• Tidak ada hasil yang ditemukan

Teater dalam pendidikan ditakrifkan sebagai sebuah gerakan yang bermula di Britain pada pertengahan 1960-an sebagai tindak balas langsung kepada keperluan untuk kedua-dua aspek teater dan sekolah (Jackson, 1993). Ahli kumpulan program

86 teater dalam pendidikan yang berperanan sebagai pelakon-guru menggunakan kemahiran teater yang dimiliki untuk melihat kehidupan dan budaya masyarakat untuk mewujudkan satu proses pembelajaran yang kaya. Menurut Vallins seperti yang dinyatakan dalam Coult (1980) matlamat utama teater dalam pendidikan ialah untuk “to explore the value of drama in the development of a child’s personality, to experiment in teaching methods using drama and theatre techniques, and to stimulate an interest in theatre in adult life” (p. 78).

Persoalan sama ada teater dalam pendidikan sebagai satu pedagogi atau strategi pengajaran dalam pendidikan sering diutarakan. Namun tumpuan utama bidang teater dalam memaparkan isu-isu berkaitan dengan moral dan etika membuktikan teater mempunyai signifikan dalam pendidikan (Zalila Sharif, 2008). Menurut Connelly dan Clandinin (1999), pula “education is ultimately a moral and spiritual pursuit and education is the driver of social change” (p. 133). Pammenter (1993) menganggap teater sebagai seni sosial dan oleh itu teater dalam pendidikan sering melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan lebih serius. Jelasnya, teater dalam pendidikan menjadi satu program pemangkin perubahan sosial melalui pembelajaran aktif yang akar umbinya bermula dari sekolah.

Gordon Vallins ialah pengasas kumpulan teater Belgrade Coventry yang menggunakan idea teater dalam pendidikan di Britain pada tahun 1964 (Jung, 2008). Beliau yang berpegang pada aliran pendidikan progresif menerangkan teater sebagai satu keperluan sosial dan dirinya sebagai hamba komuniti. Beliau juga menyedari potensi pendidikan dalam teater dalam kalangan murid yang melakonkan masalah-masalah yang diberikan. Selain itu, aspek komunikasi antara manusia, pemikiran, perasaan dan tindak balas kepada keadaan hidup murid juga menjadi matlamat teater dalam pendidikan. Menurut Giroux (1988), tindak balas terhadap keadaan hidup murid bermaksud:

87 that [we must] make classroom knowledge relevant to the lives of their students so that the students have a voice, that is, affirm student experience as part of the pedagogical encounter by providing curriculum content and pedagogical practices which resonate with the life experiences of the students (p. xvi).

Menurut Redington (1983) terdapat beberapa elemen teater dan elemen pendidikan dalam konsep teater dalam pendidikan. Antara elemen pendidikan ialah pendekatan berpusatkan murid, menggunakan unsur permainan, belajar melalui amali, pengajaran projek, aspek penyelesaian masalah dan perkembangan bahasa yang sesuai dengan kumpulan umur. Manakala elemen teater pula ialah bentuk teater itu sendiri, sikap empati, hubungan pelakon dan penonton, merancang atau menubuhkan kumpulan, isu-isu politik dan sosial serta peralatan teater. Menurut beliau lagi program teater dalam pendidikan telah membawa satu paradigma baharu dalam pengajaran. Murid kini boleh menjalankan aktiviti main peranan, bertukar-tukar peranan dan menyoal serta membincangkan motivasi watak-watak yang menjayakan sesebuah persembahan teater.

Jackson (2001) juga bersetuju teater dalam pendidikan terdiri daripada unsur teater dan pendidikan. Program ini bukanlah sesuatu persembahan teater orang dewasa di sekolah, yang bermusim dan diadakan tanpa sebarang perancangan. Program ini adalah suatu program yang mempunyai struktur, dirancang dan dikaji oleh kumpulan teater. Topik-topik yang diambil sebagai tema persembahan pula relevan kepada kurikulum sekolah dan berkaitan dengan realiti kehidupan harian murid. Tema-tema ini akan dipersembahkan dalam bentuk lakonan di sekolah dengan melibatkan murid secara langsung dalam pengalaman, situasi dan masalah yang dipaparkan melalui topik yang terpilih itu.

Para penggiat program teater dalam pendidikan yang profesional biasanya akan berurusan dengan bahan kukuh yang berkaitan dengan dunia sebenar (Jackson, 1993). Ahli-ahli kumpulan teater dalam pendidikan mempunyai kemahiran yang kukuh dari segi latar belakang seni atau pengalaman mengajar. Kumpulan-kumpulan teater ini

88 menghubungkan sekolah dengan masyarakat setempat yang mana program teater dalam pendidikan berfungsi sebagai medium interaktif yang berkaitan dengan topik-topik kontroversi. Hal ini dapat membantu murid untuk mempunyai pemikiran dialektik dan berani memberi komen terhadap isu-isu kontroversi. Program ini berbeza daripada pengajaran tradisional yang bergantung hanya pada satu cara pemindahan maklumat. Program teater dalam pendidikan ialah kaedah pelbagai-cara untuk membenarkan murid melalui pengalaman dan merangsang pemikiran serta dialog mereka.

Jackson (1993) mengaku teater dalam pendidikan adalah suatu konsep yang menggabungkan kemahiran teknik teater tradisional dengan falsafah pendidikan yang moden. Teater menjadi wahana pembelajaran yang memberikan kesan yang langsung terhadap emosi dan intelek murid. Teater memerlukan penglibatan aktif murid dalam proses yang sama sekali berbeza daripada pengajaran yang konvensional. Penglibatan murid secara langsung dalam situasi pengalaman seperti yang dinyatakan oleh Dewey (1897) menggalakkan mereka belajar melalui amali dengan berinteraksi sesama murid lain. Hal ini membolehkan murid mengenali diri mereka dan dunia mereka. Menurut Cooper (2004), melibatkan diri dalam drama dan teater adalah satu-satunya cara murid dapat mengenali siapa diri mereka dan menerima tanggungjawab untuk diri mereka sendiri.

Pendidikan pula perlu mewujudkan peluang bagi murid untuk berimaginasi, berfikir, berkomunikasi, berkongsi dan mengenali diri mereka sendiri. Murid dikatakan belajar melalui pengalaman yang berbeza sama sekali dengan pengajaran tradisional yang bersifat sehala di bilik darjah (Bailin, 1993). Teater dalam pendidikan dikatakan telah memperkenalkan satu pedagogi baharu. Program teater dalam pendidikan mempunyai signifiken yang nyata dalam dunia pendidikan kerana objektif dan fungsinya yang unik. Program teater dalam pendidikan menggunakan pendekatan pengajaran yang memaparkan pelbagai pemikiran yang meliputi isu-isu sebenar, isu-isu

89 sosial yang serius, dialog, bahasa, nilai estetik dan hubungan dialektik yang bersifat interaktif. Kesemua sifat ini menggalakkan pembelajaran melalui situasi dan pembelajaran melalui pengalaman dalam bilik darjah (Dewey, 1947).

Progran teater dalam pendidikan berdasarkan pedagogi yang berpusatkan murid dan program ini memberikan tumpuan kepada “pemikiran murid” (Bailin, 1993). Murid diminta untuk bertindak balas kepada situasi dan diminta untuk menjalankan tugas sebenar dalam kapasiti mereka. Teater dalam pendidikan mempunyai makna yang kolektif dan bersepadu dalam keseluruhan proses kerana dalam teater tiada apa pun yang wujud secara berasingan (McAuley, 2000). Becker (2003) menyatakan bahawa program teater dalam pendidikan ialah satu tindakan kolektif. Menurut beliau terdapat dua makna tindakan-kolektif. Pertama ialah pengajaran kolektif dan tindakan pembelajaran yang wujud apabila murid terlibat dalam proses teater dalam pendidikan berlangsung. Pengertian yang kedua pula berkaitan dengan pengaruh teater dalam pendidikan ke atas masyarakat, sistem pendidikan dan budaya.

Proses rundingan, penerokaan pengalaman melalui tontonan, berbual-bual, berbincang, berkomunikasi, bertukar-tukar peranan dan watak adalah gaya teater. Semua tindakan ini yang menunjukkan interaksi kompleks antara fizikal dan fiksyen akan melahirkan makna pembelajaran kepada individu (McAuley, 2000). Lazimnya, guru-guru menunjukkan kekuasaan mereka di sekolah. Perkara ini tidak dapat dielakkan di dalam kelas yang distrukturkan secara konvensional yang secara automatik menggunakan sistem yang berdasarkan hierarki. Sebaliknya, tempat dan latar pengajaran teater dalam pendidikan lebih terbuka dan bebas, proses kerja lebih fleksibel dan guru sentiasa menunjukkan kerjasama yang dinamik untuk melahirkan kebebasan pergerakan, fikiran, dan perasaan. Hal ini sejajar dengan pemikiran Freire (1970) tentang pendidikan bahawa:

90 ...the programme content of the problem-posing method…dialogical par excellence…is constituted and organized by the students’ view of the world, where their own generative themes are found. The content thus constantly expands and renews itself (p. 109).

Dalam membincangkan hubungan seni dan pendidikan, Nicholson (2003) mengatakan “learning through theatre makes the connection between humanness, democracy and education” (p. 13). Menurut ahli psikologi Bruner (1972), dalam menjelaskan tindakan yang terlibat dalam pembelajaran, pembelajaran sesebuah subjek melibatkan tiga proses yang hampir berlaku serentak. Pertama ialah wujudnya pemerolehan maklumat baharu. Kedua ialah aspek pembelajaran yang boleh dikenali sebagai transformasi dan aspek ketiga ialah pembelajaran penilaian. Teater dalam pendidikan merealisasikan ketiga-tiga aspek pembelajaran ini (Bruner, 1972).

Pengaruh pendekatan berpusatkan murid juga memberikan kesan kepada program teater dalam pendidikan. Antaranya ialah strategi pengajaran di dalam kelas yang berbeza daripada sikap tradisional guru yang sentiasa berada di hadapan kelas untuk memudahkan pengajaran dan mengawal kelas. Teater dalam pendidikan telah mencabar pandangan sehala guru yang memiliki kuasa, pengaruh dan pengetahuan. Teater menjadi satu model pendidikan yang hidup dan berpotensi untuk membawa perubahan dalam pendidikan. Program ini melibatkan perubahan bukan sahaja dalam strategi pengajaran yang mudah tetapi juga dalam prinsip asas pendidikan konvensional. Menurut Coult (1980), “old models of competitive skill … and rote-learning … were challenged by new models of problem-solving, mixed ability teaching, cooperative working and self-discovery” (p. 77).

Kini seolah-olah terdapat satu rundingan semula dalam hubungan antara guru dan murid yang melibatkan interaksi yang lebih demokratik (Coult, 1980). Murid-murid kini digalakkan untuk membina realiti mereka sendiri dan bukannya yang disogokkan ke atas mereka oleh orang dewasa. Menurut Pammenter (1993):

91 “Child-centred”represents the significance of “emancipation”, in which the child, the learner, is the main object of learning; the child is posited in equal position, and co-constructs knowledge with teachers. And, TIE methods play a ‘role in the opening up of children’s minds to ways of looking at the world’ (p. 59).

Selain itu, program teater dalam pendidikan bukan sahaja membesarkan dunia sosial murid seperti mendorong murid untuk suka bergaul tetapi juga menanam kompetensi mereka dalam berfikir, menganalisis, menilai, mengulas, berkomunikasi, dan berunding melalui dialog kumpulan. Selepas itu, mereka juga boleh memiliki pemikiran dialektik mereka sendiri. Hasilnya, murid-murid akan sentiasa bertindak balas secara rasional dan program ini dapat membuka minda murid khususnya dalam cara mereka melihat dunia (Pammenter, 1993). Sebenarnya, murid yang telah mengalami konflik dan tekanan situasi kehidupan dalam program teater dalam pendidikan akan mampu membentuk semula kognisi mereka semasa berhadapan dengan situasi sosial yang sebenar dalam kehidupan harian.

Teater dalam pendidikan pula dikatakan sebagai teater “tindakan” yang digabungkan dalam pendidikan di sekolah. Istilah tindakan menurut Becker (2003) ialah perbuatan atau proses membuat sesuatu biasanya untuk mencapai matlamat. Proses teater dalam pendidikan membentuk satu produksi yang lengkap, mengandungi gaya persembahan, teks persembahan atau lakonan, gaya lakonan, muzik, masa dan irama. Seluruh program ini menyumbang kepada pengalaman estetik untuk peserta. Kisah dan lakonan mestilah sahih supaya kita boleh bergerak dan menyentuh peserta, memujuk mereka untuk berinteraksi dan melakukan sesuatu untuk membawa perubahan dan menyelesaikan masalah yang wujud dalam realiti mereka sendiri.

Bidang sosiologi pendidikan melihat pendidikan terletak dalam sistem sosial dan pendidikan sendiri sebagai satu fenomena sosial. Apabila pendidikan difahami dalam konteks sosial yang lebih luas maka ia perlu memberikan tumpuan kepada proses pembelajaran kedua-dua individu dan masyarakat. Menurut Nicholson (2003), teater

92 dalam pendidikan berfungsi sebagai pemangkin pembelajaran murid; teater menjadi gelanggang untuk murid berganjak kepada keadaan yang mana kemanusiaan diiktiraf oleh orang-orang yang mempunyai kebebasan imaginasi untuk bertindak dan berkelakuan terhadap orang lain sebagai satu tanggungjawab kolektif dan sosial.

Program teater dalam pendidikan ialah satu bentuk seni teater yang kompleks dan bersepadu yang menyediakan pengalaman teater secara menyeluruh (Robinson, 1993). Melalui wahana lakonan dan aktiviti main peranan, murid yang melalui pemikiran dan pertimbangan sendiri akan bertindak balas dalam medium seni ini untuk melibatkan diri dalam pemikiran dialektik. Menurut Schweitzer (1980):

Theatre in education is not for teaching skills, but for working out relationships, seeing connections, understanding the complexities of social hierarchies, seeing through specious arguments and divining truth (p. 15).

Fisher (2003) pula menganggap objektif utama program teater dalam pendidikan ialah untuk menggalakkan murid berfikir. Mengapa dan bagaimana berfikir menjadi fokus program ini? Satu fungsi pendidikan ialah untuk mengajar murid tentang mengapa dan bagaimana untuk berfikir. Oleh itu kita perlu menjadikan pedagogi teater dalam pendidikan sebagai komponen kurikulum berfikir. Bagi Fisher (2003):

The development of our minds is part of what it means to be educated, because it is part of what it means to be human. According to this view the key function of education is to teach children to think critically, creatively and effectively (p. 6). Struktur teater dalam pendidikan

Struktur teater dalam pendidikan mengandungi isu-isu yang membolehkan teater dapat mencapai sasaran dengan berkesan. Setiap satu elemen yang wujud mampu membina keseluruhan matlamat teater dalam pendidikan (O’Toole, 1976). Aspek seperti topik atau isu yang dipilih, penggunaan pelbagai rangsangan dalam elemen lakonan, teater interaktif dan maklumat serta-merta, perbincangan seluruh kumpulan atau

93 sebahagian kumpulan, tindakan susulan serta penilaian menjadikan program ini sebagai satu entiti yang lengkap.

O’Toole (1976) menyatakan beberapa identiti teater dalam pendidikan. Antaranya ialah bahan-bahan yang digunakan dirancang khas untuk keperluan murid dan kekuatan pasukan. Murid-murid sering diminta untuk mengambil bahagian, diberikan peranan, mereka mempelajari kemahiran, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah. Kumpulan teater yang membuat persembahan biasanya menyedari kepentingan konteks pengajaran dan mereka cuba untuk menyediakan cadangan untuk kerja-kerja susulan.

Coult (1980) menggambarkan program ini sebagai menitikberatkan penglibatan penonton ke dalam dunia lakonan. Penglibatan ini membolehkan mereka (penonton) untuk membina makna mereka sendiri daripada bukti-bukti yang dipaparkan melalui persembahan teater. Seni ini juga bertujuan untuk memupuk sikap kritis, kreatif, dan analitik dalam sistem pemikiran murid. Selain itu, program teater dalam pendidikan ialah satu bentuk “seni-kemanusiaan”. Seni-kemanusiaan ini membawa konotasi bahawa sifat manusia tidak tetap atau sejagat dan ia ditentukan oleh aktiviti sosial dan atas alasan ini beliau percaya sifat manusia ini dapat diubah melalui teater dalam pendidikan.

Teater dalam pendidikan juga mempunyai perbezaan yang ketara dengan persekitaran bilik darjah yang tradisional. Ruang teater dalam pendidikan adalah terbuka dan tidak rigid dengan corak tempat duduk yang tertentu. Tempat duduk murid boleh berubah-ubah supaya memberikan peluang untuk penyertaan dan komunikasi. Keadaan ini membenarkan murid untuk melibatkan diri, menyuarakan idea untuk dipertimbangkan, bekerjasama dan berkongsi maklumat.

94 Elemen persembahan atau lakonan dalam program teater dalam pendidikan menjadi wahana untuk murid berkomunikasi. Cerita bertulis mesti diubah menjadi skrip dan dilakonkan. Cerita dan lakonan adalah asas program teater dalam pendidikan kerana cara bagaimana guru bercerita dan menyampaikan mesej melalui lakonan akan memimpin murid ke dalam refleksi intrinsik dan tindakan yang positif. Aspek persembahan dalam program ini adalah lebih fleksibel daripada persembahan dalam ruang teater tradisional. Teater dalam pendidikan penuh dengan ilusi, plot, watak dan ironi dramatik adalah lebih kurang sama seperti bentuk teater yang lebih konvensional (Schwartz, 2002).

Elemen rangsangan majmuk ialah satu bentuk orientasi penonton ke arah cerita agar mereka dapat menumpukan perhatian dan terlibat secara emosi dalam lakonan yang dipersembahkan. Menurut Somers (2004), rangsangan majmuk berkait rapat dengan rasa ingin tahu manusia. Fasilitator pula akan menggunakan elemen ini untuk memimpin murid mempertimbangkan soalan-soalan seperti apakah yang akan berlaku kepada watak protagonis? Apakah kegemarannya? dan bagaimanakah dia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya? Soalan-soalan ini akan mendorong penonton untuk menjana satu siri andaian atau hipotesis tentang kisah yang menjadi fokus persembahan tadi. Usaha untuk mengenal pasti watak, perwatakan dan permasalahan mereka dalam sesebuah persembahan menjadi fasa yang penting untuk interaksi dialektik dalam kalangan penonton.

Unsur interaktif bukan sahaja melibatkan penonton dalam cerita malahan ia menjadi satu latihan untuk membentuk naluri caring (Noddings, 1994, 2006) mereka terhadap watak protagonis dan watak-watak lain dalam cerita. Pelajar akan terlibat dalam aktiviti ambil peranan, main peranan, pertukaran peranan watak, hot-sitting, perbincangan kumpulan kecil, Teater Forum separa dan sebagainya. Melalui penglibatan dan interaksi sesama murid lain mereka dapat mencipta pelbagai simulasi

95 untuk mewujudkan makna yang baharu. Potensi murid dapat dirangsang. Cerita dan masalah yang ditimbulkan dalam persembahan pula dapat membangkitkan inspirasi, ilham dan pengetahuan.

Gallagher dan Booth (2003) dalam kajian mereka menyatakan pelakon lelaki dan wanita, penyanyi, pelakon-pelajar, penulis skrip, pembikin filem, pengarah, para pendidik dan para penyelidik mengakui bahawa teater mendidik. Para penggiat seni sebenarnya ada menunjukkan tanggungjawab untuk membina pengetahuan melalui bidang ini dengan nada yang sahih daripada pengalaman peribadi mereka. Sebenarnya terdapat hubungan intim antara teater dan kehidupan yang mana pengalaman yang diperoleh melalui teater disimpan dalam bank memori dan mereka menggunakannya dalam menghadapi situasi kehidupan harian. Menurut Levy (1997), “memory does work in this way, fiction of all kinds, and theatre in particular, could, and perhaps already does, become the raw data for both moral belief and moral action” (p. 70).

Schonmann (2005) merumuskan bahawa terdapat tiga orientasi yang saling berkaitan dalam bidang teater dalam pendidikan. Orientasi itu ialah artistik-estetik, pedagogi-pendidikan, dan sosiologi-budaya. Namun, dalam ketiga-tiga dimensi ini dimensi artistik-estetik menjadi pokok untuk perkembangan mekar bunga pedagogi dan budaya. Oleh itu, penglibatan dalam teater pendidikan memerlukan seseorang untuk mempelajari dan menggunakan bahasa seni teater untuk mencapai dan mengetahui mod estetik. Menurut Eisner (1985), “we are motivated by our own need to give order to our world ... to confer aesthetic order upon our world is to make that world hang together to fit, to feel right, to put things in balance, to create harmony” (p. 24).