• Tidak ada hasil yang ditemukan

6.0 Pendahuluan

Kajian kepustakaan (Library Research) ini dijalankan untuk mengkaji dan meneliti bahan-bahan bercetak sama ada yang telah ataupun belum diterbitkan (Arikunto, 1989 : 10). Dalam bab yang keenam ini, penulis akan menganalisis kesemua lapan (8) Hadis yang dijadikan sebagai objek penelitian dalam kajian ini. Terlebih dahulu penulis akan cuba mengenal pasti Hadis-Hadis daripada riwayat lain yang selafaz, semakna dan / atau setema yang terdapat dalam semua sepuluh (10) buah kitab matan Hadis yang dijadikan perbandingan. Kitab-kitab tersebut ialah aī al-Bukhārīy, aī Muslim, Sunan Abī Dawūd, Sunan al-Tirmidhīy, Sunan al-Nasā’īy, Sunan Ibn Majah, Musnad Amad, Mustadrak al-ākim, aī Ibn Khuzaimat dan al-Mu‘jam al-Kabīr Li al-Tabrānīy.

Setelah ditemui dan dibuat perbandingan, maka jika timbul sebarang kemusykilan termasuk yang berkaitan dengan istilah-istilah yang sukar difahami atau yang memerlukan penjelasan lanjut dan pentafsiran yang lebih mendalam, semuanya akan dirujuk kepada tujuh (7) buah kitab syarah Hadis yang dijadikan sebagai rujukan. Kitab-kitab tersebut ialah Fat al-Bāri Sharaī al-Bukhārīy, al-Minhāj Fī Sharaī

Muslim Ibn al-ajjāj, ‘Aun al-Ma‘būd Fī Shar Sunan Abī Dawūd, Fai al-Qadīr Shar al-Jāmi' al-aghīr, Tufat al-Awazi Shar Sunan al-Tirmidhīy, āsyiah al-Sindīy ‘Alā Sunan Ibn Mājah dan Nail al-Awar.

Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, antara tujuan utama kajian ini ialah untuk melurus dan membetulkan kefahaman dalam pelbagai persoalan berkaitan ibadah

haji, umrah dan ziarah (IHUZ). Merujuk kepada dapatan daripada kajian lapangan melalui borang soal selidik, telah dapat disahkan bahawa kekeliruan dan salah faham yang timbul dalam kalangan Jemaah Haji dan Umrah Malaysia (JHUM) berpunca daripada pentafsiran makna yang kurang tepat dan kurang komprehensif ke atas Hadis-Hadis yang menjadi dalil hujah dalam buku panduan IHUZ, terbitan LUTH.

Justeru dalam analisis ke atas kelapan-lapan (8) Hadis, penulis akan cuba menghuraikan faktor-faktor dominan yang menyebabkan berlakunya pentafsiran makna yang kurang tepat dan kurang komprehensif itu.

Dengan mengguna pakai pendekatan pragmatik dan Hadis tematik, kajian ini dibuat untuk menilai ketepatan tafsiran makna Hadis yang telah dibuat oleh JPBP dalam buku panduan IHUZ, terbitan LUTH. Diharap JHUM akan mendapatkan gambaran yang lebih komprehensif tentang maksud sebenar Rasulullah s.a.w. dan tafsiran sebenar Hadis-Hadis Baginda dalam pelbagai isu yang berkaitan.

Setelah berjaya mengenal-pasti Hadis-Hadis yang mempunyai lafaz-lafaz yang serupa atau hampir serupa, tema yang sama atau hampir sama atau yang sekurang-kurangnya mempunyai perkaitan makna (baik yang sejalan atau saling bertentangan), penulis akan membandingkan pula apa sahaja perbezaan yang terdapat padanya daripada Hadis-Hadis dalam pelbagai kitab klasik dan moden.

Kemudian penulis akan mengelompokkan Hadis-Hadis yang berkaitan dengan perintah, galakan dan larangan ke dalam dua kategori. Kategori pertama, ialah Hadis-Hadis yang melarang dengan jelas sesuatu amal perbuatan. Manakala kategori kedua pula ialah Hadis-Hadis yang bukan sahaja tidak melarang bahkan menggalakkan atau sekurang-kurangnya membenarkan perlakuan sesuatu perkara.

6.1 Prosedur Analisis Data

Sepertimana yang telah dijelaskan dalam Bab yang ke-4, di bawah tajuk “Metodologi Kajian Kepustakaan”, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor dominan yang menyebabkan berlakunya kekeliruan dan salah faham.

Dalam melaksanakan analisis data, penulis menggabungkan analisis pragmatik dan metod Hadis tematik. Ini kerana dalam usaha mengeluarkan hukum berkaitan IHUZ melalui Hadis-Hadis Nabawi, kita tidak dapat mengelak daripada berinteraksi dengan bahasa Arab sebagai perantaraan. Sering ditemui sejumlah partikel / kata tugas (huruf) terutamanya partikel penyambung (huruf ‘ataf) yang jika diabaikan kehadirannya dalam teks Hadis (tidak ditafsirkan maknanya) akan menghilangkan sebahagian daripada mesej penting yang Nabi s.a.w. ingin sampaikan. Sebagai contoh, akan hilang ‘sense of urgency’ sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam memahami IHUZ.

Secara lebih spesifik, dengan mengguna pakai metod Hadis tematik dalam kajian ini, penulis mendapati bahawa setiap Hadis yang dijadikan sebagai hujah atau dalil dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH ini mempunyai pelbagai riwayat lain yang selafaz, semakna atau setema dengannya. Dalam erti kata lain, termasuk dalam kajian Hadis tematik ialah membandingkan Hadis-Hadis yang berada di bawah satu tema walaupun berbeza sanadnya.

Sebagai contoh, bagi Hadis yang ke-7 terdapat tidak kurang daripada tiga (3) riwayat dalam kitab Ṣaī al-Bukhārīy. Itu belum lagi diambil kira Hadis-Hadis yang terdapat dalam kitab Ṣaī Muslim dan kitab-kitab Sunan yang lain. Situasi ini mengundang pelbagai respon dan pandangan daripada para ulama. Antara hal yang dipersoalkan ialah riwayat mana yang paling sahih dan yang paling dekat dengan sunnah Nabi.

Memang ada para ilmuwan yang cuba melakukan pengunggulan (tarjīh) sesebuah riwayat ke atas pelbagai riwayat yang lain. Hal ini dilakukan supaya mereka dapat mengamalkan (mengaplikasikan) Hadis yang paling kuat (rājih) dari segi periwayatan (sanad Hadis) dan dirāyat (ilmu yang berkait dengan makna yang terkandung dalam sesebuah Hadis).

Namun penulis lebih cenderung untuk cuba memberikan pemahaman yang lebih adil dan saksama terhadap pelbagai riwayat tersebut. Maknanya dalam kajian ini penulis akan berusaha mengkompromi semua riwayat yang walaupun dari segi lafaz (secara harfiah) kelihatan berbeza antara satu sama lain. Inilah dia apa yang dikenali sebagai pendekatan tematik. Dalam erti kata lain, tujuan kajian ini ialah untuk menerapkan pendekatan tematik ke atas semua Hadis mengenai IHUZ yang terdapat dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH.

6.2 Pembentangan Hadis Dan Dapatan Kajian

Berikut adalah lapan (8) Hadis yang dijadikan dalil hujah oleh JPBP dalam buku panduan IHUZ dan dibandingkan dengan Hadis-Hadis Nabawi yang selafaz, semakna dan / atau setema dengannya daripada kitab-kitab matan Hadis dan sharahnya :

6.2.1 Hadis Pertama – Islam Dibina Atas Lima Rukun

Setelah perbandingan dibuat, maka Hadis asal yang dijadikan dalil hujah oleh JPBP dalam buku panduan IHUZ dan kesemua Hadis Nabawi yang selafaz, semakna dan / atau setema dengannya dibentangkan dalam jadual sepertimana berikut :