• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

Jadual 2. 1: Model Perkembangan Kendiri Erikson (Sigelman & Rider, 2009)

4. Industri lawan rasa rendah diri

6-12 Adakah saya lebih bagus daripada orang lain? 5. Identiti lawan fungsi gender 12-20 Siapa sebenarnya saya? 6. Keintiman lawan berseorangan 20-40 Adakah saya telah bersedia

untuk satu hubungan?

7.Generativiti lawan kekalan 40-65 Adakah saya tertinggal sesuatu dalam hidup saya?

8. Integriti lawan kekecewaan 65 ke atas Adakah hidup saya bermakna setelah semua ini yang saya lalui?

Istilah “industri” pada tahap perkembangan Erikson ini ditafsirkan sebagai semangat untuk belajar kemahiran baharu dan keinginan untuk memiliki ilmu dan kemahiran. Newman & Newman (2006) melihat perkembangan industri ini sebagai usaha untuk mencapai keinginan berkenaan berhubung rapat dengan motivasi dalaman. Dalam istilah lain, hasil perbuatan individu dilihat sebagai persaingan. Individu memerlukan sumber luaran sebagai sokongan dalam membina pengetahuan dan kemahiran yang tertentu. Manakala Santrock (2009) pula menambah bahawa dalam perkembangan industri, individu menggunakan tenaga langsung untuk menguasai kemahiran dan ilmu intelektual. Dalam perjalanan untuk mencapai perkembangan tersebut, secara tidak langsung individu mengenal pasti (a) Siapakah diri mereka? ; (b)

Apakah sebenarnya kehidupan ini? dan (c) Apakah yang akan berlaku kepada diri mereka seterusnya? Mereka mulai mengenal pasti identiti, peranan dan personaliti diri, yang dipengaruhi oleh budaya setempat dan pengalaman yang ditempuhi. Hal yag demikian menunjukkan perkembangan industri berfokus kepada pencapaian ilmu dan kemahiran dalam mengenal diri dan dunia sendiri, di samping memerlukan sokongan dan motivasi yang diterima.

Dari aspek yang berbeza, Feldman (2011) percaya bahawa perkembangan industri dalam diri individu mempunyai hubungan dengan usaha untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran tertentu. Tumpuan perkembangan pada tahap ini adalah berkait dengan persekolahan (kognitif dan akademik) serta dunia sosial (pergaulan). Individu berusaha mengenal pasti “siapa dirinya”. Hal ini adalah selari dengan pandangan Sigelman & Rider (2009) yang melihat bahawa pada peringkat usia ini, konsep kendiri individu tertumpu kepada lima isu utama, (a) persaingan berkaitan hal

persekolahan (b) penerimaan sosial; (c) penampilan fizikal; (d) tingkah laku; (e) persaingan sukan. Manakala Cradle, Cradle & Zanden (2006) pula mengutarakan

tahap industri ini sebagai percambahan kepada nilai budaya dalam kehidupan mereka. Individu yang berasal daripada budaya yang dominan lazimnya lebih stabil melalui tahap ini. Berdasarkan pandangan tersebut, didapati perkembangan industri bagi individu adalah bersifat multi-dimensi, yang berfokus mencari dan mengenal diri dan dunia sosial serta kemahiran dalam akademik.

Umumnya individu yang berumur antara enam hingga 12 tahun akan berusaha memenuhi tuntutan industri yang telah dibincangkan. Menurut Feldman (2011), hakikatnya tidak semua tuntutan industri ini dapat dipenuhi oleh individu dengan sempurna. Namun perkembangan individu tidak akan terhenti dan tetap akan mara ke

tahap yang berikutnya. Sungguhpun begitu ahli psikologi percaya bahawa individu yang tidak dapat memenuhi perkembangan industri dengan baik bakal mengalami impak yang negatif pada masa akan datang (Santrock, 2006). Kegagalan menangani tuntutan industri ini bakal mengakibatkan rasa rendah diri “inferiority”.

Sigelman & Rider (2009) mendefinisikan rendah diri sebagai perasaan yang tidak dihargai, merasa diri tidak cukup dan melihat diri tidak sempurna, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk masyarakat. Antara ciri rendah diri yang disebutkan adalah seperti yang berikut, iaitu (a) suka bersendirian; (b) menarik diri; (c) mengasingkan diri; (d) tertumpu melihat kegagalan; (e) mengelak daripada tugas atau pengalaman yang baharu; (f) kecelaruan dalam mengenal diri; (g) kehilangan identiti diri; (h) tenggelam dalam kritikan; dan (i) merasa diri tidak mempunyai kemampuan. Secara umumnya kesan perasaan rendah ini akan melahirkan ahli masyarakat yang mengelak diri daripada berperanan atau gagal berfungsi dalam membangkitkan kitaran hidup bermasyarakat. Justeru, kelumpuhan fungsi ahli komuniti bakal berlaku.

Meskipun begitu, ahli psikologi menegaskan situasi rendah diri ini dapat dikawal dan dielakkan jika individu dan ahli masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan sempurna. Memandangkan perkembangan industri ada hubung kait dengan kemampuan kognitif, efektif dan tingkah laku individu, Newman & Newman (2006) menyatakan ketiga-tiga elemen tersebut dapat membantu membina perkembangan industri individu. Kognitif individu merupakan kemahiran yang bernilai, sementara tingkah laku adalah pelaksanaannya. Manakala Afektif pula kesan yang terhasil daripada pelakuan yang dilahirkan daripada kognitif. Ketiga-tiga elemen ini harus dibentuk untuk “membina” diri, dengan membentuk kemahiran dan bersedia menangani kegagalan. Maka di sinilah peranan ahli sosial khususnya ibu bapa dan rakan

dalam memberikan peneguhan dan sokongan. Menurut Newman & Newman (2006) lagi, antara punca rendah diri yang perlu diatasi adalah; (a) Cemerlang bukanlah semata-mata dalam bidang akademik; (b) Mengelakkan daripada melakukan perbandingan sosial dalam kalangan anak-anak serta; dan (c) Mengurangkan kritikan yang menjatuhkan semangat.

Dengan itu perkembangan dan tuntutan industri dan rendah diri ini menjurus kepada individu yang mencari “siapa dirinya”. Hal yang demikian berhubung rapat dengan pendedahan individu kepada pengetahuan dan kemahiran, pergaulan sosial di sekolah mahupun di rumah, peneguhan dan kritikan yang diterima serta sokongan ahli sosial yang berkepentingan dalam menyokong pembentukan dan pemantapan konsep kendiri. Sekiranya individu didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran dengan baik, melalui pengalaman pergaulan sosial yang positif, mendapat peneguhan dan kritikan yang membina, maka pada dasarnya tuntutan industri dapat ditangani. Sekiranya hal yang sebaliknya berlaku, individu cenderung mengalami rasa „rendah diri‟. Di samping itu, perkembangan konsep kendiri yang tertumpu pada tuntutan tertentu dan mengikut tahap dianggap konsep kendiri yang tidak tetap.

Konsep kendiri sering berubah, seiring dengan perubahan perkembangan diri dan perkembangan kognitif (Larsen & Buss, 2008). Perbincangan kajian lalu mencadangkan konsep kendiri berkembang serentak dengan peningkatan umur dan kematangan individu (Rinn, Jamieson, Gross & McQueen, 2009). Semasa peringkat usia kanak-kanak ini juga terdapat perbezaan fokus kendiri pada tahap umur yang tertentu. Shaffer (2009) mencadangkan kanak-kanak berumur sembilan tahun ke bawah memberikan fokus kepada ciri fizikal mereka, hubungan asas dengan keluarga, rakan dan guru serta sifat psikologi mereka, iaitu “Saya lelaki, mempunyai ramai kawan dan sayangkan

guru”. Sementara kanak-kanak yang berusia sebelas tahun lebih menumpukan kualiti ciri pada diri serta ciri personaliti yang tidak selalu dilihat positif, iaitu “Saya perempuan, penunggang basikal yang baik, mempunyai beberapa orang rakan baik, serta kami sekepala dalam banyak keadaan”. Apabila usia mencapai awal remaja, mereka yang berumur lima belas tahun ke atas tertumpu pada ciri diri yang lebih bersifat psikologikal, abstrak dan gambaran diri yang lebih bersifat integrasi misalnya “Saya adalah athies, bercita-cita tinggi, tegas dalam banyak perkara, saya bukanlah individu yang disukai oleh kawan-kawan”.

Polemik perbincangan ini mendapati konsep kendiri positif harus dibentuk pada peringkat awal usia. Konsep kendiri positif yang telah mantap dalam diri individu lazimnya tidak mudah berubah dan dapat dipengaruhi. Konsep kendiri yang stabil dapat menyokong pembentukan estim kendiri yang positif (Shaffer, 2009). Hanya dengan konsep kendiri yang mantap, individu berupaya mengenali diri mereka dengan mendalam, termasuklah kekuatan dan keistimewaan serta kekurangan yang dimiliki. Mengenali diri dengan jelas membantu individu menilai diri dengan sebaik-baiknya. Dengan istilah lain pembentukan estim kendiri yang positif dapat melonjakkan individu untuk mencapai perkembangan yang optimum. Perkembangan konsep kendiri dan estim kendiri bermula pada usia kanak-kanak secara seiring. Perkembangan estim kendiri jelas berlaku pada pemikiran abstrak, apabila individu dapat menilai dan membuat penilaian berkenaan sesuatu perkara (Berk, 2008). Manakala perkembangan konsep kendiri bermula sebelum kanak-kanak mencapai tahap pemikiran abstrak, iaitu pada tahap pemikiran konkrit. Justeru, adalah signifikan konsep kendiri yang positif didedahkan sebelum mencapai usia abstrak. Konsep kendiri dan estim kendiri positif berperanan penting untuk membentuk individu yang memiliki personaliti lebih mantap.

Teori Perkembangan Psikososial ini dilihat mempunyai persamaan dengan Teori Pembelajaran Sosial Cooley yang diperkenalkan oleh Charles Horton Cooley pada tahun 1902 (Shaffer, 2009). Cooley berpendapat bahawa konsep kendiri merupakan proses pembentukan kepercayaan dan sikap kendiri melalui orang lain. Cooley memperkenalkan teori “Looking Glass Self” yang bermaksud tanggapan individu tentang diri sendiri merupakan gambaran dirinya yang diberikan oleh ahli sosial sekelilingnya. Cooley percaya konsep kendiri terbina bukan sahaja berkenaan apa yang difikirkan oleh individu tentang dirinya, tetapi juga menerusi maklum balas diri terhadap penilaian orang lain tentang diri sendiri, khususnya hubungan dengan kumpulan yang bersemuka, rapat dan kekal dengan individu (Oosterwegel & Oppenheimer, 1993). Teori Cooley menegaskan peranan ahli masyarakat sekeliling sebagai salah satu pendekatan untuk membantu meningkatkan konsep kendiri positif individu, khususnya mereka yang masih berada di alam persekolahan.

Di samping itu, Teori Psikososial menggambarkan perkembangan konsep kendiri terbina secara konstruktif. Hal ini disokong oleh Teori Perkembangan Kognitif Piaget. Menerusi aspek perkembangan individu, Piaget percaya bahawa organisasi dan proses kognitif membantu individu melakukan justifikasi dengan persekitarannya. Pemikiran dan intelektual individu memainkan peranan yang utama dalam diri individu untuk memproses maklumat dan berinteraksi dengan dunia luar (Burger, 2000). Perkembangan pemikiran secara kualitatif seiring dengan pertumbuhan mereka (Sigelman, 2009). Sejajar dengan konsep perkembangan kognitif dan konsep kendiri yang konstruktif, perkembangan optimum dapat dicapai sekiranya wujudnya sokongan khususnya daripada orang sekeliling yang signifikan dengan individu.

Natijahnya, kendiri mulai terbentuk pada usia kanak-kanak dan berterusan hingga ke peringkat usia lanjut. Walau bagaimanapun setiap peringkat usia memberikan fokus kepada perkembangan kendiri yang tertentu. Perkembangan industri yang merupakan tumpuan pengkaji, perlu dibina dengan mantap supaya individu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan dapat “memiliki diri sepenuhnya”. Memiliki perkembangan industri ini dapat menyediakan individu untuk menghadapi tahap tuntutan berikutnya, iaitu krisis „identiti lawan fungsi gender”. Perkembangan konsep kendiri individu memerlukan sokongan dan peneguhan ahli sosial di sekeliling, di samping kemampuan kognitif yang berkembang seiring dengan perkembangan kendiri. Teori Pembelajaran Sosial Cooley dan Teori Perkembangan Kognitif ini jelas selari dengan Teori Perkembangan Psikososial Erikson, khususnya pada peringkat keempat. Berdasarkan keyakinan bahawa konsep kendiri dipercayai berlaku pesat pada usia kanak-kanak hingga awal remaja, maka sokongan daripada orang sekeliling yang signifikan amat dituntut agar perkembangan kendiri yang berkualiti dan optimum dapat dicapai. Tambahan, pengaruh budaya dan keadaan sekeliling diakui antara faktor pembentukan kendiri individu (Corey & Corey, 2009).

Teori Perkembangan Kerjaya Super

Teori Perkembangan Kerjaya yang dipelopori oleh Donald E. Super pada tahun 1950-an (Reardon et al., 2006). Super melihat kerjaya bukan sahaja hanya satu pekerjaan, tetapi sebagai perkembangan kehidupan individu. Individu akan mengalami dan membuat perubahan dalam diri bergantung kepada keperluan hidup seiring dengan peringkat usia. Individu juga akan berusaha menyesuaikan diri mengikut perubahan peranan diri (Zunker, 2006). Perkembangan kerjaya merupakan perkembangan yang berterusan, sebagaimana perkembangan diri dan personaliti yang melibatkan fizikal dan

kognitif. Super telah menghubungkan perkembangan kerjaya kepada elemen konsep kendiri.

Teori Perkembangan Kerjaya Super menegaskan kerjaya dipilih bukan kerana padanan antara kebolehan dan minat seperti yang dicadangkan oleh teori tret dan faktor, tetapi lebih kepada ekspresi konsep kendiri (Capuzzi & Stauffer, 2006). Super berpendapat individu yang mencapai kepuasan konsep kendiri melahirkannya menerusi pemilihan kerja, melibatkan kebolehan, minat, nilai dan pilihannya. Hal ini dihubungkan dengan peranan individu dalam hidupnya menerusi Pelangi Kerjaya Super (Reardon et al., 2006; Herr & Stanley,1996).

Super telah membahagikan tahap perkembangan minat kerjaya kepada 5 peringkat, iaitu (a) Peringkat Pertubuhan (4 hingga 14 tahun); (b) Peringkat Penerokaan – (14 hingga 24 tahun); (c) Peringkat Pengukuhan (24 hingga 45 tahun); (d) Peringkat Pengekalan (45 hingga 64 tahun); dan (e) Peringkat kemerosotan (65 tahun dan ke atas). Teori ini menegaskan perkembangan konsep kendiri berlaku pada setiap tahap perkembangan kerjaya yang telah disebutkan. Konsep kendiri dilihat sebagai jentera yang penting dalam diri untuk mengenali diri sendiri (Srebalus, Marinelli & Messing, 1982). Menurut Serebalus et al, (1982) lagi, sekiranya perkembangan kendiri berlaku dengan baik, maka proses perkembangan kerjaya akan terus bergerak cemerlang. Butiran berkenaan peringkat perkembangan kerjaya Super ini dijelaskan menerusi jadual yang berikut: