• Tidak ada hasil yang ditemukan

TINJAUAN TEORITIS DAN KAJIAN LEPAS

3.2 Pembangunan dan Pertumbuhan Ekonomi

Beberapa dekad yang lalu, para pakar ekonomi mentakrifkan pembangunan dalam pengertian yang sempit, iaitu keupayaan ekonomi menghasilkan dan mengekalkan pertumbuhan tahunan bagi keluaran negara kasar (KNK) pada kadar lima hingga tujuh peratus (Todaro,1981 dalam Nik Hasyim Nik Mustapha, 1996). Pengertian pembangunan pada masa lalu juga dikaitkan dengan perubahan struktur dan komposisi pembahagian pengeluaran dan guna tenaga antara sektor. Dalam keadaan ini, pembangunan sering dikaitkan dengan pertumbuhan perindustrian bandar. Ciri-ciri

pembangunan ialah kadar pertumbuhan pengeluaran dan guna tenaga dalam sektor pertanian menurun manakala pengeluaran guna tenaga dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berlaku peningkatan.

Pembangunan merupakan suatu proses yang berkesinambungan untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik atau menghindari keadaan tertentu yang buruk. Sebagai proses yang berterusan, pembangunan merupakan satu keupayaan untuk memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan kemampuan generasi yang akan datang. Oleh itu Todaro dalam Arsyad (1999) menyatakan bahawa kejayaan pembangunan ekonomi berdasarkan oleh tiga nilai asas. (1) Perkembangan kemampuan masyarakat untuk memenuhi keperluan asasnya. (2) Peningkatan rasa harga diri (self-esteem) masyarakat sebagai manusia. (3) Peningkatan kemampuan masyarakat untuk memilih (freedom

from servitude) yang merupakan salah satu dari hak asasi manusia. Todaro (1977)

mendefinisikan pembangunan sebagai suatu proses pelbagai dimensi yang melibatkan pembentukan dan penyesuaian semula keseluruhan sistem ekonomi dan sosial. Selain daripada perbaikan dalam pendapatan dan pengeluaran, pembangunan juga melibatkan perubahan yang radikal dalam struktur institusi, sosial, pentadbiran, sikap, adat dan kepercayaan.

Seers (1979) berpendapat bahawa pembangunan boleh ditunjukkan dengan terhapusnya kemiskinan, kurangnya jumlah pengangguran serta rapatnya jurang ketidaksamaan. Kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan. Kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan ini biasanya merupakan ciri-ciri negara-negara dunia ketiga. Beliau berpendapat bahawa pembangunan bermaksud pengurangan pergantungan budaya kepada satu atau lebih kuasa besar.

Untuk memberikan pengertian tentang konsep pembangunan dengan lebih bermakna, kebanyakan pakar ekonomi pembangunan bersetuju dengan Goulet (1971) bahawa terdapat tiga unsur penting dalam pembangunan, iaitu pergantungan hidup,

penghormatan diri dan kebebasan. Pergantungan hidup merupakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, keselamatan dan pendidikan minimum yang secara tidak langsung ada kaitan dengan masalah pembasmian kemiskinan.

Penghormatan diri, identiti atau harga diri merupakan perlepasan daripada pergantungan negara kepada negara lain, sektor kepada sektor lain atau individu kepada individu lain. Konsep ini sebenarnya menggambarkan keadaan pergantungan ekonomi dan politik negara dunia ketiga kepada negara maju sehingga menyebabkan kegiatan perdagangan antara negara tersebut tidak setara, dalam erti kata lain ia lebih menguntungkan negara maju. Dalam pertanian keadaan seumpama ini wujud apabila petani sebagai pengeluar utama tidak mempunyai kuasa ekonomi dalam menentukan harga keluarannya disebabkan oleh ikatan sosial atau ekonomi.

Akhir sekali, kebebasan adalah diperlukan seagai syarat kepada pembangunan. Kebebasan yang dimaksudkan bukanlah berarti kebebasan politik, tetapi kebebasan ekonomi. Kebebasan ekonomi membolehkan seseorang memperluaskan set pilihan pengeluaran dan penggunaannya, misalnya seorang petani miskin yang bekerja sebagai penyewa tanah yang kecil tertumpu kepada pilihan tanaman yang sedikit pula, dan terpaksa membahagikan hasil keluarannya sehingga menyebabkan keperluan untuk memenuhi keperluan asasnya terhalang.

Rodan (1966) mengemukakan teori pembangunan seimbang yang sering disebut sebagai teori dorongan besar-besaran (big push theory). Mereka berpendapat bahawa untuk menciptakan program pembangunan terutama di Eropah Timur dan Tenggara perlu melakukan industrialisasi secara besar-besaran. Dengan Melakukan industrialisasi terutama di daerah yang kurang berkembang merupakan cara yang tepat untuk menciptakan pembahagian pendapatan yang lebih sekata di dunia, manakala untuk meningkatkan pendapatan di daerah yang kurang berkembang, maka sektor industri

harus diwujudkan. Dengan pembangunan industri secara besar-besaran akan melahirkan tiga eksternaliti ekonomi. Iaitu: (1) Yang diakibatkan oleh perluasan pasaran; (2) Kerana industri yang sama letaknya berdekatan, dan (3) Kerana adanya industri lain dalam perekonomian tersebut. Rosentein-Rodan menegaskan bahawa eksternaliti yang pertama adalah yang paling penting. Rodan memberikan contoh sekiranya sejumlah penganggur (contoh, dari sektor pertanian) bekerja dalam industri-industri yang mengeluarkan produk yang diperlukan pekerja tersebut, maka pendapatan yang tercipta akan memperluaskan pasaran sesebuah industri, sehingga akan mengurangkan risiko kemungkinan tidak terjualnya barang yang dikeluarkan oleh sesebuah industri tersebut. Ini disebabkan oleh risiko boleh dianggap sebagai sebahagian daripada kos pengeluaran, maka pembangunan industri secara besar-besaran yang saling berkaitan antara satu sama lain akan mengurangkan kos pengeluaran dan akan menciptakan eksternaliti ekonomi.

Apabila Rosentein-Rodan menekankan strategi pembangunan seimbang dari sudut permintaan, maka Lewis (1954) menciptakan strategi pembangunan keseimbangan dari sisi penawaran. Lewis menyatakan perlunya pembangunan seimbang yang ditekankan melalui keuntungan yang akan diperolehi melalui saling kebergantungan yang cekap antara pelbagai sektor, iaitu antara sektor pertanian dan sektor industri serta antara sektor dalam negara dengan luar negara.

Menurut Lewis akan banyak timbul masalah sekiranya usaha pembangunan hanya ditumpukan kepada satu sektor sahaja. Tanpa ada keseimbangan pembangunan antara pelbagai sektor akan menimbulkan adanya ketidakstabilan dan gangguan terhadap kelancaran kegiatan ekonomi sehingga melambatkan proses pembangunan.

Lewis menggunakan gambaran kepentingan keupayaan pembangunan yang menjamin wujudnya keseimbangan antara sektor industri dan sektor pertanian. Jika sektor industri mengalami perkembangan yang pesat, maka sektor tersebut akan dapat

menyerap lebihan keluaran bahan makanan mahupun lebihan tenaga buruh. Namun begitu tanpa adanya perkembangan dalam sektor industri maka nilai ditukar (terms of trade) sektor pertanian akan merosot ekoran terdapat lebihan keluaran tenaga buruh hingga mengakibatkan depresif terhadap pendapatan dalam sektor pertanian. Oleh itu dalam sektor pertanian tidak terdapat lagi ransangan untuk mengadakan pelaburan baru dan melakukan inovasi.

Jika pembangunan ekonomi ditekankan kepada industrialisasi dan mengabaikan sektor pertanian akan menimbulkan masalah yang akhirnya akan menghambat proses pembangunan ekonomi. Masalah kekurangan barang pertanian akan mengakibatkan kenaikan harga barangan hingga menyebabkan berlakunya inflasi. Masalah lain yang wujud ialah akan berlakunya kesukaran untuk menjual barang-barang industri dengan kadar yang menguntungkan.

Model lain yang inovatif dan berpengaruh pada dekad 1990-an, yang memberikan wawasan penting mengenai jebakan keseimbangan tingkat-rendah, iaitu karya Kremer (1993), Teori Pembangunan Ekonomi Cincin-O (O-ring theory). Melalui teori tersebut beliau mengatakan bahawa produksi moden mensyaratkan pelbagai kegiatan harus dilakukan dengan baik dan bersama-sama, supaya masing-masing dapat menghasilkan nilai yang tinggi. Hal ini adalah suatu bentuk dari komplementariti yang kuat serta merupakan cara berfikir alamiah mengenai pengkhususan dan pembahagian tenaga kerja secara bersama yang merupakan tonggak dari perekonomian negara maju secara umumnya dan sektor industri pada khasnya. Teori ini menjelaskan tidak sahaja sebab berlakunya kemiskinan, namun juga menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan terdapat negara yang terjerat ke dalam kancah kemiskinan.

Salah satu aspek paling penting fungsi pengeluaran dalam teori ini ialah apa yang disebut sebagai kesesuaian pemilihan positif (positive assortative matching). Ini bermakna bahawa para pekerja yang mempunyai keterampilan tinggi dan rendah akan

bekerja bersama-sama. Melalui perbandingan yang dilakukan terhadap model perekonomian mendapati bahawa produk bernilai bermutu akan terdapat di negara-negara maju. Model O-Ring dari Kremer menyoroti banyak implikasi dari komplementariti yang kuat bagi pembangunan ekonomi dan agihan pendapatan di antara negara. Kremer membuat kesimpulan bahawa jika strategi komplementariti cukup kuat, negara-negara atau kelompok-kelompok di sesebuah negara yang secara mikroekonomi dapat mencapai keseimbangan dengan tingkat sumber manusia yang berbeza-beza.

Rostow (1960) memakai pendekatan sejarah dalam menjelaskan proses pembangunan ekonomi. Beliau berpendapat bahawa setiap negara yang bergerak maju ke depan perlu melalui tahap-tahap tertentu dan tidak boleh melompat susunan tahap tersebut. Rostow membahagikan proses pembangunan ekonomi kepada lima tahap pertumbuhan berikut: (1) Tahap ekonomi tradisional; (2) Prasyarat untuk lepas landas; (3) Tahap lepas landas; (4) Tahap gerakan ke arah kedewasaan; (5) Tahap penggunaan tinggi.

Dalam tahap ekonomi tradisional, kegiatan ekonomi adalah terhad yakni bertumpu kepada bidang pertanian tradisional yang mempunyai tahap pengeluaran yang rendah. Pada tahap prasyarat untuk lepas landas, Rostow berpendapat diperlukan satu masa peralihan di mana masyarakat perlu menyiapkan diri untuk meraih pembangunan yang berterusan. Dalam hal ini diperlukan perubahan dari segi sikap dan nilai masyarakat terhadap kegiatan ekonomi walaupun perubahan tersebut memerlukan masa yang panjang (lambat). Pada tahap ini juga terjadi perubahan struktur ekonomi ke arah sektor industri.

Tahap lepas landas adalah tahap yang proses pembangunan ekonomi yang berlaku secara berterusan. Pertumbuhan dianggap suatu bentuk perkembangan yang normal dan berlaku akibat daripada perubahan dari segi politik, teknologi dan perluasan

pasar. Pemodenan dalam bidang perekonomian menjadi semakin berkembang manakala sektor pertanian menjadi usaha yang komersil bukan lagi sekadar untuk sara diri.

Tahap menuju kedewasaan merupakan tahap kematangan ekonomi, di mana ditandai masyarakatnya yang menggunakan teknologi tinggi dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Jumlah penduduk yang terlibat dalam sektor industri semakin banyak dan peranan usahawan menjadi semakin penting.

Tahap penggunaan tinggi yang dicirikan oleh masyarakatnya telah mengubah fokus masalah daripada masalah dalam pengeluaran kepada masalah dalam bidang penggunaan dan kesejahteraan. Masyarakat mula mementingkan penggunaan barang-barang mewah dan memperuntukkan masa rehat buat mereka.

Ul Haq (1983) menyampaikan pandangan baru mengenai pembangunan:

Pertama, beliau berpendapat bahawa tujuan pembangunan haruslah membasmi

keburukan kemiskinan. Sasaran pembangunan harus ditetapkan atas dasar untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan melenyapkan masalah kekurangan gizi, penyakit, buta huruf, hidup melarat, pengangguran, dan perbezaan. Kedua, negara sedang membangun harus menentukan ukuran minimum penggunaan yang hendak dicapainya dalam suatu jangka waktu tertentu contohnya 10 tahun. Ketiga, pengeluaran lebih besar dan pembahagian yang lebih baik harus diguna pakai bersama sebagai asas untuk menyusun pola pembangunan. Keduanya harus diwujudkan dalam waktu yang sama.

Keempat, penawaran peluang pekerjaan perlu dijadikan tujuan utama dalam

perencanaan pembangunan.

Pembangunan ekonomi adalah usaha mentransformasikan kehidupan jutaan manusia di seluruh dunia yang kian berkembang. Bentuk pembangunan sama ada langkah mahupun cara manusia memanafaatkannya ditentukan oleh bagaimana sesebuah negara menguruskan sumber ekonomi yang dimilikinya (Baum dan Tolbert, 1988).

Pembangunan berkaitan dengan perbaikan kualiti hidup rakyat, memperluaskan kemampuan mereka untuk membentuk masa depan yang berkualiti. Secara umumnya pembangunan menuntut pendapatan per kapita yang lebih tinggi dan pengertian yang lebih luas daripada itu. Pembangunan merangkumi bidang pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih setara, kesetaraan gender, tahap kesihatan dan nutrisi yang lebih baik, lingkungan alam yang lebih bersih dan lestari, sistem hukum dan pengadilan yang lebih adil, kebebasan politik dan sivil yang lebih luas, serta kepelbagaian budaya. Persoalannya adalah bagaimana pertumbuhan dapat dipengaruhi sedemikian rupa sehingga dimensi kualitatif dari hasil pembangunan dapat menjadi lebih baik (Thomas, dkk, 2001).

Menurut Smith (1776) proses pertumbuhan bermula apabila sektor perekonomian mampu melakukan pembahagian kerja (division of labor). Pembahagian kerja akan meningkatkan produktiviti, dan seterusnya mampu untuk meningkatkan pendapatan. Adam Smith muncul dengan pemikiran-pemikiran yang mengkaji mengenai batas-batas pertumbuhan (limits to growth). Salah satu pandangan beliau yang memberikan impak besar sehingga hari ini adalah model pertumbuhan yang dikembangkan oleh Harrod (1948) dan Domar (1946). Pada asasnya model ini bersumberkan pemikiran Keynes (1936) yang menumpukan kepentingan aspek permintaan untuk mendorong pertumbuhan jangka panjang.

Dalam model Harrod-Domar, pertumbuhan ekonomi akan ditentukan oleh dua unsur utama, iaitu tingkat simpanan (saving) dan produktiviti modal (incremental

capital output ratio). Masyarakat dalam sesebuah perekonomian mempunyai tabungan

yang merupakan sumber pelaburan supaya kegiatan ekonomi dapat tumbuh secara berterusan. Semakin besar tabungan, bererti semakin besar pelaburan, maka akan semakin tinggi pula pertumbuhan ekonomi. Namun sebaliknya, apabila produktiviti

kapital menjadi semakin rendah, maka semakin rendah pula berlakunya pertumbuhan ekonomi.

Berbeza dengan Harrod-Domar yang memberikan tumpuan kepada kepentingan peranan modal, Lewis (1954) dengan model surplus of labor memberikan tumpuan kepada peranan jumlah penduduk. Dalam model ini diandaikan terdapat penawaran tenaga buruh yang sangat cekap. Ini bererti para pelabur dapat mempertingkatkan pengeluarannya dengan mengupah tenaga buruh yang lebih banyak tanpa harus menaikkan tingkat bayaran upah. Peningkatan pendapatan dapat diperolehi oleh pemilik modal, sehingga mendorong pelaburan-pelaburan baru kerana kelompok ini mempunyai hasrat menabung dan melaburkan modal yang lebih tinggi berbanding dengan kaum buruh. Tingkat pelaburan yang tinggi akan mendorong berlakunya pertumbuhan ekonomi.