Mills (2003) mempopularkan konsep “3E” dalam teknik mengutip data kajian tindakan iaitu, “experiencing”, “enquiring” dan “examining” (p. 98). Konsep “experiencing” (Mills, 2003, p. 98) merujuk kepada mengutip data melalui pemerhatian dan nota lapangan tentang apa yang dialami dan dirasai oleh penyelidik di lokasi kajian. Dalam kajian ini data dikutip melalui pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta.
133 Konsep “enquiring” (Mills, 2003, p. 98) pula merujuk kepada data yang dikutip oleh penyelidik dengan menanyakan maklumat daripada peserta kajian. Dalam kajian ini data dikutip melalui temu bual. Manakala konsep “examining” (Mills, 2003, p. 98) pula merujuk kepada teknik pengutipan data semasa menguji sesuatu strategi atau teknik pengajaran serta merakam bukti hasil implementasi sesuatu strategi atau teknik tersebut. Selaras dengan itu bukti data kajian ini dirakam melalui rakaman video, audio dan catatan jurnal.
Dalam kajian ini data primer dikutip melalui teknik temu bual. Data sekunder pula dikumpul melalui teknik pemerhatian. Catatan jurnal dan rakaman video menjadi data sokongan. Selain menggunakan pelbagai protokol untuk merekod data pemerhatian dan temu bual, data juga dikutip melalui catatan jurnal serta rakaman audio dan video untuk menjamin kesahan serta kualiti data yang dikutip (Olsen, 2012).
Rujuk Jadual 3.3 tentang kaedah pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini.
134 Jadual 3.3
Kaedah Pengumpulan Data
JENIS DATA INSTRUMEN TEKNIK
PENGUMPULAN DATA JENIS ITEM PESERTA KAJIAN 1.Primer i.Protokol Temu bual i.Temu bual kumpulan berfokus i.Soalan separuh berstruktur i.Murid 2.Sekunder i.Protokol Pemerhatian di Bilik Darjah i.Pemerhatian turut serta ii.Pemerhatian tidak turut serta
i.Soalan separuh berstruktur ii.Soalan terbuka i.Murid 3.Sokongan (supplementary) i.Jurnal a.Jurnal Murid b.Jurnal refleksi penyelidik ii.Bahan audiovisual i.Catatan jurnal ii.Rakaman video i.Soalan bimbingan penulisan jurnal i.Murid i.Murid
Teknik temu bual
Temu bual kumpulan berfokus seperti yang disarankan oleh Berg (2004), Creswell (2008) dan Merriam (2009) dikendalikan secara rigid oleh penyelidik dalam kajian ini. Temu bual kumpulan berfokus diadakan kerana para peserta biasanya selesa semasa mereka berada bersama-sama rakan yang lain dan tidak kekok memberi pandangan. Menurut Creswell (2008), antara kebaikan temu bual kumpulan berfokus ialah individu dapat berinteraksi bersama-sama rakan dan tidak keberatan memberikan maklumat. Menurut Berg (2004), temu bual kumpulan berfokus menggalakkan peserta bercakap secara bebas tentang tingkah laku, sikap dan pandangan mereka.
135 Penyelidik menjalankan temu bual kumpulan berfokus di bilik darjah, di bilik perbincangan perpustakaan dan di dewan sekolah. Tempat temu bual yang selesa dipastikan untuk memberi kesempatan kepada peserta mengambil masa untuk berfikir, dan membuat interpretasi tentang perasaan, pandangan, pemahaman situasi dan implikasi penggunaan Teater Forum sebagai alat pedagogi pengajaran. Pada masa temu bual penyelidik juga telah memerhatikan tingkah laku peserta kajian dan mengemukakan soalan-soalan secara spontan untuk mengutip data bagi menjawab soalan kajian dari perspektif peserta sendiri. Penyelidik memaklumkan dan telah mendapatkan persetujuan peserta kajian untuk merakamkan temu bual ini dengan menggunakan alat perakam Sony Stereo IC Recorder (ICD-UX533F).
Dlam kajian ini, penyelidik menggunakan teknik temu bual intensif (Showand & Lishman, 1999) dengan membina soalan-soalan temu bual yang bersifat separa berstruktur terlebih dahulu sebelum ke lokasi kajian. Soalan-soalan temu bual separa berstruktur dikemukakan untuk membantu peserta memberi jawapan yang sesuai bagi menjawab soalan-soalan kajian yang berkaitan. Di samping itu, soalan yang disediakan juga menjadi panduan kepada penyelidik agar perbincangannya tidak menyimpang daripada objektif dan persoalan kajian. Menurut Showand dan Lishman (1999) teknik temu bual intensif ini mengandungi unsur kesahan dan kebolehpercayaan soalan separa berstruktur yang dibina.
Temu bual kumpulan berfokus diadakan dalam dua fasa. Setiap fasa mengambil masa antara 20 hingga 30 minit bagi mengelakkan rasa bosan peserta. Menurut Lim (2007), kualiti maklumat temu bual bergantung pada sejauh mana peserta masih ingat dan mahu memberitahu atau berkongsi maklumat tersebut. Oleh itu, penyelidik menjalankan temu bual sejurus selepas pengajaran selesai dilaksanakan untuk menjamin kualiti maklumat. Fasa pertama temu bual diadakan di akhir setiap gelungan (di
136 bahagian refleksi) iaitu selepas pengajaran yang menggunakan teknik Teater Forum selesai dilaksanakan dalam satu-satu gelungan. Sebanyak dua sesi temu bual diadakan dalam fasa pertama untuk mendapatkan data. Satu sesi temu bual dalam fasa kedua pula diadakan selepas selesainya kedua-dua gelungan kajian tindakan. Temu bual perlu dilaksanakan dalam beberapa sesi untuk maklumat yang berulang-ulang, sehingga maklumat mencapai titik tepu.
Setiap temu bual ditadbir dengan alat rakaman bagi tujuan merekodkan maklumat yang boleh diperoleh. Semasa temu bual penyelidik juga mencatatkan jawapan dan kata-kata peserta secara ringkas sebagai bahan sokongan kajian temu bual. Setelah selesai sesi temu bual setiap sesi rakaman telah ditranskripsikan pada hari yang sama. Hal ini memudahkan penyelidik bagi mengesan maklumat-maklumat yang kurang jelas agar dapat ditanya kembali pada fasa temu bual yang berikutnya.
Teknik pemerhatian
Dalam kajian ini, pemerhatian tidak turut serta dan pemerhatian turut serta digunakan sebagai teknik pengumpulan data (Anderson, Herr & Nihlen, 2005; Chow & Jaizah Mahamud, 2011; Creswell, 2012; Yin, 2009). Kedua-dua teknik pemerhatian ini menurut Yin (2009) adalah teknik pengumpulan data yang sesuai dan “sumber bukti” untuk kajian kualitatif. Penyelidik dan rakan kolaborasi telah merekodkan segala perlakuan peserta kajian Teater Forum di dalam kelas seperti yang ada. Segala tingkah laku dan amalan moral yang dilihat, didengar dan diperhatikan juga telah direkodkan. Pemerhatian yang lebih khusus, berfokus, spontan dan tersusun (Hopkins, 2008; Patton, 2002) dengan berpandukan protokol pemerhatian di bilik darjah telah dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat yang realistik.
Data telah dikutip oleh dua pihak iaitu penyelidik dan tiga orang guru Pendidikan Moral. Dalam kajian kualitatif penyelidik ialah instrumen utama (Patton,
137 2002). Oleh itu, kaedah pemerhatian secara aktif, langsung dan terbuka ditangani oleh penyelidik untuk mengutip data yang banyak dan terperinci dalam situasi pengajaran yang sebenar. Penyelidik menggunakan teknik pemerhatian turut serta kerana beliau sendiri mengajar Pendidikan Moral dengan menggunakan teknik Teater Forum. Data yang dikutip dengan cara ini lebih objektif (Denzin & Lincoln, 2000) kerana penyelidik telah masuk ke dalam kumpulan peserta kajian dan peserta menyedari tujuan dan fokus kehadiran penyelidik di lokasi kajian. Penyelidik merekodkan pengalaman yang diterima di lokasi kajian semasa pengajaran demi mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Segala aspek yang diperhatikan telah dicacatkan oleh penyelidik sejurus selepas selesai satu-satu sesi pengajaran.
Rakan kolaborasi telah menggunakan teknik pemerhatian tidak turut serta dan mereka duduk di belakang kelas sewaktu pengajaran berlangsung. Mereka tidak campur tangan dalam sesi pengajaran yang dilaksanakan oleh penyelidik bagi mendapatkan gambaran yang sebenar. Data yang dikutip oleh rakan kolaborasi melalui teknik pemerhatian tidak turut serta bertujuan untuk mengesahkan lagi data yang dikumpulkan oleh penyelidik yang menggunakan cara pemerhatian turut serta.
Perlu juga ditegaskan bahawa pemerhatian ini ditumpukan kepada semua peserta kajian iaitu pelakon teater anti-model, Joker dan penonton-pelakon (spect-actors) untuk mendapat gambaran yang lebih holistik. Bagi tujuan mewujudkan garis panduan pemerhatian dalam kelas dijalankan dalam keempat-empat langkah Teater Forum yang dilaksanakan iaitu pemerhatian semasa sesi mengembangkan skrip, lakonan anti-model, sesi forum dan sesi intervensi Teater Forum. Aspek sama ada para peserta memahami isu yang dibincangkan juga diperhatikan semasa peserta terlibat dalam sesi forum dan sesi intervensi. Pemerhatian dilakukan dalam ketiga-tiga gelungan kajian tindakan yang dilaksanakan untuk mengutip data tentang penaakulan, emosi dan amalan moral.
138 Catatan jurnal
Jurnal murid
Para peserta telah menulis jurnal sejak hari pertama pengajaran dijalankan. Hal ini dapat dibuktikan dengan merujuk kepada tarikh catatan jurnal. Penyelidik mengingatkan peserta untuk menulis jurnal setiap hari selepas selesainya sesi pengajaran. Penyelidik telah memberikan masa sepuluh minit selepas satu-satu sesi pengajaran kepada murid untuk menulis jurnal. Jurnal setiap murid telah dikumpulkan seminggu sekali oleh penyelidik untuk memastikan murid ada menulis jurnal. Penerangan telah diberikan kepada peserta yang masih belum faham akan cara penulisan jurnal.
Rata-ratanya peserta ada mencatatkan refleksi tentang pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Peserta ada mencatatkan pemerhatian, pemahaman, perasaan dan implikasi mereka tentang Teater Forum di dalam jurnal. Peserta juga ada menyertakan skrip lakonan anti-model dan skrip intervensi Teater Forum dalam catatan jurnal sebagai maklumat tambahan untuk kenyataan mereka.
Jurnal refleksi penyelidik
Penyelidik sendiri telah mencatatkan segala pemerhatian, pandangan, perasaan, implikasi dan refleksi dalam jurnal peribadi. Penyelidik menulis jurnal sejurus selepas pengajaran pada hari tersebut selesai dilaksanakan. Selain itu, penyelidik juga telah membuat catatan selepas fasa IV (fasa refleksi) dalam setiap gelungan kajian tindakan. Catatan dan refleksi seperti masalah dalam pelaksanaan teknik Teater Forum, kelebihan, kekurangan dan implikasi Teater Forum direkodkan. Jurnal penyelidik telah menjadi rekod bertulis untuk refleksi yang dijalankan oleh penyelidik.
139 Rakaman video
Penyelidik telah merekodkan proses pengajaran dan pembelajaran secara terperinci melalui perakam video digital mudah alih (Panasonic Digital Video Camera-HC-V10). Rakaman ini digunakan untuk meninjau semula pengalaman yang dilaluinya. Tingkah laku peserta yang terlibat dalam tiga gelung kajian tindakan telah dirakamkan oleh penyelidik.
Penyelidik telah menggunakan bantuan rakan kolaborasi untuk merakam segala aktiviti sebenar semasa pengajaran. Perakam video yang digunakan berupaya untuk merakamkan gambaran bagi keseluruhan kelas. Penyelidik meminta rakan kolaborasi untuk mengubah suai fokus rakaman alat perakam video semasa penyelidik membuat perbincangan dari meja ke meja khususnya semasa langkah mengembangkan skrip, lakonan anti-model dan intervensi. Rakaman video membolehkan penyelidik mengenal pasti kekuatan, kelemahan teknik Teater Forum serta meninjau bagaimana murid berinteraksi dengan penyelidik dan sesama murid yang lain (McNiff & Whitehead, 2010).
140 PROSEDUR KAJIAN