• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 2: PELETAKAN TAʻLĪQ DI DALAM AKAD MENURUT ILMU FIQH

2.3 Kepelbagaian Ijtihad Berkenaan Kebebasan Meletakkan Syarat

2.3.3 Mazhab Mālikī

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Rushd di dalam Bidāyat al-Mujtahid dalam bab jual-beli, syarat-syarat menurut mazhab Mālikī boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu; pertama: syarat yang batal dan terbatal bersamanya akad jual beli; kedua: syarat yang sah dan akad jual beli juga sah; ketiga: syarat yang batal namun akad jual-beli kekal sah. Tambahnya, terdapat juga syarat yang dianggap sebagai jenis yang keempat di dalam mazhab iaitu syarat yang mana jika individu yang meletakkannya kekal berpegang dengan syarat yang diletakkan, akad jual-beli akan terbatal, namun jika dia memilih untuk membatalkan atau menggugurkan syarat tersebut, akad akan menjadi sah.108

Menurut Ibn Rushd lagi, adalah sukar untuk memberikan secara tepat piawaian bagi menentukan perbezaan di antara kesemua jenis syarat di atas. Namun secara dasarnya, perkara asas yang menjelaskan perbezaan ini ialah; setakat mana sesuatu syarat yang diletakkan mengandungi makna riba dan gharar yang merupakan dua elemen utama yang merosakkan akad, atau sejauh mana syarat itu menyebabkan wujudnya makna pengurangan hak milik? Sehubungan itu, jika sesuatu syarat yang diletakkan di dalam sesebuah akad menyebabkan wujudnya unsur atau unsur-unsur di atas dalam jumlah yang dianggap besar atau berat, maka akad terbatal bersama syarat yang diletakkan. Sebaliknya, jika syarat yang diletakkan hanya menyebabkan wujudnya unsur-unsur di atas dalam jumlah yang kecil dan ringan, maka syarat itu sah bersama akad yang dibuat. Manakala, jika syarat yang diletakkan menyebabkan wujudnya

unsur-      

108 Abū Walīd Muḥammad bin Aḥmad bin Muḥammad bin Aḥmad bin Rushd Qurṭubī, Bidāyat

al-Mujtahid wa Nihāyat al-Muqtaṣid, ed. ʻAbd Allāh al-ʻAbbādī (Al-Ghūriyyah: Dār al-Salām,

unsur di atas dalam jumlah yang dikira sebagai sederhana, maka menurut mazhab, hanya syarat yang terbatal, namun akad kekal sah.109

Berdasarkan prinsip ini, fuqaha Mālikī telah menyebut bahawa setiap syarat yang bercanggah dengan muqtaḍā akad jual-beli dan menyebabkan kecacatan ke atas syarat-syarat yang diwajibkan bagi akad jual-beli yang sah, adalah syarat-syarat yang batal dan akad yang dibuat wajib dibatalkan atau dileraikan.110 Misalnya syarat yang menyebabkan gharar dan jahālah dalam akad jual-beli atau menyebabkan wujudnya makna riba seperti meletakkan syarat khiyār atau penangguhan melunaskan bayaran hingga suatu tempoh masa yang tidak diketahui.111 Apa yang jelas, peletakan syarat-syarat ini menyebabkan hadirnya elemen gharar atau riba dalam kuantiti yang besar dan jelas di dalam akad. justeru fuqaha Mālikiyyah menghukumnya sebagai syarat dan akad yang batal.

Selain itu, fuqaha Mālikī juga menyebut bahawa syarat yang diletakkan di dalam akad jual-beli yang membawa makna pengurangan hak milik dan menyekat pembeli dari menguruskan harta yang dibeli mengikut kehendaknya, seperti syarat supaya pembeli tidak menjual, menghibahkan, atau tidak membawa harta yang dibeli ke luar negara dan sebagainya, dianggap syarat yang batal dan membatalkan akad. Berbeza dengan mazhab-mazhab lain di atas, fuqaha Māliki menyebut bahawa syarat-syarat seperti ini jika individu yang meletakkannya memilih untuk menggugurkan syarat yang dibuat, maka akad akan kembali sah.112

      

109 Ibid.

110 Muḥammad bin Muḥammad bin ʻAbd al-Raḥmān bin Ḥusayn, Al-Ḥaṭṭāb al-Ruʻaynī, Taḥrīr al-Kalām

fī Masā’il al-Iltizām, ed. Al-Sayyid Yūsuf Aḥmad (Beirut: Books-Publisher, 1432H/2011M), 425-426.

111 Lihat Abū ʻAbd Allāh Muḥammad bin ʻAlī bin ʻUmar al-Tamīmī al-Māzirī, Sharḥ al-Talqīn, ed. Muḥammad al-Mukhtār al-Salāmī (Tūnis: Dār al-Gharb al-Islāmī, 2008M), 2:458.

112 Lihat Abū al-Qāsim Muḥammad bin Aḥmad bin Juzay, Al-Qawānīn al-Fiqhiyyah fī Talkhīṣ Madhhab

al-Mālikiyyah, ed. Muḥammad bin Sayyidī Muḥammad Mawlāy (t.tp.: t.p., t.t.), 409, dan Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 432-433, dan Al-Qāḍī Abū al-Faḍl ʻAyyāḍ bin Mūsā bin ʻAyyāḍ, Al-Tanbīhāt Mustanbaṭah ʻalā Kutub Mudawwanah wa Mukhtaliṭah, ed. Aḥmad bin ʻAbd

Walaupun kewujudan makna sekatan atau pengurangan hak milik ini merupakan prinsip am yang menyebabkan batalnya akad dan syarat di dalam mazhab ini, namun di dalam masalah seseorang menjual hamba miliknya dengan syarat pembeli segera membebaskan hamba tersebut, fuqaha Mālikī menyebut bahawa syarat ini sah dan ia adalah antara contoh pengecualian dari prinsip am ini.113 Pengecualian ini menurut al-Māzirī disebabkan pembebasan hamba merupakan salah satu bentuk kebajikan atau kebaikan malahan ianya tergolong daripada perkara-perkara yang amat ditekankan dalam agama.114 Tambahan pula, syarat pembebasan secara segera ini hanya mengandungi gharar dalam jumlah yang kecil berbanding jika ia disyaratkan secara bertangguh yang mana menurut mazhab syarat ini batal kerana gharar di dalamnya dianggap besar.115

Berdasarkan masalah ini dapat difahami bahawa fuqaha Mālikī mengharuskan syarat-syarat yang mengandungi makna kebajikan walaupun ia bercanggah dengan muqtaḍā asal akad. Buktinya, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Rushd bahawa jika syarat yang diletakkan tidak mengandungi makna kebajikan seperti: pembeli tidak menjual barang yang dibeli atau seumpamanya, syarat ini tidak harus dalam mazhab Mālikī.116

Sebahagian fuqaha Mālikī juga menyebut tentang syarat yang batal namun ia dianggap ringan, seperti syarat yang diletakkan oleh penjual ke atas pembeli supaya melunaskan harga dalam masa tiga hari dan jika gagal, tiada jual-beli antara mereka. Di dalam masalah ini menurut mazhab, hanya syarat yang terbatal dan gugur namun akad

      

113 Abū Ḥasan ʻAlī bin Saʻīd Rajrājī, Manāhij Taḥṣīl wa Natā’ij Laṭā’if Ta’wīl fī Sharḥ

al-Mudawwanah wa Ḥall Mushkilātihā, ed. Abū al-Faḍl al-Dimyāṭī Aḥmad bin ʻAlī (Beirut: Dār Ibn Ḥazm,

1427H/2007M), 6:325, dan Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 435.

114 Al-Māzirī, Sharḥ al-Talqīn, 2:482.

115 Ibn Rushd, Bidāyat al-Mujtahid, 3:1641, dan Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 443-444.

yang dibuat kekal sah.117 Mungkin inilah antara masalah yang dimaksudkan oleh Ibn Rushd sebagai syarat yang jika diletakkan menyebabkan wujudnya unsur-unsur yang merosakkan akad dalam jumlah yang dikira sebagai sederhana sebagai yang dijelaskan pada perenggan di atas.

Kesimpulan yang boleh dibuat, sebagaimana mazhab Shāfiʻī dan Ḥanafī di atas, mazhab Mālikī juga sependapat bahawa syarat-syarat yang menjadi sebahagian dari muqtaḍā sesuatu akad, atau tidak menafikan dan bercanggah dengan muqtaḍānya walaupun tidak menjadi sebahagian darinya kerana sifatnya yang tidak membawa kepada gharar atau menyebabkan pelanggaran syarat-syarat yang diwajibkan bagi sesuatu akad yang sah adalah syarat yang sah. Begitu juga syarat-syarat yang membawa maslahat kepada akad seperti syarat khiyar atau rahn di dalam mazhab Mālikī dianggap sebagai syarat yang sah dan wajib dipenuhi.118

Namun, berbeza daripada mazhab Shāfiʻī dan Ḥanafī, mazhab Mālikī lebih ringan dan terbuka dalam mengharuskan beberapa syarat yang dianggap batal oleh mazhab-mazhab ini. Di dalam masalah khiyār contohnya, fuqaha Mālikī tidak mengehadkan tempoh khiyār kepada tiga hari, malah mengharuskan peletakan syarat khiyār melebihi tempoh ini dan menjadikan ʻurf sebagai rujukan penentu bagi tempoh khiyār yang sah.119

Perbahasan tentang syarat seperti mana di atas pada hakikatnya disebut oleh fuqaha Māliki di dalam bab jual-beli yang mewakili akad muʻāwaḍāt, dan harus diingat bahawa perbahasan ini tidak semestinya merangkumi akad tabarruʻāt. Sekadar rujukan

      

117 Al-Qāḍī ʻAyyāḍ, Al-Tanbīhāt al-Mustanbaṭah, 3:1580, dan Ibn Juzay, Al-Qawānīn al-Fiqhiyyah, 409, dan Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 457.

118 Lihat Al-Māzirī, Sharḥ al-Talqīn, 2:478-479, dan Al-Qāḍī ʻAyyāḍ, Al-Tanbīhāt al-Mustanbaṭah, 3:1579, dan Jalāl al-Dīn ʻAbd Allāh bin Najm bin Shās, ʻIqd al-Jawāhir al-Thamīnah fī Madhhab ʻĀlam

al-Madīnah, ed. Muḥammad Abū al-Ajfān dan ʻAbd al-Ḥafīẓ Manṣūr (t.tp.: Dār al-Gharb al-Islāmī,

1415H/1995M), 2:424, dan Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 417.

119 Lihat Al-Qāḍī Abū Muḥammad ʻAbd al-Wahhāb al-Baghdādī, Al-Talqīn fī Fiqh al-Mālikī, ed. Muḥammad Thālith Saʻīd al-Ghānī (Riyadh: Maktabat Muṣṭafā al-Bāz, t.t.), 2:364.

dan pembacaan terhad yang dilakukan, penulis tidak menemui perbincangan secara jelas tentang jenis-jenis dan hukum bagi syarat di dalam akad tabarruʻāt oleh fuqaha Māliki, melainkan apa yang difahami melalui perbahasan tentang prinsip iltizām (iltizam) atau membuat komitmen yang dibawa oleh Al-Ḥaṭṭāb di dalam kitabnya Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām bahawa mazhab Mālikī lebih ringan dalam menghukum ke atas syarat-syarat di dalam akad tabarruʻāt.

Al-Ḥaṭṭāb menyebut bahawa iltizām dikenali di dalam istilah fuqaha sebagai kewajipan yang berbentuk makruf atau kebajikan yang diwajibkan oleh seseorang ke atas dirinya yang juga membawa makna pemberian (ʻaṭiyyah). Iltizām boleh berlaku sama ada secara mutlak (tanpa syarat atau taʻlīq), seperti seseorang membuat iltizām untuk mengeluarkan nafkah untuk seseorang selama tempoh tertentu atau sehingga pulangnya Zayd,120 atau digantungkan dengan sesuatu (bertaʻlīq), seperti seorang suami memberitahu isterinya; “Jika kamu melahirkan anak lelaki, maka saya akan memberikan untuk kamu sekian-sekian121.122 Berdasarkan definisi ini, menurut Al-Ḥaṭṭāb lagi, elemen gharar tidak menyebabkan rosaknya sesuatu iltizām kecuali bentuk-bentuk iltizām yang termasuk dalam bab muʻāwaḍāt.123 Begitu juga jahālah, ia tidak merosakkan iltizām kerana iltizām menyerupai hibah, dan hibah sesuatu yang majhūl (tidak diketahui) adalah sah.124

Dari perbincangan ringkas ini, dapat difahami bahawa di dalam mazhab Mālikī, kewujudan elemen gharar menjadi piawaian yang menentukan rosaknya sesuatu syarat yang disertakan di dalam akad-akad yang tergolong dalam kategori muʻāwaḍāt, namun di dalam akad tabarruʻāt, kehadiran elemen ini melalui peletakan syarat adalah

      

120 Al-Ḥaṭṭāb, Taḥrīr al-Kalām fī Masā’il al-Iltizām, 24.

121 Ibid., 195.

122 Ibid., 16.

123 Ibid., 17-18.

dimaafkan. Berkenaan elemen riba pula, diketahui bahawa riba hanya hadir dalam muʻāwaḍāt dan bukannya tabarruʻāt, justeru syarat-syarat di dalam akad tabarruʻāt tidak tertakluk kepada hukum riba.

Berdasarkan kenyataan umum dari Al-Ḥaṭṭāb juga, dapat difahami bahawa di dalam mazhab Māliki, taʻlīq akad tabarruʻāt dan tamlīkāt dengan syarat-syarat tertentu adalah dibolehkan, berbeza dengan Mazhab Ḥanafī yang mengganggapnya sebagai syarat batal di mana syarat tersebut diabaikan, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.