• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jadual 1. 1: Data Masalah Disiplin Murid Sekolah Rendah di Malaysia Tahun 2010-2013

1.9 Kepentingan Kajian

Memandangkan kajian ini ialah kajian berkenaan dengan konsep kendiri dalam kalangan murid sekolah rendah yang dilaksanakan secara kuasi eksperimental, sumbangan kajian adalah dari aspek ilmu pengetahuan dan metodologi. Hasil kajian ini akan memberikan pengetahuan baharu berkenaan kesan Bimbingan Kelompok Konsep Kendiri terhadap murid sekolah rendah menerusi aktiviti yang telah dirancang rapi. Hasil kajian ini penting dan dapat menyumbang dapatan baharu kepada pihak yang tertentu.

Dapatan kajian juga dapat menyumbang dalam perkembangan ilmu pengetahuan, khususnya kaedah untuk meningkatkan konsep kendiri murid sekolah rendah menerusi BKKK kepada guru bimbingan sekolah rendah. Pihak yang tersebut dapat mengenal pasti aktiviti kreatif, yang berbentuk hands-on menerusi bimbingan kelompok yang dapat membantu murid untuk meningkatkan konsep kendiri mereka. Aktiviti main peranan dan modeling (melalui teknik biblio) yang dirancang menerusi bimbingan kelompok ini merupakan suatu pendekatan baharu yang menarik jika dapat dilaksanakan secara teratur. Main peranan dan teknik biblio telah terbukti membantu perkembangan individu dalam pelbagai aspek. Malah kedua-dua pendekatan ini memyumbang satu kaedah baharu dalam membantu guru bimbingan atau fasilitator mencapai objektif modul dengan lebih jelas kerana berbentuk aplikasi.

Sehubungan dengan itu, Modul BKKK yang terhasil daripada kajian ini membekalkan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah satu kaedah yang terancang dan standard memandangkan modul ini telah mendapat persetujuan pakar. Hal ini dapat meningkatkan keesahan hasil pelaksanaan program di sekolah. Berdasarkan pelaksanaan modul ini, langkah-langkah yang lebih proaktif akan dapat

dirancang oleh pihak sekolah sebagai usaha untuk meningkatkan konsep kendiri murid. Malah Modul BKKK ini boleh bertindak sebagai satu sistem sokongan kepada murid yang memerlukan kaedah untuk meningkatkan konsep kendiri mereka.

Kajian ini juga dapat menyumbang kepada proses pengetahuan baharu bagi reka bentuk kajian khusus untuk para pengkaji dalam bidang sains sosial. Reka bentuk kajian ini ialah kajian Kuasi Eksperimental Empat Solomon. Reka bentuk kajian ini bakal memberi suatu idea yang berlainan kepada pengkaji lain yang boleh dilaksanakan dalam bidang pendidikan yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang lebih mantap. Hasil kajian ini juga menunjukkan reka bentuk yang berbeza mampu memberi impak hasil kajian lebih inovatif.

Di samping itu, pengekalan rawatan, iaitu Modul Bimbingan Kelompok Konsep Kendiri dalam tempoh lanjutan dapat menyumbang suatu pengetahuan baharu khasnya kepada guru bimbingan dan pengkaji dalam bidang sains sosial. Pihak yang berkenaan boleh meneliti Modul Bimbingan Kelompok Konsep Kendiri yang dapat digunakan dalam memantapkan konsep kendiri untuk jangka masa lebih panjang tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur lain. Pengekalan kesan modul dalam tempoh yang lebih lama menandakan pendedahan modul berkenaan adalah efektif dan amat berkesan dalam membina konsep kendiri positif untuk murid sekolah rendah. Manakala bagi pengkaji pula, tempoh masa bagi mengenal pasti kesan pengekalan rawatan ini dapat dijadikan satu input baharu berkenaan pengekalan konsep kendiri dalam masa yang tertentu.

Di samping ilmu pengetahuan, hasil kajian dapat memberikan manfaat kepada murid khususnya yang berada di sekolah rendah. Melalui kajian ini, tahap konsep kendiri murid dapat dikenal pasti. Di samping itu, konsep kendiri murid dapat

disuburkan dan ditingkatkan melalui peranan guru bimbingan di sekolah. Pelaksanaan Modul BKKK oleh guru bimbingan membantu membangunkan konsep kendiri yang mantap apabila murid melihat dan mengenali diri mereka sendiri dari sudut yang lebih positif. Pandangan yang positif dan keyakinan yang tinggi ini adalah elemen dalaman yang boleh dibentuk melalui diri sendiri. Guru bimbingan yang melaksanakan modul dapat memberi pendedahan kepada murid untuk mengenali fizikal, peribadi, moral, keluarga, sosial dan akademik mereka dengan lebih mendalam. Pelaksanaan modul ini membuka minda bahawa setiap insan mempunyai ruang dan peluang untuk individu cemerlang dalam mana-mana domain yang mereka mempunyai kelebihannya. Definisi kecemerlangan dibuka kepada skop yang lebih luas. Justeru, individu dapat melihat dengan jelas bahawa kejayaan tidak hanya terikat pada satu-satu pencapaian, malah kecemerlangan juga boleh dicipta menerusi aspek yang pelbagai.

Kajian ini turut signifikan kepada pihak pengurusan sekolah. Sekiranya jumlah murid yang memiliki konsep kendiri yang positif bertambah, diandaikan masalah disiplin dan salah laku murid akan berkurangan. Oleh hal yang demikian, pihak pengurusan boleh memaksimumkan usaha dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada program dan aktiviti pengembangan diri, meningkatkan potensi dan memantapkan pencapaian akademik. Hakikatnya sokongan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada guru bimbingan untuk melaksanakan kajian ini memberikan faedah bukan sahaja kepada murid, malah kepada pihak pengurusan dan imej sekolah.

Kajian ini juga memberikan manfaat kepada ibu bapa. Menerusi usaha pihak pengurusan dan guru bimbingan di sekolah untuk berkongsi ilmu pengetahuan, maklumat kajian dapat disalurkan kepada ibu bapa. Pengetahuan ini memberi pendedahan kepada ibu bapa untuk memupuk dan memantapkan konsep kendiri yang

tinggi bagi menghasilkan anak-anak yang mempunyai pemikiran dan bersikap positif. Maklumat kajian yang dikongsi bersama ini juga mampu menghasilkan individu yang berfungsi secara maksimum bukan sahaja di sekolah, malah kefungsian individu sebagai anak yang baik dan berperanan secara efektif terhadap keluarganya. Di samping menjadi individu yang berkeyakinan dan berfikiran positif, anak ini bakal membanggakan ibu bapa mereka dengan sikap baik dan kejayaan yang bakal dicipta.

Hasil kajian dapat dijadikan panduan oleh pihak KPM khususnya dalam membantu guru bimbingan melaksanakan tugasan mereka untuk merealisasikan fokus tugas guru bimbingan dan kaunselor sepenuh masa (KPM Bil. 12/2012, 16 April 2012). Modul BKKK yang digunakan dalam kajian ini dapat dijadikan panduan untuk membantu guru bimbingan khususnya dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan. Inovasi tugas guru bimbingan di sekolah dalam Fokus satu adalah Pembangunan dan Pengembangan Sahsiah Murid melalui beberapa aspek perkembangan termasuk konsep kendiri.

Justeru, kajian ini dapat memfokuskan peningkatan konsep kendiri yang positif dalam kalangan murid sekolah rendah menggunakan kaedah dan pendekatan yang berbeza. Pelaksanaan kajian ini secara umumnya dapat menyokong merealisasikan dasar KPM menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012, menyokong ke arah pencapaian matlamat KSPK (2010), KSSR (2011) dan membantu merealisasikan matlamat Bimbingan dan Kaunseling bagi Pembangunan dan Pengembangan Diri Pelajar (Surat Siaran KPM, 16 April 2012). Malah kajian ini juga menyahut keprihatinan terhadap hak kanak-kanak melalui Dokumen Undang-Undang Malaysia Akta 611 Akta Kanak-Kanak (2001, 2006) yang perlu diberi pendidikan

sebaik-baiknya memandangkan kanak-kanak merupakan antara entiti penting dalam masyarakat.