• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

Rajah 2. 8: Penerapan Teknik CBT dalam Aktiviti Bimbingan Kelompok

2.4 Kelompok Bimbingan

Kehidupan berkelompok bermula semenjak zaman awal kewujudan manusia Dan kebergantungan manusia kepada kelompok merupakan lumrah kehidupan. Oleh itu bukanlah satu perkara yang asing apabila aktiviti bimbingan dilakukan secara kelompok. Tambahan, pelaksanaan kelompok dipercayai dapat memanfaatkan masa lebih efektif, di samping memantapkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal ahli kelompok (Engleberg & Wynn, 2012). Kelompok merupakan pemangkin yang akan membentuk rangkaian kerjasama yang padu apabila ahli kelompok berasakan mereka adalah sebahagian daripada kelompok yang akan membantu dan berkongsi antara satu sama lain (Lin, Chen, Yang, Xie & Lin, 2014). Bimbingan kelompok merupakan salah satu pendekatan alternatif dalam proses menolong. Kelompok dipercayai dapat membantu klien kerana kelompok mempunyai keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri.

Maksud kelompok dalam istilah kaunseling ialah pertolongan psikologi yang dijalankan terhadap beberapa individu dalam kumpulan. Menurut Forsyth (2006) kelompok didefinisikan sebagai “wujudnya dua individu atau lebih. Setiap individu berkenaan terikat antara satu sama lain menerusi hubungan sosial”. Chaturvedi (2007) mengatakan kelompok kaunseling ialah kumpulan yang mengandungi antara lima hingga lapan orang ahli, bertemu mengikut masa yang dirancang, untuk mempelajari tentang diri mereka dan cara berhubung dengan orang lain. Jamaluddin dan Nur Liyana (2008) pula menyatakan kelompok adalah pertemuan yang dirancang secara sistematik dengan tujuan tertentu bagi membolehkan semua ahli mengutarakan dan berkongsi idea, pandangan dan pengalaman sama ada yang bersifat positif atau negatif, membina atau sebaliknya. Sementara Amla et al., (2009) pula mengatakan kelompok adalah bantuan

atau bimbingan yang diberikan secara berkumpulan kepada individu secara berkumpulan.

Terdapat beberapa jenis kelompok yang mempunyai matlamat yang berbeza. Antaranya termasuklah kelompok kaunseling, kelompok bimbingan, kelompok terapi, kelompok T dan kelompok tugasan. Kajian ini memberikan tumpuan kepada kelompok bimbingan. Kelompok bimbingan juga disebut sebagai kelompok psiko-pendidikan (Gladding, 2003; 2013). Kelompok psiko-pendidikan ini memberikan fokus untuk mendidik, mencegah dan membangunkan potensi diri ahli kelompok (Chaturvedi, 2007). Sementara Chen & Rybak (2004) menyatakan kelompok psiko-pendidikan dapat (a) menyediakan pendidikan, sokongan dan mengajar kemahiran seperti kemahiran penyelesaian masalah; (b) mengenal pasti keperluan dan ketidakmampuan ahli kelompok, seterusnya berusaha menyediakan latihan untuk memenuhi keperluan dan mengatasi ketidakmampuan tersebut; dan (c) menyediakan serta mengajar coping skills sebagai persediaan ahli kelompok dalam menghadapi dugaan hidup secara umum. Menurut Capuzziet & Stauffer (2006) antara ciri kelompok psiko-pendidikan merupakan kelompok yang lebih berstruktur, topik yang lebih berfokus dan pemimpin yang lebih berkarisma.

Satu fakta yang menarik berhubung dengan kelompok dan kanak-kanak adalah mereka banyak belajar daripada hubungan dengan orang lain. Pengalaman inilah yang membantu membentuk diri kanak-kanak (De Souza, 2010). Kelompok dapat menyediakan satu situasi untuk kanak-kanak (a) berhubung dengan rakan; (b) memberi

reaksi kepada sebarang peraturan; (c) belajar bekerjasama dan bertolak ansur; (d) belajar mewujudkan kejelekitan hubungan; dan (e) belajar mempercayai sesama

ahli kelompok. Kelompok psiko-pendidikan merupakan salah satu pendekatan alternatif dalam proses menolong selain perkhidmatan sesi kaunseling kepada kanak-kanak.

Posthuma (2002) menyatakan kanak-kanak lebih sesuai mendapat bimbingan secara individu sehingga berumur 5 tahun. Pada peringkat awal pertumbuhan, kanak-kanak memerlukan tunjuk ajar dan bantuan mengikut keperluan individu. Apabila mereka melangkah ke alam persekolahan pada masa prasekolah, kanak-kanak telah mula mengenali hidup bersosial. Malah menerusi pergaulan sosial ini, masalah emosi, sosial atau tingkah laku kanak-kanak dapat dikenal pasti. Oleh itu, bimbingan kelompok sesuai diberikan sebaik sahaja kanak-kanak bersekolah.

Fungsi Kelompok

Kelompok dapat memberikan bantuan yang lebih efektif kepada klien kerana mempunyai keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri (Amla et al., 2009 ; Jamaluddin & Nur Liyana, 2008). Menurut Corey (2009) kelompok boleh berfungsi sebagai alat pembelajaran eksperimen untuk membantu meningkatkan tingkah laku, kemahiran dan pengetahuan. Pembelajaran eksperimen ini berlaku apabila perbincangan dalam kelompok melibatkan proses (1) refleksi pengalaman; (2) penyesuaian dan pembentukan konsep; (c) melalui pengalaman dan berlatih; dan (d) merancang untuk melaksanakan. Oleh yang demikian kelompok dijadikan medan untuk mempelajari dan menyediakan pembelajaran baharu sebelum ahli kelompok mengharungi realiti kehidupannya.

Sorotan literatur mendapati semakin kuat sokongan kelompok, semakin kuranglah tekanan psikologi seseorang (Namora & Mohamad Hashim, 2010). Bimbingan kelompok mempunyai kelebihan, seperti:

(i) Individu dapat melihat bahawa terdapat insan lain yang melalui pengalaman yang hampir sama dengannya. Oleh yang demikian, pandangan individu terhadap masalah yang dialami akan lebih terbuka dan rasional.

(ii) Individu akan berasa kepunyaan (self belonging), setelah mereka menyedari persamaan pengalaman hidup, dan yakin tidak keseorangan. (iii) Memupuk kemahiran interpersonal, sosial dan komunikasi menerusi

pelaksanaan aktiviti kumpulan.

(iv) Membina dan membentuk kerjasama dan kejelekitan sesama ahli dalam kelompok.

Gladding (2003; 2013) menegaskan kelompok boleh berperanan sebagai aktiviti pencegahan, perkembangan dan memperkuat daya tindak serta dapat meningkatkan konsep kendiri. Pernyataan ini selari dengan pendapat Brown (1994) bahawa klien dapat dibantu melalui aktiviti kelompok, yang bersifat pencegahan, perkembangan dan pemulihan. Kelompok juga diatur untuk memperkembang potensi dan kemahiran individu. Aktiviti kelompok yang diatur boleh berfungsi sebagai mengelakkan tingkah laku negatif pada masa akan datang, di samping memperbaik dan meningkatkan perkara yang negatif.

Saiz Kelompok Bimbingan

Kelompok terdiri daripada dua jenis, iaitu kelompok besar dan kelompok kecil. Kelompok besar mempunyai objektif dan keistimewaan yang tersendiri. Begitu juga dengan kelompok kecil. Saiz atau bilangan ahli kelompok penting bagi menentukan keberkesanan pelaksanaan kelompok. (Benson, 2010; Amla et. al, 2009; Jamaludin &

Nur Liyana, 2008; Chen & Rybak 2004; Posthuma 2002). Bagi kelompok psiko-pendidikan, saiz kelompok boleh mencapai sehingga 25 orang dalam satu kumpulan (Benson, 2010). Sementara Capuzzi & Stauffer (2006) menyatakan ahli kelompok psiko-pendidikan terdiri antara 5 hingga 50 orang ahli. Jumlah besar ahli dalam kelompok harus dikecilkan untuk meningkatkan keberkesanan kelompok.

Kelompok yang lebih kecil dapat membina lebih kejelekitan, kemesraan dan keterlibatan (Chen & Rybak , 2004 ; Posthuma, 2002). Bagi menjamin keterlibatan semua ahli kelompok, hubungan pelbagai hala sesama ahli dan keberkesanan kelompok, jumlah ahli kelompok per kumpulan tidak boleh melebihi 10 orang. (Posthuma, 2002). Bilangan ahli kelompok kecil yang efektif adalah antara tujuh ke sembilan orang. Sementara itu, terdapat sedikit perbezaan mengenai saiz kelompok dewasa dan kelompok kanak-kanak. Bilangan ahli kelompok kanak-kanak perlu lebih kecil daripada bilangan ahli kelompok dewasa (Chen & Rybak 2004).

Tempoh Pelaksanaan Kelompok Bimbingan

Di samping itu, jangka masa bagi sesi kelompok juga merupakan ciri yang harus diberikan perhatian. Tidak ada ketetapan masa tertentu untuk perjumpaan kelompok. Walau bagaimanapun, jangka masa pelaksanaan perjumpaan kelompok bergantung kepada kedudukan dan natural kelompok. (Chen & Rybak 2004). Jangka masa sesi kelompok tidak boleh terlalu singkat kerana ahli kelompok tidak sempat mengalami manfaatnya, dan tidak terlalu panjang sehingga menyebabkan ahli kelompok hilang tumpuan. Bagi pelajar sekolah, sesi kelompok bimbingan memadai antara 40 hingga 50 minit. Jangka masa ini berbeza-beza dengan golongan kelompok dewasa dan kanak-kanak kecil. Walau bagaimanapun, masa pelaksanaan adalah mengikut matlamat dan aktiviti program serta topiknya (Benson, 2010).

Selain itu, kekerapan perjumpaan kelompok bimbingan juga harus diberikan perhatian. Perjumpaan biasa kelompok adalah setiap minggu, iaitu seminggu sekali (Chaturvedi , 2007; Capuzzi & Stauffer, 2006). Walau bagaimanapun, perjumpaan bergantung kepada keperluan dan objektif kelompok. Pada masa yang sama, tempoh pelaksanaan kelompok turut diberi fokus. Menurut Capuzzi & Stauffer (2006) perjumpaan bagi kelompok psiko-pendidikan biasanya antara empat hingga 12 minggu. Menurut Capuzzi & Stauffer (2006) lagi, kanak-kanak lebih mendapat manfaat kelompok menerusi masa perjumpaan yang pendek dan lebih kerap.

Kelompok Bimbingan untuk Kanak-kanak

Sebelum kelompok dilaksanakan, antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pembentukan kelompok adalah (a) perbezaan jarak umur antara ahli kelompok tidak melebihi dua tahun; (b) mempunyai status sosial, intelek, kematangan fizikal yang hampir sama; (c) berlainan budaya, bangsa, keturunan dan status ekonomi; (d) ada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan; dan (e) dapat bekerjasama dengan baik.

Sementara Capuzzi & Stauffer (2006) pula menyatakan bimbingan kelompok merupakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang logik dan efektif bagi kanak-kanak sekolah rendah. Kelompok kanak-kanak-kanak-kanak juga membincangkan topik seperti (a) kemahiran belajar; (b) latihan asertif; (c) bertukar keluarga; (d) kehilangan/kematian; (e) konsep kendiri; (f) mengurus kemarahan; (f) mengurus tingkah laku; (g) isu perhatian; dan (h) buli (mangsa dan pembuli). Kelompok dapat berperanan melalui latihan atau rawatan yang diberikan dalam pelbagai bentuk aktiviti. Malah kelompok bimbingan dipercayai sesuai diaplikasikan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah seperti: (a) tingkah laku negatif di sekolah; (b) estim kendiri yang rendah; (c) penderaan fizikal atau seksual; (d) pelaku dera; (e) mengalami atau menyaksikan

trauma; (f) mangsa keganasan; (g) kurang kemahiran sosial; (h) hubungan sosial yang kurang baik; dan (i) ponteng.

Posthuma (2002) turut mencadangkan kelompok kanak-kanak memberikan tumpuan kepada peningkatan konsep kendiri, estim kendiri, matlamat kendiri atau kesedaran tubuh badan. Seterusnya bimbingan dapat memperkembang konsep kendiri positif menerusi sokongan daripada orang sekeliling yang signifikan bagi mereka. Konsep kendiri yang positif dalam kalangan kanak-kanak dapat dibentuk dan disuburkan secara konstruktif melalui aktiviti yang dilaksanakan secara bimbingan kelompok.

Thompson & Henderson (2007) ada membincangkan berkenaan teknik kaunseling secara biblio. Menurut mereka teknik biblio ini bersesuaian dengan kanak-kanak. Sekiranya dalam pelaksanaan kaunseling, sesi untuk kanak-kanak yang berumur antara 10 hingga 11 tahun dicadangkan berlangsung dalam lingkungan 30 minit dengan perjumpaan dua kali seminggu. Bilangan ahli bagi sesi kaunseling disarankan seramai lapan orang. Manakala bilangan ahli kelompok untuk psikopendidikan adalah antara 10 hingga 15 orang. Pelaksanaan sesi kaunseling atau bimbingan bermula dengan fasa-fasa yang telah dicadangkan untuk sesi kelompok.

Sementara itu, Kathryn & David (2008) pula berpendapat konsep kendiri yang negatif boleh terbina apabila kanak-kanak menginterpretasi hidup mereka pada masa lampau dengan melihat pengalaman sebagai teruk, bodoh, tidak seronok, jahat dan sebagainya. Kesannya tidak percaya pada sendiri terbentuk yang bakal mewujudkan keruntuhan diri self destructive. Kepercayaan sebegini harus diperbetul. Terdapat dua teknik yang dicadangkan, pertama reframing dan normalizing (samakan pemikiran

individu berkenaan dengan apa yang difikirkan seperti kanak-kanak lain kemudian membentuk semula atau memperbetul. Teknik ke-dua melalui pelaksanaan terapi kelompok atau psiko pendidikan secara kelompok. “Psychoeducation group” dipercayai dapat membantu membentuk semula konsep kendiri apabila ketua kelompok dapat memastikan ahli, merancang dan membentuk kumpulan dengan baik serta mereka bentuk pengisian program kelompok dengan teliti.