• Tidak ada hasil yang ditemukan

Bentuk Kurikulum KSPK & KSSR

ULASAN KAJIAN LEPAS

2.1 Kajian Kaedah Penguasaan Membaca

2.1.1 Kajian Kaedah Penguasaan Membaca Bahasa Melayu di Malaysia

2.1.1.2 Kajian Merungkai Masalah

Kajian merungkai masalah adalah kajianyang membincang dan menjelaskan masalah-masalah yang membelenggu kanak-kanak dalam penguasaan membaca bahasa Melayu pada peringkat awal.

Tajul Aripin (2008) dalam analisisnya bertajuk Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca di Peringkat Awal Kanak-kanak: Dalam Pembangunan Kanak-kanak: Teori, Isu dan Cabaran telah merungkai permasalahan dalam penguasaan membaca bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak. Tajul Aripin (2008) menyatakan KBHialah kaedah membaca yang berteraskan abjad dan suku kata. Pembacaan secara abjad dan suku kata ini merupakan satu proses kemahiran membaca yang diperkenalkan kepada murid-murid dengan membunyikan abjad-abjad (bukan bunyi fonetik) dan mengaitkan bunyi-bunyi abjad tersebut dengan output bunyi suku kata (bunyi fonetik). Pada umumnya, KBH merupakan kaedah yang paling digemari dan paling banyak diterapkan oleh guru-guru dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Di samping itu, beliau menyatakan guru yang menggunakan kaedah ini tidak perlu membuat perancangan yang teliti. KBH ini tidak memerlukan alat bantu mengajar yang banyak. Bahkan, guru masih dapat mengaplikasikan kaedah ini dengan berkesan hanya menggunakan kapur untuk mengajar murid-murid.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tajul Aripin et.all (2005) yang bertajuk Sistem Bacaan USM (2005) juga menjelaskan bahawa KBH menampakkan beberapa masalah kepada murid-murid untuk memahami dan menguasai kemahiran membaca. Keadaan ini timbul apabila murid-murid sukar mengaitkan bunyi input dengan bunyi output . Ini kerana, bunyi-bunyi huruf yang disebut semasa proses pengejaan (input) tidak sinkronis (tidak ada persamaan bunyi) dengan bunyi output iaitu bunyi fonetik (struktur permukaan). Ketidaksinkronisan ini dapat dilihat dalam penghasilan bunyi perkataan-perkataan bersuku kata terbuka KV, bersuku kata tertutup VK dan KVK iaitu segmen V terdiri daripada vokal [a], [i], [ə], [e] dan [o].

Beliau menjelaskan lagi, kekangan-kekangan tersebut berkait dengan susunan tahap kemahiran membaca, pemilihan kata dan ayat serta kegramatisan ayat. Beliau juga menyarankan agar penyusunan tahap kemahiran membaca perlulah teratur yakni bermula dengan tahap-tahap kemahiran membaca yang mudah dan diakhiri dengan tahap kemahiran membaca yang susah. Tujuannya supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran membaca dengan mudah dan cepat.

Tajul Aripin (2008) menjelaskan bahawa susunan tahap kemahiran membaca murid dalam bahasa Melayu harus dimulai dengan kemahiran membaca suku kata terbuka (KV) diikuti oleh suku kata tertutup (KVK). Ini kerana, kemahiran membaca suku kata terbuka (KV) adalah lebih mudah dipelajari dan dikuasai oleh murid-murid berbanding kemahiran membaca suku kata tertutup (KVK). Beliau menjelaskan lagi, adalah tidak wajar sekiranya, penulis memulakan pelajaran membaca dengan memperkenalkan perkataan-perkataan bersuku kata tertutup. Tajul Aripin (2008) menyarankan agar setiap pelajaran membaca dimulakan dengan perkataan-perkataan bersuku kata terbuka seperti ubi, umi, ada, abu, ibu, itu, ini dan lain-lain. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa (Maslina, 2002a) dan (Zamhuri, 2005a) memulakan pelajaran membaca dengan memperkenalkan perkataan-perkataan bersuku kata tertutup seperti gam, pam, bas, van, hos, ayam, itik, enam, ekor dan otak.

Tajul Aripin (2008) juga mendapati bahawa kemahiran-kemahiran huruf yang diperkenalkan kepada murid-murid seharusnya memikirkan tahap kemampuan penerimaan murid-murid. Sebagai contoh, dalam pelajaran pertama, murid-murid diperkenalkan dengan kemahiran kyang digabungkan dengan vokal-vokal iaitu ka, ki, ku, ke dan ko. Tetapi dalam pelajaran yang sama, penulis turut memuatkan kemahiran huruf lain yang tidak ada dalam pengalaman murid-murid seperti kemahiran huruf r,m,t dan sebagainya yang mana huruf-huruf ini akan diperkenal kepada murid-murid dalam pelajaran-pelajaran membaca berikutnya.

Dalam hal ini, Tajul Aripin (2008) menjelaskan lagi bahawa Maslina (2002a: 5) telah memperkenalkan huruf k pada peringkat awal pelajaran membaca tetapi dalam pelajaran yang sama dan memasukkan kemahiran-kemahiran huruf yang akan diperkenalkan dalam pelajaran membaca di muka surat yang berikutnya yakni kemahiran-kemahiran huruf t,r,p,d,y,l dan n seperti dalam perkataan kutu, kata, kiri, ada, kopi,tepi,kayu,bulu, dan kena. Tajul Aripin (2008) menjelaskan keadaan tersebut sudah pasti menyukarkan murid-murid untuk mengenal dan menguasai kemahiran utama iaitu kemahiran huruf k yang ingin diperkenal kepada murid-murid. Ini kerana dalam masa yang sama mereka terpaksa juga mengenal dan menguasai kemahiran yang lain yang terdapat dalam pelajaran membaca tersebut.

Bagi pemilihan kata dan ayat pula, Tajul Aripin (2008) mendapati bahawa kebanyakan kata dan ayat yang terdapat dalam teks bacaan di peringkat awal kanak-kanak adalah menepati usia dan pengalaman murid-murid. Namun begitu, ada beberapa contoh perkataan dan ayat yang kurang menepati dan kurang sesuai dengan peringkat usia serta pengalaman murid-murid di peringkat awal kanak-kanak. Beliau menjelaskan, jika perkataan-perkataan yang disenaraikan itu tidak ada dalam pengalaman murid-murid, proses penguasaan kemahiran membaca dan pemahaman murid-murid akan terganggu.

Contohnya perkataan jata, fasa, qada, visa, vena, vila seperti yang dijelaskan oleh (Maslina, 2002a) dan perkataan talu, sadi, saki, kanta, kabin, lasam, kusam, syuruk, khilaf oleh ( Noor‟ Aina: 2005d-h) dalam Tajul Aripin (2008).

Analisis Tajul Aripin (2008) juga mendapati bahawa semua teks yang dikaji tidak menitikberatkan kegramatisan ayat. Kegramatisan yang dimaksudkan oleh beliau dinilai berdasarkan nahu Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Beliau mendapati bahawa hampir setiap muka surat teks bacaan atau buku panduan membaca yang dikaji terdapat ayat-ayat yang tidak gramatis. Kesalahan tersebut kebanyakannya melibatkan pembinaan ayat-ayat aktif dan penggunaan imbuhan. Kesalahan ayat-ayat tersebut berlaku sama ada penulis itu sendiri tidak menguasai nahu bahasa Melayu atau penulis sendiri mencari jalan mudah dan mengabaikan aspek nahu kerana memikirkan bahawa kegramatisan ayat bahasa Melayu itu tidak penting untuk peringkat awal kanak-kanak ini menguasai kemahiran membaca.

Bagi kata pinjaman pula, Tajul Aripin (2008) mendapati bahawa kebanyakan penulis memperkenalkan kata-kata pinjaman dalam penulisan mereka. Beliau berpendapat bahawa, penggunaan kata pinjaman yang banyak dalam kalangan masyarakat pada masa kini amat berleluasa. Hal tersebut merupakan amalan yang sihat dari aspek perkembangan dan pembangunan bahasa Melayu. Namun begitu, dalam hal pengajaran membaca untuk peringkat awal kanak-kanak, penggunaan kata pinjaman perlulah dihadkan kepada kesesuaian usia dan pengalaman murid-murid. Jika tidak, pelajaran kemahiran membaca yang diperkenal kepada murid-murid pada hari itu menjadi sia-sia.

Malah, hal tersebut juga menimbulkan masalah kepada guru-guru untuk menerangkan makna perkataan-perkataan tersebut kepada murid-murid mereka. Kebanyakan kata-kata tersebut mengandungi konsonan pinjaman seperti /sy/, /gh/, /kh/,/q/, /v/ dan /x/.

Beliau menjelaskan lagi bahawa masalah tidak mengikut tahap-tahap kemahiran membaca ini dapat dilihat dalam buku-buku teks atau buku-buku panduan murid di sekolah. Kebiasaannya, buku-buku tersebut diguna pakai oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah. Begitu juga dengan buku-buku yang terdapat di pasaran. Kebanyakan buku ini lebih cenderung memperkenalkan suku kata tertutup sesuatu perkataan pada muka surat pertama lagi. Contohnya perkataan ayam, ikan, itik, udang, otak dan sebagainya (lihat Tajul Aripin 2007). Beliau menjelaskan lagi, penulis buku tersebut bertujuan untuk memperkenalkan bunyi-bunyi vokal /a/, /i/, /u/, /e/ dan /o/. Namun begitu adalah tidak wajar memperkenalkan murid-murid dengan kemahiran membaca yang sukar di peringkat awal atau dalam muka surat pertama lagi.