• Tidak ada hasil yang ditemukan

1.2 Sebab Pemilihan Tajuk

1.2.4 Tuntutan Keperluan Kepada Maklumat Yang Tepat

Pemilihan tajuk tesis “Pentafsiran Makna Hadis dalam Buku Haji dan Umrah : Analisis Pragmatik dan Tematik” ini dilatarbelakangi oleh adanya tuntutan keperluan kepada maklumat yang tepat dan menyeluruh. Maklumat yang tepat dan menyeluruh terutamanya berkaitan wahyu (dalam konteks ini Hadis-Hadis Nabawi) adalah sangat penting bagi memastikan segala perintah (suruhan dan larangan) dari Rasulullah itu dapat dilaksanakan dengan betul oleh setiap individu Muslim.

Dengan demikian jelas bahawa pemilihan tajuk tesis ini didasarkan kepada keinginan untuk menyumbang kepada kefahaman fiqh Islam yang betul, melalui pentafsiran makna Hadis-Hadis Nabawi yang mengambil kira pelbagai unsur bukan / ekstra linguistik (terutamanya pragmatik) yang terkandung di dalamnya. Analisis pragmatik ini

akan disepadukan dengan pendekatan Hadis tematik (topikal) serta pemanfaatan ilmu, pengalaman dan pemikiran para ulama silam yang telah mensyarahkan (mengomentari) Hadis-Hadis berkaitan IHUZ dalam karya mereka.

1.3 Hipotesis Kajian

Menurut Sutrisno Hadi, hipotesis ialah “dugaan yang mungkin benar dan mungkin juga salah yang akan diterima jika dibenarkan oleh fakta-fakta dan akan ditolak jika salah atau palsu” (Hadi, 2000: J1/69). Manakala menurut Arief H. Furchan, hipotesis “merupakan suatu pernyataan sementara yang diajukan untuk memecahkan sesuatu masalah atau untuk menerangkan sesuatu gejala” (Furchan, 2004: 114). Justeru itu sebelum kajian ini dimulai, penulis telah menggariskan lima (5) hipotesis penting. Dua (2) daripada hipotesis itu berkaitan dengan JHUM iaitu :

a) Terdapat salah faham dan kekeliruan dalam kalangan JHUM terhadap pentafsiran makna Hadis-Hadis dalam buku panduan IHUZ, terbitan LUTH.

b) JHUM tersalah faham dan terkeliru dalam memahami mesej Baginda kerana pentafsiran makna yang kurang tepat serta kurang komprehensif terhadap Hadis-Hadis yang dijadikan hujah dalam buku panduan IHUZ tersebut.

Manakala tiga (3) hipotesis yang lain berkaitan dengan pentafsiran makna yang kurang tepat serta kurang komprehensif terhadap Hadis-Hadis oleh Jawatankuasa Penyediaan Buku Panduan (JPBP), LUTH iaitu :

c) JPBP kurang mengambil kira aspek pragmatik yang terkandung di dalam Hadis-Hadis Nabawi tersebut.

d) JPBP tidak menerapkan pendekatan analisis Hadis secara tematik di mana Hadis-Hadis dalam buku panduan IHUZ itu dibandingkan dengan teks-teks Hadis-Hadis lain yang selafaz, semakna atau setema dengannya.

e) JPBP kurang merujuk kepada kitab-kitab huraian (syarah) Hadis karya para ulama silam dan masa kini. Akibatnya, Hadis-Hadis tidak diletakkan dalam konteksnya yang sebenar dan gambaran keseluruhan yang melatari munculnya Hadis-Hadis itu kurang diambil kira.

1.4 Objektif Kajian

Bagi mencapai sasaran kajian dan memperjelaskan matlamat sebenar yang dikehendaki oleh kajian ini, penulis telah menggariskan tiga (3) objektif :

a) Mengenal pasti kekeliruan dan salah faham dalam kalangan JHUM terhadap Hadis-Hadisyang terdapat dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH.

b) Menghuraikan penyebab berlakunya kekeliruan dan salah faham dalam kalangan JHUM terhadap Hadis-Hadisdalam buku panduan IHUZ tersebut.

c) Menilai ketepatan tafsiran makna Hadis yang telah dibuat oleh JPBP dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH berdasarkan kaedah pragmatik dan Hadis tematik.

1.5 Soalan Kajian

Dalam kajian ini penulis menggariskan tiga (3) soalan kajian :

a) Adakah wujud kekeliruan dan salah faham dalam kalangan JHUM terhadap Hadis-Hadisyang terdapat dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH?

b) Apakah faktor penyebab berlakunya kekeliruan dan salah faham dalam kalangan JHUM terhadap Hadis-Hadisyang terdapat dalam buku panduan IHUZ?

c) Kaedah apakah yang digunakan untuk menilai ketepatan tafsiran makna Hadis yang telah dibuat oleh JPBP dalam buku panduan IHUZ?

1.6 Kepentingan Kajian

Sumber rujukan kedua bagi setiap umat Islam ialah al-Hadis. Bagaimanapun sumber wahyu kedua ini tidak boleh sekadar difahami secara literal sahaja. Seseorang pentafsir itu perlu terlebih dahulu menyiap sediakan dirinya dengan pelbagai ilmu alat seperti nahw (sintaksis), araf (morfologi), balāghah (retorika arab), dilālah (semantik), takhātub (pragmatik), mustalah hadīth (istilah-istilah dalam ilmu Hadis), ‘ulūm al-hadīth (ilmu-ilmu berkaitan Hadis), usūl al-fiqh (prinsip-prinsip dalam fiqh) dan lain-lain lagi sebelum dapat memahami dengan baik dan mengambil pengajaran daripada sumber kedua wahyu tersebut.

Oleh kerana proses menyiap sediakan diri dengan ilmu-ilmu alat sepertimana yang disebutkan di atas memerlukan pengorbanan masa yang panjang dan tenaga serta wang ringgit yang banyak maka tidak ramai individu Muslim mampu melakukannya. Justeru, jalan mudah dan cepat untuk dapat memahami perintah dan larangan yang terkandung dalam Hadis berkaitan IHUZ itu ialah dengan mengkaji kitab-kitab syarah Hadis dan kitab-kitab fiqh para ulama mazhab yang telah berada dalam pasaran.

Dalam usaha membangunkan satu program latihan dan bimbingan IHUZ yang mapan, pelbagai faktor perlu diambil kira. Salah satu aspek terpenting ialah penyediaan bahan-bahan yang akan diguna-pakai dalam program latihan dan bimbingan itu (PLB). Penulis tidak menafikan bahawa memang terdapat banyak bahan berkaitan IHUZ yang telah

tersedia di pasaran untuk PLB. Bagaimanapun, bahan-bahan tersebut jelas belum memadai / mencukupi untuk memenuhi keperluan JHUM. Buktinya walaupun kebanyakan JHUM telah acapkali mengikuti pelbagai PLB masih mengadu tentang teguran dan kritikan yang mereka terima (terutamanya daripada jemaah haji dan umrah yang berasal daripada negara-negara Arab).

Salah satu sebab mengapa bahan-bahan yang diguna pakai dalam PLB itu belum memadai ialah kerana pengabaian proses pentafsiran makna yang tepat dan menyeluruh. Pentafsiran makna yang kurang tepat boleh menyebabkan JHUM salah faham dan terkeliru dalam beramal. Penulis mengakui bahawa kebanyakan salah faham itu memang tidak sampai membawa kepada terbatalnya ibadah haji. Demikian juga salah faham dan kekeliruan itu walaupun statusnya tidak sampai ke tahap major, ia tidak boleh dianggap remeh sehingga boleh dipandang sepi begitu sahaja. Ini kerana semua hal yang berkaitan dengan haji dan umrah termasuk perkara-perkara yang berkaitan adab dan akhlak perlu diberi perhatian serius oleh setiap JHUM kerana ia sedikit sebanyak melibatkan kesempurnaan haji itu sendiri. Dalam erti kata lain, sekecil manapun sesuatu hal itu atau sama ada hal itu berkait secara langsung atau tidak dengan ibadah haji dan umrah, demi memperolehi status haji mabrur dan umrah mabrurah ia perlu diambil cakna.

Tidak dinafikan memang terdapat banyak institusi kerajaan mahupun swasta yang tampil kehadapan dengan menerbitkan pelbagai buku panduan yang berkaitan dengan ibadat haji, umrah dan ziarah (IHUZ). Ini merupakan suatu hal yang sangat patut dipuji dan dihargai. Kehadiran buku-buku tersebut pastinya dapat menambah lagi khazanah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan IHUZ di samping menawarkan pelbagai sudut pandang yang berbeza kepada para jemaah haji dan umrah Malaysia.

Dilihat dari segi kualiti pentafsiran makna ayat-ayat al-Qur'ān dalam buku-buku tersebut, penulis mendapati ia adalah sangat memuaskan kerana kebanyakannya berpandukan kitab “Tafsir Pimpinan Al-Rahman” terbitan JAKIM. Namun apa yang membimbangkan ialah kualiti pentafsiran makna teks-teks Hadisnya. Penulis mendapati bahawa secara umumnya para penulis yang mentafsirkan makna teks-teks Hadis kurang mengambil kira ketepatan tafsiran makna yang dihasilkan.

Selain daripada ketidak tepatan dalam pentafsiran makna, sebahagian mereka juga melakukan beberapa kesilapan yang lain. Misalnya, mereka hanya memberikan makna-makna Hadis dalam buku mereka tanpa menyertakan teks-teks asal Hadis yang berbahasa Arab. Di samping itu, mereka juga kurang menitik-beratkan status Hadis-Hadis yang mereka kutip. Buktinya, mereka tidak menyebut langsung nama para sahabat yang meriwayatkan Hadis-Hadis itu bahkan tidak menyatakan sama-sekali tentang kitab-kitab Hadis yang menjadi sumber ambilan mereka.

Justeru itu kajian ini akan cuba menilai sejauh mana ketepatan pentafsiran makna teks-teks Hadis berkaitan dengan IHUZ yang terdapat dalam buku panduan IHUZ terbitan LUTH. Ketidak tepatan dan kelemahan yang terdapat pada pentafsiran makna teks-teks Hadis itu akan didedahkan, dan beberapa cadangan ke arah memperbaikinya akan dikemukakan.

Oleh kerana belum ada penilaian dan kritikan dibuat terhadap kualiti pentafsiran makna teks-teks Hadis yang berkaitan dengan IHUZ terutamanya yang diterbitkan oleh LUTH, maka penulis merasa terpanggil untuk memikul tanggungjawab ini. Kurangnya perhatian terhadap pentafsiran makna teks-teks Hadis yang berkaitan dengan IHUZ ini pastinya akan menyebabkan JHUM terus mengulangi kesilapan yang sama dalam melaksanakan IHUZ mereka.

Kajian ini amat penting dilakukan kerana walaupun terdapat beberapa kajian yang mengkaji teks-teks Hadis, sepanjang pengetahuan penulis masih belum ada lagi mana-mana pengkaji yang pernah membuat kajian khusus tentang teks-teks Hadis yang berkaitan dengan IHUZ terutamanya yang diterbitkan oleh LUTH. Oleh itu, penulis beranggapan bahawa kajian ini sangat berfaedah untuk menyediakan bahan-bahan khusus yang akan digunakan oleh JHUM bagi memastikan mereka mendapat kefahaman yang tepat tentang perlaksanaan IHUZ berdasarkan teks-teks Hadis Nabawi.

Kejayaan JHUM dalam melaksanakan ibadat yang betul bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka terhadap teks-teks Hadis Nabawi yang berkaitan secara langsung dengan IHUZ. Justeru, kewujudan buku-buku panduan yang tepat dan lengkap isi kandungannya akan menjadi salah satu faktor utama yang menentukan kejayaan mereka di Tanah Suci. Oleh sebab itu, penulis beranggapan bahawa proses menilai pentafsiran makna dan mengenal pasti faktor-faktor penyebab kepada kesilapan dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan pembaikan merupakan sesuatu yang sangat perlu dilakukan dengan kadar segera.

Perolehan dapatan daripada kajian ini diharap dapat membantu Bahagian Bimbingan Jabatan Haji terutamanya jawatankuasa penyediaan buku panduan (JPBP), LUTH menyediakan bahan-bahan yang lebih berkualiti pada masa akan datang. Hasil kajian ini juga nanti diharap dapat dijadikan sebagai panduan kepada mana-mana institusi sama ada kerajaan mahupun swasta, dan guru-guru pembimbing JHUM untuk mereka bentuk dan mengendalikan sebarang PLB dengan lebih baik lagi. Spesifikasi kandungan dan objektif sesuatu PLB IHUZ yang efektif dan praktikal untuk JHUM hanya dapat dibuat setelah dilakukan kajian dan penelitian, kritikan dan pembaikan terhadap bahan-bahan sebenar (real material) yang tersedia di pasaran.