• Tidak ada hasil yang ditemukan

Teater Forum ialah satu bentuk teater yang diasaskan oleh Augusto Boal dari Brazil (Flores, 2000). Boal telah mencipta bentuk teater ini daripada teater yang dikenali sebagai Theatre of The Oppressed (Boal, 1979). Boal (1979) telah mencipta Theatre of The Oppressed berpandukan idea Paulo Friere (1970), juga seorang tokoh pendidikan di Brazil. Freire (1970) mengemukakan ideanya melalui karya Pedagogy of the Oppressed. Teater Forum telah menjadi satu revolusi dalam dunia teater (Flores, 2000).

Teater Forum terbentuk daripada dua kata iaitu teater dan forum. Teater bermaksud genre seni atau satu bentuk komunikasi. Forum pula berasal daripada istilah Greek yang membawa maksud satu medan perbincangan untuk orang-orang yang berbeza pandangan bertemu dan meluahkan pandangan mereka secara bebas dan terbuka (International Theater Workcamp, 2005). Matlamat Teater Forum ialah untuk memberikan peluang kepada pihak pelakon dan penonton untuk menyatakan dan menerima pandangan secara terbuka tentang sesuatu isu yang dipaparkan melalui lakonan. Aspek ini berbeza dengan teater tradisional yang hanya membenarkan para pelakon sahaja menjadi aktif menyalurkan mesej dan penonton menjadi penerima mesej yang pasif (Boal, 2008).

Dalam Teater Forum tiga kategori watak sentiasa dan wajib ada. Pertama watak protagonis yang peranannya adalah untuk mewakili pengalaman penindasan yang dilalui oleh segolongan masyarakat. Kedua ialah watak antagonis yang merupakan penindas dan ketiga Joker yang bertindak sebagai penghubung atau pemudahcara antara pelakon dan penonton (Boal, 1979). Manakala lakonan anti-model menggambarkan

81 penindasan terhadap watak utama atau protagonis oleh antagonis (Cohen-Cruz & Schutzman, 2006).

Joker akan memperkenalkan watak-watak yang akan beraksi di tempat kejadian dan menerangkan bagaimana adegan itu berakhir dalam bentuk penindasan (Kumpulainen & Toom, 2009). Lakonan anti-model akan dipersembahkan buat kali pertama untuk membiasakan penonton tentang jenis penindasan. Joker menggalakkan penonton untuk menonton persembahan itu dengan teliti dan mengenal pasti orang yang ditindas. Joker kemudian meminta para penonton untuk membayangkan cara atau strategi lain yang boleh diambil oleh mereka (berbeza daripada tindakan yang sedang diambil oleh watak yang tertindas) untuk menyelesaikan masalah penindasan tersebut.

Lakonan anti-model ini akan diulang buat kali yang kedua. Pada kali ini penonton boleh menghentikan persembahan dengan mengangkat tangan mereka dan melaungkan kalimat “HENTI”. Penonton kemudiannya boleh bangun dari tempat duduk dan cuba campur tangan untuk menyelesaikan penindasan yang dialami oleh watak dalam lakonan (Susie & Rachel, 2000). Kini peranan penonton telah berubah menjadi “spect-actors” (Boal, 2006, p. 24). Objektif Teater Forum adalah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang ada melalui penyediaan ruang untuk perbahasan (Paterson, 1999).

Istilah ditindas atau “oppressed” (Boal, 2008, p. 12) bermaksud diperlakukan dengan teruk, mengalami kezaliman atau dilayan dengan tidak adil. Dalam konteks Teater Forum penindasan ini didefinisikan sebagai kuasa dinamik berdasarkan monolog lebih daripada dialog yakni satu hubungan antara dominasi golongan menengah kepada golongan yang tidak memiliki kuasa agar golongan tidak memiliki kuasa tidak dapat menjadi diri mereka yang sebenarnya serta melaksanakan hak-hak yang sebenarnya. Fenomena ini merujuk tentang seseorang yang telah kehilangan hak untuk menyatakan

82 keperluan dan kemahuannya sehingga menjadikan seseorang (yang kehilangan hak tadi) sebagai pendengar yang taat dan senyap. Boal (1979) percaya semua manusia mempunyai keinginan dan keperluan untuk berkomunikasi dan ketidakwujudan komunikasi akan mengakibatkan penindasan.

Menurut Boal (1979), Teater Forum berbeza daripada teater konvensional. Teater seharusnya melibatkan dialog dengan penonton dan bukan percakapan sehala seperti yang berlaku dalam teater konvensional. Dalam teater konvensional segala-galanya bergerak dari pentas ke auditorium. Emosi, idea dan isu kemoralan dipindahkan ke arah tersebut dan tidak ada satu pun yang bergerak ke arah sebaliknya. Bagi Boal (1979) jurang atau sempadan antara para pelakon dan penonton telah dihapuskan dalam Teater Forum. Teater ini mempunyai hubungan dua hala (Boal, 1979, 2008). Malahan, Teater Forum lebih kepada ciptaan sebuah forum atau ruang diskusi untuk menganalisis, membincangkan dan meneroka penyelesaian berkumpulan terhadap ketidakadilan (Cohen-Cruz & Schutzman, 2006).

Boal melihat teater sebagai satu senjata yang sangat berkesan untuk pembebasan (Boal, 2008). Teater bukan sahaja untuk hiburan tetapi sebagai wahana untuk perubahan sosial. Teater Forum ialah teater gaya penyertaan. Masalah-masalah yang digambarkan dalam Teater Forum adalah digarap daripada pengalaman harian penonton. Boal (2008) dengan penuh tekad tidak menghuraikan definisi penindasan daripada perspektif kefahaman yang khusus tetapi menerima babak yang dilihat oleh penonton sendiri sebagai penindasan. Selaras dengan keinginan untuk memberi kuasa kepada penonton setiap orang digalakkan untuk mengambil bahagian dalam senario pendek yang dipentaskan. Bagi Boal (2006), teater ialah seni melihat kepada diri sendiri dan semua manusia ialah pelakon (mereka berlakon!) dan penonton (mereka menonton!). Boal menamakan penonton-pelakon ini sebagai spect-actors.

83 Aspek utama Teater Forum ini ialah menstrukturkan semula hubungan pelakon-penonton supaya tidak ada pemisah di antara mereka. Teater ini mengundang pelakon-penonton supaya memberi sumbangan dengan mengambil bahagian dan mencuba idea-idea mereka sendiri. Apabila mereka melihat seseorang watak mereka akan juga dapat melihat masalah watak tersebut. Dalam keadaan ini mereka dapat melihat dan sedar diri mereka dikalahkan oleh masalah mereka dan mereka akan bangun bertindak untuk membuat sesuatu bagi menghadapi masalah tersebut (Susie & Rachel, 2000).

Penonton bukan sahaja memberi komen pada aksi malah boleh mencelah secara langsung dalam aksi tersebut serta cuba untuk membawa pementasan tersebut kepada kesimpulan yang berbeza. Teater ini menjadi sejenis terapi sosial kerana penonton bukan sahaja menonton pementasan tersebut malah digalakkan untuk turut serta dalam pementasan itu serta memberi idea dan penyelesaian kepada masalah-masalah yang ada. Para penonton kini bukan lagi penerima yang pasif. Mereka ialah penonton aktif yang membawa pengalaman mereka sendiri dan cadangan kepada permasalahan yang dipaparkan dalam persembahan teater. Menurut Boal (1979), setiap orang bertanggungjawab atas tindakan mereka sendiri dan apabila timbul masalah semua orang patut melibatkan diri dalam mencari cara-cara untuk menyelesaikan masalah.