Jadual 6.4: Hukum Perempuan Bermusafir Tanpa Mahram
6.2.4.4 Analisis Matan Hadis
a) Hadis Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy tentang seorang wanita dari Hirah yang keluar bermusafir sendirian ke Makkah untuk tawaf mengelilingi Ka’bah.
Dari paparan Hadis di atas, dapat disimpulkan tentang adanya konflik pertentangan (kontradiksi) dalam Hadis-Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sendiri. Memang terdapat Hadis-Hadis yang melarang wanita yang tiada mahram bermusafir tetapi dalam beberapa situasi - sebagai-mana Hadis-Hadis di atas - wanita yang tiada mahram tidak dilarang bahkan dibenarkan bermusafir .
Para ulama Hadis telah merumuskan beberapa hal untuk dijadikan landasan untuk memahami Hadis dengan betul. Antaranya ialah memahami Hadis sesuai dengan tuntunan al-Quran (al-Ghazalīy, 2009 : 23; al-Qaraḍawīy, 2000: 45).
Oleh kerana Hadis-Hadis Nabawi merupakan penjelas kepada al-Quran, ia tidak akan pernah bertentangan dengan al-Quran. Penulis akan cuba mengumpulkan Hadis-Hadis
yang membicarakan satu tema tertentu untuk kemudian melakukan jam‘u ataupun al-tarjih, ataupun al-nasikh wa al-mansukh (al-Ṭaḥḥān, 2004: 72).
Berdasarkan kajian Hadis secara tematik di atas, dapat dibuat beberapa kesimpulan. Pertama, hukum haram (berdosa) bukanlah hukuman yang sepatutnya diterima oleh wanita yang bermusafir tanpa mahram, kerana kalau hukum haram ditentukan ke atas wanita yang bermusafir, maka para isteri Nabi tidak akan berani datang kepada ‘Umar Ibn al-Khattāb untuk memberitahu bahawa mereka mahu pergi mengerjakan haji ke Makkah.
Kedua, semua kita sedia maklum bahawa ‘Umār sangat terkenal dengan persepsi dan pendirian tegasnya yang tidak akan bertoleransi terhadap perlecehan hukum Allah. Dalam kes ini, kita dapati ‘Umār telah merestui pemergian mereka malah mengutus Uthmān bin ‘Affān dan ‘Abd al-Rahmān Ibn ‘Auf untuk menemani mereka bermusafir.
Dalam erti kata lain, andainya kehadiran mahram merupakan suatu kewajiban bagi para wanita yang mahu bermusafir, tentu ‘Umār tidak akan membenarkan pemergian tersebut kerana bimbang ia akan menjadi hujah bagi umat Islam yang datang di kemudian hari.
Secara harfiah, memang Hadis ini melarang kaum wanita bermusafir, tanpa mengambilkira sama ada keselamatan mereka terjamin atau tidak. Namun apabila kita terus berpegang kepada zahir Hadis, maka pegangan itu menjadi sangat berlawanan dengan prinsip kebebasan yang Allah dan Rasulullah berikan kepada manusia untuk keluar bermusafir terutamanya dalam rangka menunaikan ibadah.
Hadis ini sepatutnya tidak dimaknai secara harfiah. Hadis ini harus dita’lilkan bahawa yang dilarang ialah ketika situasi belum aman / selamat. Hal inipun diserahkan kepada pertimbangan hakim atau penguasa (Ash-Shiddieqy, 1970: J7/249).
Maksudnya ketiadaan mahram bukanlah suatu dosa yang menjadikan permusafiran seseorang wanita itu haram sehingga boleh dihukum berdosa dan dijatuhkan hukuman. Pemahaman di atas, akan kelihatan lebih jelas apabila kita melihat inti daripada isi kandungan Hadis yang kedua yang mengatakan bahawa wanita musafir yang dilarang ialah ketika situasi tidak aman.
Ramai GPMM yang keliru dan salah faham tentang maksud Hadis ini. Mereka memahami Hadis ini dengan maksud, tidak boleh sesorang perempuan bermusafir ke tanah suci secara mutlak walau dengan apa cara dan jalan sekalipun melainkan perlu ditemani oleh mahramnya. Justeru, mereka menganggap permusafiran perempuan itu ke tanah suci adalah perbuatan dosa besar. Fahaman dan anggapan sedemikian adalah bercanggah, dan akan menafikan petunjuk yang boleh diambil dari Hadis-Hadis Nabawi yang lain mengenai perkara ini.
Jika perempuan yang tiada mahram benar-benar terlarang dari bermusafir untuk menunaikan IHUZ secara mutlak, nescaya Hadis-Hadis di atas tidak akan menyifatkan haji mabrur itu ialah jihad bagi kaum wanita.
Umat Islam perlulah menyedari bahawa kaedah bermusafir dan kenderaan yang digunakan pada hari ini jauh berbeza dengan apa yang ada pada zaman Hadis ini disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
Tidak dinafikan bahawa berdasarkan kepada Hadis ini semata-mata, nampak seolah-olah tertutup terus peluang / jalan / pintu keizinan untuk mana-mana perempuan
bermusafir untuk melaksanakan IHUZ. Namun jika kita melihat kepada Hadis (dalam kitab Bulūgh al-Marām) tentang keizinan Nabi kepada wanita yang bertanya tentang keharusan bagi dirinya untuk menghajikan ayahnya yang telah uzur, nampak bahawa ada pengecualian bagi mana-mana wanita yang tiada mahram untuk bermusafir dengan ditemani oleh teman-temannya dalam kalangan wanita yang beriman lagi amanah. Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad s.a.w. tidak melarang perempuan tersebut daripada menunaikan haji untuk ayahnya.
Hakikatnya, Hadis yang mulia ini tidak bermaksud menegah atau melarang seseorang perempuan daripada bermusafir ke tanah suci, sebagaimana yang difahami dari zahir lafaz Hadis ini. Tetapi maksud Hadis ini ialah supaya seseorang perempuan yang mahu bermusafir termasuklah ke tanah suci memastikan terlebih dahulu keselamatan perjalanannya. Keselamatan itu boleh tercapai antaranya dengan kehadiran mahram.
Ahmad, al-Dāruqutnīy, al-Baihaqīy dan sebahagian yang lain meriwayatkan Hadis yang senada dengan tambahan matan (teks) yang tidak terdapat dalam Hadis al-Bukhariy di atas. Teks tambahan dari Ahmad dan al-Daruqutni ialah frasa “tanpa seorang pelindung”.
Sedangkan dari al-Dāruqutnīy iaitu : “Seorang perempuan dalam sekedup unta keluar dari Hirah dan tawaf di Ka’bah tanpa seorang pelindung”. Dan dalam riwayat yang lain iaitu : “Tanpa seorang pelindung, dia (perempuan) melaksanakan haji”. Manakala dalam riwayat al-Baihaqi tambahan teksnya ialah seperti berikut : “Hanya datang sekelompok kecil orang kepadamu sehingga seorang perempuan keluar dari Hirah menuju Makkah tanpa seorang pengawal”.
Matan Hadis di atas, sebagaimana Hadis pertama, juga tidak mempunyai kejanggalan yang menyebabkannya dianggap bertentangan dengan kaedah-kaedah kritik matan yang
telah dirumuskan oleh para ulama. Dengan demikian, maka Hadis tersebut dapat dianggap sebagai Hadis yang baik.
Hadis tersebut mengemukakan bahawa pada masa tertentu (Nabi mengatakan dengan lafaz “kalau umurmu panjang, kamu akan…), akan terjadi suatu masa yang sangat aman, sehingga ada seorang perempuan yang datang dari jauh (wilayah Hirah yang sekarang berada di negara Bahrain).
Dia pergi ke Makkah sendirian tanpa pengawal, lalu tawaf tanpa merasa takut kecuali kepada Allah, kerana amannya keadaan pada masa tersebut.