• Tidak ada hasil yang ditemukan

Latar Belakang Geografi, Sosioekonomi dan Demografi Kuala Lumpur

KAWASAN KAJIAN

2.2 Latar Belakang Geografi, Sosioekonomi dan Demografi Kuala Lumpur

Dalam kajian ini, kawasan kajian yang dipilih ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur dipilih sebagai kawasan kajian untuk penyelidikan ini adalah berdasarkan kepada empat sebab iaitu:-

a) Dari segi ekonomi, Kuala Lumpur merupakan wilayah termaju di Malaysia serta mengalami urbanisasi yang pesat hasil pembangunan ekonomi dan sosial yang berterusan.

b) Dari segi sosial, Kuala Lumpur mempunyai komposisi kaum yang seimbang antara tiga kaum utama di negara ini seterusnya mempunyai penduduk Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang seimbang dan juga sebagai pusat kebudayaan nasional.

c) Dari segi politik, Kuala Lumpur adalah pusat pentadbiran/pemerintahan dan politik di Malaysia serta negeri yang mengalami isu politik yang dinamik kerana penduduknya yang berbilang bangsa serta mempunyai taraf hidup, tahap pendidikan yang tinggi dan akses maklumat yang lebih luas (media alternatif/internet) berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, oleh itu tahap pemikiran rakyat Kuala Lumpur lebih terbuka dan kritikal terhadap pemerintah dan isu setempat serta isu nasional.

d) Dari segi logistik, Kuala Lumpur merupakan kawasan negeri/wilayah yang mempunyai taraf kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik,

telekomunikasi, jalan raya, kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang lebih baik.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia. Wilayah tersebut meliputi tanah seluas 244 km persegi (94 batu²). Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan di Malaysia, dan juga sebuah enklaf (satu kawasan kecil dilingkungi dalam satu kawasan besar) dalam negeri Selangor, di Pantai Barat Tengah Semenanjung Malaysia (Mohd Sohaimi, 2012). Geografi Kuala Lumpur dicirikan oleh lembah besar yang dikenali sebagai Lembah Klang yang bersempadan dengan Banjaran Titiwangsa di timur, beberapa banjaran kecil di utara dan selatan dan Selat Melaka di barat. Kuala Lumpur memetik namanya daripada kuala yang menemukan Sungai Klang dan Sungai Gombak di tengah-tengah ibu kota itu. Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah-tengah-tengah negeri Selangor, pernah tertakluk di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor, sehingga dipisahkan pada tahun 1974 untuk menjadi Wilayah Persekutuan pertama yang ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lokasinya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang lebih luas tanah ratanya berbanding Pantai Timur, menyumbang kepada pembangunan yang lebih pesat berbanding bandar-bandar lain di Malaysia (Lam, 2004).

Kuala Lumpur (berkeluasan 242.49 km persegi) iaitu ibu negara Malaysia merupakan bandar ke-10 yang paling padat di dunia selepas Manila, Filipina. Jika disebut Kuala Lumpur pasti ramai yang membayangkan sebuah bandar yang padat dengan bangunan-bangunan tinggi mencecah awan serta Petronas Twin Towers yang merupakan lambang kejayaan dan kekuatan negara Malaysia hari ini. Kuala Lumpur yang juga dikenali dengan nama samaran ‘KL’ merupakan pusat pentadbiran Malaysia sebelum Wilayah Persekutuan Putrajaya ditubuhkan dan kemudiannya berpindah ke sana. Dari luaran KL disebut ‘gah’ namun begitu KL sebagai bandar yang pesat membangun ini mempunyai

kadar kemiskinan bandar yang tinggi berikutan isu kos sara hidup yang hebat akibat daripada proses urbanisasi yang pesat.

Sejarah awal pembukaan Kuala Lumpur ialah penemuan sumber bijih timah yang banyak di sekitar kawasan Ampang. Penemuan sumber bijih timah tersebut telah membuka jalan yang luas terhadap pembangunan bandarnya yang sangat pesat. Nama ‘Kuala Lumpur’ juga diambil berdasarkan keadaan persekitaran awal di sini iaitu lombong-lombong bijih yang digali memperlihatkan banyak lumpur. Kemasukan buruh Cina pada awal abad ke 19 merancakkan lagi aktiviti perlombongan yang dijalankan lantas menarik minat ramai pelabur asing (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013).

Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara Malaysia telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Pusat Pentadbiran Persekutuan pada 1 Februari 1974. Kuala Lumpur mempunyai keluasan 242.70 km persegi dan terbahagi kepada tiga daerah iaitu Kuala Lumpur (Pusat Bandar), Cheras dan Setapak. WPKL mempunyai kepada 11 kawasan Parlimen yang terdiri daripada Wangsa Maju, Batu, Kepong, Segambut, Cheras, Seputeh, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Bukit Bintang dan Lembah Pantai (Lihat Rajah 2.1). Pembangunan Kuala Lumpur boleh dikatakan bermula daripada rentetan sejarah lampau iaitu setelah ditemui oleh pelombong bijih timah berbangsa Bugis iaitu Raja Abdullah. Bijih timah yang ditemui di Sungai Gombak dan Klang telah mengundang Kapitan Cina iaitu Yap Ah Loy untuk meneroka kekayaan Kuala Lumpur. Aktiviti perlombongan menjadi titik tolak kepada perkembangan ekonomi Kuala Lumpur (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013). Kuala Lumpur merupakan ‘jantung’ kepada ekonomi negara Malaysia yang menjadi pusat utama pelbagai jenis industri yang menyumbang kepada KDNK negara terletak dalam sempadan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kuala Lumpur turut dikenali sebagai Bandaraya Bercahaya, Pusat Kesenian Antarabangsa, Pusat Perundangan Kehakiman dan Kota Budaya Islam di Malaysia. Unjuran penduduknya pada tahun 2012 adalah seramai 1,713,400 orang. Kuala Lumpur City Centre (KLCC) merupakan satu projek pembangunan bandar yang bertaraf antarabangsa dan menjadi mercu tanda gemilang bagi negara Malaysia. Ia berkonsepkan “Bandar Raya-Dalam-Bandar Raya” yang merangkumi kawasan seluas 40 hektar serta menyediakan ruang kegunaan komersial untuk pejabat, perniagaan runcit, hotel dan kediaman seperti Menara Petronas, Masjid As-Syakirin, Taman Awam, Suria KLCC, Kuala Lumpur Convention Centre, hotel dan sebagainya. Menara Berkembar Petronas merupakan salah sebuah bangunan tertinggi di dunia iaitu mencecah 452 meter (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013).

Selain, itu, Kuala Lumpur menawarkan destinasi pelancongan yang menarik seperti Taman Burung, Taman Rama-Rama, Pasar Seni, China Town, Taman Bunga Raya, Istana Negara, Kompleks Budaya Kraf, Taman Tasik, Dataran Merdeka, Menara Kuala Lumpur, Tugu Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, Pusat Sains Negara, Kompleks Sukan Negara, Istana Budaya, Zoo Negara, Taman Orkid, Planetarium Negara, Rumah Penghulu Abu Seman, Bangunan Sultan Abdul Samad, Balai Seni Lukis Negara dan Pusat Kraf (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013).

Pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 243.65 km persegi (94.07 batu²), dengan ketinggian tanah purata 21.95 m (72.0 ka). Tugas pentadbiran bandar raya dipikul oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. DBKL bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kebersihan awam, pelupusan dan pengurusan sampah dan bahan buangan, perancangan bandar, perlindungan alam sekitar dan kawalan pembinaan, pembangunan sosial dan ekonomi dan penyelenggaraan prasarana bandar secara amnya. Kuasa eksekutif dipegang

oleh Datuk Bandar yang dilantik untuk penggal tiga tahun oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Sistem perlantikan Datuk Bandar ini diamalkan sejak pilihan raya Kerajaan Tempatan digantung pada tahun 1970. Semenjak Kuala Lumpur menjadi sebuah Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, bandar raya ini pernah dipimpin oleh sepuluh orang Datuk Bandar.

Kuala Lumpur diduduki 1.63 juta orang mengikut unjuran banci tahun 2010. Daripada jumlah tersebut, 44.4 peratus adalah kaum Melayu, 43.2 peratus Cina, 11.1 peratus India dan 1.4 peratus kaum-kaum lain (Shaari, 2000; Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010a, 2010b, 2010c). Data sebenar pada tahun 2010 menunjukkan jumlah penduduk di Kuala Lumpur adalah 1,588,750 orang (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010a). Dari segi kumpulan pekerjaan di Kuala Lumpur, 18.7 peratus bekerja dalam sektor perkhidmatan, pekerja kedai dan jurujual; masing-masing 14.8 peratus bekerja dalam bidang penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus serta pekerja perkeranian; 12.4 peratus juruteknik dan profesional bersekutu; 10.9 peratus pekerjaan asas; 9.9 peratus profesional; dan 7.3 peratus bekerja sebagai operator loji dan mesin serta pemasangan (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2004).

Kuala Lumpur adalah kawasan kediaman kepada 1.6 juta penduduk (2005) dan ia dijangka bertambah kepada 2.2 juta menjelang tahun 2020. Dengan penyediaan rumah sebanyak 464,996, sektor perumahan dijangka akan berkembang pesat dan menyumbang kepada ‘urban footprint’ Kuala Lumpur. Kediaman adalah keperluan asas manusia selain makanan, air dan udara. Oleh itu, setiap bandar perlu memastikan setiap keluarga mempunyai tempat tinggal yang selamat, selesa dan sihat.

Dengan ini, keseluruhan tanah kediaman di Kuala Lumpur menjadi 7,423.84 hektar iaitu lebih kurang 30.65 peratus daripada keluasan Bandar Raya Kuala Lumpur. Sehingga tahun 2005, terdapat 676,163 unit rumah di Kuala Lumpur dengan 188,610 unit rumah Kos

Rendah dan Sederhana Rendah dan Sederhana Medium; 158,307 unit rumah Kos Sederhana Sederhana; 288,817 unit rumah kos tinggi; dan 40,429 unit perumahan sementara. Dari segi klasifikasi pemilikan rumah di Kuala Lumpur, harga bagi Perumahan Mampu Milik ialah RM 42,001 – RM 74,999, Perumahan Kos Sederhana RM 75,000 – RM250,000 dan Perumahan Kos Tinggi lebih daripada RM 250,000 (DBKL, 2008).

Rumah mampu milik dan perumahan kos sederhana yang berkualiti amat diperlukan di dalam bandar. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan menjadikan Kuala Lumpur bandar yang berdaya huni (liveable). Perumahan berkualiti memberi kesan kepada penyediaan kemudahan masyarakat yang berkualiti, persekitaran yang selamat, bersih dan alam bina yang menarik. Ia dapat memberi nilai tambah kepada sesebuah kawasan dan menarik masuk peluang-peluang pekerjaan. 44 peratus daripada penduduk Kuala Lumpur terdiri dari golongan kumpulan pertengahan dengan purata pendapatan di antara RM1500 hingga RM3500. Ia merupakan kumpulan umur utama di bandar dan keperluan mereka perlu diutamakan.

Sehingga 11 April 2013, di Kuala Lumpur terdapat 792,017 pemilih (pengundi) berdaftar dengan komposisi 44.4 peratus adalah Melayu, 43.2 peratus Cina, 11.1 peratus India dan 1.4 peratuas kaum-kaum lain dengan 792,017 pemilih (pengundi) berdaftar. Dari segi jantina pengundi, terdapat 396,952 pemilih (50.12 peratus) lelaki dan 395,119 pemilih (49.88 peratus) adalah perempuan. Jika dilihat kepada jenis pengundi, 751,322 pemilih (94.86 peratus) adalah Pengundi Biasa, Pengundi Tentera dan Pasangan 24,892 pemilih (3.14 peratus), Pengundi Polis dan Pasangan 15,453 pemilih (1.95 peratus) dan Pengundi Luar Negara 404 pemilih (0.05 peratus) yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)(http://www.pru13.gov.my/pdf/statistik_bilangan_parlimen/statistik_pemilih_negeri. pdf; Wan Ahmad, 2014).

Dari segi lokasi dan logistik Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan adalah dibawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur mempunyai 11 Parlimen dan 216 Daerah/Pusat Mengundi dan 1349 saluran mengundi (http://www.pru13.gov.my/default.informasi.04.php?state=KUALA%20LUMPURdannege ri=pdf/statistik_umum/kl2.pdf).

Dalam kajian ini, fokus lokaliti kawasan meliputi kesemua 25 Daerah Mengundi yang mempunyai Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Kawasan perumahan PPR mempunyai 25 skim PPR, 28,337 Ketua Isi Rumah (KIR) dan daripada populasi tersebut, sebanyak 1,069 sampel telah dipilih sebagai responden kajian yang dibahagikan mengikut kaum bagi setiap PPR.

Operasi penyelidikan di kawasan kajian adalah berdasarkan persempadanan bahagian pilihan raya yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut sempadan kawasan Parlimen dan unit terkecil yang dipilih dalam konteks kajian ini ialah Daerah Mengundi (DM). Secara mikronya, kesemua 25 buah PPR dipilih untuk pengumpulan data primer iaitu soal selidik di lapangan merangkumi keseluruhan lokasi kawasan PPR di Kuala Lumpur yang dikelaskan kepada 3 zon untuk menonjolkan elemen ruang dan lokasi dalam bidang geografi iaitu Zon Utara, Zon Tengah/Pusat Bandar dan Zon Selatan. Zon Utara merangkumi PPR Pekan Kepong, PPR Intan Baiduri, PPR Taman Wahyu I (Beringin), PPR Taman Wahyu II (Wahyu), PPR Pekan Batu, PPR Kg. Batu Muda, PPR Seri Semarak, PPR Sungai Bonus Air Jernih, PPR Kg. Baru Air Panas dan PPR Ampang Hilir (Hiliran Ampang). PPR Zon Tengah pula merangkumi PPR Perkasa (Cochrane 1), PPR Jalan Lapangan Terbang Lama Fasa I (Seri Alam 1), PPR Jalan Lapangan Terbang Lama Fasa II (Seri Alam 2), PPR Laksamana (Cochrane 2) dan PPR Pudu Hulu. Kemudian bagi Zon Selatan merangkumi PPR Seri Malaysia, PPR Desa

Petaling (Sungai Besi), PPR Malaysia Permai (Raya Permai), PPR Kg. Muhibbah Jalan Puchong, PPR Salak Selatan, PPR Kampung Limau Pantai Dalam, PPR Lembah Pantai Kerinchi, PPR Seri Cempaka (KL Linear City II Fasa II), PPR Pantai Ria (KL Linear City II Fasa I) dan PPR Seri Anggerik (KL Linear City 1) (Rujuk Rajah 2.1, 2.2, 2.3, 2.4, 2.5 dan 2.6).

Dari segi unit kediaman/perumahan yang sedia ada (2005) di Kuala Lumpur, secara keseluruhannya terdapat 676,163 unit kediaman dengan 188,610 unit (28 peratus) rumah kos rendah, 158,307 unit (23 peratus) rumah kos sederhana, 288,817 unit (43 peratus) rumah kos tinggi dan 40,429 unit (6 peratus) perumahan sementara. Kuala Lumpur mempunyai 291 kawasan perumahan utama di seluruh 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan tersebut (Lihat Rajah 2.1 dan 2.2). Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang (keseluruhan kawasan Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Perak Selatan dan Negeri Sembilan Utara) dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat. Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandaraya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC) (Peter dan Phang, 2012).

Petunjuk ekonomi WP Kuala Lumpur dapat dilihat dari sudut KDNK. Bagi tahun 2012, KDNK bagi lima buah negeri (Selangor, WP Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang) mendominasi ekonomi negara dengan jumlah sumbangan sebanyak 64.5 peratus. Komposisi aktiviti ekonomi yang berbeza mendorong kepada kepelbagaian ciri bagi setiap negeri. Sektor perkhidmatan dapat dilihat di Wilayah Persekutuan Kuala

Lumpur lebih mendominasi berbanding dengan negeri lain iaitu sebanyak 89.9 peratus diikuti dengan sektor pembinaan sebanyak 4.6 peratus dan sektor pembuatan sebanyak 4.0 peratus. Secara tidak langsung, kesignifikanan sektor perkhidmatan telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk bagi wilayah tersebut.

Rajah 2.1 Rajah 2.2

Rajah 2.1 dan 2.2: Peta AGISwlk Kawasan-Kawasan Perumahan Utama