BAB KETIGA LANDASAN TEORI
3.2 Definisi Pragmatik
3.3.1 Definisi Dan Konsep Implikatur
Implikatur (implicatures) telah diperkenalkan oleh seorang ahli falsafah, Paul Grice pada tahun 1975. Namun konsep implikatur ini telah terlebih dahulu diperbincangkan dalam William James Lectures (1967) di Universiti Harvard, dengan judul Logic and Conversation (1975: 52).
Istilah ini menjadi popular dan kajian-kajian mengenai implikatur terus diperbincangkan dan mendapat tempat dalam kalangan ahli-ahli bahasa sama ada di negara-negara Barat mahupun di negara-negara Asia termasuk Malaysia.
Menurut Stanford Encyclopedia of Philosophy (2005) :
“An implicature is something meant, implied or suggested distinct from what is said”.
Daripada pernyataan di atas, dapat difahami bahawa implikatur merujuk kepada apa yang sebenarnya dimaksudkan, diimplikasikan atau dicadangkan yang sama sekali berbeza daripada apa yang diujarkan dalam sesebuah pertuturan.
Seterusnya The Handbook of Pragmatics (2004 : 3) menyatakan bahawa :
“Implicature is a component of speaker’s meaning that constitutes the aspect of what is meant in a speaker’s utterance without being part of what is said. what speaker intends to communicate is characteristically far richer than what he directly expresses...”.
Daripada definisi di atas, implikatur merupakan satu komponen yang wujud dalam pertuturan di mana makna atau sesuatu yang diimplikasikan oleh seseorang penyampai maklumat berbeza daripada apa yang diujarkannya. Apa yang diujarkan oleh seseorang penyampai maklumat itu tidak sama dengan apa yang beliau maksudkan.
Sebagai contoh (Stanford Encyclopedia of Philosophy, 2005) :
Alan : Are you going to Paul’s party?
Barb : I have to work
Daripada contoh di atas Barb menyatakan bahawa beliau tidak akan pergi ke parti yang diadakan oleh Paul. Namun ayat yang dituturkan oleh beliau tidak menyatakan secara terus terang penolakannya untuk pergi ke parti Paul. Beliau sebaliknya mengimplikasikan penolakannya dengan ayat ‘I have to work’. Apa yang diimplikasikan oleh Barb inilah yang dinamakan sebagai implikatur.
Menurut Searle (1975: 265-6) implikatur juga dikenali sebagai ‘indirect speech act’ iaitu pertuturan yang tidak dinyatakan secara berterus terang. Dalam ayat tadi Barb telah menolak untuk pergi secara tidak berterus terang dengan ujaran ‘I have to work’.
Menurut Gazdar (1979), implikatur merupakan satu bentuk proposisi yang diimplikasikan oleh ujaran bagi sesuatu ayat yang berkonteks, walaupun proposisi itu bukan merupakan sebahagian daripada apa yang diperkatakan. Carston (1988) pula berpendapat bahawa implikatur merujuk kepada mesej tersirat yang cuba disampaikan dengan ujaran yang tersurat. Implikatur melibatkan apa-apa yang diujarkan secara eksplisit dan apa-apa yang diisyaratkan secara implisit. Pandangan yang dikemukakan oleh Gazdar dan Carston dibuat berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh Grice. Menurut Levinson (1983) implikatur berada di luar jangkauan organisasi bahasa, melibatkan interaksi dan mempunyai kesan mendalam ke atas struktur bahasa.
Implikatur ialah satu aspek penting dalam bidang pragmatik, iaitu satu bidang yang mengkaji hubungan antara bahasa dan konteks. Secara umumnya, implikatur ialah sesuatu yang tersirat dalam sesuatu perbualan. Dalam erti kata lain, kadang-kadang apa yang dipertuturkan secara verbal / lisan, tidak menggambarkan maksud sebenar penutur. Topik yang berhubung dengan implikatur seringkali dikaitkan dengan nama Paul Grice, iaitu seorang ahli falsafah yang telah mengemukakan konsep ‘implikatur perbualan’ dalam makalahnya yang bertajuk Logic and Conversation pada tahun 1975.
Pandangan ahli bahasa di Barat tentang implikatur, turut mendapat perhatian ahli-ahli bahasa di Malaysia. Misalnya, Nor Hashimah Jalaluddin (1992: 677) berkata :
“Implikatur dalam erti kata yang mudah ialah mesej yang tersirat yang cuba disampaikan dalam perbualan. Mesej yang diperolehi merupakan mesej yang dideduksi daripada apa-apa yang diperkatakan”
Manakala menurut Zulkifli Hamid (1991: 572) :
“Implikatur perbualan ialah salah satu bentuk pentafsiran makna yang melewati batas-batas makna literal (makna tersurat) sesebuah ayat. Selain itu, implikatur perbualan ialah satu konsep yang berhubung rapat dengan konsep kerjasama. Implikatur perbualan merupakan satu bentuk pentafsiran makna melewati batas-batas makna literal sesebuah ayat”.
Jamaliah Mohd Ali (1996) pula mendefinisikan implikatur sebagai kajian yang melibatkan aspek-aspek makna yang tidak diliputi oleh bidang semantik. Katanya lagi, tetapi kita juga harus mengetahui batasan makna yang diliputi termasuk ironi, metafora dan juga kandungan komunikasi yang implisit dalam sesuatu ujaran (Ramlee Bin Hamad, 1999: 30).
Hasil daripada pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli bahasa di Barat mahupun di Malaysia, penulis berpendapat bahawa apa yang dikatakan sebagai implikatur merujuk kepada makna yang melangkaui makna literal. Maksudnya, apabila seseorang itu mengujarkan sesuatu, apa yang cuba disampaikannya secara implisit adalah jauh berbeza maknanya daripada apa yang dia perkatakan.
Mengikut Frank Parker (1995), Paul Grice telah mengatakan bahawa sesuatu pertuturan boleh bermaksud sesuatu cadangan (iaitu satu implikasi). Namun ia bukan merupakan sebahagian daripada pertuturan. Bagaimanapun ia perlu mengikut aturan sesuatu pertuturan.
Grice menamakan kenyataan yang sedemikian sebagai implikatur (Raja Rahawani Raja Mamat, 1994: 31). Leech (1983) telah mengkaji kenyataan yang dikemukakan oleh Grice itu dan beliau menjelaskan bahawa dalam implikatur perbualan, makna bagi
sesuatu ujaran dilihat dari makna ujaran (the said meaning (sence)) dengan implicatur meaning (pragmatic force) dan Leech telah memperluaskan bidang ini dengan membuat perbandingan antara makna yang disampaikan dengan makna yang dimaksudkan. Dengan itu, setiap ujaran yang disampaikan perlu dikaji tentang tekanan pragmatik yang terkandung di sebalik ujaran, iaitu selain daripada maksud ujaran itu yang sebenar (tersurat). Kenyataan beliau dapat difahami dengan meneliti contoh di berikut :
Leo : Ke manakah awak pergi semalam.
Paul : Saya sakit kepala.
Berdasarkan contoh di atas, tafsiran makna di peringkat ayat menunjukkan bahawa jawapan Paul telah melanggar maksim cara dan hubungan dalam prinsip kerjasama, kerana dia tidak menjawab pertanyaan Leo. Namun mengikut Grice, Paul masih lagi bekerjasama kerana dia sebenarnya telah dianggap menjawab pertanyaan Leo. Di sini, Leo haruslah mengandaikan bahawa Paul tidak pergi ke mana-mana kerana kepalanya sakit.
Oleh kerana implikatur itu sesuatu yang tersirat, maka ia mempunyai sifat kebarangkalian, iaitu tidak mungkin seseorang penerima maklumat itu dapat mengetahui secara pasti apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh penyampai maklumat. Semua ujaran ditentukan terlebih dahulu oleh konteks. Justeru, untuk memastikan implikatur dalam sesuatu mesej, penyampai maklumat perlu bijak menyediakan konteks yang mencukupi dan memadai supaya dapat difahami oleh penerima.
Dengan kenyataan-kenyataan di atas dapat kita menyimpulkan bahawa implikatur perbualan merupakan satu kenyataan yang harus diambil kira oleh penerima maklumat tentang apa yang ingin disampaikan oleh seseorang penyampai maklumat
untuk penerima mengandaikan prinsip kerjasama dan maksim-maksimnya dipatuhi di dalam sesuatu perbualan. Implikatur perbualan itu wujud berdasarkan andaian dan pengalaman yang dikongsi bersama untuk menganggap penyampai maklumat masih mematuhi prinsip kerjasama (PK). Jelasnya, implikatur penting dalam perbualan sebab daripada implikaturlah, sesuatu perbualan yang berlangsung diketahui ada atau tidak wujudnya kerjasama di antara penyampai maklumat dan penerima.
Grice (1975) juga menyatakan bahawa penyampai maklumat bertanggung-jawab untuk memastikan bahawa kehadiran implikatur perlu disedari oleh penerima maklumat dan mudah pula baginya untuk melakukan interpretasi. Grice (1975) turut memberikan penerangan tentang konsep makna dalam sesuatu ayat iaitu apa yang penting ialah tujuan sebenar yang ingin disampaikan (what is conveyed) oleh penyampai maklumat dan bukan apa yang diperkatakan (what is said).