusan Perpustakaan Muslim Abad ke 8-19 Masihi: Satu Pengenalan. Jurnal PPM: Journal of Malaysian Librarians, Vol. 9.: 51 – 60.
79
http://eprints.usm.my/34148/1/8_UM_UIAM_Haslan_Latifah_15.pdf International Federation of Library Association (IFLA). (2001). Guidelines for a
Collection Development Policy Using the Conspectus Model.
https://www.ifla.org/publications/guidelines-for-a-collection-development-policy- using-the-conspectus-model
International Federation of Library Association (IFLA). (2020). About the Acquisition Collection Development Section. https://www.ifla.org/About-The-Acquisition- Collection-Development-Section
Khan, Ghalib, and Rubina Bhatti. 2016. An analysis of collection development in the university libraries of Pakistan. Collection Building 35, (1): 22-34,
https://ezproxy.usim.edu.my:2108/scholarly-journals/analysis-collection- development-university/docview/1754504716/se-2?accountid=33993
Perpustakaan USIM. (2015). Dasar Pengurusan Koleksi Perseorangan. (Unpublished).
Reitz, Joan M. (2014). Online Dictionary for Library and Information Science.
https://products.abc-clio.com/ODLIS/odlis_c.aspx
Xie, Iris and Matusiak, Krytyna K. (2016. Digital Library Collection Development.
https://www.sciencedirect.com/topics/computer-science/collection-development