• Tidak ada hasil yang ditemukan

DASAR DAN PROGRAM PERUMAHAN

5.2 Dasar Perumahan Negara (DRN)

Dasar perumahan awam Malaysia diberi perhatian dalam perancangan Lima Tahun Malaysia. Ia adalah program sosial yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Program pembangunan perumahan bertujuan menyediakan bilangan rumah yang mencukupi dan berkualiti serta mampu dibeli oleh semua rakyat Malaysia daripada semua peringkat pendapatan. Program pembangunan perumahan oleh sektor swasta dan sektor awam memberi keutamaan kepada pembangunan perumahan kos rendah hingga sederhana.

Dasar perumahan awam menjamin penawaran bilangan rumah kos rendah mencukupi dan mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana (Malaysia, 2006).

Matlamat Dasar Perumahan Negara (DRN) adalah untuk menyediakan rumah yang mencukupi, selesa, berkualiti, dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. DRN juga diperkenalkan untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri perumahan pada masa kini. Isu-isu yang kompleks dan mencabar serta cabaran memerlukan penyelesaian yang cekap bagi menjamin pertumbuhan industri yang sihat dan mapan. Penyediaan rumah PPR sebagai salah satu teras Dasar Perumahan Negara (DRN) dapat diterjemahkan melalui teras 1 DRN iaitu penyediaan perumahan yang mencukupi mengikut keperluan khusus golongan yang memerlukannya. Rumah merupakan keperluan asas dan selaras dengan “shelter for all”. Kerajaan komited dalam memastikan bahawa semua rakyat mampu memiliki atau menyewa rumah. Walau bagaimanapun, keperluan perumahan untuk golongan yang berpendapatan rendah, iaitu golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM 2,500 sebulan masih belum mencukupi. Oleh itu, Kerajaan dan pihak swasta perlu meneruskan usaha penyediaan Perumahan Rakyat Mampu Milik (PRMM) untuk disewa atau dibeli oleh semua golongan rakyat, termasuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta ibu tunggal.

Dasar perumahan awam Malaysia memberi penekanan kepada menyediakan rumah untuk golongan berpendapatan rendah bagi menjamin penawaran tempat tinggal yang mencukupi dan mampu dibeli oleh rakyat. Pembangunan dan program perumahan dilaksanakan menurut konsep penempatan rakyat berdasarkan kepelbagaian keadaan sosial, budaya dan kemudahan serta perkhidmatan agama. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (1991-95), pelbagai program perumahan telah dilaksanakan oleh sektor awam termasuk perumahan awam kos rendah, petempatan dan perkhidmatan, pembahagian semula kampung tradisional, pemulihan kawasan perumahan dan pembangunan perumahan

untuk pekerja sektor awam. Sektor swasta juga aktif melibatkan diri dalam usaha ini termasuk dalam pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi untuk masyarakat mahupun pekerja ladang dan industri. Dalam sektor awam, tugas ini dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDCs).

Dasar Perumahan Negara (DRN) diwujudkan untuk menggariskan halatuju serta dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sektor perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Matlamat DRN adalah untuk menyediakan rumah yang mencukupi, selesa, berkualiti, dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. DRN juga diperkenalkan untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri perumahan pada masa kini. Isu-isu yang kompleks dan mencabar serta cabaran memerlukan penyelesaian yang cekap bagi menjamin pertumbuhan industri yang sihat dan mapan. Perumahan merupakan salah satu keperluan asas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara. Sektor pembinaan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan sektor-sektor lain, termasuk sektor-sektor perkhidmatan dan sektor-sektor pembuatan bahan-bahan binaan. Kerajaan terus memberi penekanan terhadap keperluan penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa terutamanya bagi memenuhi keperluan golongan yang disasarkan.

Penekanan akan diberi kepada kesesuaian lokasi serta persekitaran tempat tinggal yang kondusif selaras dengan Strategi Keempat, Rancangan Malaysia Kesepuluh (10) bagi memastikan akses kepada perumahan berkualiti dan mampu milik. Dalam RMKe-10, Kerajaan telah mensasarkan pembinaan sebanyak 78,000 unit rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan untuk penempatan semula setinggan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 38,950 unit di bawah Program Perumahan

Rakyat (PPR) dan 39,050 unit di bawah program yang berkaitan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Selain daripada itu, sebuah dana berjumlah RM500 juta akan diperuntukkan di bawah RMKe-10 bagi tujuan membiayai kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam dan swasta. Dana ini akan diagihkan melalui kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbangkan oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu “Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah” dan “Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar”, Kerajaan telah memutuskan beberapa langkah drastik diambil untuk mengatasi masalah perumahan, khususnya bagi golongan miskin dan miskin tegar. Kerajaan komited ke arah memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. Komitmen ini dapat dicapai melalui strategi yang memberi keseimbangan kepada permintaan dan penawaran, memperkenalkan industri perumahan yang cekap dan mapan serta menyediakan kemudahan awam dan persekitaran yang bersih.

Dalam hubungan ini, adalah mustahak bagi Kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk mewujudkan industri perumahan yang berdaya saing dan mapan. Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pemilik rumah dan juga pemaju perumahan. Dalam hal ini, pembentukan Dasar Perumahan Negara (DRN) adalah tepat pada masanya untuk membantu sektor swasta menyahut seruan Kerajaan bagi mencapai matlamat menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki bagi kumpulan yang memerlukan. Untuk memastikan sektor perumahan mencapai kemajuan yang diharapkan dan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan, DRN dijangkakan mampu

menyelesaikan masalah dan cabaran yang berkaitan dengan kualiti pembinaan, isu projek perumahan terbengkalai, dan keupayaan memiliki atau menyewa rumah melalui sistem pengagihan yang efektif dalam Program Perumahan Rakyat (PPR). Oleh hal yang demikian, adalah diharapkan DRN, dengan enam (6) teras strategik dan dua puluh (20) pernyataan dasar dapat menyediakan hala tuju yang jelas kepada agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dalam perancangan dan pembangunan sektor perumahan yang maju dan berdaya saing (KPKT, 2011).