Laporan Hak Asasi Manusia SUARAM 2014
Penghargaan
Penerbitan Laporan Hak Asasi Manusia SUARAM 2014 ini berjaya direalisasikan hasil usaha dan sokongan semua pihak, khususnya para penyelidik, penulis, editor, pereka bentuk dan penyelaras Suaram.
Bab 1 sehingga Bab 5 dan Bab 10 sehingga Bab 12 adalah hasil tulisan aktivis Suaram sendiri, iaitu Serene Lim dan Tarmizi Anuwar. Antara penulis lain yang turut menyumbang adalah Suri Kempe-Kebebasan Beragama (Bab 6), James Loched-Pelarian dan Pendatang (Bab 7), Ngeow Chow Ying-Hukuman Mati (Bab 8) dan Wong Chin Huat-Pilihanraya Bersih dan Adil (Bab 9). Manakala cetusan istimewa mengenai Perjuangan Hak Orang Asal dalam Mempertahankan Hak Tanah, Kesejahteraan Hidup dan maruah adalah sumbangan idea daripada Tanya Lee, aktivis Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS). Karya kartunis hak asasi iaitu Zulkiflee Anwar haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, turut dimuatkan dalam bahagian penampilan istimewa.
Oleh itu, SUARAM ingin merakamkan setinggi-tinggi pengrhargaan kepada para penulis, kartunis dan semua pihak yang telah berusaha keras sehingga laporan ini berjaya diterbitkan.
Penyunting Utama laporan ini adalah Dr Kua Kia Soong, Dr Yeoh Seng Guan dan james Lochead. Turut terlibat dalam proses suntingan adalah aktivis SUARAM iaitu Serene Lim, Tarmizi Anuwar dan Syukri Razab yang menilai selia bahagian-bahagian tertentu.
Tidak dilupa juga ucapan terima kasih kepada Malaysiakini yang telah memberi kebenaran kepada pihak SUARAM untuk memuatkan gambar-gambar terbitan Malaysiakini dalam laporan ini.
Akhirnya sekali, SUARAM ingin merakamkan penghargaan dan solidariti kepada semua kumpulan masyarakat sivil dan pejuang hak asasi manusia di Malaysia Tanpa dedikasi, ketabahan dan pengorbanan anda dalam memperjuangan hak asasi manusia khususnya di Malaysia, sudah pasti laporan ini tidak akan menjadi kenyataan.
Pengantar
Sejak tahun 1998, Laporan Tahunan Hak Asasi Manusia Suaram telah berjaya dihasilkan secara berani dan adil dalam menilai sejauh mana Negara Malaysia telah mengimplimentasikan hak-hak kebebasan universal. Perjuangan untuk mengartikulasikan hak-hak ini dalam berperlembagaan, perundangan dan institusi telah menelan banyak dekad hasil kerja keras seluruh umat manusia.
Hari ini, meskipun takrif ‘Kebebasan’ itu mungkin berbeza mengikut budaya, masyarakat mahupun secara individu, tetapi aspirasi sejagat tetap berkongsi hasrat untuk memiliki kehidupan yang baik, bebas daripada sebarang diskriminasi, ekploitasi dan penindasan. Sekali lagi, laporan pada tahun ini mempamerkan secara komprehensif mengenai ketidakadilan dan pencabulan demokrasi yang masih membelengu masyarakat Malaysia. Terdapat bentuk ketidakadilan yang muncul akibat kepercayaan pemerintah yang terus-menerus menggubal undang-undang yang ketinggalan zaman. Terdapat juga bentuk ketidakadilan yang berlaku hasil tingkah laku individu atau kumpulan tertentu yang mahu mentakrifkan Malaysia mengikut kaca mata sempit mereka.
Sudah pasti, laporan ini semestinya akan mengganggu dan mungkin akan membangkitkan kepasrahan, bergantung kepada perspektif yang berbeza para pembaca. Tetapi, tersemadi juga dalam laporan ini kisah keberanian lelaki dan wanita yang masih terus berharap dan berjuang untuk membina Malaysia yang lebih baik, walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan yang sangat dasyat. Dalam menilai kesungguhan itu, maka laporan ini menjadi saksi kepada perjuangan mereka.
Dr Yeoh Seng Guan Pengarah SUARAM
Ringkasan Eksekutif
Pada tahun 2014, rekod hak asasi manusia di bawah pemerintahan Najib Razak mencecah prestasi yang paling rendah. Najib cuba memperkenalkan beberapa langkah transformasi pada tahun 2009 sewaktu beliau mula memegang tampuk pemerintahan. Tindakan ini dipercayai dibuat demi memperolehi semula kepercayaan rakyat ekoran kemerosotan prestasi BN pada Pilihanraya Umum 2008. Namun setelah BN gagal mengembalikan kepercayaan rakyat pada Pilihanraya Umum 2013, Kerajaan mula mengambil langkah ke belakang dengan membiarkan ‘transformasi’ sekadar menjadi slogan kosong. Yang paling ketara apabila Kerajaan membuat pusingan ‘U’ terhadap janji untuk memansuhkan Akta Hasutan. Perdana Menteri jelas tewas kepada desakan kumpulan kanan dalam BN dan seolah-olah ingin memberi pengajaran kepada rakyat yang telah menolak BN.
Tahun 2014 menyaksikan peningkatan ucapan berunsur kebencian dan keganasan oleh kumpulan ekstrim melayu yang mencetuskan kebencian antara kaum dan agama. Malangnya perkara ini seperti tidak ditangani secara bersungguh oleh pihak berkuasa malah dibiarkan terus berlaku. Semasa dalam mesyuarat antarabangsa yang berprofil tinggi, Perdana Menteri sentiasa menyatakan komitmennya untuk membentuk masyarakat yang moderat dan bertoleransi, tetapi hakikatnya di Malaysia, hubungan antara etnik terus renggang dan tegang.
Jurang antara retorik dan realiti terus didedahkan dengan layanan buruk terhadap pelarian, mangsa perdagangan dan pekerja asing di negara ini. Merujuk kepada Laporan Tahunan "Pemerdagangan Orang" Jabatan Negara AS Laporan dan "Indeks Hak Global: Negara-negara paling teruk di Dunia untuk Pekerja", kedudukan Malaysia jatuh ke paras terendah dan telah diletakkan setaraf dengan Laos, Kemboja, Qatar, Korea Utara dan Zimbabwe. Semakan Berkala Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah mencadangkan 232 saranan untuk meningkatkan kualiti hak asasi manusia di Malaysia, namun Kerajaan Malaysia hanya menerima 150 daripada saranan tersebut. Lebih malang apabila semua saranan penting yang boleh melonjakkan prestasi amalan hak asasi manusia di Malaysia semuanya ditolak oleh pihak Kerajaan.
Tahan Tanpa Bicara
Pemansuhan ISA tidak memberi sebarang makna kepada hak asasi di Malaysia apabila Kerajaan Malaysia terus menggubal undang-undang baru yang memiliki peruntukan tahan tanpa bicara iaitu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, (POCA) dan yang terbaru ialah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Sepanjang 2014, 31 orang ditahan di bawah SOSMA menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 146 orang. Pada 25 April 2014, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan bahawa 116 telah ditangkap di bawah POCA di seluruh negara dalam tempoh beberapa minggu sejak akta tersebut diwartakan.
Penyalahgunaan Kuasa Polis
Polis Diraja Malaysia terus beroperasi tanpa pemantauan yang berkesan apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) masih belum ditubuhkan selain daripada tiada perlantikan pesuruhjaya yang baru dalam Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Natijahnya, 14 kes kematian dalam tahanan direkodkan sepanjang tahun 2014.
Kebebasan Bersuara dan Maklumat
Hak Kebebasan Bersuara melalui tempoh getir sepanjang tahun 2014 apabila Kerajaan secara kuku besi menggunakan Akta Hasutan untuk mengekang hak rakyat untuk bersuara. SUARAM merekodkan sebanyak 44 orang telah disiasat, didakwa dan dihukum di bawah akta ini. Antara yang menjadi mangsa kezaliman Akta Hasutan ini termasuklah wakil rakyat, peguam, ahli akademik, wartawan, aktivis dan mahasiswa. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Perdana Menteri mengumumkan akan memperkasakan Akta Hasutan, sekaligus membuat pusingan ‘u’ terhadap janji beliau sebelum ini yang berjanji akan memansuhkan Akta Drakonian ini.
Kebebasan Berhimpun
Tekanan pihak berkuasa terhadap Hak Kebebasan Berhimpun reda buat seketika apabila Mahkamah Rayuan membuat penghakiman bahawa Akta Perhimpunan Aman bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, hal tersebut masih tidak menghalang untuk pihak Polis menggunakan Kanun Keseksaan bagi mengekang hak berhimpun justeru menyebabkan 15 orang aktivis Anti-Lynas ditahan dan didakwa pada Jun 2014.
Kebebasan Berorganisasi
Hak Kebebasan Berorganisasi menerima tekanan yang kuat oleh pihak berkuasa pada tahun 2014. Hal ini berlaku terhadap beberapa organisasi masyarakat sivil seperti Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO), Negara-Ku, Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS), Sarawak Assosiation for Peoples’ Aspiration (SAPA) dan Sisters In Islam (SIS)
Kebebasan Beragama
Tahun 2014 menyaksikan banyak kekangan dan sekatan ke atas kebebasan beragama. Hal ini dilihat dalam beberapa peristiwa seperti dalam kes pertikaian undang-undang yang berterusan ke atas hak untuk menggunakan perkataan "Allah" oleh orang bukan Islam,
serbuan dan rampasan kitab Injil, tangkapan ke atas penganut Syiah dan lain-lain. Suaram percaya keadaan ini berkait rapat dengan perkembangan politik tempatan. Suruhanjaya AS Untuk Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF) meletakkan Malaysia pada tahap 2, iaitu pada tahap yang sama dengan Negara-negara seperti Myanmar, China , Iran, Iraq, Pakistan dan Sudan. Laporan itu juga menyatakan, "jalinan antara agama, etnik, dan politik di Malaysia merumitkan perlindungan kebebasan agama bagi minoriti agama dan umat Islam bukan Sunni."
Pelarian dan Pendatang
2014 merupakan tahun yang mencabar bagi pelarian, pencari suaka dan pekerja asing di Malaysia. Wujud masalah yang dikongsi oleh ketiga-tiga kumpulan ini, seperti perlindungan yang terhad oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap aktiviti perhambaan moden, penyeludupan manusia dan unsur-unsur jenayah yang lain. Mereka juga berhadapan dengan pelbagai diskriminasi di tempat kerja, selain isu-isu lain seperti masalah dengan perkahwinan, keluarga dan keselamatan..
Pilihanraya Bebas dan Adil
Terdapat lima pilihan raya kecil yang berlangsung pada tahun 2014 dan kita dapat melihat kelemahan terus berlaku, tetapi secara umumnya tiada kes serius melibatkan keganasan atau gangguan. Antara Plihanraya kecil yang berlangsung pada tahun 2014 adalah pilihan raya kecil berada di kerusi negeri Balingan (Sarawak), kerusi Parlimen Bukit Gelugor (Pulau Pinang), DUN Pengkalan Kubor (Kelantan), DUN Kajang (Selangor) dan kerusi Parlimen Teluk Intan. Kelemahan ketara yang dapat dilihat dalam setiap pilihanraya kecil ialah ketidakseimbangan jumlah pengundi disebabkan oleh proses persempadanan semula yang berat sebelah.
Hukuman Mati
Selain daripada maklumat dua hukuman mati telah dihentikan pada awal tahun ini, tiada maklumat yang jelas mengenai bilangan sebenar hukuman mati yang dijalankan untuk tahun 2014, walaupun Parlimen mendedahkan sebanyak 30 hukuman mati telah dilaksanakan di antara tahun 1998 dan 2014. Menurut Amnesty International Malaysia, terdapat lebih kurang 1000 orang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 56 orang dihukum mati pada tahun 2014, lebih separuh daripada mereka telah dihukum kerana kesalahan dadah.
Undang-undang dan Kehakiman
Perkembangan Undang-undang dan kehakiman di Malaysia bercampur antara positif dan negatif dalam konteks pembangunan hak asasi manusia. Sabitan Anwar Ibrahim dan hukuman yang berlebihan ke atas Safwan Anang dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan telah mengukuhkan persepsi awam tentang limitasi kebebasan kehakiman di Malaysia. Namun, terdapat juga beberapa perkembangan positif yang berlaku di Mahkamah Rayuan melibatkan keputusan berkenaan kes Akta Perhimpunan Aman dan hak orang transgender.
SUHAKAM
Sepanjang kewujudannya, SUHAKAM telah membuktikan eksistensinya sebagai sebuah badan berkanun yang bebas dalam mempromosi dan melindungi hak asasi rakyat Malaysia. Ini dapat dilihat melalui penglibatan SUHAKAM dalam pelbagai isu-isu hak asasi manusia dan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan, walaupun kritikan tersebut menyentuh perkara-perkara yang dianggap sensitif. Walaupun prestasi SUHAKAM menunjukkan trek rekod yang baik, namun pihak kerajaan masih gagal untuk memberi perhatian yang serius terhadap saranan-saranan oleh SUHAKAM. Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Laporan tahunan SUHAKAM menunjukkan parlimen belum pernah membahaskan siasatan dan laporan-laporan yang dikeluarkan oleh pihak SUHAKAM,