• Tidak ada hasil yang ditemukan

FAKTOR MEMPENGARUHI KESUKARAN PENGUASAAN PELAJAR

PENGAPLIKASIAN SENI ORIGAMI DALAM PEMBELAJARAN LUKISAN KEJURUTERAAN

Mohd Salehudin Marji1* Aede Hatib Musta‘ amal,1 Nor Aisyah Derasid,1 Norzanah Rosmin2

1 Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

2 Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk menguji sejauh mana potensi penggunaan seni Origami dalam pendidikan Lukisan Kejuruteraan. Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini iaitu untuk mengetahui pengetahuan sedia ada pelajar terlibat dalam seni Origami. Selain itu, kajian ini juga dijalankan untuk mengetahui persepsi pelajar terlibat terhadap kepentingan seni Origami serta persepsi mereka terhadap penggunaan seni Origami dalam pembelajaran Lukisan Kejuruteraan. Seramai 30 orang pelajar dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri Johor Bahru mengambil bahagian dalam program yang telah dijalankan oleh penyelidik sekaligus menjadi responden dalam kajian ini. Proses pengumpulan data kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif melalui borang soal selidik yang diedarkan selepas tamat program dijalankan. Hasil daripada kajian yang dijalankan menunjukkan para responden mempunyai pengetahuan sedia ada yang baik dalam seni Origami. Selain itu, para pelajar juga memberikan persepsi yang positif terhadap kepentingan seni Origami serta penggunaan seni ini dalam pembelajaran Lukisan Kejuruteraan.

Kata Kunci: Seni Origami, Lukisan Kejuruteraan, Persepsi Pelajar Pengenalan

PTV adalah salah satu bidang pendidikan yang boleh menjadi pilihan di negara ini selain pendidikan yang berteraskan akademik. PTV merupakan satu sistem pembelajaran yang melatih individu untuk sesuatu pekerjaan tertentu dengan memberikan penekanan terhadap kemahiran dan juga ilmu pengetahuan. Dalam PTV, subjek Lukisan Kejuruteraan merupakan salah satu asas utama yang perlu dikuasai oleh para pelajar bagi memudahkan mereka memahami dan menguasai konsep-konsep dalam teori dan amali pendidikan ini (Muhammad Sukri & Lee Ming Foong, 2007;Lee Gooh

Mo, Mohd Safarin, & Mohd Fazlan, 2012; Marlissa & Dayana Farzeeha, 2013). Untuk menguasai mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan dengan lebih berkesan, seseorang pelajar itu hendaklah memiliki keupayaan visualisasi yang baik. Kebanyakan pelajar sukar untuk mengaplikasikan konsep dan teori dalam menyelesaikan masalah dalam Lukisan Kejuruteraan adalah kerana mereka memiliki tahap keupaaan visualisasi yang lemah. Kenyataan ini disokong oleh (Dayana Farzeeha & Mahani, 2014) yang menyatakan bahawa kebanyakan pelajar mempunyai masalah dalam tajuk-tajuk dalam Lukisan Kejuruteraan yang memerlukan tahap keupayaan visualisasi yang tinggi.

Sungguhpun begitu, beberapa kajian yang telah dijalankan di Malaysia menunjukkan bahawa majoriti pelajar yang menjadi responden mempunyai tahap keupayaan visualisasi yang rendah. Sebagai contoh, kajian yang telah dibuat oleh Muhammad Sukri & Lee Ming Foong (2007) menunjukkan bahawa pelajar tingkatan empat dari sembilan buah Sekolah Menengah Teknik di negeri Johor memiliki tahap visualisasi yang lemah. Dapatan kajian ini juga hampir selari dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Mohd Safarin & Diyana (2010) terhadap 160 orang (75 lelaki dan 55 perempuan) pelajar di sekolah-sekolah menengah harian biasa daerah Johor Bahru. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar mempunyai tahap kemahiran memutar yang sederhana rendah dan tahap kemahiran menggabung yang sederhana tinggi. Melihat pada dapatan-dapatan kajian ini, adalah penting bagi kita untuk mencari kaedah dan langkah yang sesuai bagi meningkatkan tahap keupayaan visualisasi para pelajar. Peningkatan tahap keupayaan visualisasi ini secara tidak langsung akan menyumbang keopada peningkatan dalam pencapaian Lukisan Kejuruteraan mereka.

Salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap keupayaan visualisasi pelajar adalah dengan menggunakan seni Origami (Arici & Aslan-Tutak 2013; Boakes 2006). Origami adalah seni lipatan kertas dalam Bahasa

Jepun di mana perkataan ‗ori‘ bermaksud lipat dan ‗kami‘ bermaksud kertas (Cakmak et al., 2014; Purnell, 2009; Aprilia Dyah, 2013; (Caruana dan Pace, 2007). Menurut Boakes (2006) pula, seni Origami merupakan seni melipat kertas yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai objek berbentuk 2D dan 3D. Seni Origami dilihat sesuai dalm meningkatkan keupayaan visualisasi kerana menurut Huffman (2011), kaedah yang berkesan dalam meningkatkan keupayaan visualisasi adalah dengan menggabungkan kedua-dua elemen Haptic dan Visual dalam kaedah tersebut. Elemen Haptic menuntut para pelajar menyentuh dan merasai sesuau objek untuk mempelajari atau mengetahui sesuatu perkara mengenai objek tersebut manakala Visual pula menuntut para pelajar

untuk memerhati sesuatu objek untuk memahaminya (Huffman 2011; Study 2001). Oleh yang demikian, seni Origami ini dilihat merupakan satu seni yang sesuai digunakan kerana seni ini menggabungkan kedua-dua elemen Haptic dan Visual seperti yang telah dicadangkan oleh Huffman (2011).

Hasil penelitian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang kuat antara Origami dengan keupayaan visualisasi (Arici and Aslan-Tutak 2013; Boakes 2006; Wares 2011). Keupayaan visualisasi pula merupakan salah satu elemen terpenting yang perlu ada pada para pelajar untuk menguasai matapelajaran matematik (Arslan 2016; Boakes 2006; Schmidt 2015) dan Lukisan Kejuruteraan (Dayana Farzeeha & Mahani, 2014; Mohd Fairuz, Jamil, Mohd Bekri, & Mohd Salleh, 2011). Sungguhpun begitu, rata-rata kajian yang melibatkan antara Origami dengan keupayaan visualisasi lebih tertumpu kepada pendidikan matematik tetapi tidak dalam subjek Lukisan kejuruteraan walaupun Widad & Hatta (2001) telah menyatakan bahawa matematik dan Lukisan Kejuruteraan mempunyai hubung kait yang kuat antara satu sama lain. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa terdapat jurang yang jelas tentang penggunaan Origami untuk meningkatkan Keupayaan Visualisasi dalam matapelajaran Lukisan Kejuruteraan. Boakes (2006) pula menyatakan bahawa walupun terdapat potensi yang besar untuk Origami digunakan sebagai alat bantuan dalam pendidikan, masih terdapat kekurangan yang jelas dari segi kajian yang dijalankan tentang keberkesanan penggunaan seni ini dalam meningkatkan tahap keupayaan Visualisasi. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk mengetahui sejauh mana peranan Origami dalam membantu meningkatkan tahap keupayaan visualisasi pelajar dalam subjek Lukisan Kejuruteraan.

Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif melibatkan 30 orang pelajar dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri Johor Bahru. Proses pengumpulan data dijalankan menggunakan borang soal selidik yang diedarkan oleh penyelidik. Sebelum borang soal selidik diedarkan, penyelidik telah menjalankan sebuah program bersama para pelajar tersebut mengenai seni Origami dan Kirigami. Program tersebut dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas seni-seni ini selain memberi kesedaran kepada mereka mengenai kelebihan yang terdapat di dalamnya. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam program tersebut adalah pelajar-pelajar yang telah dipilih sendiri

oleh pihak sekolah. Borang soal selidik yang diedarkan berbentuk skala likert 5 mata dan dianalisis menggunakan statistik deskriptif menggunakan perisian SPSS versi 15.0.

Dapatan Kajian

Dapatan kajian ini dibahagaikan kepada dua bahagian mengikut objektif kajian yang telah dinyatakan. Objektif kajian yang pertama adalah untuk mengetahui pengetahuan sedia ada para pelajar mengenai seni Origami. Jadual 1 menunjukkan nilai min yang diukur dari setiap item dari bahagian A borang soal selidik yang telah diedarkan.