• Tidak ada hasil yang ditemukan

Malaysia Wawasan 2020 Transformasi Nasional (TN50)

2.2.12 Rancangan Malaysia

Rancangan Malaysia merupakan rancangan lima tahun pembangunan kerajaan Malaysia.

Rancangan lima tahun ini merupakan kesinambungan kesan daripada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Rancangan lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama, iaitu, dari tahun 1956 hingga 1960. Kemudian disambung dengan Rancangan Malaya Kedua dari tahun 1961 hingga 1965. Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, rancangan lima tahun ini telah diubah kepada Rancangan Malaysia (RM) dengan Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966 hingga 1970. Perbezaanya hanya pada perancangan ekonomi sebelum tertubuhnya Malaysia, maka tumpuan pada kali ini dan seterusnya adalah bagi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Rancangan Malaysia Tahun

Rancangan Malaysia Kesebelas 2016 – 2020 Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011 – 2015 Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010 Rancangan Malaysia Kelapan 2001 – 2005 Rancangan Malaysia Ketujuh 1996 – 2000 Rancangan Malaysia Keenam 1990 – 1995 Rancangan Malaysia Kelima 1986 – 1990 Rancangan Malaysia Keempat 1981 – 1985 Rancangan Malaysia Ketiga 1976 – 1980 Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975 Rancangan Malaysia Pertama 1966 – 1970

Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971 - 1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991 - 2000 teah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan.

DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi. DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara.

DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek – aspek kritikal seperti berikut:

i. Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama.

ii. Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan.

iii. Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

iv. Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar.

v. Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.

vi. Memajukan sumber manusia termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat.

vii. Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden.

viii. Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

2.2.13 Wawasan 2020

“Menjadi negara maju mengikut acuan sendiri”.

Wawasan 2020 adalah cita-cita negara Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pembentangan Rancangan Malaysia Keenam pada 28 Februari 1991. Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentangkan satu kertas kerja The Way Forward - Vision. Kertas kerja tersebut yang kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020 dikatakan hala tuju kerajaan dalam memacu pembangunan negara selama 30 tahun (1991-2020) selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru (1971-1990).

Terdapat beberapa pandangan tentang arah masa depan negara Malaysia dan bagaimana rakyat patut berusaha mencapai matlamat membangunkan Malaysia menjadi negara Perindustrian. Turut digariskan beberapa langkah yang patut diambil dalam jangka pendek supaya asas bagi perjalanan jauh untuk mencapai matlamat utama itu dapat dicapai. Malaysia tidak harus dibangunkan dalam bidang ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara yang maju sepenuhnya dalam semua bidang termasuk kestabilan politik, keadilan sosial dan nilai sosial, kerohanian, mutu hidup dan maruah bangsa serta perpaduan nasional.

Kerajaan berharap rakyat Malaysia yang dilahirkan hari ini dan pada tahun-tahun akan datang akan menjadi generasi terakhir warganegara yang tinggal di negara yang digelar

‘membangun’. Matlamat utama yang dituju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Justeru, apakah sebenarnya maksud “negara maju sepenuhnya?”.

Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara industri yang maju, makmur dan bersatu padu. Di samping itu, wawasan ini juga mahu melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang yakin pada diri sendiri. Mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Hidup dalam masyarakat demokratik, liberal dan bertolak ansur. Penyayang, adil dan saksama dari segi pengagihan ekonomi. Progresif dan makmur serta mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang mampu bersaing, berdaya maju dan dinamik.

9 CABARAN WAWASAN 2020

Negara yang bersatu Rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum harus memiliki matlamat yang serupa agar melahirkan bangsa Malaysia.

Masyarakat berjiwa bebas

Masyarakat yang berkeyakinan terhadap dirinya serta gagah menghadapi pelbagai masalah

Masyarakat Demokratif

Masyarakat yang mengamalkan persefahaman demokrasi yang matang dan boleh dicontohi negara membangun.

Masyarakat bermoral dan beretika

Masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi serta memiliki nilai agama yang kukuh.

Masyarakat liberal Masyarakat yang bertolak ansur dalam pengalaman adat resam dan kebudayaan kaum masing-masing.

Masyarakat progresif dan saintifik

Masyarakat yang boleh menyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

Masyarakat penyayang

Mengutamakan kepentingan masyarakat dan kebajikan insan yang bermula dari sistem kekeluargaan yang kukuh.

Masyarakat yang adil dalam bidang

ekonomi

Masyarakat melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil agar wujud perkongsian dalam bidang ekonomi.

Masyarakat makmur Masyarakat yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik dan kental.

Kerajaan berusaha memotivasikan rakyat agar dapat bersaing dengan negara-negara asing.

Mengadakan program-program mengubah sikap bumiputera agar bersikap kritis dan berpemikiran lateral.

Bidang vokasional dan teknik diusahakan untuk merealisasikan Wawasan 2020.

Menggalakkan perkembangan penyelidikan dan pembangunan agar teknologi tempatan diusahakan dan kurang mengimpot teknologi luar. Di samping itu, tidak lupa menekankan pendidikan Islam dan Moral dalam pendidikan untuk membentuk masyarakat yang memiliki nilai-nilai murni.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual radio, Kool fm pada 6 Januari 2020, walaupun Wawasan 2020 tidak mencapai sepenuhnya apa yang dirancang namun Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dan perubahan berbanding ketika wawasan itu dilancarkan pada 1991.

“Walaupun kita tidak capai sepenuhnya tetapi sedikit sebanyak kita telah capai Wawasan 2020. Kalau dibandingkan Malaysia hari ini...2020 dan Malaysia di waktu kita melancarkan wawasan ini pada 1991, kita akan lihat perbezaannya.

“Rakyat lebih makmur, negara lebih makmur dan pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara, infrastruktur yang lebih baik. Hakikatnya adalah banyak daripada Wawasan 2020 ini telah pun dicapai,”.

– Tun Dr. Mahathir Mohamad Apa yang berlaku, Malaysia belum sampai ke tahap yang boleh dikatakan sebagai negara maju kerana terdapat bidang-bidang tertentu yang masih ketinggalan. Inilah yang menyebabkan Malaysia tidak mencapai Wawasan 2020. Jika diimbas kembali, Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, dengan mengatasi sembilan cabaran iaitu negara yang bersatu, masyarakat berjiwa bebas, masyarakat demokratik, masyarakat bermoral dan beretika, masyarakat liberal, masyarakat progresif dan saintifik, masyarakat penyayang, masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi serta masyarakat makmur.

Dengan kata lain, Wawasan 2020 bermatlamat mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan mampan.

Dokumen terkait