• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Program di IPT Tapak Integrasi Tidak RasmiMIKRO

TAPAK INTEGRASI TIDAK RASMI

3.4 KEDUDUKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Melalui perkara 152 di dalam Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996). Namun demikian, Bahasa selain daripada Bahasa melayu masih dibenarkan untuk digunakan dan diajar. Contohnya, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

Gambar 3.3 Pelbagai Bahasa di Malaysia

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.

Pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Tetapi, penggunaan bahasa Melayu di peringkat mahkamah belum dimartabatkan sepenuhnya.

Sesuatu yang lazim bagi sesebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum akan berhadapan dengan masalah untuk mencapai perpaduan. Ini disebabkan perbezaan latar budaya, bahasa, kepercayaan dan lain-lain yang begitu ketara.

Walau bagaimanapun, menyedari kepentingan perpaduan dalam memastikan pembangunan negara, maka bahasa Melayu difikirkan salah satu medium yang akan dapat mencapai perpaduan tersebut. Namun begitu, sudah tentu terdapat isu, cabaran dan reaksi yang terpaksa dihadapi dan ditangani dalam usaha untuk melaksanakan pengembangan bahasa kebangsaan.

Penerimaan serta penggunaan bahasa Melayu oleh rakyat jelas amat mengecewakan.

Lebih malang lagi, bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam kalangan penutur bahasa Melayu turut tercabar kedudukannya. Sejak belakangan ini, bilangan penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu terus berkurangan. Banyak dalam kalangan mereka lebih suka dan rela menggunakan bahasa Inggeris meskipun kurang fasih dalam bahasa tersebut.

Arus globalisasi yang melanda dunia meninggalkan impak yang cukup besar dengan penyaluran maklumat tanpa batasan ke serata pelosok negara. Impak globalisasi memungkinkan bahasa Inggeris terus berkembang sebagai bahasa yang penting di kebanyakan negara. Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan antarabangsa menjadikan pengaruhnya tersebar luas ke seluruh dunia sehingga tidak ada negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris.

Penerapan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan tidaklah semudah yang dijangka.

Perubahan yang sentiasa berlaku dari masa ke semasa turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pendidik.

Peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau ketiga pula meninggalkan kesan kepada sistem pendidikan di dalam negara. Globalisasi dianggap sebagai pembunuh bahasa ibunda. Dalam keghairahan mengejar teknologi maklumat, penutur bahasa Melayu khususnya semakin menjarakkan diri daripada bahasa ibunda mereka. Hal ini demikian kerana hampir semua maklumat yang diperoleh daripada internet terdapat dalam bahasa Inggeris.

Dianggarkan bahawa 80 peratus daripada laman sesawang yang digunakan terdapat dalam bahasa Inggeris. Jumlah laman sesawang berbahasa Melayu masih kurang sehingga menyebabkan penutur bahasa Melayu terpaksa mencari maklumat dengan menggunakan bahasa Inggeris. Akibatnya, bahasa Melayu dipandang sepi dan bahasa Inggeris terus diagung-agungkan.

Sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris oleh generasi muda pada hari ini pula semakin tidak bersempadan. Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai lingua franca dunia moden pada hari ini terus disanjung dan dimartabatkan sebagai bahasa penting dalam kehidupan harian.

Ada yang menganggap atau menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda hanya kerana mereka dan ibu bapa mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Demikian kuatnya pengaruh bahasa Inggeris menguasai kehidupan generasi muda ini.

Keadaan ini sudah pasti akan menimbulkan kesukaran terhadap usaha mengembangkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi negara ini.

Bahasa kebangsaan akan disaingi hebat oleh bahasa Inggeris yang masih mendapat kedudukan yang tinggi. Ini disebabkan terdapatnya golongan yang tidak berkeyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk menggantikan peranan bahasa Inggeris sehingga menimbulkan kesulitan dalam melaksanakan bahasa kebangsaan.

Oleh itu, langkah untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa ibundanya bahasa Melayu sememangnya penuh ranjau dan berliku. Tugas itu bukan mudah, malah sarat dengan pelbagai cabaran. Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penutur bahasa Melayu memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak yang merangkumi pihak berkuasa, media serta penutur asli bahasa Melayu itu sendiri. Tanpa kesungguhan, kejayaan tidak akan terhasil. Oleh itu, peranan setiap pihak yang terlibat amat ditagih demi kelestarian bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sememangnya berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu di serantau Malaysia.

Sebagai pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi, kita seharusnya mengeksploitasikan bahasa Melayu supaya dapat menarik minat mempelajari bahasa Melayu.

Rakyat Malaysia juga harus mengeksploitasikan bahasa Melayu di laman-laman sesawang supaya dapat dipelajari oleh rakyat di seantero dunia.

Dokumen terkait