• Tidak ada hasil yang ditemukan

MEMPENGARUHI KESUKARAN TERSEBUT: KAJIAN AWAL Nurkhadijah binti Abdul Kadir, Dayana Farzeeha binti Ali, Nornazira binti Suhairom

Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor

ABSTRAK

Sistem pendidikan abad ke-21 menyaksikan rombakan transformasi pendidikan yang besar dalam usaha mencorakkan setiap pelajar agar dilengkapi dengan pelbagai kemahiran agar mampu bersaing dan menangai cabaran abad ke-21. Antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar adalah kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi serta kemahiran hidup dan kerjaya (PPPM, 2013-2025). Pendidikan Teknik dan Vokasional juga turut memainkan peranan yang penting dalam bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan ini dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang berdaya saing, kreatif dan inovatif. Walaubagaimanapun, gaya pengajaran bersifat statik dan konvensional yang masih menjadi pilihan para pensyarah di Kolej Vokasional sebagai strategi pengajaran mereka telah menjadi antara penghalang kepada kejayaan transformasi ini. Oleh hal yang demikian, satu kajian awal bagi mengenalpasti modul yang sukar dikuasai oleh para pelajar Tahun 1 kursus Teknologi Pembinaan serta faktor-faktor yang mempengaruhi kesukaran tersebut telah dijalankan. Seramai 10 orang pensyarah kursus Teknologi Pembinaan dari seluruh Malaysia telah terlibat sebagai responden dalam kajian kuantitatif ini. Kajian awal ini akan diteruskan dengan langkah mengatasi masalah yang dikenalpasti agar transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Kata kunci: Jenis modul, Faktor kesukaran, Kursus Teknologi Pembinaan. Kolej Vokasional

Pengenalan

Penaiktarafan dan penjenamaan semula sekolah-sekolah vokasional kepada Kolej Vokasional merupakan salah satu transformasi dalam sistem pendidikan negara seiring dengan peredaran dan tuntutan semasa. Transformasi sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) kini menjadi keutamaan di kebanyakan negara

membangun sebagai alternatif untuk mengadaptasi perubahan globalisasi. Selain itu, perubahan pesat pembangunan industri dan teknologi juga turut memberi impak kepada sistem PTV di Malaysia (Jamaliah. 2014). Seiring dengan perkembangan dan kemajuan ekonomi negara dan dianggap sebagai satu proses yang dinamik dan seimbang, kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) secara tidak langsung turut mengalami perubahan. Justeru, transformasi sistem pendidikan memperlihatkan telah berlakunya perubahan yang besar dalam kurikulum bagi melengkapkan pelajar dengan segala kemahiran baru untuk menjadikan pelajar berdaya saing dan mampu untuk menangani cabaran abad ke-21 (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025).

Oleh hal yang demikian, kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif dengan berpandukan kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri bagi mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja dan pasaran semasa. Tambahan pula, menurut Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), rombakan kurikulum ini adalah bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang berkemahiran, berpengetahuan, mampu berfikir secara kreatif dan kritis, berupaya berkomunikasi dengan berkesan di peringkat global dan mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap. Menurut Muhamad Azhar, Mohamad Ibrahim dan Amri (2015), beberapa elemen seperti kemahiran insaniah, kreativiti dan inovasi, kemahiran teknologi dan keusahawanan merupakan elemen yang diterapkan di dalam kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV).

Walaubagaimanapun, rombakan kurikulum ini secara tidak langsung mampu memberi cabaran dan kesukaran kepada pelajar mahupun para pensyarah untuk dikuasai dengan baik. Oleh hal yang demikian, pelbagai pendekatan dan inisiatif perlu difikirkan dan dirancang bagi membantu kedua-dua pihak menjayakan transformasi ini. Menurut Harith (2014), kemahiran abad ke-21 perlu diterapkan dalam diri setiap pensyarah dan pelajar bertujuan untuk memanfaatkan perkembangan teknologi agar Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dijalankan dapat menarik minat pelajar serta membantu melahirkan pelajar yang kreatif serta inovatif. Tambahan pula, kepelbagaian kaedah pengajaran berasaskan teknologi seperti penggunaan web pembelajaran merupakan antara kaedah PdP abad ke-21 yang membawa banyak impak positif dalam bidang pendidikan seperti

memberangsangkan pencapaian pelajar, meningkatkan motivasi pelajar serta turut dapat menyediakan pelbagai kaedah dalam teknik mengajar (Rafiza & Maryam, 2013). Justeru, seiring dengan pelaksanaan Kolej Vokasional yang masuk tahun kelima, satu kajian perlu dilakukan bagi mengenalpasti masalah yang terdapat di Kolej Vokasional terutama dalam perspektif KSKV atau modul yang menjadi tunjang utama kepada perubahan ini. Kajian ini juga adalah bertujuan untuk menambahbaik perubahan yang telah dilakukan agar transformasi pendidikan ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Objektif Kajian

Kajian ini merangkumi objektif-objektif seperti berikut:

1. Mengenalpasti modul yang sukar dikuasai oleh pelajar Tahun 1 Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional.

2. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi kesukaran pelajar Tahun 1 Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional untuk menguasai modul berkenaan.

Persoalan Kajian

Beberapa persoalan kajian dibentuk bagi mencapai setiap objektif kajian. Antara persoalan kajian adalah seperti berikut:

1. Apakah modul yang sukar untuk dikuasai oleh pelajar Tahun 1 Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional?

2. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kesukaran pelajar Tahun 1 Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional untuk menguasai modul berkenaan.

Metodologi Kajian

Kajian ini berbentuk kuantitatif yang melibatkan penggunaan borang soal selidik. Seramai 10 orang pensyarah dari kursus Teknologi Pembinaan di seluruh Malaysia telah dipilih secara rawak untuk dijadikan sebagai responden bagi kajian awal ini. Hasil data deskriptif ini telah dikaji dan diterjemahkan dalam bentuk kekerapan (f) dan peratusan (%).

Dapatan Kajian

Kajian awal telah dijalankan terhadap 10 orang pensyarah kursus Teknologi Pembinaan mengenai modul (bagi pelajar tahun 1) yang sukar untuk dikuasai oleh para

pelajar melalui borang soal selidik. Selain itu, kajian ini adalah bagi mengenalpasti masalah yang sedang dihadapi oleh pelajar mahupun pensyarah dalam proses PdP mereka. Modul bagi pelajar tahun 1 dipilih kerana ianya merupakan modul penting yang perlu dikuasai dengan baik oleh pelajar selain merupakan modul asas kepada modul-modul seterusnya. Rajah 1 menunjukkan modul-modul yang sukar dikuasai oleh pelajar tahun 1. Manakala Rajah 2 pula menunjukkan faktor yang mempengaruhi kesukaran pelajar untuk memahami dan menguasai modul Kerja Bata.

Rajah 1: Pemilihan modul yang sukar dikuasai oleh pelajar Tahun 1