• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN AWAL MENGENALPASTI TAHAP PENGUASAAN PELAJAR BAGI KURSUS PENGURUSAN EKONOMI

Nusaila Johari, Dayana Farzeeha Ali, Mohd Bilal Ali Faculty of Education, Universiti Teknologi Malaysia

ABSTRAK

Dalam dunia pendidikan hari ini, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih kreatif diperlukan demi menghasilkan graduan yang lebih berkualiti. Konsep menghafal akan menyebabkan pelajar kurang berfikir dan menyebabkan pelajar lupa kepada isi pembelajaran yang dipelajari apabila terdapat sesuatu gangguan semasa proses penghafalan berlaku. Kesannya pelajar kurang berusaha untuk berfikir dengan baik dan akan menyebabkan daya kognitif tidak meningkat. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam kursus Managerial Economic atau Pengurusan Ekonomi, di sebuah universiti tempatan Malaysia. Berdasarkan kajian awal, didapati pelajar mengalami kesukaran dalam memahami kursus Pengurusan Ekonomi. Kursus ini merupakan kursus teras dan wajib dikuasai oleh pelajar dan kegagalan menguasai kursus ini akan menghasilkan graduan yang kurang daya kemahiran berfikir, kemahiran visualisasi yang rendah dan sukar mengaplikasi teori atau ilmu yang dipelajari pada situasi yang tertentu.

Keyword: Pengurusan Ekonomi, visualisasi, PdP

Pengenalan

Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) merupakan salah satu dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi dan ekonomi moden yang pesat. Sejajar dengan cabaran keenam Wawasan 2020, negara berhasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan berpandangan ke hadapan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi malah juga menyumbang kepada perkembangan saintifik dan teknologi masa akan datang (Yee et. al, 2013). Oleh itu, mutu sistem pendidikan di Malaysia perlu diperbaiki bagi membangunkan generasi muda yang berilmu, berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan

dan mampu berkomunikasi dengan seluruh dunia (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (2015). Dalam bidang PTV, kemahiran visualisasi merupakan satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar (Martin-Gutierrez et al, 2010; Martin-Gutierrez et al, 2013). Visualisasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) merupakan satu kemahiran berfikir kerana ia melibatkan proses pemikiran yang menggunakan imej-imej, gambar rajah dan simulasi mental di mana ia mampu meningkatkan daya kognitif pelajar (Reiner, 2008; Chwen Jen, 2006). Walaubagaimana pun, pelajar sukar menguasai kemahiran ini (Dayang Noorasura & Sazilah, 2011; Norabeerah, 2015) sedangkan kemahiran ini sering dikaitkan dengan kejayaan dan pencapaian terutamanya dalam bidang matematik, sains kejuruteraan dan beberapa bidang lain (McGee,1979; Ault & John, 2010; Di Serio et al, 2013). Ini memandangkan kemahiran ini banyak melibatkan penggunaan simbol dan graf dalam menyelesaikan masalah berbentuk rumus dan ramalan (Mohd Safarin & Muhamad Sukri 2006). Salah satu kursus yang memerlukan kemahiran visualisasi adalah Pengurusan Ekonomi. Kursus ini merupakan kursus wajib yang perlu diambil oleh kebanyakan pengkhususan di fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan bagi membolehkan mereka mendapat Ijazah (Salam, 2016). Kemahiran visualisasi dikenal pasti sebagai satu kemahiran yang penting untuk meningkatkan tahap kognitif pelajar Chwen Jen, 2006). Namun begitu, kemahiran visualisasi ini kurang diberi perhatian dan diberikan penekanan dalam PnP (Hegarty, 2014, Meda dan Yoon, 2013; Moreau, 2012). Ini kerana sistem pendidikan negara masih berorientasikan peperiksaan memerlukan pensyarah untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Kesannya, pelajar sukar menguasai kemahiran ini (Dayang Noorasura & Sazilah, 2011; Norabeerah, 2015).

Kemahiran visualisasi seringkali dikaitkan dengan daya kognitif di mana ianya merujuk kepada keupayaan individu untuk menyimpan dan mengingati maklumat dari memori berdasarkan keperluan (Sorby, 1999). Merujuk Teori Kon Pembelajaran Dale (1969), kandungan pembelajaran akan diingat lebih lama sekiranya verbal dan visual digunakan dalam proses PnP. Kajian oleh Farrald dan Schamber (1973) pula menunjukkan 80 peratus daripada semua pembelajaran adalah berlaku melalui mata dengan memori visual yang sedia ada.Oleh sebab itu, kemahiran visualisasi merupakan salah satu kemahiran yang penting untuk meningkatkan tahap kognitif pelajar (Chwen Jen, 2006).

Kini, terdapat pelbagai isu berkenaan visualisasi dalam pendidikan dan kepentingannya dalam pelbagai bidang pendidikan semakin meningkat (Noor Azean & Zaidatun, 2008 ). Kemahiran visualisasi ini merupakan kemahiran yang tidak hanya menumpukan penggunaan memori ingatan sepenuhnya untuk menghafal fakta - fakta tetapi ia dapat membantu pelajar dalam melatih proses imaginasi di dalam mental. Banyak kajian yang telah dijalankan mengakui visualisasi amat penting membantu pelajar menguasai konsep dan memahami fenomena persekitaran pembelajaran mereka (Dayana et al., 2015; Norabeerah, 2015). Oleh itu, kemahiran visualisasi merupakan antara kemahiran yang juga penting bukan sahaja dalam pekerjaan, tetapi juga diperingkat sekolah dan pendidikan tinggi, di mana pelajar perlu menvisualisasi apa yang mereka pelajari melalui tiga proses iaitu mengingat (memory), membayangkan (imagery) dan pengetahuan (knowledge) (Ramlah et. al, 2012). Kemahiran visualisasi dalam bidang vokasional perlu diberi perhatian yang lebih memandangkan kemahiran visualisasi terutamanya kebolehan spatial telah terbukti boleh menjadi faktor penentu kecerdasan individu. Selain itu pembelajaran visual dikatakan merupakan cara pengajaran yang paling sesuai untuk semua peringkat umur pelajar berhubung cara berfikir dan belajar (Inspiration, 2004). Menurut Muhammad Sukri dan Foong (2007) dan Dayana (2015) majoriti pelajar aliran teknikal kejuruteraan mempunyai tahap persepsi visualisasi yang sederhana dan tahap visualisasi yang rendah.

Oleh itu, kajian awal ini dijalankan untuk melihat masalah dalam pembelajaran kursus Pengurusan Ekonomi. Selain itu, Menurut (Johnston et al., 2000; Mashitah 2012) kursus ekonomi ialah kursus yang sukar di kebanyakan universiti. Ia membuatkan pengkaji ingin mendalami permasalahan dalam kursus tersebut.

Metodologi

Kajian awal ini dijalankan di sebuah universiti tempatan Malaysia yang melibatkan pelajar yang mengambil kursus Pengurusan Ekonomi di Fakulti Pengurusan Perniagaan. Kajian ini melibatkan kaedah kuantitatif dan ianya disokong oleh data kualitatif.

Kaedah analisis dokumen dan juga kajian literatur digunakan dalam kajian awal ini. Analisis dokumen dilakukan dengan merujuk kepada rekod data keputusan peperiksaan yang lepas. Data tersebut ditukarkan ke bentuk peratus sebelum di analisis. Manakala, kajian literatur pula dijalankan dengan merujuk kepada sumber jurnal-jurnal yang lepas.

Keputusan

Jadual di bawah menunjukkan jadual keputusan peperiksaan semester pelajar bagi kursus Pengurusan Ekonomi di di sebuah universiti tempatan Malaysia bagi tahun Mei 2006, Jun 2015, December 2015 dan Jun 2016.

Jadual 1: Keputusan Peperiksaan Semester Pelajar