• Tidak ada hasil yang ditemukan

38 Karangan Cemerlang Tahun 2009

Dalam dokumen Modul Bm SPM (Halaman 38-41)

Tema : Anak-Anak Menjadi Insan Berguna (Soalan 1) Tugasan : Usaha-Usaha Oleh Ibu Bapa

Dalam menempuh era globalisasi yang semakin pesat membangun dari hari ke hari, setiap individu pada hari ini berlumba- lumba mengejar matlamat dan cita-cita yang diimpikan selama ini.Begitu juga halnya dengan ibu bapa. Kini, ibu bapa tidak lagi seperti generasi ibu bapa beberapa dekad lalu. Mereka lebih optimis serta berpandangan luas terhadap setiap perkara dalam kehidupan seharian mereka terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan darah daging mereka. Dengan itu, tidak hairanlah ibu bapa kini bertungkus-lmus menyediakan pelbagai kelengkapan untuk keselesaan anak-anak mereka. Hal ini tidak lain hanyalah untuk menjadikan anak-anak mereka ini sebagai insan yang berguna bukan sahaja kepada keluarga malah kepada masyarakat , agama dan negara Malaysia tercinta.

Anak-anak dapat diibratkan seperti sehelai kain putih yang bersih.Ibu bapalah yang bakal mencorakkan kain tersebut sama ada kain itu cantik dipandang atau hanya menyerabutkan pandangan bergantung pada sejauh mana keberkesanan peranan yang dimainkan oleh ibu bapa . Dalam usaha menjadikan anak-anak ini sebagai insan yang berguna, ibu bapa perlulah membuka mata bahawa merekalah yang akan menjadi “role model” yang akan dijadikan idola atau inspirasi oleh anak-anak. Hal ini disebabkan anak-anak akan sentiasa memerhatikan gerak geri dan perlakuan orang tuanya terutama ketika berada di rumah. Oleh itu, ibu bapa perlulah bijak dalam memainkan peranan mereka dengan menunjukkan tingkah laku yang sopan dan bertatatertib . Papatah Melayu ada mengatakan bahawa , ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.Dengan ini, tidak hairanlah sekiranya perangai yang baik dan berhemah daripada ibu bapa akan diwarisi oleh anak-anak seterusnya generasi yang akan datang.

Selain itu, anak-anak yang cemerlang atau berguna dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mengambil berat akan kepentingan pendidikan agama dan moral untuk anak-anak mereka sedari kecil , bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.Begitu juga keadaannya dengan ibu bapa . Ibu bapa disarankan agar menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas agama dan kelas mengaji al-Quran.Langkah ini merupakan persediaan awal bagi anak-anak membina kekuatan rohani yang mantap agar segala cabaran yang bakal ditempuhi kelak dapat diatasi dengan tenang dan jayanya. Kekuatan rohani yang utuh juga menjadi benteng kepada anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang kian meruncing kini. Ibu bapa mampu berlapang dada kerana risiko anak-anak mereka terlibat ke dalam kancah tidak sihat seperti “Black Metal”, Gothic”, “Mat Rempit” dan “Punk” dapat diatasi.

Bapa borek anak rintik, begitulah pepatah Melayu yang sering diungkapkan pada suatu ketika dahulu dan masih segar dalam ingatan kebanyakan orang Melayu.Secara lumrahnya, tiada seorang pun makhluk ciptaan Tuhan yang dijadikan sempurna serba serbinya.Pepatah Melayu turut mengatakan bahawa bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Pepatah ini jelas membuktikan bahawa setiap manusia pastinya akan melakukan kesilapan tidak kira betapa hebat sekalipun ia pada mata orang lain. Begitu juga halnya yang berlaku kepada anak-anak kita.Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran , anak-anak kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ibu bapa perlu menyedari bahawa mereka juga ialah makhluk yang lemah serta sering melakukan kesilapan dalam kehidupan.Oleh itu, ibu bapa perlulah bijak dalam mengawal emosi apabila mendapat tahu akan kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak .Elakkan daripada terus mengenakan denda yang melampau seperti memukul anggota badannya dengan keras, merotan atau memaki hamun kerana itu bukanlah jalan penyelesaian yang sewajarnya. Ibu bapa dinasihatkan agar menasihati anak-anak dalam suasana yang tenang dan penuh hikmah. Suasana ini perlu agar anak-anak dapat menceritakan masalah

39

sebenar yang dihadapi oleh mereka tanpa perlu berselindung.Secara tidak langsung, anak-anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi.

Di samping itu, ibu bapa digalakkan agar dapat meluangkan masa bersama-sama anak-anak setelah banyak menghabiskan masa bekerja mencari rezek. Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama di rumah adalah seperti memasak, mengecat rumah , membasuh kereta , mengemas rumah , menanam pokok bunga-bungaan yang tidak memerlukan kos yang besar. Secara tidak langsung , tatan silaturahim serta jalinan kasih sayang dapat berkembang mekar dalam jiwa setiap ahli keluarga.Sekiranya terdapat kelapangan waktu yang panjang dan perbelanjaan yang mengizinkan ibu bapa sangat digalakkan untuk membawa anak-anak mereka pergi bersiar-siar , melancong, berekreasi dan mandi-manda yang dapat dijadikan bibit-bibit yang manis dalam memori setiap ahli keluarga terutamanya anak-anak.Tidak mustahil juga, perkara yang sama akan dilakukan oleh anak-anak apabila mereka sudah berkeluarga suatu hari kelak.

Dalam melahirkan anak-anak insan cemerlang dan berguna, ibu bapa perlulah mengambil serius terhadap pencapaian anak-anak bermula dari peringkat paling rendah iaitu di tadika sehinggalah mereka berupaya menjejakkan kaki ke menara gading kelak. Berilah penghargaan kepada mereka dalam bentuk hadiah atau kata-kata perangsang untuk setiap kejayaan yang ditunjukkan oleh mereka walaupun kejayaan yang kecil.Tindakan ini adalah sebagai tanda sokongan yang tidak putus-putus serta harapan agar mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa-masa akan datang.Sebagai contoh, ibu bapa bolehlah menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan , Majlis Hari Graduasi, Majlis Solat Hajat mahupun Majlis Sukan Tahunan anak-anak yang mungkin dianggap remeh tetapi amat bermakna buat mereka.Hal ini secara tidak langsung menyebabkan mereka berasa diberi perhatian dan disayangi.Tegasnya,semangat untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi semakin menyala-nyala dalam diri anak-anak tersebut.

Sebagai konklusi,setiap ibu bapa menginginkan yang terbaik daripada anak-anaknya.Tidak ada seorang pun yang mengharapkan anak-anak menjadi insan yang dibenci dan dipandang hina oleh masyarakat.Oleh itu, anak-anak perlulah sedar akan hakikat pengorbanan ibu bapa yang sangat tinggi nilainya dan mustahil dapat dibayar walaupun deng berguni-guni wang sekalipun. Selain itu, ibu bapa perlulah sedar bahawa dalam usaha menjadikan anak-anak sebagai modal insan yang berguna , doa dan tawakal serta kebergantungan kepada-Nya ialah perkara yang penting dan tidak sekali-kali dianggap enteng.

(875 patah perkataan)

U.

Karangan Cemerlang Tahun 2010 (Soalan 3)

Tema : Menjamin Kesejahteraan Negara ( Perpaduan, Kesyukuran dan Taat Setia Rakyat kepada Raja dan Negara)

Tugasan : Peranan Rakyat

Seorang negarawan pernah berkata ,” Bumi Malaysia ini tertegak atas sumpah keramat, lantainya disimbah peluh dan keringat, tiangnya tertegak atas tulang - temulang dan bumbungnya bersulam kasih dan hormat.” Kedaulatan bumi watan ini pernah dicemari selama empat kurun dan empat puluh enam tahun oleh kolonialis yang rakus mengaut keuntungan daripada hasil bumi ini. Namun, kemerdekaan berjaya juga dicapai di hujung pena atas kebijaksanaan tokoh-tokoh terdahulu. Lirik lagu Negaraku antaranya menyentuh soal perpaduan, kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara. Setelah 53 tahun negara Malaysia memperoleh kemerdekaan, banyak pembangunan dan kemodenan yang telah dicapai yang berpaksikan usaha

40

keras rakyat yang berbilang kaum. Kepelbagaian kaum di Malaysia merangkumi Melayu, Cina, India dan kaum peribumi Sabah dan Sarawak yang melahirkan kepelbagaian bahasa, adat resam dan keturunan. Persoalannya di sini, apakah peranan setiap rakyat Malaysia untuk menjamin kesejahteraan negara?

Pada hemat saya, setiap rakyat haruslah bersatu padu ke arah kesejahteraan negara. Langkah utama untuk memupuk perpaduan adalah melalui amalan saling menghormati sesama sendiri. Kita perlulah menghormati budaya kaum lain kerana hal itu ialah hak mereka. Prinsip ‘yang tua perlu dihormati yang muda harus disayangi’ hendaklah dipegang utuh. Melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Merdeka 1957, semua kaum telah mengikrarkan janji mereka untuk bersatu padu. Walaupun Islam merupakan agama rasmi persekutuan, agama-agama lain bebas dianuti berteraskan prinsip Rukun Negara yang pertama , iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Budaya dan adat resam sesuatu kaum masih boleh diamalkan. Persepakatan tiga kaum utama Tanah Melayu, iaitu Melayu , Cina dan India digabungkan dalam Parti Perikatan yang telah memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya 1956. Perpaduan jugalah menjadi faktor terpenting bagi British menjalankan proses kemerdekaan ke atas Tanah Melayu. Jelaslah di sini, bersatu padu dengan menghormati orang lain mampu menjamin kesejahteraan negara.

Perpaduan juga dapat dipupuk melalui amalan bertegur sapa dan ziarah-menziarahi .Amalan serumpun bagai serai, selubang bagai tebu , iaitu permuafakatan antara anggota masyarakat dapat diperkukuh dan dipererat. Budaya kunjung-mengunjungi tidak dibatasi pada hari perayaan sahaja. Budaya ini perlulah sentiasa diamalkan pada bila-bila masa. Dengan itu, segala masalah dan kedukaan yang dialami seseorang dapat dikurangkan. Amalan bertegur sapa pula hendaklah diamalkan setiap kali bertemu seseorang diiringi dengan senyuman, tanpa mengira warna kulit, darjat mahupun keturunan seseorang. Tiada lagi permusuhan dan pergaduhan. Sejarah Islam pernah mencatatkan Perang al-Busus memakan masa selama empat puluh tahun walaupun puncanya ialah perkara kecil sahaja. Oleh hal demikian, pemupukan perpaduan menerusi amalan bertegur sapa dan ziarah-menziarahi dapat menjamin kesejahteraan negara.

Kesejahteraan negara juga boleh dicapai dengan nilai taat setia kepada negara. Nilai taat setia kepada negara dapat dipupuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dasar Pendidikan Negara yang dirangka mewajibkan pengajaran beberapa subjek yang boleh memupuk nilai taat setia kepada negara. Subjek-subjek tersebut termasuklah subjek Sejarah, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral yang bertujuan menyemai sikap taat setia kepada negara. Dasar kerajaan yang mewajibkan pengajaran subjek Sejarah kepada pelajar darjah satu di seluruh negara ialah langkah yang amat tepat. Beberapa usul juga hangat diperdebatkan di parlimen, antaranya mewajibkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia lulus dalam subjek Sejarah. Langkah bijak kerajaan ini haruslah disambut baik oleh setiap warganegara. Dalam konteks pembinaan negara bangsa pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan merujuk pada sesuatu kawasan , iaitu rakyatnya mempersembahkan taat setia kepada pemerintah. Oleh itu, nilai taat setia rakyat kepada raja dan negara dapat menjamin kesejahteraan negara.

Pada pandangan saya juga, nilai taat setia kepada raja dan negara dapat disemai melalui penyertaan dalam beberapa program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Satu misalan yang baik adalah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) . PLKN diwujudkan untuk melahirkan rakyat yang gagah dan bersatu padu, seterusnya dapat menumpahkan taat setia kepada raja dan negara. Pelbagai aktiviti dimuatkan dalam program ini termasuklah kawad kaki, latihan untuk mempertahankan negara, program khidmat bakti dan

41

macam-macam lagi. Program sebegini dapat melahirkan individu yang sanggup melakukan apa-apa sahaja , termasuklah berkorban nyawa demi negara yang tercinta. Penubuhan Kem Bina Negara yang mempunyai cawangannya di setiap negeri merupakan langkah terbaik yang akan menjadi platform atau medium utama memupuk nilai taat setia rakyat. Langkah yang mewajibkan semua murid menyanyikan lagu Negaraku setiap kali perhimpunan di sekolah dapat menyuburkan nilai taat setia itu lagi. Sehubungan dengan itu, nilai taat setia kepada raja dan negara menerusi beberapa program yang dirangka oleh pihak kerajaan dapat menjamin kesejahteraan negara.

Seperkara lagi, kesejahteraan negara dapat dicapai menerusi nilai kesyukuran. Ketetapan rezeki ialah tugas Tuhan. Namun begitu, satu cara untuk bersyukur dengan rezeki tersebut adalah dengan bersedekah dan berkongsi antara satu sama lain. Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Hatta kita mempunyai hanya sebuku roti sekalipun, jika dikongsi, nikmatnya akan dirasakan lebih lagi. Rezeki yang kita peroleh itu hendaklah digunakan ke arah kebaikan. Suatu kisah pada zaman Rasulullah , terdapat seorang yang miskin di tengah padang pasir. Dia berasa sangat haus dan berusaha mencari setitik air. Mujurlah, dia berjaya menemukan satu lopak yang bertakung air .Terdapat pula seekor anjing di kawasan lopak itu yang juga sedang mencari sesuatu untuk diminum. Orang miskin tadi telah memberikan air tersebut yang diisi di dalam kasutnya kepada anjing itu. Balasannya cukuplah besar. Orang miskin itu telah diberikan ganjaran syurga oleh Allah. Jelaslah di sini bahawa amalan bersedekah dapat melahirkan masyarakat yang bersyukur dan menjamin kesejahteraan negara.

Sebagai ikhtisar, dapat disimpulkan bahawa kesejahteraan negara dapat dicapai melalui pemupukan beberapa nilai seperti perpaduan. Kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga. Kesejahteraan negara mampu mengekalkan kedaulatan negara yang pernah dijajah oleh kolonialis Barat suatu ketika dahulu. George Santayana, seorang sejarawan pernah mengatakan bahawa sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya. Langkah-langkah proaktif dan sistematik haruslah digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Ingatlah bahawa “ Rakyat Tunjang Kesejahteraan Negara.”

( 894 patah perkataan)

Dalam dokumen Modul Bm SPM (Halaman 38-41)