• Tidak ada hasil yang ditemukan

Program Latihan Hidmat Negara (PLKN)

Malaysia Wawasan 2020 Transformasi Nasional (TN50)

2.2.17 Program Latihan Hidmat Negara (PLKN)

Dalam arus perkembangan negara yang pesat membangun dan senario dunia tanpa sempadan pada masa kini, golongan belia berdepan dengan pelbagai cabaran lokal dan ancaman global. Malah, apa yang lebih membimbangkan ialah kumpulan belia kini banyak terdedah dengan pelbagai masalah berkaitan dengan gejala sosial dan aktiviti yang tidak bermoral.

Pihak kerajaan yang menyedari hakikat ini telah mengenal pasti keperluan untuk membangunkan potensi golongan belia telah merangka dan melaksanakan pelbagai bentuk polisi dan program dengan matlamat untuk melibatkan golongan belia dalam arus pembangunan negara.

Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilihat sebagai satu mekanisme utama untuk menangani permasalahan dalam kalangan belia, memantapkan jati diri melalui pembinaan sahsiah diri, membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda dan memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan bagi mencapai objektif berikut:

i. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

ii. Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.

iii. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

iv. Menyemarakkan semangat kesukarelaan.

v. Melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

PLKN mula dilaksanakan pada tahun 2004 sebagai sebagai salah satu agenda nasional dalam usaha pembangunan golongan belia yang menjadi teras pembangunan dan tulang belakang masa depan negara. Program ini menyediakan modul latihan selama tiga bulan secara berkhemah dan berasrama di kem-kem PLKN seluruh negara. Ia meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun manakala purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun.

PLKN kemudian ditangguhkan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan untuk penjimatan RM400 juta. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Keenam, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak semasa mengumumkan semakan Belanjawan 2015 pada 20 Januari 2015.

PLKN diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018. Program ini bukan berbentuk Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan ala Malaysia berteraskan tiga modul utama.

Modul Fizikal

Membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual serta fizikal bagi menjadikan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai warganegara yang kuat dan tabah dalam menghadapi situasi yang mencabar.

Modul Kenegaraan

Memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan semangat cintakan negara serta menghayati semangat pengorbanan terhadap negara.

Modul Pembinaan Karakter

Membina karakter yang berkesan yang merangkumi personaliti diri, keluarga, komuniti dan negara.

Modul PLKN

Dalam satu kajian pada tahun 2014 oleh Mohd Mahadee Ismail telah menyimpulkan bahawa, secara keseluruhannya PLKN mempunyai matlamat yang jelas, pelaksanaannya bukan sahaja berupaya mengelakkan golongan belia terlibat dalam kancah masalah sosial tetapi berjaya memupuk semangat kekitaan bersama yang kuat, kerjasama yang tinggi dan pelatih lebih terbuka untuk memahami cara hidup serta budaya kumpulan etnik lain. PLKN dilihat amat bermakna dalam memupuk semangat satu jiwa negara bangsa acuan Malaysia.

Manakala program baharu yang bakal menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) pula akan mengetengahkan aspek kepelbagaian bangsa bagi mengatasi isu perpaduan di negara ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, modul dan pengisian program itu akan menjurus kepada kenegaraan, jati diri dan kerja kesukarelawanan. Program baharu tersebut bermatlamat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dan masih berkonsep serta mengadaptasi disiplin ketenteraan seperti dilaksanakan di dalam PLKN di samping mengutamakan kepelbagaian kaum.

Konsep PLKN

Berteraskan Rukun Negara.

Penyertaan menyeluruh melibatkan lelaki dan wanita dari pelbagai kaum.

Penyertaan wajib, tiada pengecualian melainkan atas sebab-sebab kesihatan yang diperakui oleh doktor atau hospital kerajaan.

Berumur di antara 16 hingga 35 tahun. Pada waktu itu, kerajaan menetapkan penyertaan hanya bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang seusia dengannya.

Jangkamasa program latihan tidak melebihi daripada enam (6) bulan.

Kurikulum dibentuk dengan mengambil kira kepelbagaian kaum.

Melibatkan semua agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Tidak berbentuk kerahan tenaga atau “Military Conscript”.

Kurikulum yang pelbagai disiplin.

Mempunyai imej tersendiri dari segi pakaian seragam, logo dan lagu.

Dilaksanakan di kem latihan secara berterusan selama tidak lebih daripada 90 hari (di dalam PLKN Siri 1/2004 pelatih mengikuti Modul Fizikal di dalam kem dan Modul Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti di Institusi Pengajian Tinggi Awam).

Tidak mengandungi hukuman bersifat penderaan. Hukuman bersifat untuk mengajar.

Menyeronokan, berfaedah dan akan menjadi kenangan sepanjang masa.

Menjadi proses pembelajaran yang menarik minat serta berbentuk experiential.

Mengutamakan semangat muhibbah di dalam semua aktiviti yang dijalankan.

Bilangan pelatih bagi setiap kem ialah antara 300 – 400 orang (di dalam PLKN Siri 1/2004 seramai 680-720 orang pelatih berada di setiap kem).

Semua pelatih tinggal di dalam berek/blok kediaman dan tidak lagi dalam khemah seperti semasa Siri 1/2004. Setiap berek akan didiami oleh 25 orang pelatih.

Diwujudkan Kumpulan Naziran untuk pemantauan. Setiap pasukan naziran di bawah Majlis Latihan Khidmat Negara di peringkat negeri di seluruh negara dipengerusikan oleh seorang anggota Majlis.

Pelatih tidak dibebankan dengan subjek-subjek yang telah dilalui di sekolah.

Mengurangkan kepadatan modul untuk disesuaikan dengan remaja lepasan sekolah.

Arah tuju dan tindakan selanjutnya mengenai Khidmat Negara akan diambil berasaskan kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengutamakan semangat muhibbah dalam semua aktiviti.

Sebagai kesimpulannya, jabatan dan agensi kerajaan sebagai peneraju dalam memelihara keharmonian dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini harus terus komited melaksanakan pelbagai program yang melibatkan anggota komuniti dari pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Pelaksanaan program-program sedemikian akan membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk berinteraksi yang akhirnya akan membawa kepada pembentukan perhubungan manusia yang rapat sehingga akan melahirkan bibit-bibit perpaduan dan rasa kekitaan.

Namun, memandangkan usaha mempromosikan perpaduan adalah tanggungjawab bersama maka adalah menjadi harapan kerajaan agar semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat, aktivis-aktivis negara dan rakyat sendiri memainkan peranan masing-masing sebagai warga negara yang prihatin demi menjaga dan memelihara hubungan baik antara masyarakat di Malaysia.

Dokumen terkait