• Tidak ada hasil yang ditemukan

Penguatan Bahasa melalui Pemerkasaan Bangsa Berilmu

3.0 BANGSA BERILMU

Bahasa Yunani pernah dianggap bahasa besar bukan kerana bilangan penuturnya atau luasnya wilayah dan taburan penggunaannya, tetapi kerana tingginya ilmu dan jalur pemikiran yang terungkap dan terkandung dalam banyak karya agung bahasa tersebut, dan sehingga kini karya-karya tersebut masih dibaca dan dirujuk, biarpun dalam versi terjemahan masing- masing kerana sudah tidak ramai yang dapat membaca Yunani kuno.

Puisi epik Iliad dan Odyssey oleh Homer masih dibaca dan dihargai, ditonton dan dihayati dalam drama dan filem. Herodotus meletakkan asas dan acuan kepada pengkaedahan ilmu sejarah sehinggakan beliau bergelar Bapa Sejarah Budaya Barat dengan bukunya The Histories dianggap sebagai karya sejarah yang pertama dalam kepustakaan Barat.

Dalam bidang falsafah, siapa yang tidak kenal akan Socrates, Plato dan Aristotle, tiga serangkai yang mentakrifkan, mencorak, dan mewarnai falsafah Barat dari dini hingga kini.

Socrates tidak menulis tetapi ilmu falsafah beliau dikenali melalui karya Plato. Plato muridnya Socrates dan telah menghasilkan 48 buah karya (sebahagian besarnya dalam bentuk dialog), antara yang tersohor sehingga kini termasuklah ‘The Republic’ dan ‘Symposium’. Aristotle pula anak murid Plato, dan beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 karya. Beliaulah tokoh yang meletakkan batu asas bagi penelitian yang berpandukan kaedah saintifik.

Memang banyak lagi tokoh Yunani kuno yang sehingga kini masih tetap dikenali dan disanjung kerana karya-karya mereka malar hijau terus-menerus dibaca, diteliti, dan dirujuk.

Dalam bidang perubatan Hippocrates dianggap sebagai Bapa Ilmu Perubatan kerana menghasilkan 70 karya penting tentang perubatan, yang terkenal adalah tentang etika

4 perubatan Hippocratic Oath. Euclid terkenal sebagai Bapa Geometri, karya besarnya The Elements sehingga kinimasih digunakan sebagai buku rujukan bidang matematik.

Tidak lupa juga kita akan ungkapan ‘Eureka …’ laungan Archimedes sesudah berjaya menghitung isi padu objek tak nalar (hampir semua anak sekolah tahu akan kisah penemuan ini). Bukan itu sahaja, Archimedes juga terkenal sebagai ahli matematik, ahli fizik, ahli astronomi, jurutera dan pencipta. Skru Archimedes, sebuah mekanisme mengangkut air masih diterapkan sehingga sekarang.

Ada bahasa yang dahulunya berupa bahasa utama di institusi-institusi ilmu di seantero Eropah, kini sudah dianggap ‘mati’ kerana sudah tidak ada penutur aslinya lagi. Contoh terbaik ialah Latin.

Latin yang dituturkan oleh penduduk asal Latium di sekitar Rom menjadi penting dan utama sebagai bahasa rasmi Empayar Rom serta sebagai bahasa ilmu dan hal ehwal politik sehinggalah peranannya diambil alih oleh bahasa Perancis pada abad ke-18 dan bahasa Inggeris pada abad ke-19.

Peri pentingnya peranan Latin dalam bidang ilmu masih dapat dikesan daripada banyaknya karya agung berbahasa Latin tinggalan penulis, penyair dan pemikir pelbagai bangsa, seperti Cicero4, Vergil5, Ovid6, Spinoza7, Leibniz8 dan Isaac Newton9, dan daripada

banyaknya istilah teknikal, terutama dalam ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, yang diserap masuk dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bidang-bidang tersebut dalam bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Nyata sekali nama-nama besar terawal dalam ilmu falsafah, fizik, astronomi, sains, sastera dan matematik berwacana dalam bahasa Yunani atau Latin. Walaupun Latin dan Yunani kuno ini tidak lagi dituturkan10, legasi keilmuan Latin dan Yunani terus-menerus dimanfaatkan melalui tinggalan karya-karya besar yang mencorakkan pemikiran dan menakrifkan bentuk istilah teknikal dalam pelbagai bidang ilmu. Ini bererti ilmulah yang menjadi ciri utama ketamadunan, dan kita akan selamanya terhutang budi kepada tamadun Yunani, Rumawi, Arab, Cina dan yang lain-lain yang ada khazanah ilmunya.Dalam sesebuah tamadun, yang lestari ialah ilmunya.

Lantaran itu, kita umat peri bumi rantau ini, harus berupaya mengilmukan bangsa kita, melalui bahasa kita dengan ilmu yang kita teliti, kembangkan dan majukan mengikut acuan kita sendiri.

Ada bahasa yang dahulunya terpinggir dan dicemuh sesetengah cendekiawannya sendiri kini merupakan bahasa yang benar-benar menepati takrifan bahasa global. Bahasa Inggeris kini merupakan bahasa paling berpengaruh di dunia.

Selama sedekad dua yang lalu, sedar tak sedar, situasi bahasa di negara kita ini juga sudah mulai berubah. Faktor utama yang mendorong perubahan ini ialah keantarabangsaan dunia dagang dan media massa serta kesejagatan teknologi maya yang dicirikan oleh keperkasaan bahasa Inggeris dalam hampir semua urusan warga dunia sehinggakan alam geopolitik sekarang bukan sekadar dilihat sebagai semakin menjadi unikutub tetapi juga ekabahasa sifatnya kerana meluas dan menyeluruhnya eksport kandungan, maklumat dan fantasi dari dunia Barat.

4De Oratore ad Quintum fratrem libri tres (On the Orator, three books for his brother Quintus) (55 SM) dan De Re Publica (On the Republic) (51 SM)

5Eclogues (?37SM), Georgics (29 SM)

6Heroides, Amores, Ars Amatoria, dan Metamorphoses. 7Ethica, Ordine Geometrico Demonstrate (1677)

8De Arte Combinatoria (On the Art of Combination),1666; Hypothesis Physica Nova (New Physical Hypothesis),1671; Confessio philosophi (A Philosopher's Creed), 1673.

9Philosophia Naturalis Principia Mathematica (1687)

10 Bahasa Latin masih dilestarikan dalam urusan dan acara keagamaan Gereja Roman Katolik dan juga di Vatikan, manakala

5 Dengan berleluasanya fenomena keantarabangsaan, makin meningkatlah penggunaan bahasa Inggeris dalam banyak domain yang selama ini menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Kehilangan domain ini merupakan pokok persoalan yang perlu kita teliti secara telus agar perencanaan yang sesuai dapat diramukan dan tindakan yang berkesan diambil bagi memastikan bahasa Melayu/Indonesia terus digunakan dalam domain ilmu dan budaya tinggi kerana domain inilah yang menakrifkan bahasa kita itu sebagai bahasa besar dan utama.

Hakikat leluasanya bahasa Inggeris turut disentuh oleh Geoffrey Pullum melalui Blog beliau dalam Lingua Franca,

“The global dominance of English is an inexorable fact about the state of the world: English is an official language in 50 or 60 countries around the globe, and in just about every country it is used to some extent, at least as a medium for basic trade, air-traffic control, or official communications to foreigners. No other language has anything like this international currency. To some modest extent this has been engineered by British and American official policies and organizations … but the majority of it seems to me to have been mere luck. The tall ship of Standard English has been pushed along by undeserved favorable winds like the massive success stories of Hollywood, Silicon Valley, Wall Street, the BBC, American and British pop music, and so on. 11

Inilah realitinya. Bahasa Inggeris sudah merupakan bahasa paling besar di dunia, dan ‘besarnya’ bahasa ini bukan semata-mata kerana Hollywood atau MTV tetapi berkat sumbangan, peranan, dan dampak Silicon Valley (Apple Inc, Oracle Corp, Facebook, Google, eBay, Yahoo!), institusi pendidikan tinggi (Harvard, Stanford, MIT, Cambridge, Oxford) dan institusi khazanah ilmu (Smithsonian, Library of Congress, British Museum, Natural History Museum, Kew Gardens) serta tidak kurang pentingnya, peranan industri penerbitan (Pearsons, Penguin, Random House, Macmillan, McGraw-Hill, Penguin, Knopf Doubleday, Simon & Schuster) yang menyumbangkan lebih daripada setengah juta judul setahun12 (belum lagi

dihitung bilangan jurnal dan majalah) kepada khazanah ilmu dunia.

Oleh yang demikian, nyata bahawa bahasa Inggeris menjadi besar kerana bangsanya dan penggunanya yang berilmu, yang berkarya dan yang berwacana dalam bahasa tersebut. Dan ramai warga dunia yang mahu belajar bahasa tersebut, bukan sekadar kerana mahu melancong ke London, tetapi kerana mahu memiliki ‘kunci’ kepada perbendaharaan ilmu yang sangat besar dan berbagai-bagai.

Sekarang sempadan geopolitik sudah pudar, semakin samar-samar. Kita berada dalam sebuah kampung global. Dunia nirsempadan, langit terbuka, perkomputeran awanan tidak lagi mensyaratkan visa. Yang diperlukan untuk penjelajahan alam ini hanyalah bahasa Inggeris sebagai pasportnya.

Hakikat ini tak tersangkalkan lagi. Dan kita tidak boleh berperangai seperti Raja Canute yang cuba memberhentikan ombak yang terhempas di pantai hanya dengan bertitah. Tidak mungkin, dan tidak perlu pun kita menghadang atau merencatkan keghairahan berbahasa Inggeris dalam kalangan kita.

Di Malaysia, hakikat ini turut diterima dan ditangani dengan bijaksana melalui pelaksanaan dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa

11Keep Your Multilingualism to YourselfLingua Franca – The Chronicle of Higher Education

chronicle.com/blogs/linguafranca/2013/09/17/keep-your-multilingualism-to-yourself/).

12 Terbitan Amerika Syarikat (2010) 328,259 judul; United Kingdom (2005) 206,000 judul.

6 Inggeris’(MBMMBI). Apa yang penting kita mengiktiraf bahawasanya kedua-dua bahasa ini berperanan besar dalam membina sebuah negara bangsa yang berdaulat. Bahasa Melayu tetap dimuliakan dan digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan negara, bahasa pengantar utama dan bahasa ilmu, manakala bahasa Inggeris dipupuk sebagai bahasa perhubungan antarabangsa dan juga bahasa ilmu.

Yang perlu kita segera upayakan ialah penguatan bahasa kita dengan membina keilmuan dan kesarjanaan bangsa kita. Untuk itu, yang digerakkan bukan sekadar perencanaan bahasa tetapi juga strategi pemerkasaan bangsa berilmu.

4.0 STRATEGI PEMERKASAAN

Perencanaan bahasa lazimnya melibatkan taraf dan martabat bahasa (status planning), korpus bahasa (corpus planning), dan pemerolehan keterampilan berbahasa (acquisition planning13)

(Fishman 1971, Rubin et al. 1977, Cooper 1989, Bastardas-Boada 2000, Ferguson 2006). Perencanaan taraf berkait dengan penggubalan pelbagai peruntukan yang menakrifkan peranan bahasa tersebut dalam pentadbiran, pendidikan, perundangan-undangan, politik, perdagangan, serta pelbagai aspek perhubungan awam dan swasta demi pembinaan sebuah negara bangsa beracuan watan.

Perencanaan korpus pula berkait dengan usaha pembakuan dan pemodenan sesuatu bahasa tersebut terutama melalui penelitian segi-segi bahasa seperti peristilahan, perkamusan serta pemantapan tatabahasa, ejaan dan sebutan baku.

Keterampilan berbahasa pula merupakan langkah dan strategi untuk memastikan pengguna bahasa beroleh keterampilan untuk berwacana dan berbahasa dalam laras bahasa ilmu dan bahasa Melayu tinggi.

Ketiga-tiga bentuk perencanaan ini merupakan strategi serampang yang boleh digunakan untuk menguatkan bahasa Melayu/Indonesia agar dapat digunakan sebagai bahasa rasmi negara dan sebagai bahasa untuk mengungkapkan kandungan ilmu tamadun bangsa.

Bagi bahasa Melayu, tentu sekali sebahagian besar upaya ini merupakan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) bersesuaian dengan matlamat penubuhannya. Bagi Indonesia, pihak yang memikul tanggungjawab untuk memapankan dan memantapkan bahasa Indonesia tentunya Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa. Akan tetapi, peranan utama pengembangan, pembinaan dan pemugaran bahasa sebenarnya dimainkan oleh pengguna bahasa itu sendiri. Bahasa yang jarang-jarang digunakan atau disempitkan domain penggunaan hanya kepada urusan santai-santaian sahaja akan berdepan dengan kejumudan dan akan segera menjadi tidak relevan dan terabai, lantas berhadapan dengan kepupusan.

Dengan demikian, langkah segera yang perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh adalah dengan menerapkan strategi bagi memastikan sumber rujukan ilmu dan rujukan bahasa yang piawai, lengkap dan memadai disediakan (make available) dan sumber-sumber ini dapat dicapai (makeaccessible) dengan mudah dan cepat melalui prasarana teknologi maklumat dan komunikasi mutakhir (pangkalan data, pangkalan ilmu, www, peranti mudah alih dan sebagainya).

Penguatan bahasa Melayu/Indonesia haruslah berlandaskan upaya pengukuhan bahasa itu sendiri (strategi intrabahasa) dengan membangunkan norma dan piawaian yang dapat membantu pengguna berwacana dengan lebih mudah dan berkesan serta berpangsikan upaya pemerkasaan pengguna bahasa (strategi ekstrabahasa) melalui penyediaan sumber rujukan ilmu, pembinaan kemudahan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi, serta peningkatan khidmat sokongan dalam penerbitan dan penerjemahan karya.

7