• Tidak ada hasil yang ditemukan

CIRI-CIRI KOMPONEN TEKS DRAMATIK TEATER EKSPERIMENTAL MELAYU 1980 DAN 1990-AN

4.2 Ciri Komponen Yang Menstruktur Teks Dramatik TEM 1980-1990-an

4.2.1 Isu dan Pemikiran Teks

Membaca teks teater eksperimental secara analitikal menuntut kekuatan minda yang lazimnya dilakukan oleh penyelidik, pelakon, pengarah, atau pihak yang terlibat

dengan kerja-kerja estetik dan artistik dalam sesebuah produksi. Jika berlaku kesilapan atau kegagalan dalam pembacaan tersebut, kesannya akan dirasai dan dilihat (Thomas, 1992, ms. 5). Menurut Thomas (1992, ms. 7): “A professional’s analysis of a

play is usually a long, tedious, and painstaking process.” Proses ini melibatkan

keupayaan untuk memahami makna-makna dan aspek–aspek dramatik yang ditekankan yang mungkin hadir bersama perkataan-perkataan tersebut. Harus juga mampu atau peka tentang fakta-fakta literal dan hubungannya di antara satu sama lain. Fakta literal dalam teks dramatik termasuklah mengidentifikasi watak, tempat, aksi, objek, selain membawakan gambaran tentang perasaan dan pemikiran (Ibid). Setelah melalui proses awal pembacaan setiap teks dengan merasai fakta-fakta literal, akan dapat diketahui subjek dan permasalahan yang dipilih oleh dramatis untuk dipaparkan. Subjek dan permasalahan yang berlainan daripada yang pernah dibicarakan dalam teks-teks yang lain akan lebih menarik perhatian untuk melihat pula bagaimana hal tersebut digubah dan dipersembahkan. Jika membawa persoalan yang pernah dikemukakan oleh dramatis lain sebelum ini, khalayak ingin juga melihat perspektif atau bentuk persembahan yang berbeza dan lebih berinovatif.

Teks-teks dramatik TEM yang dihasilkan dalam dua dekad ini didapati membawakan pelbagai isu dan pemikiran ke pentas, sama ada yang klise tetapi diberi pandangan dan pendekatan persembahan berbeza, atau permasalahan dan pemikiran yang baru, segar, dan ke hadapan. Pemikiran dan isu dibawakan bukan kisah biasa yang berlaku dalam masyarakat seperti konflik rumah tangga, percintaan, perkahwinan, pertembungan golongan kaya dengan miskin, atau pertengkaran yang isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan harian sebagaimana yang boleh ditemui dalam drama-drama realisme. Kisah yang dibawakan juga bukan tentang dongeng, alam kayangan, raja, istana, dan pemerintah sebagaimana yang terdapat dalam teater Melayu tradisional, tetapi di sebalik kehidupan realiti. Tokoh dalam sesebuah

168

masyarakat bukan lagi tentang kejayaannya mentadbir sebuah negara, atau masalah yang dihadapi dengan rakyat, tetapi yang mahu disampaikan ialah tekanan emosi yang dihadapi oleh watak itu. Konspirasi, cabaran fizikal dan mental, fitnah dan ancaman, penghinaan dan ketahanan diri adalah aspek lain yang mahu diungkapkan oleh teks dramatik teater eksperimental. Sesuatu di luar jangkaan biasa, sesuatu yang tidak terfikir oleh khalayak akan begitu situasinya. Jika mengungkapkan mitos, legenda, misteri, dongeng, cerita rakyat, klasik dan tradisional, bahan-bahan tersebut lazimnya akan diberikan bentuk, susunan, tafsiran, dan olahan semula. Digabungkan dengan elemen-elemen teaterikal dan estetik yang lain, yang akan membawa kepada dimensi dan perspektif baru terhadap bahan yang sedia ada. Keinginan dramatis menyelongkar permasalahan dalam masyarakat yang dianggap sensitif kepada pelbagai pihak, (seperti perkauman, penindasan ekonomi, masalah seks, rasuah, dan ketidakadilan) menyebabkan mereka terpaksa mempelbagaikan bentuk penyampaian, teknik, pendekatan, dan cara persembahan. Tekanan dan batasan undang-undang di samping adat resam dan budaya masyarakat Melayu sebenarnya mencabar kreativiti dan seterusnya melahirkan idea-idea baru.

Kebuntuan dan kekecewaan para dramatis terhadap perkembangan teater Melayu juga dipaparkan melalui pembongkaran kembali isu-isu yang berkaitan dengan teater seperti peminggiran cerita-cerita rakyat (cerita lisan) dalam Tuk Selampit, proses raptai dan latihan teater dalam Peran, proses mengembangkan cerita dalam Sirih

Bertepuk Pinang Menari, serta cabaran seorang pengarah teater dan kumpulannya

untuk menghasilkan sebuah pementasan yang mempunyai nilai tinggi, ada jiwa serta pemikiran dalam Mencari Roh Yang Hilang. Teater sebagai permasalahan dalam teks-teks di atas memperlihatkan penerapan aliran teaterikalisme yang diperlopori oleh Luigi Pirandello melalui teater Six Characters in Search of an Author (Enam Watak Mencari Pengarang; 1921) (Cohen, ms. 198). Teaterikalisme adalah suatu aliran dalam teater eksperimental yang menjadikan dunia teater itu sendiri sebagai bahan cerita. Dinsman

pernah menerapkan aliran ini melalui teater Protes yang dipentaskan pada tahun1970-an. Watak-watak di dalam Protes yang telah dimatikan pada akhir pementasan telah bangkit semula mempersoalkan tindakan pengarah mematikan mereka.

Dalam teks-teks dramatik TEM 1980 dan 1990-an, aliran teaterikalisme ini telah diterapkan dalam perspektif yang lebih luas. Isu yang dibawakan tidak hanya tertumpu kepada watak, pengarang, atau pengarah dalam pementasan moden sahaja, tetapi merangkumi kemelut di dalam teater tradisional Melayu seperti dalam Tuk Selampit. Proses menghasilkan teater juga diangkat oleh para dramatis ke dalam karya masing-masing. Dengan cara itu, bukan sahaja isu dan persoalan yang dibawakan berbeza, tetapi penonton juga akan dapat mempelajari ilmu yang berkaitan dengan penghasilan sebuah produksi teater. Melalui Sirih Bertepuk Pinang Menari dan Tuk Selampit, yang dapat dipelajari ialah tentang pendekatan dalam melaksanakan sebuah persembahan teater tradisional. Teks Sirih Bertepuk Pinang Menari mengutarakan dua perkara yang perlu fikirkan oleh pembaca: Pertama ialah tentang bangsawan sebagai sebuah teater yang proses penyempurnaan ceritanya yang bersifat improvisasi dan hasil daripada perbincangan dan persetujuan di antara pemilik kumpulan bangsawan (tauke) itu dengan pelakon-pelakon (pemain) yang terlibat di dalamnya. Pada asasnya semua pemain telah tahu cerita dan jalan cerita daripada awal hingga akhir, sebelum persembahan dilakukan, tetapi dalam proses latihan atau persembahan sebenar, kesudahan atau arah gerak cerita bangsawan kemungkinan ditukar bergantung kepada penerimaan dan sambutan penonton. Pemikiran yang mahu diungkapkan ialah kerjasama dan kepentingan hubungan di antara rakyat dengan pemimpin. Tanpa sokongan rakyat tidak wujud sebuah negara dengan raja atau pemerintah yang berdaulat. Raja atau pemerintah pula bertanggungjawab terhadap kestabilan kerajaan atau negara dengan pendekatan pemerintahan yang bijak dan mementingkan kebajikan rakyat. Rakyat lazimnya bertindak berdasarkan cara pemerintahan

pemerintah, ibarat kata pepatah Melayu, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Tuk Selampit pula membawakan keperibadian, kehidupan seharian, dan

kegelisahan jiwa seorang tukang cerita Melayu tradisional atau penglipurlara yang

digelar Tuk Selampit.169 Dalam teks ini, Tuk Selampit adalah pusat kepada segala

persoalan dan permasalahan yang timbul. Kehidupan Tuk Selampit seharian sangat dipengaruhi oleh ilmu-ilmu yang diwarisinya daripada nenek moyang terdahulu, iaitu ilmu penglipulara dan ilmu batin seperti ilmu pengasih dan pertempuran ghaib. Beliau ingin mewariskan kemahiran bercerita dan kisah-kisah warisan nenek moyang keluarga beliau kepada generasi atau penggantinya, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu ilmu itu terlepas kepada orang asing. Teks ini berusaha membayangkan kepada pembaca tentang proses yang dilalui oleh seorang penglipurlara untuk menyampaikan ceritanya sebagai penerus kepada warisan turun-temurun yang dimilikinya ke dalam dunia moden. Tetapi keadaan tidak lagi seperti suatu masa dahulu di mana cerita penglipurlara merupakan sumber hiburan yang penting. Situasi itu digambarkan sewaktu Tuk Selampit mahu menyampaikan cerita-ceritanya, yang menjadi pendengar adalah isterinya sendiri, Mak Som, tetapi Mak Som juga telah bosan dengan tingkah laku Tuk Selampit dan cerita-cerita gergasinya. Ketiadaan sambutan daripada pendengar menyebabkan Tuk Selampit kecewa dan menderita, kematiannya bukan sebagai tokoh, tetapi sebagai orang tua yang telah nyanyuk bersama dunianya yang tidak difahami oleh orang lain. Situasi tersebutlah yang mahu disampaikan oleh teks Tuk Selampit di mana watak Tuk Selampit itu sedang bercerita tentang situasi yang dialami oleh penglipulara-penglipurlara yang masih wujud tetapi semakin dipinggirkan.

169

Tuk Selampit adalah antara nama atau gelaran yang diberikan kepada tukang cerita tradisional, selain Awang Belanga, Awang Batil, Jubang, Ahli Cerita, dan Kaba (Mustafa Mohd. Isa, 1987, ms. 6); Lihat Lampiran 4: Nama-nama Penglipurlara

Peran dan Mencari Roh Yang Hilang mendedahkan proses dan masalah dalam

produksi teater moden. Dalam Peran, ditunjukkan penerangan Pengarah kepada para pelakon tentang raptai mereka pada hari itu yang akan dihadiri oleh seorang wartawan; pelakon mengambil tempat masing-masing dan ’masuk’ ke dalam watak mereka. Isu lain yang diangkat melalui sub plot, yang dilakonkan oleh para pelakon yang telah mempunyai watak tadi, dengan menjadi pula watak di dalam cerita yang berada dalam sub plot. Pada akhir latihan teater itu, wartawan yang dimaklumkan di awal raptai tadi dijemput untuk memberikan sebarang komen terhadap persembahan mereka. Teks ini tamat di situ. Teks ini membawakan pemikiran bahawa dalam proses dramatis dan pengarah teater menghasilkan sebuah karya yang baik, mereka harus mempertimbangkan pandangan dan pendapat pihak lain untuk menilai hasil kerja mereka demi menjadikannya lebih baik daripada yang telah sedia ada.

Mencari Roh Yang Hilang menggambarkan bagaimana sukarnya seorang

pengarah teater yang mahu menghasilkan sebuah persembahan yang berkualiti tinggi, yang mempunyai pemikiran serta menjadi suatu kemunculan yang berkesan dan menyumbang kepada perkembangan teater keseluruhannya. Pengarah dalam teks ini bergelut dengan pelbagai masalah terutama yang datang daripada rasa tidak puas hati terhadap hasil kerja beliau sendiri. Beliau juga keliru terhadap nilai yang mahu diterapkan dalam karyanya itu. Dua nilai tersebut tercerna daripada semangat dan kecintaannya terhadap warisan bangsanya sendiri iaitu teater tradisional barongan, yang terkenal di negeri Johor, yang mahu digabungkan dengan dengan konsep teater eksperimental yang berdasarkan prinsip The Theatre of Cruelty. Pengarah mengagung-agungkan pemikiran Artaud, justeru untuk menghasilkan sebuah persembahan yang hebat, pada pandangan beliau pendekatan Artaud itulah yang dapat membantu proses penghasilan itu. Tetapi jiwanya bercelaru kerana teori yang dibawakan oleh eksperimentalis terkenal tersebut bertentangan dengan semangat dan kecintaan kepada budaya dan seni bangsanya, yang masih menebal malah

merupakan latar belakang yang menjadi asas pembentukan dirinya. Dalam amalan hariannya, upacara-upacara tertentu seperti tepung tawar, masih lagi dipercayai dan diamalkan. Pengarah masih mengikut tertib dalam persembahan teater tradisional, di mana sebelum bermula sesuatu acara, akan diadakan upacara menyemah, menyeru roh ghaib dan nenek moyang, serta memohon semoga persembahan yang bakal berlangsung akan disukai ramai dan berjalan lancar. Upacara tersebut dibuat dalam bentuk menepung tawar pentas persembahan, sebagai simbolik kepada upacara seumpama dengannya dalam SPM yang lain. Bukan sahaja nilai budaya Melayu masih kuat dari aspek spiritual, malah Pengarah juga membawa masuk kostum, gerak, dan muzik barongan ke dalam persembahan yang bakal dihasilkannya. Elemen-elemen barongan itu kemudiannya diolah dengan gerak tari dan lakon moden yang menjadi simbol pergolakan jiwa si Pengarah antara nilai Timur dan Barat. Pertembungan dua nilai dalam proses penghasilan sesebuah karya mencetuskan kekeliruan tentang arah hasil kerja yang mahu dihasilkan. Bukan sahaja beliau yang dilanda kedua-dua elemen Barat dan Timur, pasukannya juga turut bergerak bersama dengan fahaman yang cuba diterapkan ke dalam bakal persembahannya nanti. Situasi di tempat latihan sentiasa berada dalam konflik, konflik antara jiwa pengarah dengan konsep teater yang mahu dipentaskannya. Dalam masa yang sama jiwa dan pemikirannya terganggu memikirkan pengalaman trauma isterinya yang telah dirogol oleh seseorang yang beliau syaki salah seorang daripada ahli kumpulannya. Beliau juga sudah begitu sukar untuk membezakan antara kehidupan realiti dengan dunia lakonan dan persembahan yang sedang dikerjakannya.

Teks-teks lain yang mengambil sama ada SPM, teater tradisional atau moden sebagai titik melontarkan pemikiran masing-masing ialah Ngoyang, Anak Tanjung,

Sabung Sekati Emas, Cindai, Umbut Mayang Mengurai, dan Selendang Umi. Ngoyang, Sabung Sekati Emas, dan Umbut Mayang Mengurai menggunakan teater

untuk melontarkan isu dan pemikiran. Teks Ngoyang170 membawakan konflik jiwa yang dialami oleh ibu yang baru melahirkan anak hingga menyebabkan mereka mendapat sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘ngoyang’ atau ‘gila meroyan.’ Cara untuk memahami situasi si pesakit ini ialah melalui proses perubatan tradisional yang masih diamalkan di kalangan segelintir masyarakat Melayu, khususnya di negeri Terengganu. Rawatan tradisional yang merupakan versi perubatan kepada teater main peteri, memberikan ruang untuk pesakit berdialog di bawah tahap sedar, hingga dia mampu meluahkan segala rasa yang terpendam di dalam pemikirannya, dan meringankan beban tekanan perasaan pesakit. Tok Peteri dan Tok Minduk adalah gelaran kepada pengamal perubatan tradisional ini, yang dalam teater main peteri merupakan watak-watak penting dan bertanggungjawab untuk melaksanakan proses perubatan ini. Tok Minduk akan membacakan mantera dan Tok Peteri akan bertindak sebagai watak yang ada dalam pemikiran si pesakit – individu atau perasaan yang menjadi punca kemarahan kepada beliau hingga keadaan dirinya merasa tertekan. Si pesakit akan didorong untuk bercakap dan meluahkan rasa marah, kecewa, atau takut dalam situasi berdialog dengan Tok Peteri. Apabila keadaan si pesakit semakin tenang selepas meluahkan rasa yang terbuku dihatinya, Tok Minduk akan menjalankan upacara penyembuhan seperti mandi bunga diiringi jampi serapah atau mantera.

Sabung Sekati Emas mengangkat kisah Raja Chulan dan Raja Terengganu

yang ketagihan berjudi bersabung ayam dengan pertaruhan sekati emas. Walau pun telah diketahui bahawa berjudi itu adalah perkara yang dilarang oleh agama, tetapi mereka berdua tidak menghiraukannya. Akhirnya dalam satu perlawanan yang sengit, tanpa mengira pihak mana yang menang atau kalah, ayam yang menjadi bahan sabungan itu telah terbang menyebarkan api ke istana Raja Terengganu kemudian ke kapal Raja Chulan pula. Bukan sahaja harta benda yang hangus terbakar tetapi rakyat

170 Dalam bahasa perubatan modennya disebut postnatal depression, puerperal psychosis, atau baby blues (‘Ngoyang’ (Puerperal Psychosis), 1982, ms. 46).

Terengganu dan sesiapa jua yang ada di kawasan itu turut musnah, yang tinggal adalah tiga orang rakyat biasa yang merupakan antara yang menentang perbuatan tersebut walaupun tidak mampu berbuat apa-apa. Teks ini menggunakan dikir saba sebagai medium penceritaan. Sementara itu teks Umbut Mayang Mengurai mengangkat sebuah lagu tradisional yang sangat popular, lagu Ulik Malang yang dipetik daripada upacara perubatan juga teater main peteri, sebagai idea asas kisah yang mahu dipaparkan. Umbut Mayang Mengurai mendedahkan tentang ruang lain yang wujud di muka bumi ini, yang sukar untuk dimasuki, ditemui, dan difahami oleh manusia biasa. Individu yang dapat menyelami alam ghaib contohnya alam bunian bukanlah diberikan kepada semua manusia di dunia nyata, tetapi diberikan kepada orang-orang terpilih dan istimewa. Seman, salah satu watak nelayan dalam teks ini telah dipilih untuk melalui pengalaman ghaib ini. Selepas beliau sakit dan dirawat secara tradisional, Seman telah melalui pengalaman luar biasa apabila makhluk ghaib bernama Mayang yang terlibat dalam proses penyembuhannya, yang dipanggil melalui mantera oleh bomoh, telah menunjukkan minat terhadap beliau. Hubungan mereka berdua menjadi intim dan pada pandangan kawan-kawan Seman di alam nyata, tingkah laku Seman pelik dan membimbangkan, hingga mereka menganggapnya kurang siuman. Tanggapan itu cuba dinafikan oleh Seman dengan cara membawa kawan-kawannya ke alam ghaib yang pada tanggapannya sungguh halus dan indah. Tetapi percubaan itu tidaklah begitu berjaya kerana kawan-kawannya bukan daripada golongan yang terpilih, mereka kurang sabar, serta lebih didorong kepada nafsu terhadap gadis-gadis cantik seperti yang diceritakan oleh Seman tentang Mayang dan pengiring-pengiringnya.

Anak Tanjung merupakan drama yang paling mengelirukan tentang susunan

cerita, dan pemikiran yang mahu disampaikan kepada khalayak. Ada beberapa kisah dengan isu yang berlainan yang mahu disampaikan dengan menggunakan beberapa pendekatan termasuklah melalui persembahan boria dan pementasan drama. Isu asas

ialah tentang manusia yang sesat daripada ajaran Islam yang sebenar kerana taksub kepada orang yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu dan kuasa yang tinggi tanpa usul periksa, mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali, tidak mempunyai pendirian yang kuat, serta bertindak sebelum berfikir dengan menggunakan akal yang waras. Kemudian dalam persembahan boria disampaikan kisah perjuangan Tuk Janggut dan orang-orangnya yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi menentang penjajahan Inggeris, untuk membebaskan tanah. Persembahan boria ini merupakan selingan sebelum pementasan drama yang dianjurkan oleh Siti dan Kamariah, pelajar universiti, di kampung mereka, kampung yang mempunyai kumpulan ajaran sesat yang diketuai oleh Afandi. Keduanya berusaha membawakan sebuah drama yang mengangkat kisah perjuangan dan kehidupan ketika Malaysia masih lagi digelar Persekutuan Tanah Melayu dan berada di zaman penjajahan Inggeris dan pemberontakan komunis. Selain perjuangan dan penderitaan rakayat, paparan yang lebih menarik ialah tentang kehidupan masyarakat yang berbilang kaum, yang sama-sama menderita, tetapi saling tolong menolong tidak mengira keturunan, Melayu, Benggali, atau Cina. Manusia berhati jahat, hasad dengki, dan pengkhianat negara tetap wujud bukan dalam kaum Cina sahaja, atau Melayu sahaja, atau keturunan-keturunan lain, tetapi pada asasnya sifat manusia itu, sama ada baik atau buruk wujud dalam semua bangsa.

Seterusnya ialah Selendang Umi, teks ini mempunyai banyak isu dan pemikiran yang mahu dilontarkan yang dibingkaikan oleh sebuah persembahan qasidah, salah satu bentuk SPM berbentuk nyanyian. Selain qasidah, selendang yang menjadi tajuk kepada teks ini juga menjadi penyatu kepada isu-isu yang dibawakan, yang sekaligus memberikan petunjuk tentang persoalan utama yang mahu diungkapkan pastinya berkaitan dengan keanggunan wanita. Sebagaimana teks Anak Tanjung, dalam

Selendang Umi, Noordin Hassan juga menerapkan semangat patriotik, melalui kisah

tentera Jepun. Tetapi Sapura tidak pernah luntur semangat kecintaan dan kebanggaan kepada Tanah Melayu dan bangsanya serta kepercayaannya kepada Tuhan. Sapura sebagaimana diceritakan oleh Nor Fatin, kepada Mak Ungku adalah pengasuh dia dan kakaknya selepas kematian ibu mereka. Sapura sangat dikagumi atas kelembutan dan kehebatannya, hinggakan, pegawai tentera Jepun tempat beliau bekerja itu hampir menyembah Sapura kerana nasihat Sapura tentang kekuasaan Tuhan. Pegawai itu telah putus asa terhadap nasib anak dan isterinya ketika Hiroshima dibom, tetapi beberapa kemudian beliau datang menemui Sapura dengan membawa sepucuk surat daripada anak dan isterinya. Mereka selamat kerana semasa peristiwa pengeboman itu, mereka telah pergi ke sebuah bandar yang terkenal dengan rumah-rumah ibadatnya. Nor Fatin dan Mak Ungku juga telah menukilkan satu watak wanita semasa yang bernama Rupawan untuk skrip yang sedang mereka usahakan. Rupawan bukan sahaja jelita tetapi juga seorang isteri yang taat, bijak, dan kuat semangat. Apabila Usman, suaminya terlantar sakit, beliau telah masak nasi lemak untuk diletakkan di kedai di kampung mereka sebagai sumber menyara diri. Walau pun Jalil, kawan Usman dan seorang yang kaya, menawarkan diri untuk membantu merawat Usman dan menjaga kebajikan Rupawan, beliau enggan menerimanya. Ketiga-tiga watak ini, Nor Fatin, Sapura, dan Rupawan, sentiasa memakai selendang di bahu atau kepala mereka sebagai tanda wanita yang sentiasa menjaga kehormatan dan maruah diri. Nor Fatin sendiri, walau pun seorang gadis yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, tetapi beliau tidak pernah mengharapkan belas kasihan dan meminta-minta simpati daripada orang lain. Beliau seorang gadis yang gigih, berani, dan berbakat dalam bidang seni, dan kelebihan itu digunakan untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui persembahannya.

Teks Cindai pula berinspirasikan drama-drama bangsawan Melayu yang sering membawakan pergolakan yang berlaku di kalangan pembesar istana. Cindai merupakan luahan perasaan, kekesalan, dan keinsafan, seorang bekas pembesar

istana bernama Pak Ungku, yang memegang jawatan sebagai wazir, tentang perbuatan fitnah dan khianatnya terhadap dayang istana dan pengawal istana bernama Cindai dan Iskandar. Setelah masa berlalu, selepas peristiwa fitnah dan akibatnya kedua mangsa itu mati dibunuh dan dibuang ke sungai, cerita sebenar mulai terbongkar melalui mimpi Tengku Puteri, anakanda kepada Sultan yang memerintah. Tengku Puteri telah menyiasat perkara yang sebenar dan telah mendedahkannya kepada rakyat sebagai usaha membersihkan nama Cindai dan dayang-dayang istana sekaligus. Perbuatan wazir yang hina itu telah terbongkar dan dia telah dibuang daripada istana dan hidup melarat. Untuk meredakan rasa bersalah dan dosanya pada Cindai, beliau telah mengabdikan diri sebagai penjaga makam Cindai, tetapi tindakan itu bukan sesuatu yang tepat. Roh Cindai telah datang kepada Pak Ungku dan menasihatkannya agar meninggalkan kerja yang membawa kepada perbuatan khurafat itu, dan bertaubat dengan menyarankannya agar mendekatkan diri dengan masjid dan ibadat. Pada akhir teks ini, Pak Ungku telah meninggalkan kubur Cindai sambil membuang sekali hiasan-hiasan bunga dan lilin serta batu nisan ke dalam sungai,