• Tidak ada hasil yang ditemukan

7: Tiga Teknik dalam Pendekatan CBT (Melati, Ida Hartina, Norfaezah dan Azmawaty, 2014)

KAJIAN LITERATUR

Rajah 2. 7: Tiga Teknik dalam Pendekatan CBT (Melati, Ida Hartina, Norfaezah dan Azmawaty, 2014)

Menerusi teknik CBT ini, kaunselor menumpukan kepada mempertikaikan kepercayaan yang tidak rasional, memperdebatkan pemikiran yang tidak logik, membincangkan kefungsian klien, mencari kestabilan dan kegembiraan diri serta membentangkan pemikiran yang logik dan kepercayaan yang rasional. Teknik-teknik berkenaan boleh diaplikasi dalam sesi mengikut kesesuaian tahap dan permasalahan klien. Perubahan atau pengubahsuaian pemikiran bakal membantu klien untuk mencapai

kestabilan emosi dan tingkah laku. Sekiranya pengubahsuaian dapat dilaksanakan serentak dalam pemikiran dan tingkah laku serta emosi, kesannya terhadap individu akan menjadi lebih bermakna.

Teori CBT mempunyai perbagai teknik yang boleh dilaksanakan melalui pendekatan yang berbeza mengikut kesesuaian keadaan klien. Disebabkan CBT memperkenalkan teknik yang pelbagai, maka kaedah CBT bukan sahaja boleh diaplikasi dalam sesi kaunseling, tetapi juga dalam sesi bimbingan. Malah, teknik CBT juga dilihat sesuai dilaksanakan dalam sesi kaunseling atau bimbingan individu mahupun kaunseling kelompok, sesi terapi dan sesi bimbingan, bertujuan untuk menstruktur semula cara berfikir, membentuk kepercayaan baharu dan meningkatkan kefungsian individu agar mencapai kestabilan diri (Peterson & Nisenholz, 1999).

Kajian ini pula memberi tumpuan meningkatkan pandangan positif individu terhadap diri sendiri. Melalui kajian ini, penerapan teknik CBT yang diaplikasi dalam bimbingan kelompok digunakan sebagai kaedah untuk meningkatkan konsep kendiri individu. Dalam pendekatan Fenomenologi Kendiri, Rogers menyatakan konsep kendiri disusun bawah peringkat sedar dalam kawalan individu (Atwater, 1994). Hal yang demikian konsep kendiri juga boleh dibentuk semula dan diubahsuai dengan menggunakan pendekatan yang bersesuaian. Pendekatan dalam kajian adalah melalui kognitif, yang bertujuan untuk mengubah pandangan individu berkenaan dirinya ke arah yang lebih baik lagi. Definisi konsep kendiri adalah “persepsi” atau “pandangan” atau “pendapat” individu tentang dirinya sendiri. Pandangan ini lahir daripada pemikiran. Sebagai contoh pendapat berkenaan diri “saya ni tidak cemerlang…”, “saya bukan budak baik..” atau “saya malu sebab saya tidak cantik…” adalah satu gambaran negatif individu berkenaan dirinya. Gambaran dan pandangan seperti ini lahir daripada

dalaman diri individu, hasil proses minda dan kognitif, di samping beberapa faktor lain seperti pengalaman dan interaksi sosial. Aplikasi CBT bertujuan mengubah suai atau membentuk semula persepsi berkenaan diri ini kepada yang lebih positif seperti “saya boleh cemerlang” , “saya juga seorang yang baik” atau “saya bersyukur dengan rupa paras yang saya miliki”. CBT digunakan sebagai pendekatan untuk mengubahsuai kognitif, yang secara tidak langsung membabitkan emosi, tingkah laku dan fisiologi individu, memandangkan pembentukan konsep kendiri positif adalah bermula pada pemikiran individu.

Proses pemikiran ini bukan sahaja berlaku pada orang dewasa, tetapi turut berlaku pada diri kanak-kanak. Sehubungan itu, dalam perkembangan kanak-kanak, menyediakan satu suasana yang membina adalah penting khususnya dari aspek kognitif (May Jaseem, 2008). Suasana yang menyokong memantapkan perkembangan kognitif bermaksud satu situasi yang dapat dilihat dengan jelas oleh kanak-kanak bahawa wujudnya sokongan dan dorongan yang khusus dari sudut emosi dan sosial. Sokongan emosi dan sosial ini dapat membantu kanak-kanak merasa bahawa diri dan perasaan mereka terpelihara, dihargai dan dihormati sebagai individu, menerusi persekitaran termasuklah daripada orang yang berkepentingan kepada mereka. Situasi sokongan emosi dan sosial ini membentuk satu skema dalam pemikiran kanak-kanak, yang akan menyokong untuk mereka berfungsi dan menyesuaikan diri ketika menghadapi tekanan. Di samping sokongan emosi dan sosial terhadap kanak-kanak, kemampuan kanak-kanak untuk dibimbing menggunakan kognitif mereka dipersoalkan (Manassis, 2009). Teori CBT pada awalnya dilihat tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya terhadap klien kanak-kanak memandangkan kemampuan kognitif mereka adalah terhad (Graham & Reynolds, 2005). Namun demikian, pendekatan yang sesuai, di samping aktiviti yang terancang dipercayai dapat mengatasi isu berkenaan (Beck, 2011).

Teknik main peranan merupakan salah satu daripada teknik yang mengandungi komponen kognitif, emotif dan tingkah laku. Teknik main peranan ini merupakan salah satu pendekatan dalam CBT (Neukrug, 2011). Pada dasarnya teknik ini berlaku dalam sesi kaunseling antara kaunselor dan klien. Kaunselor mengambil peranan individu yang signifikan lalu melakonkan watak berkenaan bagi membantu klien mengatasi kelemahannya. Teknik ini bertujuan membuat klien dapat merasai sendiri pengalaman dalam perkara yang diragui untuk mengurangkan kerisauan yang dihadapi. Selain menambah asertif klien pada keadaan tertentu, main peranan dapat memberikan peluang kepada klien berlatih untuk melakukan tingkah laku yang baharu agar dapat mengalami sendiri apa yang difikir dan dirasakan (Brown & Srebalus, 2003). Hal ini dianggap sebagai latihan untuk membantu klien mengatasi keraguan dan kerisauan hidupnya di samping meningkatkan keyakinan melalui latihan tingkah laku. Main peranan adalah sebahagian daripada aktiviti bemain. Whitebread, Basilio, Kuvalja & Verma (2012) yang meninjau kajian lampau bermain terhadap kanak-kanak telah didedahkan berlakon menerusi Storysack di sekolah (play, taught, control). Dapatan kajian menunjukkan perkembangan kanak-kanak yang dibantu melalui aspek mengingat, intonasi bersuara dan kemahiran bercakap, berlakon juga telah dapat meningkatkan estim kendiri kanak-kanak.

Psiko pendidikan adalah teknik kognitif asas CBT khususnya untuk membantu kanak-kanak, mengajar dan membimbing mereka agar celik akal (Gladding, 2013). Penerapan teknik ini boleh menggunakan variasi material pendidikan yang diperlukan dan mampu disesuaikan dengan peringkat umur klien kanak-kanak. Corey (2009) berpendapat psiko pendidikan boleh dikendalikan dalam bentuk perbincangan untuk membuka minda klien dengan membincangkan bukti-bukti yang sedia ada agar mereka dapat menerima penghujahan dengan lebih baik.

Teknik bibliografi merupakan satu lagi kaedah yang diperkenalkan oleh CBT. Kaedah ini dilaksanakan dengan menentukan beberapa orang tokoh terpilih yang bersesuaian dengan matlamat sesi dan keadaan klien. Latar belakang dan kejayaan tokoh disusuri untuk dijadikan suri teladan, dijadikan idola atau role model, untuk diikuti dan dicontohi (Gibson & Mitchell, 2003). Kaedah ini juga bersesuaian dengan teknik “modelling” untuk melakukan penerapan teknik tingkah laku yang mencontohi orang lain melalui peniruan atau mengikut (MacDonald, Dickson, Martineau & Ahearn, 2015; Andrews, 2012). Teknik modelling boleh dilaksanakan secara directive atau nondirective. Penerapan teknik ini begitu sesuai dilaksanakan khususnya untuk membimbing kanak-kanak secara terancang.

Ketiga-tiga teknik yang digunakan iaitu main peranan, psikologi pendidikan dan bibiliografi yang dilaksanakan melalui kaedah “modelling” dilihat sebagai teknik yang bersesuaian untuk dilaksanakan dalam bimbingan kelompok untuk membimbing kanak-kanak agar percaya pada diri sendiri dan melihat diri sendiri dengan pandangan yang positif. Rajah 2.7 memperjelas penerapan teknik CBT dalam meningkatkan konsep kendiri individu: