• Tidak ada hasil yang ditemukan

Hubungan antara Keadilan Organisasi dengan Kepercayaan Organisasi dan Pemimpin serta Pengaruhnya terhadap Perlakuan Inovatif Guru

SOROTAN KAJIAN

2.7 Hubungan antara Keadilan Organisasi dengan Kepercayaan Organisasi dan Pemimpin serta Pengaruhnya terhadap Perlakuan Inovatif Guru

Dapatan kajian menunjukkan bahawa tanggapan guru terhadap keadilan organisasi dalam amalan pengetua yang dibuat di 33 buah sekolah di Utara Semenanjung Malaysia (Gok Poh Suan, 2006) adalah pada tahap amalan tinggi kerana memperoleh skor min sebanyak 4.20. Sub-dimensi keadilan organisasi yang dikaji juga tinggi dalam amalan pengetua misalnya keadilan pengagihan dengan skor min 4.28 dan keadilan prosedur dengan skor min 4.11. Dapatan ini menunjukkan bahawa semua responden yang terdiri daripada seramai 240 orang guru

72

berpandangan bahawa pengetua mengamalkan keadilan pengagihan lebih daripada keadilan prosedur.

Dapatan ini memberi maklum balas kepada kita bahawa pengetua dalam amalan keadilannya lebih fokus kepada pemberian kuasa, ganjaran, tugas, peranan dan kenaikan pangkat yang adil kepada guru berpandukan kesediaan guru memegang amanah, kecekapan guru menjalankan tugas dan sumbangan guru kepada outcome organisasi berbanding dengan amalan adil dengan memberi peluang kepada guru terlibat bersama-sama dalam menyelesaikan masalah organisasi, menyuarakan pendapat, mempengaruhi keputusan atasan atau membuat keputusan untuk organisasi. Keadaan ini membayangkan amalan yang sebenar di sekolah kini memandangkan responden yang dipilih adalah terdiri daripada penolong-penolong kanan pentadbiran, ketua-ketua bidang dan ketua-ketua panitia yang kebanyakan berumur 30 tahun tahun ke atas (94.17%). Golongan peringkat umur ini dikenali sebagai Tahap Kesejawatan menurut Bakhtiar Mansor (1993) dalam kajiannya. Tahap kesejawatan mencerminkan golongan yang mempunyai ciri-ciri kematangan pemikiran, sedia memikul tanggung jawab yang lebih berat dan kian terlibat dalam pentadbiran sekolah.

Dapatan kajian kuantitatif oleh (Tschannen-Moran, 2003) yang melibatkan 45 buah sekolah didasarkan kepada premis bahawa membina kepercayaan dalam sesebuah organisasi akan melahirkan budaya koleboratif di kalangan ahlinya. Hasil dapatan kajiannya menunjukkan bahawa terdapat perhubungan antara; budaya koleboratif dengan pegetua dan kepercayaan guru terhadap pengetua (r=0.32,

73

p<0.05); budaya koleboratif di kalangan guru-guru dan kepercayaan sesama guru

(r=0.31, p<0.05); dan budaya koleboratif dengan ibu bapa dan kepercayaan terhadap mereka (r=0.79, p<0.05).

Hal ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara pembolehubah-pembolehubah tersebut dan ianya selaras dengan pendapat Clark (2003), yang menyatakan bahawa sekolah hendaklah bersifat bekerjasama, bersatu-padu, cekap dan diurus dengan baik. Kepercayaan adalah penting dalam usaha memperbaiki mutu organisasi pendidikan.

Kepercayaan diperlukan bagi mewujudkan kerjasama dan komunikasi yang berkesan, dan aspek seperti ini merupakan asas bagi perhubungan yang padu serta produktif (Baier, 1986). Hujah ini dibuktikan dalam kajian Butler dan Candrell (1994) yang meneroka perhubungan antara kepercayaan dengan faktor khusus berkaitan komunikasi di tempat kerja menggunakan sampel sebanyak 82 orang pekerja lelaki dan 31 orang pekerja wanita. Senarai soal selidik yang mengandungi 40 item yang menilai 10 aspek kepercayaan pekerja terhadap penyelia (boleh dipercayai, mudah dihubungi, kecekapan, konsisten, keadilan, kejujuran, keikhlasan, mengotakan janji, keterbukaan dan mudah menerima), dan 19 item merangkumi lima sab-skala (prestasi kerja, tanggungjawab, pekerjaan, keperibadian dan responsif) untuk menilai komunikasi terhadap penyelia berdasarkan persepsi pekerja. Dapatan kajian mereka (Butler & Candrell, 1994) mendapati bahawa terdapat perhubungan yang kuat antara

74

skor kepercayaan dengan semua sub-skala komunikasi. Turut didapati bahawa tanggungjawab, pekerjaan dan responsif merupakan peramal terbaik kepada kepercayaan.

Dapatan kajian yang menggunakan soal selidik Ropani Sheikh Daud (2006) seperti yang diperkembangkan oleh Hoy dan Tschannen-Moran (1999) menunjukkan bahawa pihak guru telah mempersepsikan kebanyakan pengetua (60.3 peratus) sebagai tergolong dalam tahap kepercayaan yang sederhana. Menurut tanggapan guru hakikat keterbukaan (min = 5.09) merupakan dimensi kepercayaan yang paling tinggi diamalkan oleh pengetua, dan ini ikuti oleh hakikat baik hati (min = 4.60) dan hakikat kejujuran (min = 4.59). Hakikat kecekapan (min = 4.37) merupakan hakikat yang paling kurang diamalkan.

Dapatan ini membuktikan bahawa para pengetua berupaya membina kepercayaan terhadap dirinya secara sederhana, terutamanya melalui amalan keterbukaan. Kebanyakan guru bersetuju bahawa pengetua mereka secara terbuka memberitahu apa yang sebenarnya sedang berlaku di sekolah di samping berkongsi maklumat secara terbuka. Kebanyakan guru juga bersetuju bahawa pengetua mereka secara lazimnya bertindak dengan mengambil kira kepentingan guru dan bertimbang rasa dengan perasaan guru. Namun begitu, skor min yang terendah ialah hakikat kecekapan yang menunjukkan bahawa pihak guru memberi tanggapan bahawa pengetua mereka kurang mempamerkan kecekapan dalam melaksanakan tugasnya.

75

Menurut Weng (1998) yang menyatakan bahawa hakikat kecekapan merupakan dimensi yang penting dalam usaha menilai kepercayaan organisasi adalah sepadan dengan dapatan kajian ini, namun begitu dalam dalam kajian ini menunjukkan tahap kepercayaan yang sederhana pada aspek ini berkemungkinan disebabkan pihak guru mendapati kebanyakan pengetua kurang mempamerkan kecekapan mereka secara eksplisit. Dapatan ini juga berkemungkinan dipengaruhi oleh tempoh perkhidmatan pengetua. Taburan responden menunjukkan bahawa seramai 100 orang atau 32.8 peratus responden mengakui bahawa mereka berkhidmat kurang dari satu tahun di bawah pengetua sekarang.

Dapatan kajian tersebut turut menyokong pendapat Frank (1994) yang menyatakan bahawa usaha membina hubungan kepercayaan merupakan satu proses yang boleh digambarkan seperti penambahan bebanan pejabat. Justeru, usaha membina kepercayaan memerlukan tempoh masa yang lebih panjang supaya satu pihak dapat memahami satu pihak yang lain.

Keadilan organisasi merupakan faktor yang mempengaruhi tahap komitmen guru terhadap organisasi (Gok Poh Suan, 2006). Seandainya pengetua dalam amalannya mementingkan pembahagian yang adil dari segi peranan, status, tugas kerja, kenaikan pangkat, pemberian kuasa, ganjaran serta pengiktirafan kepada setiap gurunya, maka guru akan menunjukkan kesetiaan terhadap organisasi dan sedia

76

melibatkan diri dalam semua aktiviti sekolah serta terus kekal sebagai kakitangan sekolah (Mowday, 1979; & 1982). Seterusnya dengan adanya gabungan hubungan pembolehubah-pembolehubahan seperti keadilan organisasi, kepercayaan organisasi dan pemimpin akan menggalakkan guru-guru tersebut secara semulajadinya melahirkan pelakuan inovatif untuk kemajuan dan kecemerlangan sekolah atau organisasi masing-masing.

Dapatan kajian yang diperolehi oleh Thiayagarajan (2011) dalam kajiannya menunjukkan bahawa dalam aspek tahap, kesemua dimensi dalam keadilan organisasi (pengagihan, prosedur, interpersonal dan informasi), kepercayaan (pemimpin dan organisasi) dan kepuasan penilaian prestasi (markah prestasi, sistem penilaian, penilai dan maklum balas) berada dalam tahap sederhana. Dalam aspek pengaruh dapatan kajian menunjukkan bahawa keadilan organisasi mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kepercayaan, efikasi kendiri dan kepuasan penilaian prestasi. Kepercayaan secara keseluruhannya menyumbang varians sebanyak 43.8 peratus. Efikasi kendiri secara keseluruhannya menyumbang varians sebanyak 3.4 peratus dan kepuasan penilaian prestasi secara keseluruhannya menyumbang varians 29.8 peratus.

Kajian yang dijalankan oleh Thiayagarajan (2011) tersebut telah mendapati kepercayaan terhadap pemimpin telah menyumbang sebanyak 60 peratus perubahan varians dalam keadilan organisasi sementara kepercayaan terhadap organisasi pula menyumbang sebanyak 28 peratus. Keputusan ini menunjukkan bahawa responden

77

dalam kajian tersebut berpendapat bahawa kepercayaan terhadap pemimpin sebagai aspek yang sangat penting untuk menentukan keadilan dalam sesebuah organisasi. Selain itu kajiannya juga menunjukkan bahawa keadilan pengagihan, interpersonal dan informasi mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kepercayaan pemimpin. Perkara tersebut menunjukkan bahawa guru-guru dalam kajiannya lebih percaya kepada pemimpin mereka sekiranya keadilan pengagihan, interpersonal dan informasi diamalkan dalam sesebuah sekolah.

Dalam kajian Nik Azida Abd. Ghani (2007), dapatan kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan min yang signifikan dalam komitmen afektif pensyarah berdasarkan keempat-empat faktor institusi yang dikaji (saiz institusi berdasarkan bilangan pelajar, saiz institusi berdasarkan bilangan pensyarah, mod pemilikan dan fokus pasaran). Situasi tersebut bermakna pensyarah dari institusi yang berlainan saiz (berdasarkan bilangan pelajar dan bilangan pensyarah), mod pemilikan dan fokus pasaran mempunyai tahap komitmen afektif dan perlakuan inovatif yang lebih kurang sama.

Kajian (Nik Azida Abd. Ghani, 2007) membuktikan bahawa pengupayaan psikologikal berfungsi sebagai separa mediator antara faktor anteseden dengan perlakuan inovatif pensyarah (skor z bagi kesan pengantaraan ialah 3.808). situasi tersebut menunjukkan bahawa pensyarah lebih cenderung mencetus, mencadang dan melaksanakan idea baru dalam peranan kerja, kumpulan atau institusi sekiranya

78

mereka mempunyai akses terhadap faktor anteseden (kepercayaan, akses terhadap maklumat, sokongan organisasi, sumber serta peluang belajar dan membangun) kerana faktor anteseden tersebut menyebabkan mereka berasa kerja mereka adalah penting dan bermakna; berasa mereka mempunyai kebolehan, keupayaan dan kemahiran untuk melaksanakan tugas; berasa mereka mempunyai autonomi dan kebebasan dalam menentukan cara kerja mereka; dan berasa mereka mempunyai pengaruh dan dapat memberikan kesan terhadap jabatan. Dapatan tersebut selari dengan dapatan kajian Spreitzer (1995) bahawa pengupayaan psikologikal berfungsi sebagai separa mediator antara struktur sosial dengan perlakuan inovatif.